Isnin, 29 Oktober 2012

Abim bantah TV3 tayang ‘My Name Is Khan’




Abim bantah TV3 tayang ‘My Name Is Khan’

Harakahdaily, 28 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) membantah sekeras-kerasnya penayangan filem ‘My Name Is Khan’ di TV3 pada Hari Raya Aidil Adha yang kedua.
Naib Presiden Abim, Ahmad Saparudin Yusup berkata, filem yang membawa mesej yang mengelirukan jelas tidak wajar ditayangkan oleh sebuah stesen televisyen utama Malaysia.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau mengenai perkara itu.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) membantah sekeras-kerasnya penayangan filem ‘My Name Is Khan’ di TV3 pada Hari Raya Aidil Adha yang kedua. Filem yang membawa mesej yang mengelirukan jelas tidak wajar ditayangkan oleh sebuah stesen televisyen utama Malaysia.

Watak utamanya dibawa oleh Shah Rukh Khan (Datuk) jelas menjengkelkan. Aksi beliau dalam cerita itu membayangkan tahap kefahaman pengarah, penulis skrip, dan pelakon mengenai Islam begitu memalukan.

Sebagai contoh, adegan hero yang berkahwin dengan heroin (dalam filem ini) yang beragama Hindu jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Menerima dan mencampur aduk cara penyembahan agama lain dengan Islam sebagai agama adalah sama jelas bercanggah dengan prinsip Islam.

Selain dari itu memberi zakat kepada mereka yang tidak beragama Islam juga adalah mengelirukan. Zakat hanya dibenarkan untuk asnaf yang tertentu dan tidak boleh diberikan sesuka hati.

Penerbit filem ini jelas cuba menjawab persoalan ‘Islamophobia’ yang melanda Barat, tanpa memahami ajaran Islam dengan mendalam serta menghayati pokok pangkal permasalahan ini mengheret wajah Islam ke dalam kancah yang memalukan. Ia secara jelas membawa mesej ‘Islam Liberal’.

Faham Islam Liberal ini pekat dengan rasa apologetik dan menenggelamkan sumber asas dan mengenepikan pandangan ulama muktabar. Begitu juga dengan nilai yang cuba disejajarkan dengan selera Barat yang menyisih intipati ajaran Islam itu sendiri.

Selain dari faham Islam Liberal itu, menyamakan kebaikan di sisi Islam dan agama lain adalah satu daripada teras aliran ‘pluralisme agama’. Mesej ini juga terkandung dalam filem ini.

Segala faham ini perlu diperhatikan secara dekat kerana ia boleh memesongkan fikiran umat Islam dan juga bukan islam dalam memahami ajaran Islam yang sewajarnya.
Faktor penayangan yang dibuat tatkala umat Islam menyambut hari Idil Adha juga menimbulkan persoalan ke mana hilangnya keprihatinan dan tanggungjawab pihak media dalam bahan siaran mereka.

Oleh itu Abim mendesak agar penayangan filem ini dihentikan pada masa akan datang. Abim juga mengingatkan kepada stesyen penyiaran di negara ini agar lebih peka dan sensetif terhadap bahan kandungan dan masa penyiaran bagi mengelakkan kontroversi di dalam masyarakat. Abim juga menggesa agar pengedaran CD filem ini dihalang serta merta.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan