Isnin, 9 September 2013

.Mana Janji


Hana al-Amin, 09 Sep 2013
Kami orang kampung
yang sentiasa dibohong
yang tiada pelajaran
dan tiada harta
yang ada sebuah pondok kecil
ditanah tumpang
yang bila-bila masa
tuan tanah datang
dengan notis lelongan

Mana janji
rumah mampu milik
untuk orang macam kami
tiada tanah dan bumi lain
untuk anak berteduh dan bermain
kami hidup dan mati disini
bergantung tulang empat kerat
selagi ada kudrat
menyarai anak isteri
yang sentiasa setia
mengharungi pancaroba

Kami tinggal didesa
tanpa menoleh pilihanraya
kami tak risau
kerana tiada kereta
atau motosikal
tiada perlu petrol atau diesel
untuk sebuah basikal
hari-hari bergatih bergilir
menyantuni anak bersiar
tiada cita-cita – cuti-cuti Malaysia
hanya keliling kampong seputar

Kami orang kampong
yang termenung bila dilapur
barang naik melambong
yang risaunya barang dapur
ingatkan hari mendatang
yang muram jadi benderang
hidup akan berubah
barang menjadi murah
rezeki akan bertambah
tetapi sekarang makin parah
dikatakan keparahan tukaran ringgit
keekonomian dunia global yang sakit
kerana  tiada pelajaran
kami dibohongi lagi
tapi tahu berkira bulan ini
tambang bas sekolah naik lagi
kerana minyak telah mahal
tetapi sebelum  ini ada janji
harga petrol diesel tak akan naik
mereka yang berjanji
masa sibuk nak dapat undi
kami tak faham subsidi
kerana telaga minyak
milik kita sendiri
tak pernah rugi
tapi minyak naik lagi
mana janji.........

Hana al-Amin
792013 tumpat.

SPM: Wajib lulus BI, pelajar luar bandar jadi mangsa


Harakahdaily, 08 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) tidak setuju Bahasa Inggeris (BI) dijadikan subjek wajib lulus untuk mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia bukan pendekatan yang boleh menjamin pelajar dapat menguasai BI.

“Kami berpendapat syarat BI lulus akan menyebabkan ramai pelajar yang akan terkandas dalam SPM dan dengan itu menyebabkan masa depan mereka terjejas.

“Kami dengan itu juga mendapati pihak Kementerian Pendidikan yang memutuskan untuk mewajibkan lulus BI dalam SPM pada 2016 tidak menjelaskan kenapa penguasaan BI masih lemah dari segi teknik pengajaran dan pembelajaran,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau mempersoalkan apakan kajian yang telah dilaksanakan untuk merasionalkan keputusan tersebut.

Justeru, ujarnya, pihak kementerian perlu membuktikan perkaitan mensyaratkan lulus BI untuk mendapat sijil SPM dengan keupayaan pelajar untuk menguasai BI.

Menurutnya, penguasaan BI sepatutnya boleh dilakukan secara berterusan dan tidak perlu ia menjadi faktor yang menghadkan seseorang pelajar mendapat sijil SPM dan dengan itu merumitkannya untuk melanjutkan pelajaran dan mencari pekerjaan.

Katanya, harus diingatkan pelajar di sekolah luar bandar akan menjadi mangsa kepada dasar yang baru ini jika ia tidak diteliti dengan halusi.

Beliau berkata, suasana masyarakat di luar bandar bukan persekitaran pelajar yang kondusif untuk mengguna BI.

“Adalah lebih bijak semakan dilakukan ke atas teknik pengajaran dan pembelajaran serta kualiti guru yang mengajar BI daripada mensyaratkan BI mesti lulus untuk mendapat sijil SPM,” ujarnya lagi.

Menurutnya, dalam jangka panjang adalah sangat penting dipertimbangkan mereka yang tidak lulus dan gagal mendapat sijil SPM mungkin akan menghasilkan ramai pelajar yang tercicir dari arus perdana.

“Kami berpendapat syarat lulus BI akan menjadi beban kepada pelajar kerana fokus yang seharusnya diberi perhatian iaitu menguasai ilmu dalam bahasa ibunda perlu diutamakan.

“Lulus BI tidak boleh dijadi merit untuk menggagalkan seseorang pelajar dalam SPM,” katanya.

Guru j-Qaf bakal dipisah dengan suami kali kedua


Suami kesal,
Saya merupakan suami kepada salah seorang guru j-Qaf ambilan Januari 2012. Baru-baru ini penempatan bagi guru-guru j-Qaf ini telah pun dikeluarkan termasuklah isteri saya. Isteri saya telah ditempat di Johor. Sebelum ini isteri saya telah menjalani praktikum di Sabah dan belajar di salah sebuah IPG di sana. Saya sekarang bekerja dan menetap di salah sebuah sekolah swasta di Semenanjung.

Isu di sini ialah urusan penempatan yang dilakukan amat tidak memuaskan hati saya. Untuk makluman usia perkahwinan kami baru mencecah setahun. Selama setahun setengah kami terpaksa berjauhan kerana isteri belajar di Sabah. Kini kami bakal dipisahkan lagi oleh sikap pihak-pihak yang mengatur penempatan guru j-Qaf ini khususnya isteri saya.

Untuk makluman tuan, pada bulan Julai yang lalu (dalam bulan Ramadhan) kami telah ke JPN negeri, kami diberitahu supaya menyiapkan surat dan dalam surat itu dikehendaki menyatakan hasrat untuk mengikut suami dan kenyataan dikeluarkan oleh pegawai di situ menyatakan bahawa untuk batch 2012 pelajar ini akan ditempatkan berhampiran tempat suami bertugas.

Pada bulan Ramadhan juga kami pergi sendiri ke Cyberjaya sektor pendidikan Islam. Pegawai di situ menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai bidang kuasa lagi dan yang mempunyai bidang kuasa ialah sektor sekolah rendah KPM. Kami teruskan ke sana untuk menyerahkan surat kepada Ustaz Adnan. Kami difahamkan Ustaz Adnan mempunyai hal di luar lain dan surat kami hanya diterima pembantu beliau.

Namun, pada 17 September yang lalu, keputusan penempatan telah diumumkan. Amat mengejutkan juga, kenyataan mereka yang menyatakan bahawa isteri akan ditempatkan berhampiran tempat suami bertugas meleset sama sekali. Kami diletakkan di suatu jarak yang jauh utara dan selatan iaitu Johor. Apa guna pulang ke Semenanjung jika masih berjauhan. Sedangkan yang tidak memohon atau membuat sebarang surat permohonan pulang ke Semenanjung diletakkan di negeri Pulau Pinang, ada juga yang diletakkan di negeri berhampiran suami mereka, ada yang terpaksa berpisah walaupun suami isteri itu sama-sama j-Qaf, ada yang mengandung sudah berkahwin dihantar ke Sarawak sedang suami di Perlis.

Persoalannya adakah ini tindakan perikemanusiaan? Apakah saya dan isteri terpaksa berjauhan untuk kali kedua? Apakah kami terpaksa merancang keluarga kami setelah setahun setengah berpisah dan sekarang perlu berpisah lagi? Ini bukan masalah saya seorang tapi masalah kebajikan majoriti guru j-Qaf...

Selepas sahaja keputusan penempatan dikeluarkan di laman web KPM, ratusan guru j-Qaf yang tidak berpuas hati pergi ke putrajaya dan saya serta isteri tidak berkesempatan kesana kerana sukar mendapatkan cuti. Rayuan ditutup hanya selang dua hari selepas keputusan diumumkan..

Saya juga difahamkan oleh pegawai JPN negeri bahawa tidak ada kekosongan di negeri saya. Persoalan saya ialah mengapa guru-guru j-Qaf tidak ditempatkan ikut zon. Contoh guru j-Qaf dari utara ditempatkan di sekolah-sekolah di sebelah utara, selatan di selatan? Kenapa saya dan isteri perlu menanggung perpisahan kedua kalinya?

Sabtu, 7 September 2013

5 langkah jimat minyak kereta


Tahukah anda bahawa ada jalan untuk jimat minyak kereta tanpa kurangkan jarak dan kekerapa perjalanan sebagaimana biasa?
Semua orang yang ada kenderaan sendiri dah tahu yang harga minyak kereta naik. Tak ada pilihan lebih baik selain dari berusaha cari jalan untuk jimat minyak kereta.
Sebagai rakyat biasa kita tak ada kuasa untuk ubah keputusan kerajaan yang berpendapat masanya telah tiba untuk naikkan harga minyak. Sekarang harga Ron95 dan jadi RM2.10 seliter. Itu jenis minyak yang biasa kita guna sejak harga minyak asyik naik kebelakangan ini.
Apa yang kita boleh buat dalam menghadapi situasi ini adalah mengawal penggunaan petrol. Kita perlu jimat minyak kereta untuk jimatkan jumlah duit yang keluar.
Petua jimat
Berikut 5 langkah mudah untuk jimat minyak kereta:
  1. Buka boot kereta dan kosongkan – Ini langkah mula yang cukup mudah dan penting untuk kita laksanakan. Ada orang yang suka sumbat macam-macam benda di dalam boot keretanya. Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk teruskan aktiviti tersebut. Untuk jimat minyak kereta, anda mesti kurangkan beban yang dibawa oleh kereta tersebut. Jika sukar untuk kurangkan berat badan, maka kurangkanlah berat bebanan barang yang dibawa oleh kereta anda. Kotak barang, set golf, besi buruk dan lain-lain sila humbankan keluar dengan segera.
  2. Jangan isi minyak penuh – Ya! anda lancarkan perjalanan kereta jika isi minyak separuh sahaja daru full tank. Berat akan kurangkan berat sebanyak 0.7 kilo setiap liter yang anda kurangkan. Jika kita kurangkan 10 liter, bermakna berat kereta berkurangan sebanyak 7 kilo!. Kita boleh jimat minyak kereta bila bebanan berkurangan.
  3. Masukkan angin ngam dengan tayar – Jangan biarkan walau sedikit tayar kempis untuk jimat minyak kereta. Tayar kempis membebankan enjin untuk tarik kereta berjalan. Baca panduan pada tayar atau pada spesifikasi kereta jumlah angin yang sesuai. Anda boleh lihat pada sticker dekat frame pintu kereta untuk ketahui had angin optimum.
  4. Pergi servis kereta ikut jadual – Jangan lupa buat tuning kereta ke tahap optimum yang sesuai setiap kali servis. Lancarkan engin dengan tukar minyak enjin. Kelancaran enjin membuatkan pembakaran optimum dan sekali gus anda boleh jimat minyak kereta. Di samping itu minyak enjin yang sesuai juga penting untuk kelancarannya. Semak dengan pakar atau pembuat kereta anda.
  5. Ubah cara memandu – Pastikan anda tak bawa laju dengan melihat rpm sentiasa di bawah 2500 rpm. Pakai gear tinggi dengan segera tukar gear sebelum 1500 rpm. Gear tinggi menjimatkan minyak. Bila berhenti pula jangan mengejut. Selangkah demi selangkah adalah lebih baik. Ini bermakna jangan tekan minyak untuk laju bila nampak lampu orange dan terpaksa brake mengejut sebab tak lepas. Jangan main brake tanpa sebab, ini membebankan kereta, oleh itu berhati-hati dan peka banyak membantu.
Cukuplah setakat 5 petua mujarab di atas untuk jimat minyak kereta. Jika anda amalkannya insyallah boleh jimat minyak kereta sehingga ke tahap 30%….tak percaya cuba sendiri dan selepas itu berikan komen di bawah.
Selamat memandu dan bergembira jimat minyak kereta!!!

Khamis, 5 September 2013

SEJARAH TINGKATAN DUA: Rentap

SEJARAH TINGKATAN DUA: Rentap

SEJARAH TINGKATAN DUA

Berjimat suruhan Islam, bukan kerana defisit tinggi

i

Nik Abdul Aziz Nik Mat, 05 Sep 2013
Saya membaca saranan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di muka hadapan Sinar Harian hari ini yang menggesa kerajaan agar berjimat cermat dan jangan boros apabila berbelanja. Katanya, negara kita kini mengalami defisit dalam perbelanjaan, jadi tidak ada cara lain untuk mengawal keadaan kecuali berjimat cermat.

Barangkali Tun Dr Mahathir baru sedar bahawa selama ini kerajaan Malaysia sudah banyak membazir di dalam perbelanjaannya. Apabila minyak terpaksa dinaikkan 20 sen hanya untuk mendapatkan pulangan sebanyak RM3.3 billion yang lebih daripada itu dihabiskan untuk tujuan lain, barulah Tun bersuara.

Suka untuk saya menyebut bahawa berjimat cermat ini ialah perintah Islam. Ia bukan kerana defisit tinggi atau harga minyak naik, tetapi kerana ia memang merupakan suruhan Islam. Di waktu mewah pun Islam memerintahkan agar kita berjimat apatah lagi di waktu susah. Inilah didikan Rasulullah SAW kepada para sahabat. Bacalah teguran Rasulullah SAW kepada seorang sahabat yang bernama Saad Radhiallahuanhu ketika beliau sedang berwudhuk, setelah dilihat ada unsur pembaziran di dalam wudhuk Saad Radhiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabada :

مَا هَذَا السَّرَفُ فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ

Yang bermaksud : Apakah pembaziran in? Lalu Saad berkata : Adakah di dalam wuhduk pun ada pembaziran? Rasulullah SAW bersabda : Ya, sekalipun kamu berada di dalam sungai yang mengalir - Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ahmad.

Jika di dalam sungai yang mengalir pun, mengambil wudhuk dengan air yang berlebihan dianggap membazir, apatah lagi jika di dalam keadaan air yang tidak mencukupi. Demikianlah perbelanjaan negara, projek-projek besar yang terbengkalai, pelaburan di luar negeri yang menggunakan duit rakyat yang merugikan bernilai ratusan juta ringgit akhirnya dipaksakan ke atas bahu rakyat untuk menanggungnya jelas sekali merupakan satu pilihan yang zalim dan tidak kena pada tempatnya.

Ketika saya mula-mula mentadbir negeri Kelantan pada tahun 1990, dasar jimat cermat inilah yang saya arah digunapakai dalam semua urusan kerajaan. Gaji bulanan Menteri Besar, ahli exco dan wakil rakyat kerajaan dipotong, sebahagiannya dijadikan sumbangan tetap untuk parti. Saya mengarahkan agar amalan memberikan cenderamata kepada pemimpin kerajaan ketika lawatan rasmi ke jabatan dan agensi kerajaan. Tujuannya tidak lain hanyalah untuk untuk mengelakkan pembaziran dan perbelanjaan ke atas tujuan yang tidak perlu.

Saya menolak peruntukan untuk keraian Hari Raya dan Juadah Berbuka Puasa yang masing-masing berjumlah RM30,000 dan RM15,000 setiap tahun bermula tahun 1990. Saya tidak mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di JKR10 bagi mengelakkan perbelanjaan mengurustadbir rumah tersebut dan menyelamatkan kantung kerajaan. Pada masa itu, Tun Dr Mahathir masih Perdana Menteri Malaysia yang seringkali mempertikaikan apa jua langkah positif yang dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan.

Bahkan masih terngiang-ngiang di telinga saya tuduhan yang menyatakan bahawa amalan memberikan cuti dua hari seminggu kepada kakitangan kerajaan negeri hanya akan menyebabkan mereka menjadi malas. Tanpa segan dan tanpa silu, itulah yang ditiru kemudiannya oleh kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir. Dari sudut penjimatan, tambahan cuti sehari dalam seminggu ini menjimatkan banyak bekalan eletrik yang digunakan di pejabat-pejabat kerajaan.

Saya sokong saranan Tun Dr Mahathir agar kerajaan berjimat. Ia bagus namun agak lewat. Tetapi lewat itu lebih baik dari langsung tiada. Barangkali Tun Dr Mahathir berpegang kepada prinsip better late then never. Tahniahlah, namun sesekali apabila memberikan saranan yang sesuai dengan Islam, saya kira apa salahnya berikan kredit kepada Islam.

Ertinya, berjimat cermat bukan hanya kerana defisit naik, bukan kerana perbelanjaan meningkat tetapi berjimat cermat kerana itulah suruhan agama. Saya tidak rasa lidah kita terlalu kekok sehingga menghalang untuk menyebut Islam.

Itulah Islam, agama yang syumul dan menyeluruh. Islam bukan hanya agama kopiah dan serban sahaja. Inilah yang wajib diketahui oleh pemimpin parti politik sekular yang hari ini dilihat banyak memakai kopiah dan menghiasi dada-dada akhbar dengan gambar berkopiah mereka.

Sekian.

Al-Mursyidul Am, Parti Islam Semalaysia (PAS)