Telefon berdering. Sahih, di gagang telefon aku terdengar suara lelaki yang bukan dari kota London. Aku menjawab dalam bahasa Inggeris. Kemudian lelaki ini beralih ke bahasa Melayu. Kemudian beralih lagi ke loghat Negeri Sembilan. Lelaki ini meminta aku tolong carikan adiknya.

Ketika panggilan itu sampai, aku adalah warga kota London yang tinggal di wilayah Brixton. Panggilan telefon ini datang pada tahun 1991. Ketika itu aku masih lagi anak mahasiswa yang belum selesai mengikuti kuliah filem. Lalu aku meminta masa satu minggu dalam usaha mencari adik sang abang. Sebenarnya adik yang dicari bukan nama yang asing dalam radar otak aku.

Siti Aishah Abdul WahabDari hari pertama, malah sebelum aku menjejak kaki ke Universiti Malaya (UM) pada Mei 1971, aku telah berniat untuk menjadi anggota Kelab Sosialis. Setelah minggu orientasi selesai aku mendaftar sebagai anggota kelab. Ketika aku mendaftar, aku masih di bawah umur dan masih dalam dunia romantik. Ertinya kitab-kitab kiri masih belum banyak yang aku layari.

Ketika itu aku bertukang masih belum berupaya menggunakan perkakas Marxis. Hujah aku masih kelam dan kabut. Hujah yang aku dirikan tidak teratur dan tidak tuntas. Rumah yang ingin aku bina bocor di sana ini. Tetapi melalui pembacaan, mendengar ceramah politik dan melalui perbincangan maka pencerahan sampai. Aku mula mengenal Marxisme sebagai alat bertukang untuk memahami masyarakat dan mendirikan hujah yang tuntas.

Wajib juga aku terangkan bahawa ketika aku menjejak kaki ke Lembah Pantai suasana dunia sedang berubah. Tragedi Mei 13 telah berlangsung. Perang Vietnam sedang bergelora. Paris 68 baru selesai. Di Amerika, Malcolm X telah dibunuh. Revolusi Kebudayaan di Tiongkok sedang membara. John Lennon, Mick Jagger dan Mao sedang menggoncang dunia anak muda. Parti Komunis Malaya sedang mara ke Selatan.

NONEMalah, aku berupaya mengikuti Mei 68 kota Paris dari akhbar tempatan. Aku kurang faham tapi tahu dan sedar apa yang sedang berlaku. Tahun-tahun 1969/70, aku telah mula terdengar nama Daniel Cohn-Bandit atau Danny The Red, Tariq Ali, Jean Paul Sartre dan Che Guevara. Aku juga melihat gambar-gambar anak mahasiswa yang bangun berevolusi di kota Paris 1968 melalui majalah Life.

Di zaman inilah Siti Aisah binti Wahab berlepas ke kota London untuk menjadi anak mahasiswa di London School of Economic (LSE ), tempat John F Keneddy belajar. Ini sebelum wujudnya Dasar Ekonomi Baru. Ini sebelum adanya diskriminasi positif terhadap yang bukan Melayu. Ini sebelum wujudnya konsep Bumiputera.

Aku sama seperti Aishah masuk belajar ke universiti kerana keupayaan fikrah kami. Kami masuk universiti bukan kerana kami Melayu. Aishah memenangi biasiswa Colombo Plan kerana dia anak pelajar yang pintar. Bukan kerana dia Melayu. Melayu dan Islam bukan hitungan.

‘Kito sokampong'
Aku wajib memberikan latar ini agar pembaca yang budiman faham suasana ketika itu. Aku meminta para pembaca memahami ambience politik ke zaman itu. Mungkin para pembaca tidak dapat menghayati 100 peratus suasana ketika itu tetapi akan sedar akan latar politik ini. Tanpa memahami suasana latar ini maka kita akan gagal untuk memahami kisah Aishah. Dan tanpa latar ini kita tidak berlaku adil terhadap Aishah. Ini suasana 40 tahun dahulu ketika saya baru berumur 20 tahun.

Kembali kepada panggilan telefon. Dalam masa satu minggu yang dijanjikan, aku pun seperti dialog filem Casablanca menghubungi the usual suspects. Aku menelefon si anu dan si anu - kawan-kawan aktivis dalam kota London. Bertanya sama ada sesiapa yang mengenali Cik Siti yang sedang dicari. Aku gagal.

NONESatu minggu kemudian sang abang menelefon aku. Kali ini dengan maklumat bahawa adiknya pernah tinggal di Brixton. Aduh! Wilayah Brixton adalah wilayah aku, sama seperti aku mengenali Brickfield hari ini. Aku mengikuti kuliah Asas Seni di Brixton College. Aku tinggal di tingkat 7 Southwyck House, Coldhabour Lane Brixton. Brixton adalah wilayah tempat tinggal aku terakhir sebelum pulang ke Malaysia pada tahun 1995.

Kali ini sang abang dengan loghat 'nogori' membuat pengakuan ‘kito sokampong'. Ertinya sang abang dan aku berasal dari Jelebu. Sebenarnya tanpa menerangkan dirinya dari Jelebu aku sudah tahu siapa yang dicari. Malah nama Aishah telah aku dengar ketika aku di Universiti Malaya lagi. Golongan kiri terutama perempuan Melayu kiri agak ‘rare' justeru aku terdengar nama Aishah dari para senior.

Di gagang telefon aku terangkan kepada sang abang, walaupun aku dan Aishah berselisih di pintu stesen kereta api bawah tanah di Brixton, mustahil aku mengenali siapa si Aishah ini. Aku tidak pernah melihat adik sang abang ini. Aku mendengar kekecewaan di gagang talipon. Aku juga kecewa kerana si gadis yang dicari dari kampung aku juga. Mencari Aishah pada tahun 1991 gagal.

universiti university malaya um logoTahun kedua di UM, aku mula kenal baik dengan arwah Kakak Sabariah. Pernah si arwah ini bersurah ketika bersama Syed Husin di London. Mereka pernah menjadi tamu Chairman Ara. Mengikut perawi sahih ini Chairman Ara duduk di kerusi ‘Archie Bunker' dan menyoal Syed Husin. Soalan ini bukan tentang kejantan Syed Husin. Kah, kah, kah! Tetapi tentang garis politik kiri.

Dari surah Kak Sabariah ini muncul nama Siti Aishah. Ketika surah ini sampai aku tidak tahu apa itu Brixton. Tetapi apabila Kakak Sabariah menggambarkan kerusi Archie Bunker ini maka aku faham suasana pertemuan mereka. Malah aku tersenyum kerana Archie Bunker ialah satu watak siri komedi TV yang menjadi ikutan di zaman itu.

Tahun kedua di UM juga, aku diberi kepercayaan untuk menjadi setiausaha agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). Persatuan ini diharamkan sama seperti Kelab Sosialis sesudah Demo Baling 1974. Dari pejabat PMUM aku sering menerima banyak akhbar dari luar negara. Satu hari aku menerima majalah New Malayan Youth yang dialamatkan secara rambang ke setiausaha agung PMUM. Ini bukan majalah cetak tapi 'disaikostyle'. Majalah ini keluaran anak mahasiswa Malaya di United Kingdom.

Larangan polis London
Anak mahasiswa ini memanggil diri mereka Mass Movement - Malayan and Singapore Students Movement. Mazhab ini tidak mengiktiraf Malaysia yang mereka anggap sebagai projek koloni British. Mereka menggunakan Malaya, ertinya termasuk Singapura. Ini garis politik kaum kiri. Ini juga garis politik kaum progresif, justeru Dr Buhanuddin Helmi menyokong garis ini. Hasilnya Ppresiden parti PAS ini ditangkap bawah ISA pada tahun 1965 kerana menentang projek penjajahan Sabah dan Sarawak.

Untuk aku, pada tahun 1973, majalah New Malayan Youth ini telah membawa pencerahan. Penulis majalah ini bertukang dengan menggunakan Marxisme. Aku menganggap majalah ini menjadi satu pembacaan wajib untuk pencerahan. Isu Perang Vietnam, isu anti-kolonial, isu Malaya, semua digarap dengan terang dan jelas. Ahli Kelab Sosialis tertunggu-tunggu akan kesampaian majalah ini. Aku yang ketika itu tinggal di Blok C-206 Kolej Kelima akan menyebarkan majalah ini untuk diperpanjangkan.

ghazali shafie king ghazMemang aku sedar, mengikut ajaran Ghazali Shafie (kiri) - yang menjadi Zahid Hamidi ketika itu - New Malayan Youth ini satu majalah bahaya. Ia mengajukan garis revolusi. Majalah ini menyokong garis perang bersenjata Parti Komunis Malaya. Ia menyokong gerakan Naxalite di India. Malah tanpa segan silu di kulit majalah ini tertera: Long Live Malayan Communist Party. Long Live Charu Mazumdar. Long Live Mao Zedong. Aku masih ingat lagi beberapa isi tulisan majalah ini. Aku mula mengenal nama-nama yang muncul dalam majalah ini. Siapa mereka satu kisah yang lain.

Setelah membaca empat atau lima keluaran majalah New Malayan Youth, aku pun menulis surat kepada New Malayan Youth c/o NUS - Malet Street London. Aku menghantar aerogram. Harganya pada ketika itu agak mahal untuk aku - 25sen. Isinya adalah satu perkara yang tidak pernah berganjak dari garis perjuangan hidup aku.

Perkara yang aku tulis kepada New Malayan Youth 40 tahun dahulu telah juga aku sampaikan kepada Wong Tack dari Himpunan Hijau, kepada Maria Chin dari BERSIH, kepada Masjaliza dari CiJ dan kepada banyak NGO di Malaysia. Aku pernah secara terbuka dalam forum menerangkan bahawa kegagalan perubahan berlaku di Malaysia ini ialah kerana TIDAK menggunakan Bahasa Melayu sebagai alat berhubung.

Selagi Bahasa Melayu/Malaysia tidak digunakan untuk menyebar propaganda kepada Mak Cik dan Pak Cik Felda maka TIDAK akan berlaku apa-apa perubahan di Malaysia. Malah aku telah menulis dan menerangkan secara teoritikal bahawa Bahasa Melayu ini bukan bahasa kebangsaan tetapi bahasa strategik untuk perubahan.

Mungkin ada yang akan bertanya apakah semua yang aku tulis ini betul. Di sini aku berani menyatakan bahawa semua ingatan ini masih cerah dalam kepala aku. Ingatan dan nama-nama inilah yang menjadi rujukan aku ketika wartawan Dean Nelson dari akhbar Daily Telegraph datang menemubual pada malam Ahad 22 haribulan November lalu.

Tanpa ingatan dari kepala aku tidak mungkin wartawan akhbar London ini dapat memecahkan misteri siapakah dia perempuan Malaysia - the Malaysia woman - yang dikatakan menjadi ‘hamba' selama 30 dalam kota London. Polis Britain telah melarang nama perempuan ini diumumkan. Ingatlah, akulah yang memecahkan berita ini untuk pengetahuan dunia.


Akan bersambung. Untuk memahami lagi tulisan ini, sila Google semua nama-nama yang telah ditulis.