Ahad, 19 Januari 2014

Percikan api perkauman dalam isu kenaikan harga barang


Foto darisungaiderhaka@blogspot.com
ISU kenaikan harga barang yang mendominasi politik negara ekoran kenaikan harga minyak dan kos-kos pengeluaran memasuki episod hodoh apabila cuba dijadikan isu perkauman oleh parti-parti kerabat BN khususnya Umno.

Dimulai dengan kenyataan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang yang ‘sedih’ melihat anak-anak muda Melayu ‘diperalatkan pembangkang’ dalam Himpunan Turun malam 31 Disember lalu, terbaru Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula menyelar sikap 'orang tengah' yang cuba mengambil kesempatan memburukkan kerajaan dengan menaikkan harga barang.

Bagi Keng Liang, demonstran Himpunan Turun didominasi anak-anak muda Melayu sedangkan anak-anak muda Cina dan India bergembira menyambut tahun baru di pawagam, pasar raya dan lain-lain tempat.

Tengku Adnan pula mendakwa 'orang tengah' cuba menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan BN dengan kaedah menaikkan harga barang yang jelas akan membebankan rakyat.

"Kita sedar banyak orang tengah ini lebih menyokong pembangkang. Apa yang dilakukan adalah buat satu kaedah supaya rakyat benci kepada BN. Ini tidak adil. Kenapa hendak buat cara ini," kata beliau kepada pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul bersama komuniti masyarakat Acheh Malaysia di Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur, 18 Januari lalu.
Keng Liang pula menulis secara berurutan dalam twitternya yang antara lain menyebut: “selalu dlm demo jalan yg kena tangkap majority kaum Melayu. Kenapa adik2 perlu diperguna? Pernah Nampak adik2 kaum Cina? Fikirlah masa depan…”
Strategi meniup sentimen kaum dan agama dalam apa juga isu membabitkan politik negara memang menjadi senjata utama Umno, MCA dan Gerakan.
Tidak kiralah sama ada isu yang dibincangkan itu benar-benar menyentuh sentimen agama dan kaum seperti isu kalimah Allah dan pembinaan rumah ibadah, sentimen kaum dan agama juga cuba sedaya upaya dikaitkan para pemimpin BN dengan isu-isu kepentingan bersama yang melewati fahaman agama dan kaum seperti rasuah, penyelewengan, pemborosan dan kenaikan harga barang.
Apa yang gagal difahami pemimpin BN khususnya Keng Liang, isu-isu kepentingan bersama tidak lagi menarik minat hanya sebahagian segmen masyarakat; malah kesedaran umum berhubung isu rasuah, kronisme, penyelewengan, pemborosan dan terkini, kenaikan harga barang telah melewati batas bangsa, agama dan pegangan politik.
Sehubungan itulah kita dapat melihat bagaimana perhimpunan Bersih 3.0 di Stadium Merdeka dan beberapa siri perhimpunan menuntut reformasi pilihan raya sejurus berakhirnya pilihan raya umum ke-13 dihadiri rakyat pelbagai kaum dan agama dan tidak hanya disambut oleh rakyat daripada kelompok bangsa tertentu sahaja.
Kempen membantah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang dimulakan dengan Himpunan Turun di Dataran Merdeka, yang dihangatkan pula dengan isu kangkung oleh Perdana Menteri, turut menarik perhatian rakyat pelbagai kaum. Hinggakan pemimpin Umno Pulau Pinang cuba menangguk di air keruh dengan mengadakan perhimpunan mengecam DAP ekoran flashmob membantah kenaikan harga barang yang diadakan masyarakat Tionghoa di Machang Bubuk.  
Bagi Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno, janganlah cuba bermain api dengan menyalahkan ‘orang tengah’ dalam krisis kenaikan harga barang yang dihadapi rakyat. Beliau perlu menyedari bahawa kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kini adalah hasil daripada keputusan kabinet menaikkan harga petrol dan diesel atas premis ‘rasionalisasi subsidi’. Siapakah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan majoriti anggota kabinet jika bukan orang Melayu?
Siapakah juga peneraju syarikat tenaga elektrik negara – Tenaga Nasional yang menaikkan tarif elektrik jika bukannya Melayu? Siapakah pemilik syarikat konsesi tol di negara ini yang diberi lampu hijau menaikkan kadar tol di lebuhraya jika bukannya orang Melayu? Dan siapakah juga tauke korporat yang menguasai industri gula, beras dan tepung negara jika bukan seorang Melayu?
Paling tidak pun beliau harus mengakui bahawa kelompok saudagar yang menguasai urusan peruncitan di negara ini kebanyakan terdiri daripada penyokong dan pendokong MCA dan bukannya DAP. Malah MCA sendiri dianggotai para saaudagar dan tauke Tionghoa yang rapat dengan pemimpin Umno dan bukannya PAS ataupun PKR.
Tidak payahlah Tengku Adnan cuba menyeret sentimen kaum dan agama dalam isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Lebih elok bagi beliau mencontohi Timbalan Perdana Menteri yang mula belajar turun padang ke premis perniagaan bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi harga barang keperluan harian dan mendengar keluhan rakyat. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan