Jumaat, 31 Mei 2013

Peneroka: Mana janjimu Umno?

Mazlan Aliman, 31 Mei 2013
Belum ada sebulan selesainya PRU 13, Macam-macam aduan saya terima khususnya dari warga Felda seluruh negara. Ada anak peneroka mengadu, rumah Generasi ke- 2 mereka terbengkalai. Duit dah keluar banyak.


Ada peneroka Palong 6 maklumkan sesi dialog dengan Pegawai Felda dari HQ KL semalam jadi kecoh bila dimaklumkan hutang tanam semula peneroka sudah mencecah RM 80-90 ribu. Ada juga yg merintih baki pendapatan bulanan dah tak sampai RM1,000. Hidup makin susah kata mereka.

Saya tetap simpati pada mereka. Meskipun apa yang di ajukan, telah pun di perjuang dan diperingatkan puluh tahun oleh saya dan rakan-rakan.

Antara tawaran Pakatan Rakyat dalam kempen PRU baru-baru ini ialah menyemak dan memberi subsidi atas hutang peneroka. Diterangkan secara sistematik bagaiamana hutang peneroka boleh dikurangkan. Namun, sesetengah peneroka begitu angkuh mengatakan; ' hutang tu kat pokok, bukannya nampak'. Hutang wajib bayar, berapa pun jumlahnya. Kita makan duit pencen je!, kata peneroka.

Logiknya, jika peneroka lebih yakin dengan BN, kenapa hari ini mereka marah dan mengamuk kepada Felda?
Bayar sajalah berapa pun hutang yg dikenakan!

Bila rumah Generasi ke-2 terbengkalai, panggil semua pemilik-pemilik tapak rumah. Tukar kontraktor. Macamana format rumah asal, sebahagiannya dah buat...

Duit untuk bersihkan tapak dah beberapa kali dibayar. Nak mengaku kena tipu, tidak juga. Tetap BN, demi ketuanan melayu kononnya....

Saya bukan nak pulangkan paku buah keras pada peneroka dan warga Felda akan apa yg mereka rasai selepas PRU 13. Gambaran telah diberikan jika BN terus berkuasa. Nasib FGVH, pekerja-pekerja Felda Plantation, penyelenggaraan kebun dan lain-lain. Hari ini telah jadi kenyataan.

Bila warga Felda mengadu, apa yg ANAK boleh bantu?
ANAK hanya badan NGO, apatah lagi apabila dasar-dasar Felda kekal dengan mandat semula BN; kena bersedia dengan padah yang mula dirasai.

Isa Samad, MP Jempol, Eshanudin MP Kota Tinggi, Azalina MP Pengerang, Halimah Sadique MP Tenggara, Anuar Manap MP Sekijang, Ismail Sabri MP Bera (sekadar beberapa nama). Ini kawasan Parlimen yg banyak Felda.

Warga Felda jumpa mereka, kerana mereka telah berjanji untuk sehidup semati dengan peneroka. Saya yakin dengan slogan janji ditepati, MP BN ini akan bermati matian menyelesaikan apa jua masalah rakyat dalam tempoh yang singkat.

Kalau Ahmad Maslan mula-mula jadi Timbalan Menteri boleh berlakon menoreh getah, tidur rumah peneroka dan tubuhkan Badan Bertindak Peneroka(BAPAK) untuk selesaikan masalah peneroka dalam tempoh 2 minggu; Tok Limah (nama glamour Dato' Halimah Sadique) tentu sedang berkobar-kobar nak tolong rakyat sebab dah jadi Timbalan Menteri. Tak cukup siang, tengah malam pun Tok Limah sedia berbakti....

Saya dan rakan-rakan ANAK tidak kecewa, malah sedang merencana gerakan seterusnya. Cuma terkilan, pakej menarik untuk warga felda ditolak. Ada seorang peneroka kata kat saya, calon BN ni aku tau; kaki judi dan joli sana sini. Akhlak pun teruk. Tapi demi Melayu, aku terpaksa undi dia. Kalau undi PAS, negeri aku nanti jatuh kat Cina!

Alahai bangsaku...

*Penulis adalah Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK)

Terus mengasak, sekali gus bermuhasabah

Ahmad Lutfi Othman, 31 Mei 2013
Sebenarnya, tanpa perlu menunggu bukti-bukti baru berkaitan penipuan dalam PRU13 - termasuk dakwat kekal yang tidak kekal, lampu padam ketika membilang kertas undi, ada pemilih mengundi lebih daripada sekali, juga amalan politik wang yang menjolok mata - sistem dan proses pilihan raya negara kita perlu segera direformasi secara menyeluruh.

Pengerusi SPR bersama timbalannya, dan lima anggota yang lain (rujuk profil mereka dalam laman web SPR dan saya pernah mengulasnya dua tahun lalu) harus meletakkan jawatan. Keyakinan awam kepada anggota SPR. seperti dituntut Perkara 114 (2) Perlembagaan sudah lama terhakis. Gelagat SPR tidak lebih daripada komponen ke-14 BN!

Justeru, gema lantang suara rakyat yang ditunjukkan dalam siri jelajah "Blackout 505" mesti diteruskan secara lebih proaktif. Bukannya dengan niat untuk menjatuhkan kerajaan di luar proses demokrasi, tetapi mahu bangkit mengasak secara intensif agar kerajaan benar-benar serius melakukan pembaharuan politik.

Tidak lama lagi kita akan berdepan proses persempadan kawasan pilihan raya, yang selama ini menjadi instrumen paling ampuh buat BN mengekalkan kuasa. Tanpa majoriti dua pertiga, jumlah kerusi tidak dapat ditambah, namun SPR dibimbangi akan meneruskan "kerja jahat" selama ini, iaitu melakar semula kawasan pilihan raya semata-mata untuk memudahkan BN memenangi PRU14.

Sistem First-Past-The-Post telah dimanipulasi sepenuhnya, termasuk penyimpangan maksimum untuk jumlah pengundi di setiap kawasan pilihan raya. Walhal, BN sepatutnya dapat bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk mengimbangi kawasan Parlimen, dengan melakukan penambahan kerusi mengikut formula lebih demokratik merujuk prinsip satu orang satu undi, dengan mengambil kira kawasan luar bandar (rural weightage), tetapi dengan nisbah yang munasabah.

Saya tertarik dengan rumusan aktivis SAMM, Edy Noor Reduan: "Menyeru semua NGO dan aktivis supaya pastikan tiada lagi rapat himpunan, tiada lagi acara persembahan, tiada lagi ucapan pidato yang melampau, kini tiba masa untuk bergerak, kini tiba masa untuk berarak dengan berani."

Apa pun, saya juga teruja dengan persoalan dibangkitkan AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman: "Apa lagi yang mahu dilakukan selepas jelajah "Blackout 505"? Presiden Anak itu lebih prihatin dengan  proses koreksi diri dan langkah segera menjernihkan keadaan, sekali gus merumuskan hala tuju dan prioriti parti.

Saya berkongsi kerisauan melihat respons aktivis Pakatan, sebahagiannya terkeluar daripada batasan akhlak dan adab, ketika bermuhasabah terhadap keputusan PRU13. Pelbagai gelaran dan label buruk diluahkan. Memang pedih menerima kekalahan, namun usah ditutup ruang dan potensi PRU14 dengan menuding kesalahan kepada pihak lain, tanpa meremehkan prinsip pertanggungjawaban.

Parti harus terus disegarkan dan diremajakan. "PAS tidak lagi boleh berbangga dengan struktur parti yang kemas dan keahlian yang ramai, jika imiginasi pengundi tidak tertarik dengan keupayaan dan kemampuan barisan kepemimpinannya menangani cabaran semasa," kata seorang ahli akademik. Ya, rakyat sedang memerhati dan menilai ...

PRU 13: Ini Kalilah!, Ubah, bina sokongan Pakatan Rakyat


Slogan kempen Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu; "Ini Kalilah!" dan "Ubah" muncul sebagai slogan kempen menarik dan popular, dan mungkin telah membantu pembinaan sokongan rakyat kepada gabungan parti itu.

Dengan hanya dua slogan yang seragam dan mudah disebut ramai, PR kelihatan telah menggerakkan kempen yang berjaya, walaupun masih gagal menewaskan Barisan Nasional di peringkat persekutuan.

Slogan PR itu juga menjadi slogan yang diingati, dan pada masa sama BN tidak muncul dengan slogan yang menarik, selain "Janji Ditepati," tetapi menimbulkan pelbagai isu untuk dikemukakan di media.

Walau bagaimanapun, penyokong BN telah membalas slogan "Ini Kalilah" dengan "Lain Kalilah" yang tidak kurang menarik dan sinis.

Dibandingkan antara slogan PR dan BN kali ini, slogan PR lebih mudah dan menarik, pada masa sama slogan "Janji Ditepati" BN kelihatan seperti kerajaan yang menuntut balasan kerana telah melaksanakan tugas.

Perbandingan yang hampir sama dapat dilihat dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12, apabila Parti Keadilan Rakyat diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan slogan "Harapan Baru untuk Malaysia," dan BN dengan "Selamat, Aman, Makmur."

Dari sudut kempen dan slogan, PR jelas telah berjaya mengatasi BN, ketika kedua-dua gabungan bersaing mengemukakan janji-janji populis kepada rakyat.

Slogan yang mudah dan ringkas, yang menunjukkan kesatuan matlamat dan mudah difahami membantu menjayakan kempen, dan bakal lebih diingati dalam sejarah.

Satu contoh ialah slogan kempen calon Republikan, Dwight Eisenhower dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat pada 1952.

Berpuluh tahun sebelum kemunculan internet dan laman sosial Facebook, Eisenhower menggunakan slogan "I Like Ike" dalam kempennya, dan berganding dengan popularitinya pada masa itu, beliau akhirnya menang dalam pemilihan presiden pada pemilihan presiden 1952.

Pada zaman ini, Barack Obama muncul dengan slogan menarik "Change We Can Believe In" dan "Yes We Can," disertai imej popular Obama dengan perkataan "Hope," yang juga menarik orang ramai dan membantunya memenangi pilihan raya presiden 2008.

Slogan-slogan berjaya tersebut dapat menangkap semangat semasa, yang dirasakan oleh sejumlah besar rakyat, dan gabungan slogan menarik itu dan sokongan kuat rakyat telah menyumbang kepada pencapaian yang cemerlang dalam pilihan raya umum lalu.

Peristiwa 13 Mei: Patut dilupakan atau dikaji?



Oleh RUSTAM A SANI

Dr Kua Kia Soong sebagai penulis buku May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots 1969 (Suaram: Kuala Lumpur, 2007) sungguh beruntung. Beberapa hari sebelum diterbitkan, dan beberapa hari setelah diterbitkan, bukunya masih meluas diperkatakan – dari posting di laman-laman blog hinggalah kepada kenyataan oleh timbalan perdana menteri.
Para pegawai dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sudah mulai bertindak merampas beberapa naskah buku itu dari sebuah toko buku yang ternama di Kuala Lumpur. Meskipun ada kata-kata yang bermaksud mengancam daripada timbalan menteri tentang kemungkinan buku itu diharamkan, namun sehingga waktu rencana ini ditulis pengharaman itu tampaknya masih belum terjadi.
Bahawa rakyat Malaysia begitu berminat terhadap kandungan buku ini tidaklah terlalu menghairankan saya. Peristiwa rusuhan kaum yang telah tercetus di beberapa kawasan Kuala Lumpur-Petaling Jaya dan beberapa bandar besar di Semenanjung Malaysia 38 tahun lalu itu memanglah merupakan peristiwa hitam yang penting dalam sejarah semasa negara ini.
Namun peristiwa itu tetap merupakan peristiwa yang penuh rahsia dan sukar ditafsirkan secara saksama implikasi dan pengertiannya terhadap realiti sosial dan politik negara itu.
Sehingga kini pun masih terlalu banyak yang tidak kita ketahui tentang peristiwa itu – sebahagiannya kerana banyak fakta yang sengaja dirahsiakan daripada kita untuk memberikan kredibiliti kepada penceritaan "rasmi" tentangnya, dan sebahagiannya kerana pentafsirannya yang diputarbelitkan pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik mereka sendiri.
Buku terbaru Kua ini menarik minat umum kerana penceritaan dan analisisnya didasarkan pada dokumen-dokumen yang sudah tidak dilindungi dan dirahsiakan lagi di Pejabat Rekod Awam di London.
Sejak dua tiga hari sebelum buku itu dilancarkan, Malaysiakini telah menyiarkan banyak bahan promosi tentang buku ini (termasuk wawancara dengan Kua). Pada 13 Mei lalu (sempena "perayaan" peristiwa itu dan Hari Ibu) pelancaran buku tersebut telah berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur.
Turut terlibat dalam forum pelancaran dan pembicaraan buku itu ialah beberapa penulis dan ahli akademik seperti Dr Syed Husin Ali, Dr S Nagarajan dan Beth Yaph – selain pembicaraan oleh Kua sendiri.
Saya sendiri sejak semula telah membuat telahan bahawa buku tersebut akan merupakan buku yang penting lagi menarik – dan akan menimbulkan perbincangan yang mendalam dan meluas di kalangan masyarakat.  Bagi saya, Peristiwa 13 Mei itu merupakan peristiwa yang penting, meskipun getir, untuk difahami kerana implikasinya yang mendalam terhadap ciri-ciri suasana sosial dan politik di negara kita hingga kini.
Secara kebetulan, tahun lalu (9 September 2007) saya telah memasang sebuah "posting" di laman blog saya dalam bahasa Inggeris yang berjudul: Are We Heading Towards Another May 13? Rencana itu mulanya ditawarkan kepada Malaysiakini yang enggan menyiarkannya – tetapi kemudiannya disiarkan oleh Aliran Monthly (September 2007).
Kegusaran yang telah mendorong saya menulis rencana itu ialah tanggapan saya bahawa ciri-ciri serta keriuhan wacana dan percaturan yang seringkali terjadi sekitar waktu itu amat kuat mengingatkan saya akan persamaannya yang mengerikan dengan suasana sekitar waktu tercetusnya peristiwa rusuhan kaum pada Mei 1969.
Percaturan politik yang saya maksudkan itu ialah peristiwa saling kecam mengecam – dan saling menuntut permohonan maaf – antara para pemimpin pemuda Umno (seperti Khairy Jamaluddin dan Hishamuddin Hussein yang menghunus keris) dan para pemimpin parti-parti Cina seperti MCA dan Gerakan, isu-isu yang bersifat keagamaan, isu peratusan habuan untuk pelbagai kaum sebagai kesan DEB, dan sebagainya.
Oleh itu saya berasa khuatir bahawa percaturan politik yang demikian itu akan membawa kepada kesan politik dan sosial yang sama seperti yang telah terjadi pada tahun 1969 itu.
Setelah membeli, dan membaca buku Kua itu secara sambil lalu, pada majlis pelancaran itu, memang saya akui bahawa buku tersebut merupakan suatu sumbangan penting terhadap kefahaman kita tentang sejarah sosial dan politik terkini negara ini. Namun demikian, saya tidaklah begitu yakin bahawa penerapan bahan-bahan "declassified" itu dengan sendirinya akan menaikkkan taraf maupun nilai analisis buku tersebut.
Seperti yang dinyatakan oleh Syed Husin dalam forum pelancaran buku itu, laporan para diplomat Inggeris dan para diplomat Komanwel (Australia dan New Zealand, misalnya) maupun laporan para wartawan Barat tidak semestinya lebih tepat, lebih peka malah lebih telus daripada pemerhatian orang tempatan atau penganalisis tempatan.
Bagi saya, kesimpulan paling menarik yang dikemukakan Kua dalam buku yang memanfaatkan bahan-bahan tersebut ialah bahawa peristiwa 13 Mei itu merupakan hasil daripada sebuah coup d'etat yang berhasil yang telah dilancarkan oleh beberapa pemimpin Umno lainnya dan sekumpulan para kapitalis tunjangan negara (state capitalists) terhadap Tunku Abdul Rahman yang mereka anggap terlalu berlembut dengan kaum Cina.
Selain itu, kelompok itu juga menjadi gempar oleh kedudukan mereka yang terasa goyah oleh keputusan pilihan raya umum tahun 1969 yang baru sahaja berakhir, dengan keputusan yang begitu menggalakkan bagi pihak pembangkang.
Oleh kerana golongan ini turut menguasai jentera negara, maka beberapa alat negara seperti polis dan tentera tidaklah dapat dianggap sebagai unsur-unsur yang berkecuali dalam peristiwa itu. Para "hoodlums" (samseng) Melayu dari luar juga telah diangkut ke Kuala Lumpur untuk terlibat dalam peristiwa itu.
Saya memang senantiasa menyokong seruan agar Peristiwa 13 Mei itu dikaji dengan mendalam dan terperinci – dengan mengutip sebarang bahan bukti yang mungkin dan sebarang bahan dokumen yang mungkin. Namun, kajian yang demikian itu mestilah mantap dari segi pemikiran analitisnya dan mantap perspektif intelektualnya – bukan sekadar untuk menuduh sesuatu pihak sebagai bertanggungjawab.
Bagi saya, sekarang pun – sewaktu buku Kua ini sedang mendapat perhatian dan perbincangan yang mendalam – terlalu banyak nada perbincangan yang tidak sihat yang dapat saya kesan. Dan nada perbincangan seperti itu – yang berlangsung dalam suasana dan iklim politik Malaysia yang amat perkauman (racist) sifatnya ini – tidaklah akan membawa kita kepada kefahaman yang bermanfaat.
Malah saya khuatir perbincangan yang bernada demikian itu – seperti yang telah saya nyatakan dalam posting di laman blog saya tahun lalu itu – lebih banyak kemungkinannya mencetuskan lagi peristiwa getir yang sama juga seperti Peristiwa 13 Mei itu.
Pada asasnya saya dapat melihat dua perspektif yang terbit daripada perbincangan yang telah dicetuskan oleh buku Kua ini.
Di satu pihak terdapat golongan racist Melayu. Mereka ini tetap melihat Peristiwa 13 Mei itu sebagai sesuatu yang wajar dicetuskan oleh orang Melayu – demi mempertahankan kedudukan dan hak mereka sebagai kaum peribumi.
Jika ada para ahli politik Melayu yang sebenarnya mengambil kesempatan daripada suasana keruh tahun 1969 itu, maka mereka itu harus dianggap sebagai wira dan penyelamat Melayu. Oleh itu, perbuatan jahat mereka itu tidak harus diungkit-ungkit dan diperkatakan lagi – malah harus disanjung atau sekurang-kurangnya dilupakan begitu sahaja.
Di hujung yang lain pula terdapat pandangan golongan racist bukan Melayu yang menganggap Peristiwa 13 Mei itu sesungguhnya sebagai suatu pertanda jelas tentang sifat perkauman dan sikap menindas di kalangan orang Melayu (atau satu kelompok pemimpin mereka yang bersifat fascist).
Bagi sudut pandangan ini, Peristiwa 13 Mei itu harus terus menerus dikaji dan diperkatakan – sehingga hakikat sebenarnya (yakni sikap perkauman orang Melayu itu) disedari dan dikecam – dan sikap "tidak perkauman" orang bukan Melayu, serta keperluan mereka membela diri dan menyelamatkan budaya mereka, diberikan pengikhtirafan yang sewajarnya.
Pandangan saya sendiri cenderung untuk menolak kedua-dua perspektif ini. Bagi saya sikap perkauman dalam politik Malaysia bukanlah monopoli orang Melayu atau parti pemerintah sahaja. Sikap itu, hingga ke hari ini, merupakan ciri asasi kehidupan sosial dan politik yang dominan di kalangan semua pihak dan kelompok di negara ini.
Penerusan sikap ini, bagi saya, merupakan bukti kegagalan kolektif kita semua untuk melakukan penyimpangan daripada struktur sosial yang telah diwariskan oleh situasi kolonial dalam proses pembinaan bangsa kita selepas kemerdekaan. Penerusan sikap perkauman yang masih wujud hingga kini merupakan pertanda tentang kegagalan cendekia kita semua.
Bagi saya, Peristiwa 13 Mei itu sekadar merupakan satu bukti tentang kegagalan tersebut. Yang bersikap racist sekitar peristiwa tersebut, sehingga mencetuskan rusuhan, bukanah sekadar Melayu dan bukan juga sekadar bukan Melayu – tetapi semuanya.
Jerit pekik para hoodlum Melayu di depan kediaman Harun Idris di Princess Road memanglah bersikap perkauman, tetapi demikianlah juga perarakan kelompok bukan Melayu di Chow Kit Road dan di Imbi Road. Di kedua-dua pihak memang terdapat para "pemimpin" jahat yang senantiasa menunggu peluang untuk memanfaatkan situasi yang genting seperti itu.
Sehingga kini realiti sosial dan politik kita masih terus berkeadaan demikian, masih belum berubah – semata-mata kerana kedangkalan cendekia kita semua. Sehingga kini juga para pemimpin yang demikian memang terdapat di semua pihak, bersiap sedia untuk memanfaatkan sebarang suasana genting yang bakal dicetuskan oleh kecetekan cedekia kita bersama itu.
Realiti inilah yang sepatunya merisaukan kita, mencemaskan kita, bukan sekadar bercakap kosong berulang-kali tentang Peristiwa 13 Mei yang sama – meskipun dengan menggunakan bukti-bukti baru dari sumber-sumber baru tetapi dengan terus menggunakan pemikiran dan kefahaman kita yang terus menerus cetek dan dangkal.
 Artikel di atas ditulis oleh Allahyarham Rustam A Sani, dan diterbitkan pertama kali dalam akhbar Siasah bilangan 48 pada 2007.

Khamis, 30 Mei 2013

Masa Depan Malaysia Lebih Cerah Dengan Pakatan Rakyat


Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Merton College, University Oxford, England pada 28 Mei 2013

1. Malaysia berada di ambang perubahan. Persoalannya ialah jika kita begitu hampir dengan perubahan mengapa perubahan tidak berlaku? Malaysia mengalami sedikit anjakan apabila Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum 2013, dan bukan Barisan Nasional (BN). BN menang walaupun hakikatnya tewas disebabkan amalan persempadanan semula kawasan pilihan raya secara tidak adil yang dilaksanakan lebih 40 tahun lalu.

2. Ramai orang telah bertanya, apakah implikasi Pakatan Rakyat memenangi 51% undi popular? Ia akan mengarah kepada kerajaan BN yang lebih tidak stabil berikutan Najib dilihat sebagai seorang Perdana Menteri minoriti mengetuai sebuah kerajaan minoriti? Adakah akan ada “Malaysian Spring” akibat daripada protes yang berterusan terhadap keputusan pilihan raya? Ya, akan ada “Malaysian Spring” tetapi dalam keadaan yang aman, yang lahir atas tujuan yang sama iaitu untuk membebaskan Malaysia daripada kemiskinan, kejahilan, ketakutan dan rasuah.

3. Saya tidak akan mempertikaikan hakikat bahawa Najib adalah Perdana Menteri minoriti yang mengetuai kerajaan minoriti kerana tidak wujud di dalam dunia, sebuah negara demokratik yang menggunakan sistem “First-Past-the-Post”, parti yang berjaya mendapat 51% undi hanya berkesudahan dengan sekadar 40% daripada jumlah kerusi. Dalam apa keadaan sekalipun, parti yang memenangi undi majoriti sepatutnya memenangi peratusan jumlah kerusi yang lebih besar. Hanya di Malaysia, akibat daripada persempadanan yang tidak adil, parti yang memenangi undi majoriti boleh berkesudahan dengan jumlah kerusi yang kurang daripada majoriti. Mungkin ini adalah apa yang BN maksudkan dengan “Malaysia Boleh”.

4. Bagaimanapun masih ada pemimpin BN yang menolak logik itu dengan mempertikaikan bahawa walaupun Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya atau memenangi undi popular ia langsung tidak penting. Tetapi bagaimana perkara itu boleh terjadi apabila demokrasi sepatutnya adalah majoriti memerintah minoriti dan menghormati hak minoriti? Demokrasi tidak sepatutnya berakhir dengan minoriti menerajui majoriti. Tidak juga boleh dibandingkan seperti sebuah perlawanan badminton.

Demokrasi bukan perlawanan badminton atau minoriti memerintah majoriti


5. Dalam perlawanan badminton sekalipun, setiap set diberikan kewajaran yang sama. Tetapi untuk BN, tiada kewajaran untuk setiap kerusi kerana beberapa kerusi seperti Kapar (160,000 undi) mempunyai lebih kurang 10 kali ganda lebih nilai daripada Putrajaya (17,000 undi) tetapi masing- masing mempunyai hanya satu nilai kerusi. Sekiranya sistem pilihan raya di Malaysia disamakan seperti dengan perlawanan badminton, pemain badminton PR perlu memenangi 10 set untuk setiap kerusi yang dimenangi BN.

6. Menteri Dalam Negeri barangkali berpura-pura marah apabila beliau meminta rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan ketidakadilan sistem pilihan raya untuk meninggalkan negara ini. Tetapi ada metod dalam kepura-puraannya kerana tiada sesiapa pun yang boleh menyuruh majoriti atau 51% daripada penduduk untuk meninggalkan negara ini. Beliau hanya mahu menakut-nakutkan rakyat dan tidak mahu memberi tumpuan kepada BN yang kehilangan undi popular dan mengalihkan perhatian mereka dengan menyalahkan masyarakat Cina. Tetapi bagaimana BN boleh kehilangan 51% undi popular apabila masyarakat Cina hanya 24% daripada jumlah pengundi? Adakah baki 27% daripada jumlah itu terdiri daripada mereka yang mengundi Pakatan Rakyat itu warga Bangladesh? Atas sebab ini tidak akan ada orang yang takut, dibohongi atau dialihkan pandangannya lagi. Rakyat tahu mereka yang merupakan majoriti dan menuntut reformasi pilihan raya supaya bersih, adil dan mampu menyediakan satu platform untuk mencerminkan kehendak majoriti.

7. Rakyat tidak akan tunduk dengan ancaman penangkapan semula 3 aktivis pembangkang atau mendakwa lebih ramai pemimpin PR di mahkamah kerana menghasut. Mengapa mereka yang pro-BN yang membuat kenyataan anti-Cina tidak dihukum?

8. Saya menolak pendirian yang mengatakan bahawa prospek masa depan negara akan terjejas dengan kehadiran pembangkang yang kuat. Sudah tentu sekiranya Pakatan mengambil alih, saya yakin untuk menyatakan bahawa Malaysia pasti berada di landasan yang betul untuk mencapai potensi yang sepenuhnya. Walaupun kita tidak mencapai matlamat untuk memenangi Putrajaya, saya amat percaya dengan kehadiran Pakatan Rakyat yang lebih kukuh di Parlimen, bersama-sama dengan pengalaman penggal kedua memerintah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor, akan memberi kesan positif kepada pembangunan negara.

9. Pertamanya, anda boleh yakin bahawa BN akan lebih sukar untuk menerima tawaran yang hanya akan memberi manfaat kepada kroni mereka. Ketika kita hanya 10% Ahli Parlimen, adalah lebih mudah bagi BN untuk melakukan banyak perkara terutama jenis kontrak kroni yang terlalu banyak untuk kumpulan kecil kita di Parlimen. Tetapi sekarang dengan kekuatan 89 Ahli Parlimen yang datang dari setiap negeri di Malaysia kecuali Perlis, anda boleh yakin yang kami akan membongkar setiap sudut dan celah bagi memastikan BN berasa sukar untuk mengulangi seperti perjanjian NFC “lembu di kondo”. Anda boleh bergantung kepada Ahli Parlimen seperi Rafizi Ramli, Nurul Izzah atau Dr Ong Kian Ming, Mahfuz Omar dan Oxonian kita sendiri – Tony Pua, serta ramai lagi Ahli Parlimen muda untuk menjalankan tugas semak dan imbang terhadap Kerajaan BN.

10. Ini bukan bermaksud mereka tidak akan mencuba. Sepertimana yang ditunjukkan daripada penubuhan 1MDB, BN tidak pernah berubah cara. 1MDB, yang tidak mempunyai apa-apa manfaat selain daripada menjadi dana simpanan khas, sepatutnya diserap ke dalam Khazanah. Ini adalah cadangan kami dalam Manifesto Pakatan Rakyat.

11. Kita sudah melihat bagaimana persaingan polisi memaksa BN bertindak terhadap cadangan Pakatan Rakyat. Kontrak untuk generasi pertama bagi Penjana Kuasa Bebas (IPP) yang akan berakhir tidak lama lagi akan diperbaharui dengan kos yang lebih rendah disebabkan tekanan yang diberi Pakatan Rakyat. Anda boleh lihat bagaimana BN dipaksa untuk mengurangkan harga kereta secara perlahan-lahan hasil daripada manifesto Pakatan Rakyat.

12. Kita telah membuktikan yang kita boleh mentadbir Pulau Pinang dan Selangor lebih baik daripada BN. Dan kita telah memperolehi mandat lebih besar terutama daripada segi kerusi dan undi. Di Pulau Pinang, kita berjaya meningkatkan bilangan kerusi negeri daripada 29 kepada 30 dan undi popular daripada 58% kepada 67%. Di Selangor, kita menambah kerusi negeri daripada 36 kepada 44 dan undi popular meningkat daripada 55% kepada 59%. Kita telah menunjukkan bahawa rizab negeri meningkat dan dalam masa yang sama, bantuan kewangan dan agihan peruntukan juga dijalankan secara adil dan telus.

13. Kita akan terus mencari cara yang lebih baik untuk mentadbir kedua-dua negeri. Kita akan teruskan dengan mencari cara-cara yang lebih kreatif untuk memenuhi aspirasi kita untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang dipandu dengan idea yang lebih progresif, pelaburan swasta dan awam yang berterusan dan terancang. Penubuhan Penang Paradigm, yang dilancarkan pada awal tahun ini menyediakan pelan tindakan yang telah dan akan digunakan untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bagaimana Pakatan Rakyat akan mentadbir Putrajaya.

14. Proses perubahan dan pembaikan adalah sebahagian daripada kehidupan. Dan ia adalah satu realiti dalam kehidupan politik. Bakat manusia hanya boleh dibina dan dibangunkan melalui latihan dan kerja keras. Jika Amerika menghadapi “fiscal cliff” yang mengancam kesihatan kewangan dunia, Malaysia menghadapi “talent cliff” yang boleh mengancam kemakmuran ekonomi masa depan kita.

15. Kita perlukan anak muda yang berbakat untuk kembali ke sini bagi menjadikan Malaysia lebih kukuh. Kita tahu bahawa anda akan kembali ke sebuah negara Malaysia yang sesuai didiami dan menyediakan peluang yang sama untuk anda berjaya. Persaingan sihat dan akauntabiliti akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang baik, yang lebih bersih, hijau, sihat dan selamat untuk semua baik untuk hidup, bekerja dan berekreasi. Pakatan Rakyat yang lebih kuat memberi harapan kepada masa depan yang lebih cerah bagi demokrasi, keadilan, kebebasan, integriti dan pembudayaan prestasi di Malaysia.

Pasca PRU 13 Anak muda tuntut hak, bukan masa berseronok

Muhammad Faeez Azahar, 30 Mei 2013
IPOH: Kebangkitan anak muda semakin memuncak selepas menghadapi perjalanan pilihanraya yang penuh dengan kepincangan pada PRU13 lalu.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, tsunami kebangkitan itu dapat dilihat di Himpunan Blackout 505 yang diadakan di seluruh negara.

Menurutnya, rata-rata yang hadir dalam himpunan yang bertujuan untuk menunjukkan rasa duka cita rakyat akan ketidaktelusan SPR itu adalah dari kalangan orang muda berbilang bangsa.

“Kebangkitan anak muda secara drastik pasca pilihanraya ini ternyata menakjubkan dan sudah pasti menjadi satu kegusaran kepada BN khususnya Umno.

“Mereka bangkit untuk menzahirkan keprihatinan serta ketidakpuashatian mereka terhadap penjalan PRU13 lalu yang menunjukkan betapa jijiknya taktik BN dengan SPR untuk mengekalkan kuasa di negara ini,” katanya.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu menjelaskan, kebangkitan anak muda khususnya mahasiswa ini adalah satu fenomena besar di negara ini.

Kata Raja Iskandar, anak muda kini tidak lagi hanya memikirkan keseronokan dan kehidupan mereka semata-mata, sebaliknya mereka bangkit menuntut hak seluruh rakyat Malaysia yang dicabul oleh BN.

Golongan ini katanya mula mengambil berat tentang betapa pentingnya pemerintahan yang berdasarkan integriti, ketelusan, kejujuran dan adil kepada semua rakyat.

“Kekalahan dengan penipuan adalah satu hikmah yang diberikan oleh Allah untuk mewujudkan satu kesedaran besar rakyat khususnya golongan muda.

“Ketidakpuashatian anak muda ini harus di ambil kira dan diraikan kerana ianya adalah salah satu kurniaan Allah kepada Pakatan Rakyat dan PAS itu sendiri,” jelasnya lagi.

Tambahnya, sentimen perkauman yang diapi-apikan selepas pilihanraya lalu adalah satu strategi BN untuk menutup hakikat yang sedang berlaku iaitu kebangkitan anak muda.

“Suara anak muda ini adalah satu isyarat kepada BN khususnya Najib bahawa rakyat tidak lagi mahukan kepimpinan yang berasaskan perkauman serta yang mengamalkan rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan ketidakadilan.

“Sejijik mana taktik sekali pun tidak akan dapat menyekat suara rakyat khususnya anak muda untuk melakukan perubahan tampuk pemeritahan,” jelasnya lagi.

Petronas Bukan hak milik Umno Bn: Jangan tunggu kemarahan rakyat

-, 30 Mei 2013


Petroliam Nasional atau Petronas adalah syarikat minyak negara yang ditubuhkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA, 1974), sebagai perusahaan kepunyaan negeri (State Owned Enterprise) yang mempunyai hak eksklusif pemilikan, penerokaan dan pengeluaran.

Petronas adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa Perdana Menteri dan bertanggungjawab bagi perancangan, pelaburan dan kawal selia bagi semua aktiviti huluan atau upstream serta perlantikan Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas dan ahli Lembaga Pengarahnya.

Petronas merupakan penyumbang terbesar hasil kewangan kerajaan. Ketidakcekapan dan kepicangan tadbir-urusnya boleh menimbulkan risiko krisis kewangan kerajaan. Sejak tahun 2008, Petronas telah menyumbang secara konsisten sebanyak RM 70 bilion setahun, di mana RM 30 bilion dalam bentuk dividen tetap (fixed dividend), dan bakinya dalam bentuk cukai hasil, cukai petroleum, duti, royalti dan sebagainya.

Revenue Watch Institute (RWI), sebuah institut kajian dasar yang mempromosikan tata-kelola dan pengurusan minyak, gas dan mineral secara berhemah dan bertanggung jawab dalam terbitan terbaru Resource Governance Index (RGI) (http://www.revenuewatch.org/rgi ) bagi tahun 2013 telah meletakkan Malaysia di tempat ke 34 daripada 58 negara, dengan jumlah markah sebanyak 46% dalam pengurusan hasil minyak dan gas negara. Petronas gagal dalam kriteria-kriteria penting dalam tata-kelola (governance) khususnya ketidaktelusan dan ketiadaan pemantauan (oversight) dari pihak legislatif (parlimen).

Kedudukan ini adalah jauh lebih rendah daripada negara-negara tetangga kita seperti Timor Leste (no 13), Filipina (no 23) dan Indonesia (no 14). Malah, Mongolia berada di kedudukan yang lebih tinggi di tempat ke 26. Pada tahun 2010, Malaysia telah memperolehi markah sebanyak 48.4% dalam kajian yang sama oleh RWI dan Transparecy International (TI).

Tatakelola serta pengurusan sumber minyak dan gas di Malaysia dikategorikan oleh RWI sebagai lemah dan kurang telus. Petronas beroperasi dalam suasana yang penuh dengan kerahsiaan.

Maklumat berkenaan bajet tahunan Petronas, sama ada di sektor huluan ataupun hiliran sukar diperolehi serta tidak jelas. Anggaran kasar menunjukkan bahawa Petronas membelanjakan kira-kira RM 35-40 billion setiap tahun untuk projek-projeknya. Angka ini jauh lebih besar daripada kementerian-kementerian penting dalam kerajaan seperti Kementerian Pendidikan dan Kesihatan. Malangnya rakyat serta wakil-wakil mereka di Parlimen tidak pernah diberi peluang untuk meneliti sama ada dana yang sebesar itu telah dibelanjakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

Maklumat tentang kriteria-kriteria yang digunapakai ketika membuat penilaian tender untuk penganugerahan kontrak-kontrak juga tidak jelas. Sistem perlesenan dan pendaftaran vendor dan kontraktor yang tidak telus dan seolah-olah sengaja dipersulitkan jelas memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat yang menjadi kroni-kroni pemerintah BN dan pengurusan tertinggi Petronas untuk membolot kontrak-kontrak yang lumayan ini. Sistem perlesenan ini juga telah gagal menyediakan tapak dan peluang, malah menjadi penghalang bagi kontraktor-kontraktor baru dan kecil tempatan untuk berkembang dalam industri minyak dan gas.

Yang sering kedengaran, kontrak-kontrak Petronas sering berlegar di kalangan syarikat-syarikat kroni seperti SapuraKencana, Dialog, Petra dan Scomi, sekadar menyebut beberapa contoh. Di kalangan syarikat-syarikat antarabangsa pula, kontrak-kontrak sering dibolot oleh syarikat-syarikat seperti Schlumberger, Halliburton, Technip, Petrofac dan TransOcean; kesemuanya diketahui rapat dengan pengurusan tertinggi Petronas, sehinggakan dalam banyak keadaan menyekat peluang kontraktor-kontraktor tempatan, sama ada milik bumiputera atau bukan bumiputera. Dato’ Seri Najib seolah-olah berlepas tangan, malah merestui amalan-amalan yang tidak telus ini.

Mutakhir ini, Petronas telah memperkenalkan suatu konsep baru dalam menganugerahkan kontrak bagi membangunkan medan-medan minyak bersaiz kecil (marginal field) yang dipanggil Risk Service Contract (RSC). Sekali lagi pemenang-pemenang kontrak-kontrak RSC ini terdiri daripada syarikat-syarikat yang sama – SapuraKencana, Dialog , Petra dan sebagainya. Kontrak-kontrak dalam pusingan-pusingan awal RSC sememangnya diadakan secara tender terbuka tetapi kriteria-kriteria untuk menetapkan pemenang-pemenangnya kurang jelas.

PAS difahamkan tidak lama lagi satu lagi kontrak RSC akan diumumkan untuk membangunkan medan minyak Bubu di perairan Terengganu, dan bakal pemenangnya adalah salah satu daripada syarikat-syarikat kroni yang dinamakan di atas. Apa yang lebih mendukacitakan, untuk pusingan ini, tiada tender terbuka dibuat. Kontrak bakal diberi secara runding-terus.

Petronas sekarang tidak mempunyai halatuju yang jelas terutamanya dalam industri huluan (upstream) yang menjadi nadi penting ekonomi negara.

Namun, Petronas sedang mengalami simptom-simptom yang sama seperti yang pernah dialami oleh syarikat minyak nasional Indonesia, Pertamina, di zaman Suharto. Di zaman Suharto, Pertamina telah disalahgunakan semahu-mahunya oleh diktator berkenaan serta kroni-kroninya hinggakan syarikat tersebut hampir lumpuh.

Ironinya kita memandang sinis Pertamina hingga sekarang, tetapi hakikatnya syarikat minyak kita sendiri sedang berhadapan dengan liku-liku rumit yang pernah ditempuhi Pertamina 15-20 tahun yang lalu. Akibat campur tangan politik peringkat tertinggi serta ketiadaan pengurusan tertinggi yang berwibawa, Petronas kini seolah-olah kehilangan arah, dan menuju ke situasi yang pernah ditempuhi oleh Pertamina dahulu.

PAS dengan ini mencadangkan agar disegerakan suatu audit menyeluruh terhadap prestasi kewangan dan ketelusan urus-tadbir. Satu kajian semula dengan objektif untuk meminimakan birokrasi dan proses dalaman Petronas juga perlu dilaksanakan dengan kadar yang segera untuk meningkatkan semula daya-saing Petronas serta kepercayaan rakyat kepada syarikat minyak negara ini.

Akta Pembangunan Petroleum 1974 perlu dipinda dan kuasa mutlak yang diberikan kepada Perdana Menteri untuk menentukan halatuju dan urus tadbir Petronas perlu dipindahkan kepada Badan Legislatif. Biar Parlimen yang menentukan perjalanan Petronas secara kolektif dan konsensus.

Kerajaan BN pimpinan Dato’Seri Najib dingatkan minyak dan gas anugerah Allah SWT kepada bumi Malaysia dan setiap rakyat negara ini mempunyai hak untuk mendapat maklumat penting tentang tatakelola dan pengurusan sumber berharga negara ini.



* Penulis adalah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas Pusat.

Next &gt

Baiki sistem pilihan raya tindakan bunuh diri BN

Abdul Aziz Mustafa, 30 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka tidak akan melakukan pembaikan sistem pilihan raya kerana tindakan itu adalah tindakan bunuh diri kepada BN, demikian menurut satu analisis Reuters.

Perkara itu diakui oleh Bersih yang menyifatkan reformasi sistem pilihan raya yang dilakukan sama sekali tidak memadai.

Dengan keadaan sedemikian, badan itu terus enggan mengiktiraf keputusan pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini sehinggalah ia memastikan kesahihan ratusan tuduhan penipuan pilihan raya di dalam "tribunal rakyat".

Badan itu juga baru-baru ini membangkitkan tentang wujudnya pengundi berumur 120 tahun dalam daftar pemilih dan ada premis yang digunakan oleh ratusan pengundi sebagai alamat mereka.

Lebih memberi kesan dari penipuan pilihan raya, kata Reuters, ialah sempadan kawasan pilihan raya yang dimanipulasikan sejak bertahun-tahun lalu untuk memanfaatkan BN.

Kawasan pilihan raya yang majoriti pengundinya dilihat memihak kepada pembangkang mempunyai jumlah pengundi begitu besar, ada yang sehingga sembilan kali ganda berbanding kawasan pilihan raya yang majoriti pengundinya memihak kepada BN.

Sebab itulah, menurut agensi berita itu, walaupun Pakatan Rakyat mendapat 51 peratus dari keseluruhan jumlah undi, ia hanya memenangi 89 kerusi sahaja dari 222 kerusi Parlimen.

"Najib menang kerana pembahagian kawasan pilihan raya yang tidak seimbang dan bukannya kerana polisi memerangi rasuah atau reformasi ekonomi kerana pengundi-pengundi merasa beliau tidak ikhlas," Reuters memetik Ooi Kee Beng, timbalan pengarah Institute of Southeast Asian Studies yang berpangkalan di Singapura.

Dengan latar belakang sedemikian, keputusan pilihan raya itu akan mengakibatkan krisis legitimasi atau keabsahan yang berpanjangan kepada Najib dan pemerintahan BN yang telah berlarutan begitu lama.

Najib Pm yang pembohong dan kaki temberang, mana 8 janji PM kepada rakyat Kelantan

Aslani M, 29 Mei 2013
KOTA BHARU: Pada 15 Mac lalu ketika berkempen di sini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji membina lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu.
Sehingga sekarang akujanji itu disenyapkan begitu sahaja. Namun apa yang dibina hanya jalan raya separuh siap di Kampung Berdang di Jeli, difahamkan melibatkan kos lebih RM70 juta.

Jalan terbabit dirancang dibina sehingga ke penempatan Orang Asal di Kampung Rual, namun terhenti di puncak sebuah bukit.

Berbeza pula berbanding mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Abdullah pernah mengeluarkan tender bagi membina lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai pada Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010).

Malangnya peruntukan bagi projek itu ditarik balik selepas Abdullah berundur.

Sama juga dengan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila pernah memasukkan cadangan membina lebuh raya terbabit pada RMK6 (1986-1990).

Oleh itu sejak 1986 sehingga sekarang berpuluh janji dilafazkan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membina lebuh raya di Kelantan, namun sehingga sekarang habuk pun tiada.

Setiausaha Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (R), Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, berdasar sejarah yang berlaku di Kelantan, kerajaan BN mengenepikan langsung semangat federalisme.

“Jika betul Umno dan BN mahu membina lebuh raya di Kelantan sepatutnya sejak 1986 lagi mereka telah buat.

“Lagi pun 96 peratus penduduk Kelantan ialah Melayu Islam. Di manakah perjuangan Melayu Umno? Apa yang jelas mereka menganaktirikan Melayu Kelantan,” katanya di sini.

Bagaimanapun beliau melahirkan rasa syukur janji kerajaan negeri untuk membina lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai pada 2012 menjadi kenyataan kerana kerja-kerja pembinaan sedang dilaksanakan sekarang.

Menurutnya, pembinaan lebuh raya tanpa tol pertama di Malaysia bernilai RM1.8 bilion menjadi inspirasi rakyat Kelantan.

Umno tidak terbabit/terlibat dalam pertahankan akidah Natrah

http://wasukalu.blogspot.com, 29 Mei 2013
Orang-orang Melayu dari UMNO didapati tidak bersama rakyat berbangsa Melayu dalam mempertahankan akidah Natrah, walaupun parti perkauman Melayu itu ditubuhkan sejak 1946.

Sebaliknya, sejarah Natrah menyaksikan rakyat Melayu bersatu atas beberapa pertubuhan berhaluan kiri seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS).

"Waktu isu Natrah berlaku pada tahun 1950, Umno diam membisu, yang ke depan adalah API, KMM (dan) AWAS,"

Dr. Burhanuddin al-Helmi, iaitu salah seorang pemimpin KMM yang kemudiannya menyertai PAS sebagai Presiden Pertama PAS turut dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas hasutan UMNO terhadap pihak British kerana dilihat mengepalai beberapa siri demontrasi dan mogok di Malaya dan Singapura

Dr. Burhanuddin al-Helmi sendiri pernah berdepan dgn Tunku Abdul Rahman secara face to face dalam mencari penyelesaian bagi menyelamatkan Akidah Natrah..

" Hang dengan aku kena turun bersama-sama dengan rakyat bagi mempertahankan akidah anak kecil tu... kalau hang masih dok sembunyi kat belakang British, hang jawablah depan Allah di Padang Mahsyar nanti... bagi aku hang ni cuma takat jadi tukang sarung sepatu Inggeris ja.. Hina sungguh orang macam hang ni..." - ujar Dr. Burhanuddin al- Helmy..

18 org muslim mati syahid ditembak oleh askar Ingeris yg berbangsa melayu ketika kes perhimpunan menyelamatkan akidah Natrah...

"Yang ditahan adalah Dr. Burhanuddin al-Helmi yang ditahan oleh penjajah (dan) pemimpin Umno tidak ada yang ke depan. kerana UMNO adalah Anjing perlihartaan British...

"Maka, (dakwaan Muhyiddin) itu mitos dan kata orang Melayu bersatu bersama UMNO juga adalah tidak berasas sama sekali," - TEUKU ZACHARYAH BIN TEUKU NYAK KHAIRY ISKANDAR..

Sedikit maklumat tambahan tentang Natrah

Natrah (kiri) bersama Rokayah ketika melawat keluarga angkatnya
pada tahun 1997 di Kampung Mak Chili Paya, Kemaman, Terengganu

Natrah menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.

Natrah ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam dan bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Namun undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin dan Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di Singapura sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.

Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.

Natrah meninggal dunia pada 9 Julai 2009 pada umur 72 tahun di Huijbergen, Belanda.

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.
 
Add a comment