KORBAN AIDILADHA Raya
Aidiada tahun ini tidak ada berita pelik kendengaran seperti lembu
yang hendak dikorbankan terlucut atau putus tali, orang yang hendak
rebahkan lembu kena tanduk sampai sampai terburai tali perut dan
sebagainya, tidak kedengaran dan dilaporkan. Di Kelantan semua cerita
berkisar kepada masalah jam dan terperangkap dalam 'hutan cerang' di
Pahang. Bukalah
Fb atau blog peribadi cerita itu akan menghiasi
wall-wall Fb.
Nada yang diluahkan nada kesal dan marah, geram dan hairan. Hanya
mereka yang membenci Kelantan dan suka melihat rakyat Kelantan terus
bergelut dengan ketidakadilan saja, melihat segala itu dengan senyum
sinis dan di dalam hati berkata, padan muka, padan muka.
|
Sebahagian kereta yang berpatah balik dari Padang Tengku ke Lipis. |
Iya saya juga tidak terkecuali akan membuat sedikit catatan berhubung
masalah sama. Semalam lagi saya nak bercerita tetapi kerana keletihan
yang pelik, campur dengan selesema saya tangguhkan hingga pagi ini.
Kesian blog saya tidak ada pengeposan baru sejak 25 Oktober lepas!
Maaflah kepada para penjengok semua kerana mengecewakan anda.
Cerita
kesesakan jalan raya dan masa diambil berbelas-belas jam untuk sampai
ke kampung halaman di musim perayaan sudah menjadi cerita tradisi.
Setiap kali raya kejadian ini sudah tidak dapat dielakkan. Bezanya sama
ada jam itu 'gila' atau jam 'tolol' saja, jam tetap jam. Jam gila
bermakna jam luar biasa, jam tolol adalah jam biasa. Rasanya semua
sudah tahu kenapa sebab musababnya berlaku demikian.
Sebenarnya kesesakan semasa raya bukan saja berlaku di Kelantan, tetapi
ia berlaku juga di negeri-negeri lain. Bila banyak kereta masuk -
pulang ke kampung, maka berlakulah kesesakan jalan raya. Dua faktor
utama, kenapa berlaku demikian, pertama jalan-jalan di kampung sempit,
kedua kerana tiada pengawal lalu lintas. Tambah pula dengan adanya
seeekor dua pemandu yang mabuk todi dan telan pil kuda belang. Selalu
kemalangan dalam suasana begini berlaku disebabkan ada dua jenis
pemandu ini.
Faktor pertama, jalan sempit bagaimana pun
merupakan masalah utama. Apabila dirujuk kepada masalah berlaku di
Kelantan, dan memang Kelantan mengalami masalah ini sudah sampai ke
tahap kritikal, ialah kerana tidak ada lebuh raya, ataupun rata-rata
jalan di Kelantan masih bersaiz lama, baik sedikit semasa zaman Jepun.
Jarang jalan ada empat lorong, kebanyakan hanya dua lorong sahaja.
Sebelum
saya menyebut Kelantan, apa juga yang perlu difahamkan kesesakan yang
dialami rakyat Kelantan untuk pulang ke ngeri mereka bukan seratus
peratus disebabkan jalan raya di negeri itu. Tetapi ia bermula di
negeri Pahang lagi. Jalan menghubungkan Kelantan melalui Pahang, Raub,
Kuala Lipis dan Merampuh sebenarnya menyumbangkan kesesakan kepada
pengguna di Kelantan. Adalah tidak benar kalau bersoal jawab mengenai
kesesakan jalan raya di musim raya, disalahkan kepada jalan sempit di
Kelantan. Rasanya tanggapan begitu lebih kepada elemen politik?
Jalan dari Raub hingga ke Kuala Lipis elok dan lebar tetapi mulai di
Padang Tengku ke Merapuh untuk masuk ke Gua Musang jalan sempit dan
kurang sempurna. Jalan inilah yang menyumbangkan kesesakan apabila
pergerakan yang lancar dari Raub hingga Lipis tiba-tiba 'bersumbat' di
Padang Tengku. Aliran trafik akan menjadi perlahan lagi apabila sampai
di Kecau hinggalah ke Bukit Tujuh.
Di sinilah kalau berlaku
sedikit saja kemalangan dan sebelah jalan ditutup, maka akan berlaku
kesumbatan dan jam gila. Ertinya kalau mahu melancarkan pergerakan ke
Kelantan jalan-jalan ini dulu, bermula dari Padang Tengku sampai ke
Merapuh hendak diperbesarkan. Jalan di sepanjang naik turun Bukit Tujuh
sudah pasti kena disempurnakan lengkap dengan jaminan keselamatan.
Statistik maut yang berlaku di sini sudah sampai masanya untuk diambil
tindakan bukan dijadikan maklumat semata-mata.
Kini sebahagian
jalan-jalan itu iaini di sebelah depan Bukit Tujuh (dari Kuala Lumpur)
sedang dalam pembinaan. Apabila jalan itu siap kesesakan akan
berkurangan, bagaimana pun kesesakan tetap juga akan berlaku selagi
jalan dari Padang Tungku ke Bukit Tujuh tidak dibina.
Sementara
di Kelantan, jalan dari Gua Musang ke Kuala Krai tidak ada masalah.
Walaupun jalan itu bukan bertaraf lebuh raya tetapi keadaan jalannya
yang lurus boleh mengalirkan trafik dengan baik. Kesumbatan hanya
bermula di Kuala Krai untuk menuju ke Kota Bharu. Kesesakan juga boleh
dielak sekiranya ada arahan kepada pengguna supaya mengambil jalan
alternatif misalnya dari Gua Musang menerusi Jeribung untuk ke Jeli
bagi mereka yang ingin pulang ke Rantau Panjang, Tanah Merah, Pasir Mas
dan Tumpat.
Begitu pun permasalahan ini sudah pun dikenali
pasti oleh JKR dan pihak berkuasa kerajaan baik tempatan dan negeri.
Mereka lebih arif dan pakar. Jadi saya tidak perlu menghuraikan
berhubung perkara itu. Tidak ada guna mengajak itik yang sudah pandai
berenang.
Apa yang hendak disebut
ialah mengenai keperluan Lebuh Raya Kuala Krai ke Kota Bharu.
Sepatutnya sudah lama lebuh raya menghubungkan dua bandar ini wujud.
Bukan hari ini tetapi sejak tahun 70-an lagi. Tetapi malang kerana
sikap dan sifat orang politik di Kelantan yang kurang bijak dan
terlebih emosi menyebabkan lebuh raya berkenaan tidak wujud sampai ke
hari ini. Kalau ada lebuh raya di sini kesesakan teruk di sepajang
jalan Kuala Krai - Kota Bharu tidak akan berlaku. Bila
menyebut ini saya hairan, mungkin orang lain juga hairan kenapa tidak
bina lebuh raya berkenaan. Sekali lagi saya tidak mahu bercakap soal
ini. Bagi saya ketiadaan lebuh raya ini bukan kerana apa melainkan
kerana 'dedel'nya orang politik Kelantan baik Umno maupun Pas.
Menghairankan saya mereka tidak boleh bersatu demi untuk kebaikan rakyat
Kelantan. Mereka sanggup 'bercekah belah' untuk mendapat kuasa
masing-masing. Keadaan ini ditambah juga oleh anak-anak Kelantan yang
memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.
Mereka semua bijak,
pandai dan hebat tetapi sayang mereka - pegawai kerajaan asal Kelantan
yang ada disemua jabatan, kementerian dan agensi kerajaan tidak mampu
mempengaruhi keputusan kerajaan (politik). Mereka, pegawai tinggi
kerajaan Kelantan tidak ada sifat penakluk. Seharusnya dengan kedudukan
mereka, mereka boleh mempengaruhi keputusan kerajaan untuk membawa
sesuatu kepada negeri mereka, membantu adik kakak mereka, seperti lebih
raya berkenaan.
Maksud mempengaruhi kerajaan ini bukan saja
kerajaan Federal, kerajaan Kelantan juga. Mereka boleh memainkan
peranan untuk memujuk atau memberi pandangan agar kerajaan Kelantan
berbaik dengan kerajaan Federal demi rakyat.
Kalau
selama ini kita bangga anak Kelantan ramai yang memegang jawatan
tinggi di Federal, tetapi dengan apa yang berlaku kita tidak perlu
merasa apa-apa keuntungan dengan kehadiran mereka. Mereka hanyalah enau
dalam belukar saja. Mereka hanya menyenangkan diri mereka sendiri
tetapi lupa untuk berbakti kepada negeri sendiri. Sikap pegawai tinggi
seperti ini bolehlah dianggap sebagai si Tengang yang tidak membawa
apa-apa kelabaan kepada negeri sendiri. Ada yang baru
menerjunkan diri dalam politik dan berjanji untuk membela rakyat
selepas pencen. Selepas tidak memegang apa-apa kuasa. Sebenarnya orang
pencen yang ingin memberi sumbangan kepada rakyat menerusi jawatan
politik adalah orang pondan.
Saya tidak mahu memanjang soal
lebuh raya dan sikap orang Kelantan yang cerdik tetapi tidak boleh
ditumpangi atau pondan itu. Soal lebuh raya Kuala Krai - Kota Bharu
sudah muak untuk diperkatakan. Umno sendiri sudah pun merancang untuk
membinanya, tetapi ditarik balik. Siapa menarik balik, sekali lagi
orang politik Kelantan tidak bersifat penakluk dan bijak merubah
keputusan pimpinan pusat. Kalau saya jadi mereka saya telah meletakkan
jawatan secara terhormat.
Hari ini kerajaan Kelantan mencang
untuk membina lebuh raya berkenaan. Apa yang hendak dilakukan kerajaan
Kelantan, hanya boleh didengar dan menyeronokkan diri saja, ia tidak
mungkin menjadi kenyataan dalam masa terdekat. Saya berani memberi
jaminan kalau pembinaan itu mengharapkan kepada wang kerajaan atau
pulangan royalti petroleum ia tidak akan menjadi kenyataan. LRRK itu
hanya bagaikan mimpi di siang hari saja. Selagi kerajaan Federal tidak
tumbang wang minyak tidak akan mengalir ke Kelantan. Tambah rewel lagi
khabarnya bukan semua orang dalam Pas menyokong projek lebuh raya
rakyat itu? Exco Kelantan juga berbelah bagi dengan projek raksasa
berkenaan?
Atas apa yang berlaku baik di kalangan Umno dan juga Pas termasuk juga penjawat awam asal Kelantan dalam soal lebih raya itu, marilah kita katakan CIS. Keperitan dalam kesesakan
Apa yang sebenar saya ingin berkongsi cerita disini ialah mengenai
kesesakan jalan raya yang memerangkapkan ribuan orang di Jalan Sungai
Koyan, Bukit Bentung dan Cegal Perah. Saya kebetulan ikut sama
terperangkap dalam kejadian yang tidak patut berlaku ini. Kejadian ini
sesuatu yang menyeksakan dan patut diambil iktibar oleh semua pihak
khasnya pasukan keselamatan dan penyelamat terutamanya polis demi
mengelakkan kecelakaan di masa akan datang.
Mungkin kejadian
itu tidak meninggalkan apa-apa kesan memilukan. Dan ia akan dilupakan
begitu saja. Kerana betapa lima jam berada di tengah hutan cerang itu
di tengah malam buta tetapi yang nyata semuanya sampai ke rumah dengan
selamat walaupun lewat berberapa jam. Sudah menjadi kebiasaan manusia
apabila mereka lepas dari keadaan susah, dapat berjumpa sanak saudara
duduk makan sehidangan mereka tidak ingat lagi akan keperitan masa
lalu. Kecelakaan dan kesusahan dalam hidup kita umpama jerat dengan
pelanduk.
Bagaimana pun pihak polis tidak seharus memandang
enteng perkara ini. Polis kena ambil perhatian dan dijadikan iktibar
penting buat mereka dalam mencemerlangkan perkhidmatan mereka.
Bayangkan apa akan terjadi sekiranya keadaan itu mendatangkan
kecelakaan? Saya membayangkan ini bukan saja-saja untuk menyalahkan
polis. Sebagai orang yang berada sendiri di kawasan itu dapat merasakan
atau membayangkan kemungkinan itu.
Apa yang orang di luar
tidak tahu bagaimana susana dalam kesesakan itu dan kenapa kesesakan di
hutan cerang itu berlaku. Kesesakan berlaku apabila kenderaan sukar
melalui jalan berliku-liku sebaik meninggalkan Bukit Bentung. Jalan
sempit hanya memuatkan sebuah kenderaan sahaja. Nasib baik tidak
berlalu perselisihan, cuma dua kali saja. Kiri kanan jalan curam dengan
gaung. Jalan walaupun ditar tetapi lebih 60% sudah terkopek dan
berlubang. Kereta rendah akan tersangkut dan terdorong.
Sampai
di pertengah jalan, berlaku kesesakan menyebabkan kereta berbaris
panjang. Dianggarkan lebih 500 buah kereta tersangkut. Ini berlaku
kerana ratusan kereta dihadapan terpaksa berinsut-insut perlahan untuk
menaiki bukit yang tinggi berselut disebabkan hujan pada petang tadi.
Mana-mana kereta yang rendah ada yang terperosok ke dalam selut dan
terpaksa ditolak beramai-ramai.
Kereta besar yang tidak berdaya mendaki bukit pula akan dibantu dengan
jentera penarik ditarik satu-satu. Bunyi deruman enjin
jentera penarik menakutkan
saya, membayangkan bagaimana kereta saya akan ditarik macam menarik
bangkai gajah. Saya membayangkan macam mana kalau ada yang 'terbolah'
dalam mengenderaikan kenderaan tentu akan terbolong ke dalam gaung.
Mungkin jauh daripada perasaan orang lain saya membayangkan macam mana
akan berlaku kalau tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Saya
membayangkan pasti akan berlaku banjir kilat. Sebatang anak sungai yang
dilalui di atas jambatan kayu kira-kira 2 km dari belakang tadi,
airnya sudah hampir melimpah ke tebing. Gayat hati semasa melintas
jambatan kayu yang sudah uzur 'muzur' itu. Mungkin kalau hujan lebat
turun tak henti-henti selama dua jam akan berlaku banjir.
Inilah yang menggeritkan menyebabkan jiwa saya panas dan marah. Kalau
berlaku bencana itu saya tidak dapat hendak bayangkan bagaimana nasib
ribuan nyawa atas kereta yang terperangkap itu. Bukan sayangkan kereta
akan tenggealm tetapi manusia, penumpang. Rata-rata dalam ribuan kereta
terperangkap itu terdiri dari kanak-kanak dan orang tua. Salah seorang
yang berada dalam kereta yang teperangkap kesesakan gila itu ialah
cucunda saya, Muhamamd Khalid Ummar 10 bulan.
Kalau berlaku
banjir ke mana hendak menyelamatkan diri. Bongok mana nak rukas. Kiri
kanan saya nampak ada parit atau paya besar. Tentu keadaan menjadi
kelam kabut dalam suasana gelap pekat begitu. Bayangan inilah
menyebabkan saya naik angin dan merasakan polis cuai dan malas dalam
menjalankan tugasnya.
Di awal sebelum hendak melencong ke
Sungai Koyan lagi sebaik melihat kereta berjujutan menghala ke Padang
Tengku saya sudah menghubungi polis untuk mengetahui apa yang berlaku
dan menentukan apakah jalan Sungai Koyan untuk keluar ke Cegal Perah
selamat. Malangnya anggota polis yang menjawab pihaknya tidak menerima
apa-apa maklumat mengenai kesesakan jalan dan tidak pasti apa yang
berlaku. Jawaban itu sungguh mengharainkan saya.
Kerana
mempercayai maklumat tidak sahih dari orang ramai menyebabkan saya ikut
melencong ke Sungai Koyan, Bukit Bentung dan keluar di Cegal Perah.
Semasa kira-kira lima jam terperangkap dalam hutan cerang Felda Cegal
Perah itu, saya menghubungi balai polis Kuala Lipis sekali lagi, jam
9:50 malam. Jawaban diterima sama dengan panggilan jam 6:00 petang
tadi. Saya bertanya kepada anggota itu apakah pihak polis tahu apa yang
berlaku di hutan Cegal Perah sekarang ini, dimana ribuan kereta
terperangkap dalam kesesakan? Jawabannya belum terima apa-apa aduan.
Saya mencadangkan kepada anggota itu supaya membuat kawalan di jalan
masuk simpang Sungai Koyan. Minta diarahkan kereta berpaling balik ke
Raub atau Kuala Lumpur. Cadangan itu dibuat atas kepercayaan bahawa
Bukit Tujuh tidak dapat dilalui. Saya juga meminta agar polis menghantar
anggota trafik untuk meninjau keadaan keselamatan jalan di Cegal Perah
yang melalui bukit tinggi berselut dan licin. Saya minta sangat-sangat
kerana bimbang dengan situasi pada masa itu. Ketika itu sudah
kedengaran anak-anak kecil menangis kerimasan di depan dan di belakang.
Sampai akhir saya tidak nampak kelibat wajah polis mengawal kesesakan
itu atau meninjau keadaan. Inilah mengecewakan saya. Cuma semasa
menghampir bukit licin baru saya nampak ada anggota berpakian baju
celoreng merah, saya tidak pasti dari jabatan mana sedang mengawal lalu
lintas membuat lampaian tangan mengarahkan pemandu masing-masing
memandau dengan cermat dan hati-hati agak tidak tercongik ke dalam
gaung.
Kira-kira jam 12:40 tengah malam apabila saya bersama
isteri serta anak-anak dan cucu dan seorang sahabat dan ribuan yang
lain keluar dari hutan cerang itu untuk menaiki ke jalan asal menuju ke
Gua Musang baru hati tertasa lega dan nyawa dapat ditarik dengan
tenang. Namun... tatakala melihat jujutan kereta yang baru turun dari
Bukit Tujuh dan bertembung dengan kampi di simpang jalan, hati yang
panas kepada polis membara semula.
Rupa-rupa jalan di Bukit
Tujuh yang diremuors dengan berbagai dongengan, jambatan runtuh, tanah
runtuh dan sebagainya....kemudian ditutup tidak benar belaka. Saya
merasalkan diri macam Pak Pandir saja kerana berjalan tanpa ada
maklumat lengkap.
Yang bagharal
di dalam hal ini adalah polis, polis Kuala Lipis kerana tidak
membekalkan maklumat yang sempurna untuk pengguna jalan raya. Saya
mohonkan agar Balai Polis Lipis khasnya unit trafik dapat membuat
penjelasan bagi menyejukkan perasaan marah. Bertanggungjawablah! [wm.kl.12:15 t/hari 29/10/12] - http://msomelayu.blogspot.com/
# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info
yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak
mewakili Harakahdaily.