Khamis, 20 Februari 2014

Gugurnya Lt Adnan Saidi pada 14 Feb

Memperingati Tanggal 14 Februari

Salam…
14 Februari memang terkenal sebagai tarikh sambutan Hari Kekasih (Valentine’s Day). Bukan saja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia menyambutnya.. Dianggarkan semua jenis bunga termasuk bunga tahi ayam dan bunga kobis dijadikan korban sempena menunjukkan bukti cinta sang kekasih.
Tapi bukanlah Ustaz Love nak bincangkan isu Hari Kekasih ke, Hari Suami Isteri ke dsb, jauh sekali nak mengucapkan selamat kepada mereka2 yang menyambutnya. Ustaz Love ingin mengajak para pembaca sekalian menyoroti satu peristiwa yang agak penting yang berlaku pada tanggal 14 Februari.

Keberanian Leftenan Adnan Saidi dan rakan yang bertempur bermati-matian adalah episod yang kekal dalam lipatan sejarah tanah air.
“Biar Putih Tulang, Jangan Putih Mata”, itulah kata-kata pembakar dan menyemarakkan lagi semangat juangnya supaya tidak gentar menghadapi Jepun, demi mempertahankan Tanah Melayu sehingga titisan darah terakhir.
Apakah perjuangan dan pengorbanan Leftenan Adnan menggadaikan nyawanya dalam usia 27 berbaloi?
Masih adakah anak bangsa pada hari ini, mahu mengikut jejak langkahnya. Pastinya, jika Leftenan Adnan dapat melihat Malaysia hari ini, Allahyarham pasti tidak menyesal mempertahankan negara dengan darahnya.
Keberanian Leftenan Adnan turut diakui General Yamashita yang dikenali sebagai Harimau Malaya. Beliau mengatakan “Jika terdapat 10 Leftenan Adnan, pasti Malaya tak jatuh ke tangan Jepun”.
Iktibar dan pengajaran boleh peroleh dari kisah keberanian beliau adalah semangat cintakan negara hendaklah dengan sepenuh hati. Jika seluruh perajurit negara dan rakyat Malaysia mempunyai semangat seperti beliau, pastinya negara ini tidak mudah dijajah atau ditewaskan musuh. Rakyat Malaysia akan lebih bertanggungjawab dan tidak sesekali menggadaikan maruah demi kepentingan diri sendiri.
Rakyat Malaysia tidak akan sanggup memperjudikan nasib negara untuk perjuangan yang tidak jelas dan merugikan.
Kepada rakyat Malaysia khususnya generasi muda, mereka perlu didedahkan dengan kekuatan sejarah agar tidak sesekali alpa dengan kemakmuran dikecap.
Mereka harus menjadikan semangat Leftenan Adnan sebagai pemangkin kepada perpaduan dan cintakan negara.
Terima kasih kepada pahlawan dahulu yang berjuang untuk mempertahankan negara.
Sama ada nama mereka tercatat atau tidak dalam lipatan sejarah, jasa mereka pasti tidak akan dipersia-siakan.
Sesukar mana pun pengorbanan mencapai kemerdekaan, lebih sukar lagi tanggungjawab mempertahankan negara.
Pada hari ini tanggal 14 Februari, akan diangkat sebagai tarikh memperingati gugurnya pejuang tanah air, Leftenan Adnan Saidi dan marilah kita hadiah sekalung doa bagi memastikan Malaysia bebas, aman dan merdeka, Al-Fatihah.
Gugurnya pahlawan Melayu di Bukit Chandu
Pertempuran Bukit Chandu (14 Februari 1942) merupakan salah satu pertempuran hebat yang berlaku dalam sejarah Singapura semasa Perang Dunia Kedua.
Pertempuran ini merupakan lanjutan kepada pertempuran Pasir Panjang, yang berlaku sehari sebelumnya. Bukit Chandu dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut dan merupakan garisan pertahanan terakhir Tanah Melayu dari serangan Jepun ketika itu.
Pada 13 Februari 1942, Divisyen Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Leftenan Gen Renya Mutaguchi telah melancarkan serangan ke pesisiran selatan Singapura iaitu Pematang Pasir Panjang.
Lokasi tersebut dibedil dengan mortar dan meriam dengan hebatnya. Kompeni C dan Leftenan Adnan Saidi yang ditempatkan di Perkampungan Pasir Panjang membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi yang dikenali sebagai ‘Celah’ (Gap), telah memberikan tentangan hebat sehingga memaksa Jepun untuk beralah dan berundur, walaupun Pasukan Jepun di bawah Major Kimura mempunyai bilangan anggota yang jauh lebih ramai.
Namun bagi Leftenan Adnan, yang juga cedera parah ketika itu serangan hebat pihak Jepun tidak mampu melunturkan semangatnya.
Leftenan Adnan tewas akhirnya kerana tidak mampu menandingi bilangan Tentera Jepun yang ramai. Bukit Chandu akhirnya ditawan Jepun dan Leftenan Adnan sendiri menemui ajal setelah diikat dan digantung pada pokok, lalu ditikam berkali-kali dengan benet oleh tentera Jepun.
Kematian Leftenan Adnan adalah episod perjuangan anak Melayu berjiwa cekal dan kental mempertahankan tanah air tercinta.
- Adnan Saidi dilahirkan di Sungai Ramal, Kajang Selangor pada 1915
- Anak sulung dalam sebuah keluarga berketurunan Minangkabau
- Adik-adiknya, Ahmad dan Amarullah juga merupakan anggota tentera tetapi Ahmad terbunuh dalam pertempuran selepas dia memasuki angkatan laut pada tahun 1939 apabila kapalnya, HMS Pelanduk, ditenggelamkan Jepun dalam pelayaran ke Australia.
- Amarullah terselamat dari peperangan dan menetap di Kajang, Selangor.
- Pendidikan awal di Pekan Sungei Ramal dalam aliran Inggeris
- Memulakan karier sebagai Guru Pelatih selama 1 tahun sebelum memutuskan untuk menyertai tentera pada 1933 ketika berusia 18 tahun. Beliau merupakan salah seorang daripada 25 anak Melayu pertama yang dipilih untuk menyertai pasukan Askar Melayu dan berjaya menamatkan latihan serta turut terpilih sebagai rekrut terbaik.
- 1936: Dinaikkan pangkat Sarjan dan setahun kemudian Leftenan Adnan Saidi terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI. Tidak lama selepas itu, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Mejar dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus, beliau telah dinaikkan ke pangkat Leftenan Muda dan seterusnya dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni C.
- Berkahwin dengan seorang guru, Sophia Pakih Muda serta dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata, dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin dan seorang anak perempuan yang meninggal tidak lama setelah kejatuhan Singapura.
sumber
p/s: Ustaz Love memang suka baca kisah2 pejuang ni terutama semasa Perang Dunia Kedua (WWII).. tak kira perang di Pasifik ke, kat Europe ke, kat Malaya ke.. lebih menginsafkan kita betapa nikmatnya hidup dalam negara yang aman. Namun, keamanan ini mungkin takkan tercapai jika tiada orang yang sanggup untuk berkorban nyawa suatu masa dulu.
Jadi, hargailah keamanan yang ada. Jangan dirosakkan dengan maksiat hasil tangan2 kita.. kelak, jika ditimpakan bencana oleh Allah, tak kira orang jahat mahupun orang baik, semua akan terkena bahananya.
Al-Fatihah buat Allahyarham Lt. Muda Adnan bin Saidi serta para pejuang Islam yang lain.
WA

Rabu, 12 Februari 2014

Hapus tol, syarikat konsesi untung berganda


1. Rakyat kononnya digembirakan dengan pengumuman tol yang tidak dinaikkan. Tetapi sebenarnya ia berita buruk kerana kerajaan terpaksa menggunakan duit rakyat juga untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi. Ertinya syarikat konsesi tetap untung dan rakyat juga terpaksa menanggung secara tidak langsung. Bukan sahaja syarikat konsesi untung menerusi pampasan tetapi mereka juga telah mendapat untung berganda daripada servis jalan raya yang melibatkan keperluan rakyat.

2. Rakyat berhak menuntut bukan sekadar kadar tol tidak dinaikkan tetapi sebaliknya diturunkan dan seterusnya dihapuskan kerana syarikat konsesi telah mengutip laba berganda yang tidak pernah rugi kerana perniagaan jalan bertol ini.

3. Hal ini kerana perniagaan lebuh raya bertol adalah perniagaan perkhidmatan seperti perkhidmatan telekomunikasi Maxis, Digi, Celcom, Yes4G dan Umobile. Ia mendatangkan profit margin (jurang keuntungan) yang tinggi. Menurut laporan kewangan 2013 Litrak Bhd yang mengendalikan Lebuhraya Damansara - Puchong [LDP] dan SPRINT, profit margin menghampiri 49%. Menurut Maybank Investment Bank Research, KESAS juga mencapai keuntungan pula mencecah 121% secara cumulative annual growth rate atau CAGR dari 2008 hingga 2012.

4. Lebih daripada itu, pertambahan pengguna jalan bertol yang semakin meningkat bererti keuntungan yang sentiasa meningkat dan bertambah tanpa risiko kerugian.

6. Jika sebelum ini rakyat mempunyai alternatif memilih jalan tidak bertol untuk sampai ke destinasi tapi tidak lagi pada hari ini. Lebuh raya bertol bukan satu pilihan mewah untuk rakyat tetapi adalah satu keperluan bagi mengelakkan kesesakan, menjimatkan masa dan kos penggunaan minyak. Malah lebuh raya bertol sendiri pun sesak apatah lagi jalan biasa.

7. Maka bagi satu perniagaan perkhidmatan yang mendapat jumlah pelanggan yang semakin bertambah, bukankah sepatutnya kadar tol semakin dikurangkan?

8. Dalam keadaan rakyat memerlukan lebuh raya bertol, ada pihak yang mengaut keuntungan berganda. Derita rakyat semakin bertambah. Harga minyak bertambah mahal. Lebuh raya pula semakin sesak. Kadar harga tol kekal. Syarikat konsesi pula mendapat pampasan keuntungan kerana tidak menaikkan tol. Duit rakyat terpaksa dibelanjakan untuk pampasan.

9. Atas alasan-alasan tersebut, maka memberi pampasan kerana tidak menaikkan tol hanyalah bertujuan untuk mengkayakan golongan tertentu secara melampau atas derita keperluan rakyat. Tol sepatutnya dihapuskan setelah syarikat konsesi mendapat keuntungan berganda daripada perniagaannya.

10. Perjanjian konsesi membolehkan syarikat memohon kenaikan tol tetapi atas sifat kerajaan yang mempunyai saham majoriti dalam syarikat konsesi, kerajaan boleh mengambil alih syarikat konsesi seterusnya membatalkan perjanjian.

11. Apapun, perjanjian konsesi yang tidak adil bagi rakyat ini berpunca daripada kegagalan kerajaan BN memperhalusi perjanjian konsesi sehingga merugikan rakyat. Maka kerajaan BN perlu dipertanggungjawabkan oleh rakyat atas ketidaktelitian ini.

12. Mengimbau sejarah kerajaan Saba' antara nikmat Allah yang dirasai oleh rakyat ialah lebuh raya aman membahagiakan yang menyingkatkan jarak dan masa perjalanan antara Yaman di selatan dan Syam di utara. Allah berfirman:

وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْقُرَى الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا ْقُرَى ظَاهِرَةً وَقَدَّرْنَا فِيهَا السَّيْرَ سِيرُوا فِيهَا لَيَالِيَ وَأَيَّامًا آمِنِينَ

Maksudnya: "Dan Kami jadikan antara mereka (Yaman) dan negeri-negeri yang Kami limpahkan berkat kepadanya (Syam), beberapa negeri yang muncul dan Kami singkatkan antara negeri-negeri itu (jarak-jarak) perjalanan. Berjalanlah kamu di kota-kota itu pada malam hari dan siang hari dengan dengan aman." (Surah Saba' ayat 18)

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Sabtu, 8 Februari 2014

Mengapa saya menyokong 'Rencana Kajang'


1.“Rencana Kajang” adalah sangat rumit untuk diringkaskan namun saya akan cuba membuat penerangan dan kalau baik menjadi pencerahan dan kalau tidak menambah keharuan. (Baca penulisan saya tentang pohonan maaf tidak menulis secara lebih lengkap).

2.Saya sedar dengan pelbagai risiko dikecam, paling tidaknya sebagai ‘apologist’ PKR. Demi misi perjuangan yang disepakati - ‘Menegakkan Kebenaran dan Keadilan serta Meruntuhkan Kebatilan serta Kemungkaran,’ saya teruskan.

3.Berbeza dengan naratif terperinci yang lebih detail yang belum boleh saya terbitkan atas sebab telah saya terangkan dalam penulisan sebelum ini, ringkasan ini hanya mampu menggariskan beberapa nokhtah penting.

4.“Rencana Kajang” (RK) adalah cetusan pemikiran sekumpulan ‘think-tankers’ bagi mendepani cabaran situasi yang kian menekan Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor. Walau saya  tidak sebahagian dari team itu dan rasa ‘terkilan’ tidak dilibatkan bersama ‘mencetuskannya’, saya cuba secara objektif menilainya kini.

5.Ada yang cuba menyifatkan dan membandingkannya dengan ‘precedent’ politik terdahulu seumpama dalam kes perletakkan jawatan seorang Menteri Umno-BN (Ahli Parlimen) untuk bertanding kerusi DUN bagi laluan untuk diangkat menjadi MB.

6.RK tentunya mempunyai perhitungan yang berbeza dan punya kelainan latarbelakang dan tidak perlu mengambil insiden terdahulu sebagai ‘precedent’.

7.Mungkin sebab ada yang membaca tindakan politik ini hanya  dalam ruang-lingkup cakupan “Real Politik” sahaja, maka ada membuat rumusan bahawa ia salah kerana sebab menghabiskan wang rakyat dan merugikan rakyat. Penulis mahu berbeza pandangan.

8.Penulis mahu mengungkapkan RK sebagai satu ‘Forward Defence’ atau satu ‘Pre-Emptive Attack’ dalam bahasa strategi, apabila jelas bacaan politik seluruhnya (terdahulu, terkini dan mendatang) mengisyaratkan satu unjuran (prognosis) yang mengancam dan menggugah keutuhan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

9.Bagi penulis, kemuncak tujuan atau ‘Matlamat Strategik’ RK ialah: Satu pendekatan bagi mempastikan bukan sahaja negeri Selangor dapat ‘Menangkis Serangan’ seterunya bahkan akan terus dilonjakkan menjadi ‘Negeri Pelopor dalam Persekutun Malaysia“ atau “The Leading State of the Federation”.

10.Dari kedudukan Selangor sebagai ‘Iconic State’ atau ‘Negeri Ikon atau Negeri Contoh’, Pakatan terus mahu diberi ‘mandat rakyat’ mengurus Putrajaya sebagaimana Pakatan mentadbir Selangor.

11.Maka kecemerlangan Selangor akan menjadi hujjah dan bukti bahawa Pakatan bersedia untuk kini mengangkat negara pula supaya berada dalam “Liga Negara yang dihormati dan Maju”.

12.Penulis secara ilmiah mahu melihat ‘Rencana Kajang’ ini dari perspektif “Political Islam” dan ‘Siyasah Syar’iah’- (bukan sekadar langkah rencana ‘Real Politik’). Dalam bahasa ‘Fiqhus Siaysah’nya, ia adalah ‘bacaan politik menyeluruh’ (Al-Istikraq) yang lantas menuntut, antara lain, supaya diambil tindakan yang bersifat “Menutup pintu-pintu Kemudharatan” (Sadda Dzari’ah) yang terkadangkali membawa kepada risiko sebaliknya, yakni “ Membuka Pintu-Pintu Kemudharatan (Fathul Dzari’ah)”. Namun ia wajar diharungi bagi kemaslahatan yang lebih besar.

13.Penulis mengandaikan pembaca memahami serta mengikuti bagaimana seteru atau lawan politik telah pun dan terus akan menyerang negeri ini dengan pelbagai kaedah dan penjuru. Pertentangan agama atas isu Kalimah Allah semakin sengit dan api perkauman saja ditiupkan oleh unsur-unsur ekstremis dan pelampau.

14.Mereka tidak segan silu mengheret institusi Sultan meskipun pun semua warga tahu bahawa negara mengamalkan “Raja Berperlembagaan”. Isu-isu yang lain seperti isu migrasi air dan pentadbiran serta tata-kelola juga perlu ditangani secara berkesan supaya tidak dapat dibolosi anasir ‘subversion’. Penulis tidak mengunjur senario yang lebih buruk kerana akan dituduh mengambil mengambil pendeketan ‘Alarmist’ (Gempak) bagi menjustifikasi Rencana Kajang ini.

15.Dalam bahasa mudahnya, RK adalah strategi yang terpaksa diambil bagi sesuatu Kemaslahatan Perjuangan yang disepakati mampu menyampaikan kepada Matlamat Strategik di atas. Laluannya (Maslak) ialah Kajang yang sekaligus merupakan ‘Faktor Kritikal Kejayaan’ atau “Critical Success Factor” (CSF) dalam menjayakan rencana ini.

16.Apakah semudah itu? Tentunya tidak! Risikonya besar dan bukan kepalang. Dalam bahasa Pelaburan.. “Risiko Besar, Pulangan Besar” atau ‘High Risk High Return’. Tidak sukar menjangka bahawa seteru politik Pakatan akan merancang pelbagai ‘strategi’ bagi menggagalkan rencana ini.

17.Maka cakap-cakap tentang kerugian wang rakyat mesti diimbangi dengan ‘laba’ yang lebih lumayan seandainya RK berjaya dilaksanakan. Pulangannya pula melampaui hanya garis ‘kebendaan’ tetapi melepasi tuntutan terhadap ‘Quality of Life’ atau ‘Kualiti Kehidupan’ yang lebih baik dan bermaruah.

18.Seperkara tentang penjelasan isu. Benar perang  ‘Khalid-Azmin’ sudah tidak boleh disorok lagi. Menjustifikasi “Rencana Kajang” sebagai kaedah penyelesaian adalah amat tidak wajar dan mungkin juga tidak tepat. PAS (dan DAP) akan pasti menolak kalau kesemua ini hanyalah untuk memenangkan satu-satu pihak.

19.Dengan kata lain juga PAS akan juga awal-awalnya menolak rencana ini, andainya itu sahaja Kepentingan (Maslahah) yang hendak dicapai atau itu sahaja kemudaratan yang hendak ditangkis kerana tidak setimpal dengan ‘risiko berat’ atau kemudaratnnya (Mafasid) yang bakal diterima bagi menjayakan rencana ini termasuk berlaku krisis pentadbiran.

20.Sebabnya jelas kerana ‘Qawaid Fiqhiyah’ menegaskan “Menolak Kemudaratan adalah lebih awla (penting) dari Mengambil Kepentingan”. Kemudaratan besar yang mahu ditolak adalah ‘Menolak dan ‘Menangkis Serangan’  dari seteru.

21.Namun perlu dipastikan tindakan ini tidak mencetuskan kemudharatan yang lebih besar yakni seumpama berlaku krisis kepimpinan di mana undang-undang tubuh negeri akan digantung.  Kesemua itu mesti digarap dalam satu derap-langkah yag bersepadu.

22.Wajar juga diingatkan bahawa RK harus direalisasikan kerana Kemaslahatan yang hendak dicapai yakni di segi “Matlamat Strategik”, membina ‘Negeri Contoh’ dengan memperkukuhkan gandingan kepimpinan ekonomi Tan Sri Khalid Ibrahim - akumen politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu mewajarkan dan mengharuskan Rencana Kajang ini digerakkan dengan membuka laluan mendepani risiko - “Fathul Dzari’ah. Jangan lupa akan kekuatan pemimpin-pemimpin Pakatan yang lain.

23.Inilah metodologi atau laluan (maslak) pemikiran “Al-Istishraaf Al-Istiqbaly” (Futuristic Thinking – Menerobos Realiti Kedepan) yang sangat dihajati oleh pemikir pemikir “Political Islam”. Ia berlawanan dengan realiti Gerakan Islam yang sentiasa terperangkap dalam jajaran bertindak secara Infi’ali atau “Reaksionari”.

24.Bertindak bagi membangunkan ‘dua kepentingan utama’ yang diijtihadkan oleh Syeikh Tahir bin Ashur yang menghuraikan karya agung ‘Al-Muwafaqat’ karangan Imam al-Shatibi yakni ‘Al-‘Adalah wa Al-Hurriyyah’atau ‘Keadilan dan Kebebasan’ adalah pendekatan "Maqasidiy" yang perlu dipelopori oleh Gerakan Islam Kontemporari. Pakatan Rakyat adalah pengalaman (tajribah) wadah PAS selaku Gerakan Islam dalam Tahaaluf Siyasi atau 'Politik Koalisi'.

25.Mengingatkan bahawa lima Kemestian Utama (Dhorruriyah Al-Khmsah) dalam Maqasid Syar’iyah yakni menjaga Agama, Aqal, Nyawa, Keturunan dan Harta-Benda kini ditambah dengan kepentingan Keadilan dan Kebebasan menjadikan Gerakan Islam lebih komprehensif dan menyeluruh lagi dalam persaingan global ini. Penulis mahukan ini sekaligus digarap dalam agenda RK.

26.Maka tindakan ‘Rencana Kajang’ mesti keluar dari paradigma persaingan ‘kepompong pemikiran lama’ yang mengheret Pakatan kepada ‘Politik Longkang dan Jelek’ (Gutter Politics). Penulis mahukan PAS/Pakatan Rakyat khasnya untuk membawa negara ke arah satu Politik Baru yang lebih ‘Bersih dan Adil’ supaya benar-benar dapat menjayakan ‘Agenda Islah’ (Penambahbaikan) serta mengangkat “Karamah Insaniyyah” (Kemuliaan Manusiawi) yang sebenarnya.

27.Meskipun tidak diminta dan mungkin juga tidak berapa diperkenan pelbagai pihak, namun inilah pandangan penulis yang menjadikan beliau sangat teruja dan sangat bersemangat dengan ‘Rencana Kajang’ ini. Kalau ada yang berpandangan penulis “apologist” kepada rencana PKR atau sesiapa pun, tuduhan itu sangat malang dan meleset.

28.Dalam erti dan maksud itu juga, Penulis dalam Forum”Kajang Move” di Empire Hotel, Subang Jaya, bersama panelis lain termasuk Pengarah Strategik PKR, YB Rafizi dan YB Tony Pua menegaskan bahawa ‘Rencana Kajang adalah Laluan Strategik Pakatan Rakyat Ke Putrajaya’!

29.Maka adalah sangat tepat bagi Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggesa jentera parti bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat, Datuk seri Anwar Ibrahim.

Dr Dzulkefly Ahmad
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat

Waspada apabila usia melebihi 40 tahun

Ramai tidak sedar dalam al-Quran ada menyentuh tentang usia ini. Tentu ada yang sangat penting, perlu diperhatikan dan diambil serius akan perkara ini. Allah swt. berfirman,

حَتَّى إَذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِى أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِى أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِى إِنِّى تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّى مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ

“Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)

Usia 40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.

Doa yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah

Pada ayat yang lain, firman Allah:

أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيْهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيْرُ

Apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan? (al-Fathir: 37)

Menurut Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.

Menurut Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh2.

Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya) Kematangan.

Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:

“Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (riwayat al-Bukhari).
Nabi Muhammad saw. diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga dengan nabi2 yang lain, kecuali Nabi Isa as. dan Nabi Yahya as.

Banyak negara menetapkan untuk menduduki jabatan2 elit seperti ketua negara, disyaratkan bakal calon harus telah berusia 40 tahun. Masyarakat sendiri mengakui prestasi seseorang mantap tatkala orang itu telah berusia 40 tahun. Soekarno menjadi presiden pada usia 44 tahun. Soeharto menjadi presiden pada umur 46 tahun. J.F. Kennedy 44 tahun. Bill Clinton 46 tahun. Paul Keating 47 tahun. Sementara Tony Blair 44 tahun.

Mengapa umur 40 tahun begitu penting.

Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) period, iaitu
1. Kanak-kanak ( sejak lahir hingga akil baligh )
2. Muda atau syabab ( sejak akil baligh hingga 40 tahun )
3. Dewasa ( 40 tahun hingga 60 tahun )
4. Tua atau syaikhukhah ( 60 tahun hingga mati )

Usia 40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh. Kenyataan yang paling menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama. Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.

Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah saw.,

لعَبْدُ الْمُسْلِمُ إِذَا بَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً خَفَّفَ اللهُ تَعَالَى حِسَابَهُ ، وَإِذَا بَلَغَ سِتِّيْنَ سَنَةً رَزَقَهُ اللهُ تَعَالَى الْإِنَابَةَ إِلَيْهِ ، وَإِذَا بَلَغَ سَبْعِيْنَ سَنَةً أَحَبَّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ ، وَإِذَا بَلَغَ ثَمَانِيْنَ سَنَةً ثَبَّتَ اللهُ تَعَالَى حَسَنَاتِهِ وَمَحَا سَيِّئَاتِهِ ، وَإِذَا بَلَغَ تِسْعِيْنَ سَنَةً غَفَرَ اللهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ وَشَفَّعَهُ اللهُ تَعَالَى فِى أَهْلِ بَيْتِهِ ، وَكَتَبَ فِى السَّمَاءِ أَسِيْرَ اللهِ فِى أَرْضِهِ – رواه الإمام أحمد

“Seorang hamba muslim bila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepadaNya. Bila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan bila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi. (riwayat Ahmad)

Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap penghambaan kepada Allah swt. sekaligus konsisten terhadap Islam, maka Allah swt. akan meringankan hisabnya. Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati2 juga. Ibarat waktu, orang yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja. Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dpt mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”

Imam asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahwa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa2 syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syara’ lazim bagiku. Di antara aku dan dia ada Allah.”

Lantas, apa yang harus kita lakukan menginjak usia 40 tahun?
1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.

Jika ada yang mengatakan bahawa: Life began at forty, saya cenderung berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri kepada penciptaNya dengan sebenar-benarnya. Tetapi satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia. Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita jika umur kita tidak panjang.

Maksud sabda Nabi Muhammad S.A.W ,” Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati”.

Ramai manusia tertipu dengan keindahan dunia dan isinya yang bersifat sementara. Sejak Nabi Adam a.s. sehingga kini, kesemuanya telah kembali kepada Allah swt. tidak kira kaya atau miskin, berpangkat atau tidak. Mengingati mati bukan bermakna kita akan gagal di dunia tetapi dengan mengingati mati kita akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Janganlah menunggu sehingga esok untuk membuat persediaan menghadapi kematian, kerana mati boleh datang pada bila-bila masa.

* Sumber dari peribadirasulullah.wordpress.com

Sabtu, 25 Januari 2014

Jumaat, 24 Januari 2014

Cinta Nabi, saranan al-Quran yang ditinggalkan

Dewasa ini ramai yang membicarakan topik ‘Cinta Nabi’. Satu perkembangan baik yang berlaku di kalangan umat Islam. Cuma terkadang, kita tercari-cari metodologi yang tepat bagaimana menyintai Rasulullah SAW. Sehingga kita terlupa al-Quran telah membicarakan soal ini secara jelas dan langsung.

Manhaj Al-Quran

Di dalam surah ali-Imran, Allah Taala telah menyatakan kriteria golongan yang layak bersama dengan Rasulullah SAW;

“Dan berapa banyak Nabi yang berjuang bersama-samanya sejumlah besar pengikut yang bertaqwa. Sifat mereka tidak menjadi lemah dengan ujian yang menimpa mereka di jalan Allah, dan mereka tidak lesu dan tidak pula menyerah kalah. Allah menyintai golongan yang sabar.” (Ali-Imran:146)

Secara jelas Allah menyatakan sifat utama pencinta-pencinta Nabi SAW seperti berikut :

i.Al-Quran telah menggazetkan bahawa golongan yang layak bersama dengan Nabi SAW adalah di kalangan mereka yang sangat sensitif terhadap maruah Islam. Mereka tidak akan membiarkan Nabi SAW berjihad seorang diri, sedangkan mereka duduk sebagai pemerhati. Sebaliknya mereka ada rasa tanggungjawab terhadap cinta Nabi SAW sebagaimana ikrar para sahabat, "Pergilah Engkau SAW bersama Tuhanmu berjuang, sesungguhnya kami bersama-sama denganmu turun berjuang."

ii.Mereka mestilah di kalangan orang-orang yang bertaqwa. Iman mereka dibuktikan dengan gigih berjuang menegakkan agama Allah. Kembali kepada tugas asal manusia sebagai khalifah iaitu ‘Mendirikan Islam, Memelihara Islam dan Mentadbir Dunia Dengan Islam’.

iii.Jatidiri mereka gagah perkasa, kalis tekanan. Apabila mengisytiharkan diri mereka untuk menyertai jihad perjuangan Islam, mereka bersedia berhadapan dengan risiko serta bersungguh-sungguh menongkah arus kejahilan manusia. Manakala golongan yang bacul dan penakut, Nabi SAW tidak sudi mengaku sebagai ummatnya (maksudnya), “Apabila kamu melihat ummatku kecut untuk menyatakan kepada sang zalim “Wahai Si Zalim”. Sesungguhnya diucap selamat tinggal kepada mereka” HR Tabarani.

Bahkan di dalam Ayat 142 sebelumnya, Allah SWT mencabar pendukung-pendukung agama Nabi SAW agar jangan mudah perasan masuk syurga selagi mana tidak berjihad. Ingatan itu disertakan isyarat dari Allah bahawa pencinta-pencinta Nabi SAW mestilah meletakkan misi mati syahid sebagai cita-cita yang tertinggi di dalam ayat 143.

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?” (Ali Imran:142)

“Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).” (Ali Imran:143)

Golongan pencinta Nabi SAW mempunyai daya tahan yang kuat. Sedikit pun tidak menyerahkan kalah berhadapan dengan musuh. Dalam konteks realiti Malaysia sekarang yang ujiannya adalah perang pemikiran, mereka mestilah tidak menyerahkan kepercayaan  mereka kepada ideologi-ideologi lain selain Islam.

Cinta Nabi SAW Gaya Sahabat

Kita perlu kembali meneladani gaya para sahabat menyintai Nabi SAW. Hal ini kerana, mereka merupakan generasi yang diasuh dari air tangan Nabi SAW. Kelebihan tersebut menjadikan mereka merupakan golongan yang paling menyintai Nabi SAW dan yang paling faham terhadap mesej-mesej wahyu dari Baginda SAW.

Seperti yang telah dikisahkan oleh Imam Ibnu ‘Asakir di dalam karyanya Tarikh Dimasyq, bagaimana manifestasi cinta Saidina Bilal Bin Rabbah terhadap Rasulullah SAW adalah dengan jihad. Setelah kewafatan Baginda SAW, Bilal tidak mampu meneruskan tugasnya sebagai juru azan. Apabila disebut sahaja nama kekasihnya Muhammad SAW, suara Bilal tersekat dan menangis. Maka bermulalah riwayat hidup Bilal Bin Rabbah berendam air mata sepanjang berada di Madinah selepas kewafatan Baginda SAW. Untuk menyelesaikan derita kerinduan yang amat menebal, akhirnya Bilal meminta izin Abu Bakar untuk keluar dari Madinah menuju ke Sham bergabung dengan tentera Islam dalam misi membebaskan Baitul Maqdis. Bilal pergi berjuang demi mendapatkan cintanya kepada Rasulullah SAW.

Begitu juga kisah dua kanak-kanak yang amat ghairah menyintai Nabi SAW. Ketika perang Badar, Abdul Rahman Bin ‘Auf ditemui oleh dua orang kanak-kanak yang melapor diri lantas menyuarakan hasrat ingin mencari Abu Jahal yang telah mencaci Nabi SAW. Mereka bertekad sekiranya terserempak dengan Abu Jahal, mereka akan pastikan si bedebah tersebut segera dibunuh. Akhirnya  misi tersebut berjaya dan dipuji oleh Nabi SAW.

Begitu juga cinta Khubaib yang diseksa teruk kerana mempertahankan Islamnya. Sehingga musyrik yang menyeksanya menawarkan pelepasan dari seksaan dengan syarat, Khubaib dapatkan Rasulullah SAW sebagai galang gantinya. Maka Khubaib membenarkan cintanya kepada Nabi SAW dengan penegasannya, “Demi Allah, aku benci bersama bersenang-lenang di dunia dengan keluargaku dan anak-anakku sedangkan Rasulullah SAW ditinggalkan diseksa oleh kamu semua...” al-Bukhari

Di sini kita lihat, cara para sahabat berinteraksi dengan cinta Nabi SAW adalah dengan perlaksanaan. Bukan dengan puji-pujian lisan semata-mata. Lebih dari itu, mereka jadikan jalan jihad sebagai cara menterjemahkan rasa cinta kepada Baginda SAW.

Muhasabah

Berdasarkan potongan ayat al-Quran surah Ali Imran ayat 142 hingga 146, kita perlu meneliti dengan penuh insaf di mana kita. Bahkan kita perlu tanya pada diri kita sepanjang kempen Cinta Nabi SAW, adakah kita telah menjalankan beberapa kempen berikut:

i.Syurga tidak diperoleh semata-mata dengan memuja memuji Nabi SAW sahaja. Sebaliknya syurga hanya boleh dicapai apabila seseorang terlibat dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai aqidah dan syariat.
ii.Umat Nabi SAW mesti bercita-cita untuk mati syahid sebagai tanda benar-benar cinta kepada Nabi SAW. Barulah cita-cita tersebut memotivasi umat Baginda SAW supaya gagah mendepani cabaran mendatang.
iii.Tidak ada guna jika setelah kewafatan Nabi SAW, kita hanya merintih dan mengadu nasib bersedih akan pemergian Baginda SAW sedangkan tugas-tugas Baginda SAW kita tinggalkan. Lihat di dalam al-Quran, Allah menegur umat Islam agar jangan berpaling meninggalkan kerja Nabi SAW setelah kewafatannya. Begitu juga Bilal, bukti rindu dan cinta beliau adalah dengan jihad. Ingat, umat Islam sifatnya membina dan maju. Bukan statik dan mandom.

Sekiranya tidak dijumpai kempen-kempen tersebut sepanjang menyambut program Maulid al-Rasul atau seumpamanya, maka sedarlah bahawasanya kita masih gagal memenuhi piawaian Allah SWT dalam menyintai Rasulullah SAW dalam erti kata yang sebenar. Apakah cukup dengan mengingati tanpa melaksana? Cinta adalah tanggungjawab.

Sayangnya Najib membaiki labu



TIDAK pasti berapa ramai lagi rakyat Malaysia yang percaya tentang apa juga penjelasan Perdana Menteri Najib Razak mengenai apa jua perkara.  Beberapa hari lalu, dengan wajah selamba yang sudah hilang seri dan komersialnya, Najib muncul di perhimpunan bulanan kakitangan Kementerian Kewangan.
      
Bercakap kepada kakitangan kementerian berkenaan seolah-olah bercakap kepada seluruh negara, Najib tidak ketinggalan menyelitkan perihal ejekan dan cemuhan ‘kangkung’ yang diterimanya dari rakyat Malaysia pelbagai lapisan.  Namun, seseorang boleh membayangkan berapa ramai percaya atau yakin dengan penjelasan beliau.
  
Untuk menekankan kononnya beliau sememangnya faham konsep penawaran dan bekalan dalam pengurusan ekonomi makro (ekononi negara), menurut Najib  tujuan beliau (dibaca, menarik dan mengurangkan subsidi; membiarkan kenaikan barangan dan perkhidmatan tanpa apa juga bentuk mekanisme kawalan; membiarkan matawang ringgit berada pada paras terendah di tukaran wang asing akibat simpanan luar yang terlalu berlebihan, iaitu bernilai sembilan bulan import tertahan berbanding tiga bulan import tertahan sebagaimana diamalkan oleh kebanyakan negara termasuk negara kaya dan maju; membiarkan hutang negara menghampiri had dibenarkan undang-undang sehingga pengkadaran kredit antarabangsa mengalami penurunan gred; dan macam-macam lagi), "bukan untuk membebankan rakyat,  tetapi mencapai lonjakan negara maju dan berpendapatan tinggi yang tidak mungkin berjaya tanpa lonjakan ekonomi."

obses perkataan
  
Tidak dapat dinafikan kebanyakan ahli politik Umno terkena penyakit ‘obses perkataan’ apabila menjadi pemimpin dan apatah lagi apabila menduduki jawatan kerajaan.  Perkataan kegemaran Najib ialah ‘transformasi’.  Sikit-sikit transformasi seolah-olah dengan jentik jari eknomi Malaysia boleh menjalani proses perubahan struktur semalaman.
  
Tujuannya sudah tentulah bagi menceritakan kepada rakyat Malaysia dan dunia, dia tahu apa yang dilakukannya dan dia memiliki resepi yang tidak ada pada sesiapapun termasuk pakar ekonomi terulung sekalipun.
  
Kini Najib bercakap tentang ‘lonjakan negara maju dan berpendapatan tinggi’.  Apakah Najib secara serius yakin, Malaysia akan menjadi negara maju dan rakyatnya akan berpendapatan tinggi’ hanya dengan satu ‘lonjakan’?  Apakah usaha menyusun semula struktur ekonomi sesebuah negara seperti melonjakkan diri untuk melangkah longkang?
  
Barangkali filem Hollywood ‘The Transformer’ memberikan inspirasi untuk Najib menggunakan perkataan ‘transformasi’.  Kepada minda Najib jika sebuah robot boleh ditukarkan sekelip mata menjadi sebuah trak gempur, maka perihal sama boleh digunakan untuk meyakinkan rakyat Malaysia.
  
Justeru jika adapun sesuatu yang menyerlah tentang Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ialah betapa beliau gemar mencipta atau memperkenalkan istilah baru yang bunyinya cukup ‘bombastik’ kepada rakyat kampung dan mereka yang kurang faham tentang ekonomi.
  
Kini perkataan ‘lonjakan’ kian menjadi perkataan ‘favourite’ Najib.  Walaupun tidaklah sebombastik ‘transformasi’ namun ia memberikan semacam ‘ummph’ kepada resipi ekonomi di awang-awangan beliau.

bukan sekadar lonjakan
  
Begitupun, setiap pakar ekonomi arif betapa untuk menjadikan sebuah negara miskin atau membangun kepada sebuah negara maju bukanlah boleh dibuat dengan hanya sekadar  lonjakan.  Malah jika terdapat usaha gigih ke arah lonjakan sekalipun, ia akan membawa padah.
  
Contoh paling jelas adalah apabila China ketika dipimpin oleh Mao Zedong (yang tak arif tentang ekonomi) melancarkan kempen ‘Lonjakan Besar Kehadapan’ (The Great Leap Forward) di antara 1958 sehingga 1961 bagi mentransformasikan negara tersebut dari berasaskan ekonomi tani kepada ekonomi berasaskan industri.

Akhirnya bukan sahaja kempen tersebut gagal, ‘lonjakan’ yang cuba dipaksakan oleh Mao ke atas rakyatnya mengakibatkan malapetaka berskala besar dalam apa yang dinamakan sebagai  ‘Great Chinese Famine’ (Kebuluran Besar China) dan mengakibatkan sebanyak di antara 18 hingga 45 juta nyawa rakyat terkorban.

Sejarahwan terkemuka Belanda Frank Dikotter dalam bukunya, Mao’s Great Famine merumuskan Lonjakan Besar Kehadapan China bukan menghasilkan motivasi ekonomi tetapi sebaliknya "memotivasikan satu daripada penyembelihan beramai-ramai manusia terbesar dalam sejarah manusia".
  
Lonjakan tajaan Najib bagi mentransformasikan ekonomi Malaysia belum sampai ke peringkat  sebagaimana dialami dalam The Great Chinese Famine.  Tetapi  dengan kadar inflasi pasca-bajet meningkat pada angka 3.2 peratus Disember lalu (sebagaimana dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan) berbanding 1.2 peratus setahun lalu; kenaikan harga minyak sebanyak 10 peratus; tarif elektrik 15 peratus; pelbagai barangan dan perkhidmatan pelbagai peratus.

Matawang ringgit yang terus melemah dengan penurunan 1.5 peratus lagi sejak awal tahun; dan cukai GST serta kenaikan tol lebuhraya yang bakal dikuatkuasakan; dan macam-macam lagi, tidak mustahil Malaysia dan rakyatnya sedang bergerak deras ke arah mala petaka ekonomi.
  
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Jika urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya.”
  
Dalam sebutan masyarakat Melayu pula:  "Bagai tikus membaiki labu."