Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang mengetuai kempen propaganda BN untuk kawalan kerosakan atau damage control - untuk mengurangkan ketidaksehaluan dalam penyahkendalian perhimpunan "duduk-bantah" Bersih 3.0 di Dataran Merdeka yang menuntut pilihan raya yang bebas dan adil - dengan tohmahan melulu bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 merupakan percubaan untuk menggulingkan kerajaan BN.

Hakikatnya, perhimpunan BERSIH 3.0 adalah kesedaran dan kebangkitan, keberdayaan dan kesepakatan antara rakyat Malaysia yang menjangkau kaum, agama, kelas, kawasan, jantina atau pun umur untuk menunjukkan cinta kepada negara yang menitikberat keperluan pilihanraya yang bersih, untuk Malaysia yang bersih.

Setiap hari berlalu, apa yang tidak boleh dinafikan BERSIH 3.0 suatu malapetaka dalam perhubungan awam Najib dan imejnya sebagai "reformis" dan "transformis".

Suhakam menyatakan bahawa berlaku"penindasan dan perlakuan sebarangan". Pihak polis menggunakan "kekerasan dan kuasa secara tidak wajar terhadap peserta perhimpunan serta rakan media" dalam perhimpunan BERSIH 3.0 - "kelakuan yang tidak boleh diterima".

Sementara Majlis Peguam menyatakan bahawa keganasan polis yang disaksikan semasa BERSIH 3.0 lebih buruk jika dibandingkan dengan kejadian dalam perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai tahun lepas.

Sebelum ini, Suhakam mengumumkan penemuan mereka bahawa pihak polis mencabuli hak asasi manusia apabila menembak gas pemedih mata ke perkarangan kawasan kemudahan awam seperti Hospital Tung Shin, hospital bersalin Cina dan dan Stesen KL Sentral yang menyebabkan keselamatan orang awam tergugat.

Wajarkah wujud kesangsian terhadap hasil penyiasatan awam yang kredibel dalam pencabulan hak asasi manusia dan dengan keganasan pihak polis menggunakan kuasa tidak wajar dan keterlaluan sama ada berbentuk tembakan gas pemedih mata, semburan air bercampur bahan kimia, brutaliti polis dan keganasan terhadap peserta yang berhimpun secara aman, termasuklah wakil media?

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, beliau mahukan keadilan diberikan kepada semua pihak terlibat, termasuklah ahli media dan anggota polis yang tercedera.

Saya bersetuju dengan ketua polis negara yang berkata "hanya kerana beberapa yang berkelakuan seperti samseng, tidak bermakna kesemua anggota polis berperangai sebegitu".

Ini satu sebab mengapa penyiasatan penuh yang kredibel diperlukan untuk menegakkan keadilan bagi semua peserta BERSIH 3.0 yang menjadi mangsa keganasan - sama ada pihak polis, wakil media atau peserta sendiri.

Saya juga bersetuju bahawa pihak polis bertindak dengan terkawal dan profesional sehingga kira-kira pukul 3 petang pada Sabtu lepas atau setengah jam selepas pengumuman penganjur BERSIH 3.0 bahawa perhimpunan tamat dan peserta diminta bersurai.

Selepas jam 3 petang, kelihatan benteng pengawalan dan sikap profesionalisme pihak polis roboh dan keganasan polis bermula.

Lapan persoalan yang wajib dijawab melalui penyiasatan penuh dan kredibel dalam keganasan BERSIH 3.0 atau "428":

(1) Mengapa keganasan dan kekerasan polis wujud sama ada dengan menembak gas pemedih mata, penyemburan air dengan bahan kimia atau keganasan fizikal dan brutaliti terhadap perserta perhimpunan aman selepas jam 3 petang, yang berlanjutan untuk tempoh 5 jam pada hari itu?

(2) Bagi yang telah menembusi sekatan yang didirikan, mengapa pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap kumpulan itu sahaja tetapi menghukum kesemua peserta yang lain yang berhimpun secara aman dan yang ingin bersurai secara aman?

(3) Mengapa ada beberapa kakitangan polis yang tiada nombor pengenalan ataupun tag nama pengenalan?

(4) Mengapa wakil media dan wakil akhbar disasarkan dan diserang oleh pihak polis dengan rampasan kad memori kamera mereka dan pemecahan kamera mereka?

(5) Mengapa beberapa stesen LRT diarahkan untuk ditutup selepas gas pemedih mata dan air yang dicampur bahan kimia mula ditembak? Adakah ini hasrat pihak polis untuk "mengepung" para peserta atau "memberi pengajaran" kepada mereka?

(6) Adakah benar transmisi sengaja disekat supaya apa-apa komunikasi dihalang yang akan menyebabkan lebih kekeliruan dalam keadaan yang sudah pun tegang dan genting pada masa itu?

(7) Siapa dari pihak polis atau dari Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab memberi kebenaran atau lampu hijau supaya berlaku pencabulan hak asasi manusia dan tidak menghiraukan prinsip dan garis panduan penggunanan kekerasan dan senjata api oleh kakitangan polis?

(8) Persoalan sama ada masa sudah sampai bagi pengimplimentasian penuh cadangan Suruhanjaya Siasatan DiRaja Polis Dzaiddin untuk membentuk perkhidmatan polis yang bertaraf dunia yang efisien, profesional dan tidak berasuah - yang memfokus kepada tiga fungsi utama untuk mencegah jenayah dan memastikan kadar jenayah sentiasa rendah, membasmi korupsi dan menegakkan keadilan hak asasi manusia - dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Keganasan dan Penyalahgunaan Kuasa Pihak Polis?

Berdasarkan jadual waktu sesi parlimen, sesi berikut dijangka akan bersidang untuk 12 hari dari 11 Jun sehingga 28 Jun, sementara bajet Parlimen 2013 dijangka bermula pada 24 September dan akan berlangsung untuk tempoh 34 hari sehingga 27 November. Hari pengumuman belanjawan akan dilakukan pada hari Jumaat, 28 September 2012.

Najib perlu memberi kata putus dalam beberapa hari ini sama ada pilihan raya umum akan berlangsung pada bulan Jun atau pada tarikh yang lebih lambat.

LIM KIT SIANG ketua anggota parlimen DAP.
|