- Jan 11, 2014
-
MUHAMMAD FAIZAL
KUALA LUMPUR: Pakar Perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari
mempersoalkan siapa sebenarnya keliru dalam isu kalimah Allah yang telah
ditimbulkan sejak kebelakangan ini.
Beliau pada program wacana
"Polemik Kalimah Allah dan Rampasan Bible, antara undang-undang dan
sensitiviti agama" anjuran PAS Lembah Pantai semalam di KL Selangor
Chinese Assembly Hall (KLSCAH) menjelaskan golongan yang keliru adalah
mereka yang tidak mengetahui apa itu Islam secara mendalam.
"Saya
tidak nampak siapa yang keliru dalam isu ini, penjelasan daripada
penganut Kristian dan mereka yang hadir mendengar wacana tidak ada
seorang pun yang keliru.
"Malah di luar sana kebanyakkan mereka boleh menerima kerana tidak ada satu pun ancaman yang timbul.
"Kalau
tidak ada yang keliru, jadi mereka yang memperbesarkan isu ini
sebenarnya keliru. Kalau golongan yang faham sebenarnya erti Islam tidak
timbul perasaan keliru tetapi jika sebaliknya inilah yang terjadi,"
jelas beliau di hadapan kira-kira 200 yang hadir.
Beliau yang
turut mempertikaikan pandangan sesetengah pihak mengatakan wujud ancaman
kepada umat Islam di negara ini apabila kalimah Allah diguna oleh
masyarakat Kristian.
Katanya, masyarakat Islam merupakan golongan
majoriti di negara ini dan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan,
adalah suatu yang mustahil jika golongan Kristian yang minoriti mampu
mengancam keamanan negara ini.
"Wujud ancaman, saya tidak nampak
langsung ancaman kepada umat Islam di negara ini. Kita berada dalam
kelompok majoriti dan bagaimana golongan minoriti dapat mengancam kita.
"Semua
kenyataan tersebut tidak boleh diterima akal, negara mempunyai
undang-undang dan kita berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan yang
menyatakan Islam adalah agama rasmi, jadi bagaimana Kristian boleh
timbulkan ancaman.
"Saya tegaskan Perlembagaan yang ada tidak
pernah gagal dalam pelaksanaannya, tetapi yang gagal adalah kita yang
tidak dapat memahami roh dalam Perlembagaan tersebut termasuk juga
gagalnya kita memahami apa Islam sebenarnya," sambung beliau.
Menurut
beliau, isu yang telah ditimbulkan ini telah memberikan publisiti
negatif kepada negara di peringkat antarabangsa kerana gagal mewujudkan
suasana hormat menghormati antara pelbagai kaum dan anutan agama.
Malah jelasnya lagi, isu tersebut sengaja disebarkan bagi tujuan keuntungan kepada pihak tertentu sahaja.
"Negara
ini telah mendapat publisiti negatif secara percuma kerana kita gagal
mewujudkan suasana harmoni dan saling menghormati antara pelbagai kaum
dan agama.
"Agenda ini hanya untuk keuntungan kepada pihak
tertentu sahaja, yang bertujuan untuk kepentingan politik serta
mengalihkan isu yang lebih penting seperti bebanan hidup yang dihadapi
oleh rakyat.
"Sebelum ini isu 13 Mei dihangatkan bagi menakutkan
orang Melayu terhadap kaum Cina, kemudiaan Syiah pula diperluaskan
dengan menuju kepada pimpinan PAS sebagai menarik undi Melayu dan
sekarang cuba menakutkan Melayu dengan Kristian, jadi agenda-agenda
sedemikian kita perlu berhati-hati agar tidak termasuk dalam perangkap,"
jelasnya.
Beliau yang meminta agar semua pihak membuat tindakan
susulan untuk merungkaikan kekeliruan dan salah faham yang sengaja
disebarkan oleh pihak tertentu untuk mendapat keuntungan politik
semata-mata.
"Isu seperti ini memang diberi perhatian oleh
masyarakat Melayu dan saya berharap usaha yang bersungguh-sungguh perlu
dibuatkan bagi memberi penjelasan kepada orang Melayu agar mereka lebih
faham dan tidak termakan dengan komen atau pandangan sempit serta
negatif yang tidak selaras dengan masyarakat majmuk negara ini.
"Sebagai
umat Islam yang sepatutnya menegakkan yang makruf dan menegahkan yang
mungkar, sepatutnya mereka perlu hayati konsep Islam itu yang dibawa
oleh Rasulullah SAW sebelum ini untuk kesejahteraan seluruh masyarakat
dunia dan bukan untuk golongan tertentu sahaja," sambung beliau.
Beliau
yang pada masa yang sama turut memberitahu apa yang diperkatakan bukan
bermaksud menentang keputusan istana tetapi bagi meredakan kekeliruan
yang wujud dalam masyarakat negara ini terutamanya golongan Melayu.
Turut
menjadi panel pada wacana semalam adalah Ahli Parlimen Parit Buntar,
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS
Pusat serta Setiausaha Agung National Evangelical Christian Fellowship
Malaysia (MECF), Eugene Yapp.