Hana al-Amin, | 09 Sep 2013 |
yang sentiasa dibohong
yang tiada pelajaran
dan tiada harta
yang ada sebuah pondok kecil
ditanah tumpang
yang bila-bila masa
tuan tanah datang
dengan notis lelongan
Mana janji
rumah mampu milik
untuk orang macam kami
tiada tanah dan bumi lain
untuk anak berteduh dan bermain
kami hidup dan mati disini
bergantung tulang empat kerat
selagi ada kudrat
menyarai anak isteri
yang sentiasa setia
mengharungi pancaroba
Kami tinggal didesa
tanpa menoleh pilihanraya
kami tak risau
kerana tiada kereta
atau motosikal
tiada perlu petrol atau diesel
untuk sebuah basikal
hari-hari bergatih bergilir
menyantuni anak bersiar
tiada cita-cita – cuti-cuti Malaysia
hanya keliling kampong seputar
Kami orang kampong
yang termenung bila dilapur
barang naik melambong
yang risaunya barang dapur
ingatkan hari mendatang
yang muram jadi benderang
hidup akan berubah
barang menjadi murah
rezeki akan bertambah
tetapi sekarang makin parah
dikatakan keparahan tukaran ringgit
keekonomian dunia global yang sakit
kerana tiada pelajaran
kami dibohongi lagi
tapi tahu berkira bulan ini
tambang bas sekolah naik lagi
kerana minyak telah mahal
tetapi sebelum ini ada janji
harga petrol diesel tak akan naik
mereka yang berjanji
masa sibuk nak dapat undi
kami tak faham subsidi
kerana telaga minyak
milik kita sendiri
tak pernah rugi
tapi minyak naik lagi
mana janji.........
Hana al-Amin
792013 tumpat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan