Telefon
berdering. Sahih, di gagang telefon aku terdengar suara lelaki yang
bukan dari kota London. Aku menjawab dalam bahasa Inggeris. Kemudian
lelaki ini beralih ke bahasa Melayu. Kemudian beralih lagi ke loghat
Negeri Sembilan. Lelaki ini meminta aku tolong carikan adiknya.
Ketika
panggilan itu sampai, aku adalah warga kota London yang tinggal di
wilayah Brixton. Panggilan telefon ini datang pada tahun 1991. Ketika
itu aku masih lagi anak mahasiswa yang belum selesai mengikuti kuliah
filem. Lalu aku meminta masa satu minggu dalam usaha mencari adik sang
abang. Sebenarnya adik yang dicari bukan nama yang asing dalam radar
otak aku.

Dari
hari pertama, malah sebelum aku menjejak kaki ke Universiti Malaya (UM)
pada Mei 1971, aku telah berniat untuk menjadi anggota Kelab Sosialis.
Setelah minggu orientasi selesai aku mendaftar sebagai anggota kelab.
Ketika aku mendaftar, aku masih di bawah umur dan masih dalam dunia
romantik. Ertinya kitab-kitab kiri masih belum banyak yang aku layari.
Ketika
itu aku bertukang masih belum berupaya menggunakan perkakas Marxis.
Hujah aku masih kelam dan kabut. Hujah yang aku dirikan tidak teratur
dan tidak tuntas. Rumah yang ingin aku bina bocor di sana ini. Tetapi
melalui pembacaan, mendengar ceramah politik dan melalui perbincangan
maka pencerahan sampai. Aku mula mengenal Marxisme sebagai alat
bertukang untuk memahami masyarakat dan mendirikan hujah yang tuntas.
Wajib
juga aku terangkan bahawa ketika aku menjejak kaki ke Lembah Pantai
suasana dunia sedang berubah. Tragedi Mei 13 telah berlangsung. Perang
Vietnam sedang bergelora. Paris 68 baru selesai. Di Amerika, Malcolm X
telah dibunuh. Revolusi Kebudayaan di Tiongkok sedang membara. John
Lennon, Mick Jagger dan Mao sedang menggoncang dunia anak muda. Parti
Komunis Malaya sedang mara ke Selatan.

Malah,
aku berupaya mengikuti Mei 68 kota Paris dari akhbar tempatan. Aku
kurang faham tapi tahu dan sedar apa yang sedang berlaku. Tahun-tahun
1969/70, aku telah mula terdengar nama Daniel Cohn-Bandit atau Danny The
Red, Tariq Ali, Jean Paul Sartre dan Che Guevara. Aku juga melihat
gambar-gambar anak mahasiswa yang bangun berevolusi di kota Paris 1968
melalui majalah
Life.
Di zaman inilah Siti Aisah binti
Wahab berlepas ke kota London untuk menjadi anak mahasiswa di London
School of Economic (LSE ), tempat John F Keneddy belajar. Ini sebelum
wujudnya Dasar Ekonomi Baru. Ini sebelum adanya diskriminasi positif
terhadap yang bukan Melayu. Ini sebelum wujudnya konsep Bumiputera.
Aku
sama seperti Aishah masuk belajar ke universiti kerana keupayaan fikrah
kami. Kami masuk universiti bukan kerana kami Melayu. Aishah memenangi
biasiswa Colombo Plan kerana dia anak pelajar yang pintar. Bukan kerana
dia Melayu. Melayu dan Islam bukan hitungan.
‘Kito sokampong'Aku wajib memberikan latar ini agar pembaca yang budiman faham suasana ketika itu. Aku meminta para pembaca memahami
ambience politik
ke zaman itu. Mungkin para pembaca tidak dapat menghayati 100 peratus
suasana ketika itu tetapi akan sedar akan latar politik ini. Tanpa
memahami suasana latar ini maka kita akan gagal untuk memahami kisah
Aishah. Dan tanpa latar ini kita tidak berlaku adil terhadap Aishah. Ini
suasana 40 tahun dahulu ketika saya baru berumur 20 tahun.
Kembali kepada panggilan telefon. Dalam masa satu minggu yang dijanjikan, aku pun seperti dialog
filem
Casablanca menghubungi
the usual suspects.
Aku menelefon si anu dan si anu - kawan-kawan aktivis dalam kota
London. Bertanya sama ada sesiapa yang mengenali Cik Siti yang sedang
dicari. Aku gagal.

Satu
minggu kemudian sang abang menelefon aku. Kali ini dengan maklumat
bahawa adiknya pernah tinggal di Brixton. Aduh! Wilayah Brixton adalah
wilayah aku, sama seperti aku mengenali Brickfield hari ini. Aku
mengikuti kuliah Asas Seni di Brixton College. Aku tinggal di tingkat 7
Southwyck House, Coldhabour Lane Brixton. Brixton adalah wilayah tempat
tinggal aku terakhir sebelum pulang ke Malaysia pada tahun 1995.
Kali
ini sang abang dengan loghat 'nogori' membuat pengakuan ‘kito
sokampong'. Ertinya sang abang dan aku berasal dari Jelebu. Sebenarnya
tanpa menerangkan dirinya dari Jelebu aku sudah tahu siapa yang dicari.
Malah nama Aishah telah aku dengar ketika aku di Universiti Malaya lagi.
Golongan kiri terutama perempuan Melayu kiri agak ‘rare' justeru aku
terdengar nama Aishah dari para senior.
Di gagang telefon aku
terangkan kepada sang abang, walaupun aku dan Aishah berselisih di pintu
stesen kereta api bawah tanah di Brixton, mustahil aku mengenali siapa
si Aishah ini. Aku tidak pernah melihat adik sang abang ini. Aku
mendengar kekecewaan di gagang talipon. Aku juga kecewa kerana si gadis
yang dicari dari kampung aku juga. Mencari Aishah pada tahun 1991 gagal.

Tahun
kedua di UM, aku mula kenal baik dengan arwah Kakak Sabariah. Pernah si
arwah ini bersurah ketika bersama Syed Husin di London. Mereka pernah
menjadi tamu Chairman Ara. Mengikut perawi sahih ini Chairman Ara duduk
di kerusi ‘Archie Bunker' dan menyoal Syed Husin. Soalan ini bukan
tentang kejantan Syed Husin. Kah, kah, kah! Tetapi tentang garis politik
kiri.
Dari surah Kak Sabariah ini muncul nama Siti Aishah.
Ketika surah ini sampai aku tidak tahu apa itu Brixton. Tetapi apabila
Kakak Sabariah menggambarkan kerusi Archie Bunker ini maka aku faham
suasana pertemuan mereka. Malah aku tersenyum kerana Archie Bunker ialah
satu watak siri komedi TV yang menjadi ikutan di zaman itu.
Tahun
kedua di UM juga, aku diberi kepercayaan untuk menjadi setiausaha agung
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). Persatuan ini diharamkan
sama seperti Kelab Sosialis sesudah Demo Baling 1974. Dari pejabat PMUM
aku sering menerima banyak akhbar dari luar negara. Satu hari aku
menerima majalah
New Malayan Youth yang dialamatkan secara
rambang ke setiausaha agung PMUM. Ini bukan majalah cetak tapi
'disaikostyle'. Majalah ini keluaran anak mahasiswa Malaya di United
Kingdom.
Larangan polis LondonAnak
mahasiswa ini memanggil diri mereka Mass Movement - Malayan and
Singapore Students Movement. Mazhab ini tidak mengiktiraf Malaysia yang
mereka anggap sebagai projek koloni British. Mereka menggunakan Malaya,
ertinya termasuk Singapura. Ini garis politik kaum kiri. Ini juga garis
politik kaum progresif, justeru Dr Buhanuddin Helmi menyokong garis ini.
Hasilnya Ppresiden parti PAS ini ditangkap bawah ISA pada tahun 1965
kerana menentang projek penjajahan Sabah dan Sarawak.
Untuk aku, pada tahun 1973, majalah
New Malayan Youth ini
telah membawa pencerahan. Penulis majalah ini bertukang dengan
menggunakan Marxisme. Aku menganggap majalah ini menjadi satu pembacaan
wajib untuk pencerahan. Isu Perang Vietnam, isu anti-kolonial, isu
Malaya, semua digarap dengan terang dan jelas. Ahli Kelab Sosialis
tertunggu-tunggu akan kesampaian majalah ini. Aku yang ketika itu
tinggal di Blok C-206 Kolej Kelima akan menyebarkan majalah ini untuk
diperpanjangkan.

Memang aku sedar, mengikut ajaran Ghazali Shafie (
kiri) - yang menjadi Zahid Hamidi ketika itu -
New Malayan Youth ini
satu majalah bahaya. Ia mengajukan garis revolusi. Majalah ini
menyokong garis perang bersenjata Parti Komunis Malaya. Ia menyokong
gerakan Naxalite di India. Malah tanpa segan silu di kulit majalah ini
tertera:
Long Live Malayan Communist Party. Long Live Charu Mazumdar. Long Live Mao Zedong. Aku
masih ingat lagi beberapa isi tulisan majalah ini. Aku mula mengenal
nama-nama yang muncul dalam majalah ini. Siapa mereka satu kisah yang
lain.
Setelah membaca empat atau lima keluaran majalah
New Malayan Youth, aku pun menulis surat kepada
New Malayan Youth c/o
NUS - Malet Street London. Aku menghantar aerogram. Harganya pada
ketika itu agak mahal untuk aku - 25sen. Isinya adalah satu perkara yang
tidak pernah berganjak dari garis perjuangan hidup aku.
Perkara yang aku tulis kepada
New Malayan Youth 40
tahun dahulu telah juga aku sampaikan kepada Wong Tack dari Himpunan
Hijau, kepada Maria Chin dari BERSIH, kepada Masjaliza dari CiJ dan
kepada banyak NGO di Malaysia. Aku pernah secara terbuka dalam forum
menerangkan bahawa kegagalan perubahan berlaku di Malaysia ini ialah
kerana TIDAK menggunakan Bahasa Melayu sebagai alat berhubung.
Selagi
Bahasa Melayu/Malaysia tidak digunakan untuk menyebar propaganda kepada
Mak Cik dan Pak Cik Felda maka TIDAK akan berlaku apa-apa perubahan di
Malaysia. Malah aku telah menulis dan menerangkan secara teoritikal
bahawa Bahasa Melayu ini bukan bahasa kebangsaan tetapi bahasa strategik
untuk perubahan.
Mungkin ada yang akan bertanya apakah semua
yang aku tulis ini betul. Di sini aku berani menyatakan bahawa semua
ingatan ini masih cerah dalam kepala aku. Ingatan dan nama-nama inilah
yang menjadi rujukan aku ketika wartawan Dean Nelson dari akhbar
Daily Telegraph datang menemubual pada malam Ahad 22 haribulan November lalu.
Tanpa
ingatan dari kepala aku tidak mungkin wartawan akhbar London ini dapat
memecahkan misteri siapakah dia perempuan Malaysia -
the Malaysia woman -
yang dikatakan menjadi ‘hamba' selama 30 dalam kota London. Polis
Britain telah melarang nama perempuan ini diumumkan. Ingatlah, akulah
yang memecahkan berita ini untuk pengetahuan dunia.
Akan bersambung. Untuk memahami lagi tulisan ini, sila Google semua nama-nama yang telah ditulis.