Rabu, 7 Ogos 2013

Didik Chetz, bukan hukum di media


., 06 Ogs 2013
Pelatih anjing Maznah "Chetz" Yusof perlu dididik bukannya dihukum. Islam tidak terhina kerana video Chetz, kerana ia tidak bertujuan begitu.
Chetz mungkin seorang yang tidak tinggi ilmu agamanya. Video memuatkan video tersebut juga bukan untuk menghina sesiapa, tapi kerana ketaksuban beliau dalam menyayangi anjing sehingga seolah-olah beliau inginkan anjingnya dimuliakan sama dengan kita memuliakan manusia.

Ini cuma satu kelakuan yang jahil, yang boleh diperbetulkan tanpa mengenakan sebarang hukuman.

Wajarkah Chetz dicemuh sebegitu rupa di media sehingga menimbulkan kemarahan melampau pada beliau seolah-olah beliau sebagai seorang manusia yang tidak pernah melakukan apa-apa kebaikan?

Sebagai pelatih anjing, diyakini sekurang-kurangnya Chetz pernah menyelamatkan sebilangan anjing-anjing yang sedang kebuluran dan pernah berkata-kata baik dan melakukan benda baik dalam hidupnya, dan ada orang yang pernah mendapat kebaikan daripada sifat baiknya itu. Atas nilai ini sahaja wajar dipuji kerana majoriti manusia di dunia ini tidak lagi boleh bersifat sedemikian.

Jika binatang yang dipilih Chetz ialah kucing, dan bukannya anjing, sudah tentu Chetz tidak dicemuh sebegitu rupa. Salahkah Chetz lebih menyayangi anjing?

Tak salah orang Islam memiliki anjing, tapi mesti kena pada caranya dan mengenali cara untuk menghindari diri daripada perkara yang haram dan belajar membersihkannya menurut kaedah syarak. Harus diingat memegang anjing bukan suatu dosa walaupun ia adalah najis mughalazah. Perkara ini boleh dididik apabila mendapati ada umat yang jahil mengenainya, tapi jangan sesekali disamakan kelakuan jahil itu dengan niat menghina Islam.

Tidak dinafikan ada umat Islam yang tersinggung dengan perbuatan Chetz, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.

Sempena Hari Raya yang bakal menjelang, saya mengesyorkan agar umat Islam di Malaysia yang tersinggung dengan perbuatan Chetz untuk memaafkan beliau.

Mungkin ada pihak yang baik hati boleh memuatkan pula satu video untuk mengajar umat Islam mengenai anjing, dan cara membersihkan najisnya untuk tujuan mendidik daripada terus mencemuh Chetz.

Barangkali juga kalau ada yang sanggup mengambil risiko untuk memuatkan video seseorang Muslim menerima duit rasuah lalu diambilnya duit itu untuk memberikan sedekah kepada mereka yang susah dan alim, dan melihat apakah ia akan menimbulkan reaksi yang sama seperti video Chetz?

Jika ya, bagus, kerana ini menunjukkan perubahan pada umat Islam untuk melihat perkara yang haram pada nada yang sama. Jika tidak, tepuk dada tanya iman, apakah sikap dwi-standard umat Islam pada perkara yang haram ini telah menghina Islam itu sendiri kerana melanggar syariat Islam yang utama ialah  berlaku adil dalam semua perkara?

Sudah tentu rakyat masih ingat bagaimana tiada reaksi pelbagai institusi agama yang kini mengecam Chetz terhadap segelintir pemimpin BN, seperti Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek yang pernah menghina Islam.

Apakah bilamana pemimpin negara yang melakukannya maka ianya dibolehkan tetapi apabila rakyat marhaen yang melakukannya seluruh media dan institusi agama mengecamnya? Mari kita didik rakyat agar lebih memahami tuntutan agama dari kita mencemuh mereka.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
6 Ogos 2013

Andalus, selepas terlucutnya keadilan


Ustaz Mohd Azmir bin Maideen, 06 Ogs 2013
Keadilan datangnya daripada Allah. Salah satu daripada nama-nama Allah ialah “Yang Maha Adil”. Keadilan lazimnya digandingkan dengan kebenaran, kerana tanpa mengetahui etika tersebut, kita tidak dapat meletakkan sesuatu pada tempatnya, apatah lagi amal bakti yang diiktiraf sebagai berkebajikan di sisi Allah Taala. Di dalam Surah Al-Maidah ayat 8, Allah menyebut :

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.”


Ayat ini membuktikan bahawa kebenaran dan keadilan tidak dapat dipisahkan. Seorang Muslim yang dibimbing wahyu Allah pasti meyakini bahawa menerima keadilan adalah ketaatan, menegakkannya adalah kewajiban dan memperjuangkannya adalah jihad. Dalam urutan keutamaan yang ditentukan oleh Islam dalam sebuah pemerintahan menurut Imam al-Mawardi, keadilan terletak di tempat yang tinggi selain daripada amanah. Ketinggiannya itu mengatasi perkara-perkara lain seperti kestabilan dan kemakmuran ekonomi. Kerana kestabilan negara yang dipimpin oleh pemerintah yang korup, sebenarnya adalah kestabilan yang palsu.

Sekiranya nilai kebenaran dimanipulasi dan keadilan dikesampingkan dalam sesebuah etika pemerintahan, maka tunggulah detik-detik kehancuran. Masyarakat tidak lagi percaya dan yakin dengan sistem perundangan yang rosak serta pemerintahan yang zalim. Natijahnya masyarakat akan menyelesaikan masalah masing-masing dengan caranya tersendiri seperti pemberontakan, pengeboman, keganasan dan apa jua cara kekerasan sehingga menumpahkan darah.

Dalam Islam, keadilan merentasi batas kaum dan bangsa bahkan agama. Hanya apabila keadilan telah ditegakkan dan kezaliman dihapuskan, maka kebaikan-kebaikan yang lain akan terlaksana dengan jayanya. Begitupun perlu kita fahami bahawa keadilan bukan hanya satu konsep yang berkaitan dengan pemerintahan dan politik sahaja, walaupun sehingga ke hari ini konsep keadilan terus menjadi tema penting terutamanya dalam bidang pemerintahan. Melaksanakan keadilan dan menghapuskan kezaliman juga merupakan antara falsafah sistem kehakiman dalam Islam.

Sebelum tema keadilan menjadi konsep politik, ia adalah konsep terulung bersifat metafizik yang diperjuangkan Rasulullah SAW. Oleh sebab itu, keadilan tidak lebih daripada satu perkataan yang boleh membangkitkan emosi, bahkan penegakan syiarnya juga adalah sebuah agenda Islam bagi meneruskan legasi perjuangan baginda Rasulullah SAW. Oleh itu, Ibn Khaldun (1332 M - 1406 M) di dalam “Muqaddimah”, turut mengaitkan ketidakadilan adalah penyebab kerosakan struktur negara sekaligus memporak-perandakan bangsa.

Ketika Islam tersebar di Andalus, keadilan adalah mercu tanda penyebaran dakwah yang menjadi haruman di kota yang penuh berprestij itu. Kehadiran umat Islam di Andalus bukanlah suatu bentuk yang agresif mahupun permisif, tetapi atas permintaan pemerintah bahagian Ceuta (wilayah Sepanyol terletak di Afrika Utara) ketika itu yang bernama Count Julian untuk membalas dendam terhadap Raja Don Roderic yang telah melakukan kekejaman dan penindasan di Andalus. Maka, jemputan Count Julian itu adalah untuk mengembalikan keadilan di Andalus dengan meyakini umat Islamlah pelopornya yang layak dijadikan pautan.

Kehadiran Islam di Andalus sekali gus menjadikan kota itu sebagai model terbaik bagaimana toleransi beragama telah dilaksanakan oleh umat Islam jauh sebelum konsep itu kini kononnya diperjuangkan oleh Barat. Ramai sejarawan Barat sendiri termasuk Edward Gibbon (1737 M – 1794 M) mengakui bahawa ketika zaman Andalus diperintah oleh orang Islam yang memakan tempoh ratusan abad, orang-orang Kristian dan Yahudi hidup dalam kedamaian dan keamanan. Namun, malangnya toleransi beragama yang dicontohkan oleh umat Islam tidak dihargai baik oleh orang-orang Yahudi mahupun Kristian.

Toleransi hancur setelah Andalus berada di tangan orang-orang Kristian. Sejarah mencatatkan pada abad ke-13 sahaja, 3 juta orang Islam dan 2 juta orang Yahudi diusir dari Andalus. Bukan hanya umat Islam dipaksa tukar agama, bahkan masyarakat Kristian yang beraliran “Unitarian” juga dipaksa bertukar kepada “Trinitarian”. Seramai 40 ribu orang Yahudi menerima “Converso” (masuk Kristian secara paksa). Ia berlaku setelah Andalus ditakluki Ferdinand III. Masjid Cordova yang indah dan megah, dibina Abd al-Rahman al-Dakhil pada 788 Masihi ditukar menjadi gereja pada 1236 Masihi.

Tahun-tahun berikutnya berlaku operasi pemurtadan secara besar-besaran di Andalus. Tribunal kegerejaan dilaksanakan dengan amat kejam, orang Kristian yang tidak mengamalkan ajaran Trinitarian digantung dan dibakar, sehingga masyarakat Andalus berada dalam kegelapan kembali setelah berada dalam kemuncak ketamadunan. Hanya pada 1813 M inkuisisi tersebut dinyatakan sebagai bertentangan dengan perlembagaan dan dihapuskan pada 1834 M. Inkuisisi itu jugalah yang menimbulkan kebencian masyarakat Eropah kepada agama dan dan melahirkan semangat ilmiah moden dan rasional melampau sehingga anti kepada konsep ketuhanan.

Begitupun sebenarnya titik-titik hitam dalam sejarah pemerintahan khilafah Islam di Andalus mula memperlihatkan petanda kejatuhannya apabila keadilan tidak lagi menjadi prinsip pentadbiran mereka. Ketika keadilan dibakul-sampahkan, bukan hanya cahaya ketamadunan dan keilmuan hilang dari bumi Andalus, kedamaian beragama juga hilang dari bumi yang kini disebut Sepanyol itu. Populasi masyarakat Islam di Andalus ketika itu semakin berkurangan akibat penindasan dan operasi pemurtadan beramai-ramai.

Ayuh kita perhatikan ketika Al-Hakam I (796M) menaiki takhta menggantikan ayahnya iaitu Hisham, bahawa ayahandanya telah berpesan, “Hendaklah kamu (wahai Hisham) berlaku adil kepada semua tanpa mengira miskin atau kaya, berbuat baik dan berlemah lembut kepada orang yang bergantung kepadamu. Kerana semuanya sama-sama ciptaan Allah. Amanahkan penjagaan kota-kota dan daerah-daerahmu kepada ketua yang setia dan berpengalaman; kenakan hukuman tanpa belas kasihan menteri-menteri yang menindas rakyatmu...”

Namun, malangnya Al-Hakam I tidak mengikuti pesan ayahnya. Al-Hakam I justeru tidak peduli nasib rakyatnya, bahkan kejam terhadap mereka. Beliau merupakan sultan pertama yang dikelilingi 6 ribu pengawal peribadi. Beliau menghukum rakyatnya dengan kejam walaupun atas kesalahan kecil, sehingga menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan berlakulah beberapa siri pemberontakan. Pada zamannya juga Barcelona jatuh ke tangan Kristian, dan ia adalah kejayaan besar pertama diperoleh oleh Kristian. Kejayaan tersebut telah memberikan momentum “reconquesta” (penaklukan kembali) kepada golongan Kristian untuk menyerang umat Islam. - rujuk “al-Mu'jib fi Talkhis Akhbar al-Maghrib”

Selain percubaan serangan yang ingin dilakukan oleh kaum Kristian untuk melakukan reconquesta terhadap kerajaan-kerajaan Islam di Andalus, perpecahan dalaman akibat perbezaan kasta kepada umat Islam turut berlaku. Sifat angkuh golongan autokrat terhadap golongan bawahan, antara bencana tertewasnya tentera Islam dalam peperangan Las Navas de Tolosa pada 1212 Masihi, perang di mana kembalinya titik peralihan golongan Katholik menguasai Andalus. Dalam peperangan tersebut berlaku keengganan sultan dinasti al-Muwahidun mendengar nasihat panglimanya berbangsa Barbar yang lebih berpengalaman. Kekalahan itu menyebabkan 70 000 orang Islam disembelih atas arahan ketua bishop wilayah Toledo, Rodrigo Jiménez de Rada.

Zaman kejatuhan Andalus juga ditandai dengan kerakusan golongan pemerintah yang sanggup memperalatkan ulama. Perkara ini diakui Ibnu Khaldun di mana beliau sempat menyaksikan peristiwa bagaimana kerajaan-kerajaan Islam yang gagah perkasa di Andalus, tumbang satu persatu akibat fungsi dan peranan ulama tidak diberikan kedudukan yang sewajarnya. Ibnu Khaldun menceritakan ketika beliau berada di Andalus, ulama sering diperalatkan golongan pemerintah. Penghargaan terhadap ulama yang pada awal Islam benar-benar jujur dan ikhlas bertukar menjadi pemanfaatan para pemimpin (umara) terhadap kaum ilmuwan (ulama).

Jelas Ibnu Khaldun lagi, bibit-bibit zaman kejatuhan Andalus ketara terpampang apabila sering berlaku perpecahan politik dan perebutan kuasa yang amat dahsyat sehingga pemerintah cuba melakukan apa sahaja untuk memastikan kuasa berada di tangan mereka. Pertikaian dalaman berlaku setelah kekuasaan tidak lagi berada di tangan pemimpin yang adil. Kerajaan-kerajaan kecil yang dinamakan dengan “Muluk al-Tawaif”  atau taifa de reyes, terlalu lemah untuk melawan gelombang reconquesta. Maka, adalah suatu kebodohan jika kesilapan-kesilapan masa lalu itu kita ulangi di masa ini.

Benar, umat Islam pernah memiliki model kemajuan yang indah dan gemerlapan di masa lalu. Tetapi, sungguh malang apabila cita-cita kegemilangan berhujung dengan kejatuhan demi kejatuhan, apatah lagi jika kejatuhan tersebut berpunca daripada keruntuhan nilai-nilai keadilan sedangkan Islam menegaskan umatnya berlaku amanah dan adil. Untuk kembali bangkit, yang kita perlukan adalah kesungguhan dan keikhlasan, bukan hanya semangat dan slogan-slogan kosong. Yang jelas nasib umat Islam pada masa depan ditentukan oleh apa yang kita lakukan pada hari ini.

http://www.tarbawi.my

Apabila Datuk Seri Najib menyeru kepada Islam


Mohammad Faizal Che Yusof, 06 Ogs 2013
Teruja? Memang teruja bila mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru untuk rakyat menerokai kandungan kitab suci al-Quran dengan membaca dan memahami ayat demi ayat seterusnya mengajak umat Islam menjadikan generasi sekarang sebagai generasi al-Quran.

Memetik daripada laporan Bernama 5 Ogos 2013 sewaktu merasmikan pusat percetakan Mashaf al-Quran di Kuala lumpur, antara lain beliau menyebut, "Jadikanlah pembacaan al-Quran itu sebagai budaya kita, mudah-mudahan kita akan memperolehi keberkatan dan petunjuk,".

Biarlah entah berapa kali kata-kata sedemikian telah dilontarkan oleh Datuk Seri Najib, saya tetap teruja dengan gesaan tersebut. Dengan keberkatan bulan Ramadhan ini, saya mendoakan kata-kata yang dilafazkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak tersebut mampu menusuk ke jantungnya, tertanam di lubuk hati beliau yang paling dalam untuk beliau mendahului yang lain melaksanakan dan mengotakan apa yang dikata.

Biarlah ucapan beliau tersebut umpama manisnya kempen pilihan raya, itu tidak kisah. Nama pun ahli politik. Apatah lagi laporan tersebut juga dipautkan dalam ruang politik.

Mendahului gesaan tersebut sehari sebelumnya, dalam ucapan beliau di Pekan, Datuk Seri Najib telah menyeru agar seluruh umat Islam di negara ini bersatu dengan mencari titik pertemuan biarpun berbeza ideologi politik. Beliau nyatanya sedar bahawa politiklah antara punca membawa kepada umat Islam di negara ini berpecah lantaran gagal memahami al-Quran dan menhayati isi kandungannya.

Sejurus selepas Pilihan Raya Umum PRU 13 lalu, seorang ulama Umno ada menyebut kepada saya. “Alangkah baiknya apabila orang-orang PAS masuk Umno. Orang-orang PAS ni baik. Mereka berpegang kepada Islam. Masuk Umno, dakwahlah orang-orang dalam Umno supaya semua orang Umno jadi baik dan berpegang kepada Islam”.

Satu persoalan yang boleh kita fikirkan, adakah perpecahan itu secara mutlaknya salah? Mari kita renung satu perumpamaan ini. Sepohon pohon jati ditebang. Dikerat dan dipotong batangnya. Maka pohon jati yang tadinya satu dan bersatu kini telah pecah dan terpisah.

Apakah kebaikan hilangnya kesatuan pohon jati tersebut? Akhirnya pohon jati yang dipecah dan dikerat tadi disatukan dengan pelbagai rupa bentuk yang dinamakan perabot dan pelbagai binaan.

Perbezaan pendapat dan perpecahan kesatuan itu adalah lumrah alam yang telah ditentukan Allah. Justeru, terpulang kepada kitalah untuk mengurus perbezaan dan perpecahan tersebut agar kebaikan akhirnya diperoleh.

Apabila politik dikatakan menjadi punca kepada perpecahan umat Islam, ia bukanlah menjadi masalah besar jika kita kembali kepada apa yang difirmankan Allah SWT agar kita kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Tidak perlu timbul gesaan untuk orang PAS masuk Umno kerana PAS sendirinya akan hilang apabila Umno ikhlas melaksanakan dan menegakkan hukum Allah. Itulah jaminan PAS sebagaimana yang sering disuarakan oleh Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Aziz Hj Nik Mat, mantan menteri besar negeri Kelantan.

Datuk Seri Najib pastinya sedar selama ini siapa yang menjadi mangsa kepada perbezaan ideologi politik ini. Siapa yang teraniaya dalam banyak isu apabila berbeza politik. Siapa yang dinafikan pelbagai hak apabila berbeza politik. Tentunya tiada individu muslim yan gakan menolak apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan langkah untuk benar-benar memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran secara menyeluruh dan tidak terpilih.

Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri seharusnya sedar dan faham apabila seruan kepada Islam dilaungkan, ia bermakna setiap individu muslim atas apa jua kapasiti wajip tunduk kepada setiap inci perintah dan larangan Allah dan sedia dipertanggungjawabkan pada hari mahsyar kelak.

Menyeru kepada Islam bermakna kesediaan permerintah menyediakan keperluan kepada setiap hamba rakyat, tidak terhad kepada mereka yang kita sayangi, bahkan juga kepada rakyat miskin, golongan OKU, permudahkan perjalanan rakyat yang bermusafir bukan kesulitan pelbagai saman  dan keperluan mereka yang bukan beragama Islam.

Menghayati al-Quran bermakna setiap janji mesti dikota, tiada lagi pengkhianatan atas apa jua alasan dan tiada lagi diskriminasi terhadap rakyat atas apa jua justifikasi.

Justeru, Datuk Seri Najib wajar memulakan langkah untuk rakyat sama-sama faham dan terus menghayati setiap isi kandungan al-Quran. Lunaskan setiap janji pilihan raya, tunaikan segala persetujuan termasuklah perjanjian royalti dan petroleum antara Petronas dan kerajaan negeri, pastikan rakyat menikmati pembangunan negara meskipun tidak menyokong Umno, benteras dan perangi setiap jenayah termasuk amalan rasuah.

Jika gergaji dan kapak yang menebang dan memecahkan pohon jati, gergaji dan kapak jugalah menyatukan kayu jati. Demikianlah halnya apabila politik dikatakan memecah belahkan rakyat, politik jugalah alatnya menyatu padukan rakyat.

Sekali pemimpin sedia melaksanakan keadilan, seribu kali rakyat yang cintakan Islam akan bersama. Sebaliknya, satu langkah menafikan keadilan, seribu penentangan bangkit menolak kepimpinan. Moga Ramadhan 1434H meninggalkan bekas-bekas takwa untuk bekalan menempuh hari mendatang buat Malaysia yang tercinta. – 28 Ramadhan 1434H.

Selasa, 6 Ogos 2013

Kebenaran Al-Quran Misteri Binaan Piramid Terjawab


by Hasnul Hadi Ahmad on December 27, 2011

Sudah sekian lama para saintis kebingungan tentang bagaimana sebuah piramid yang merupakan salah satu binaan ajaib di dunia ini dibina. Terdapat pelbagai teori yang dikemukakan untuk mengetahui teknologi yang digunakan dalam pembinaan piramid ini kerana teknologi untuk mengangkat batu-batuan besar yang beratnya mencapai ribuan kilogram ke puncak bangunan belum memungkinkan di zamannya. Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid ini?
Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan satu berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah dari tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.
Al-Quran Telahpun Mempunyai Jawapan
Jika dikaji lebih mendalam, ternyata Al-Quran telah mendedahkan perkara ini 1400 tahun sebelum kajian saintifik dijalankan. Perhatikan sebuah ayat Al Quran yang berikut:

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرِي فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَلْ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ

“Dan berkata Fir’aun: ‘Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah Hai Haman untukku TANAH LIAT kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa Dia dari orang-orang pendusta.”
(Al-Qasas: 38)
Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir di dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan adalah sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.
Profesor Gilles Hug, dan Dr. Michel Barsoum menegaskan bahawa Piramid yang paling besar di Giza, dibuat dari dua jenis batuan yang terdiri dari batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil dari olahan tanah liat.

Artikel kajian yang diterbitkan oleh majalah “Journal of the American Ceramic Society” menegaskan bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Kerana tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu berat ribuan kilogram. Sebaliknya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi.
Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan ini akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Ringkasnya lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki tersebut dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.  Gambar – Gilles Hug (duduk kiri) dan Dr. Michel Barsoum (berdiri)
Profesor Davidovits
Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, Davidovits menegaskan bahawa batu itu diperbuat dari lumpur. Selama ini, tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam dengan batu buatan manusia.
Sebelumnya, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan dari pembuatan batu besar di puncak-puncak piramid. Guy Demortier berkata, “Setelah bertahun-tahun melakukan penyelidikan dan kajian, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat.”
Piramid Bosnia
Penemuan oleh Dr Perancis Joseph Davidovits ini adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira dua puluh tahun. Sebuah kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, “Piramid Matahari” dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat dari tanah liat. Ini memperkuatkan lagi bahawa kaedah ini tersebar luas di masa lalu.
Gambar di atas menunjukkan kaedah tuangan batu berasal dari tanah liat telah dikenali sejak ribuan tahun yang lalu dalam tamadun yang berbeza baik Rom ataupun Firaun.

Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita semua bahawa bangunan bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman dahulu, juga dibina dari tanah liat. Al-Quran adalah kitab pertama yang mendedahkan rahsia bangunan piramid, bukan para Ilmuwan Amerika, mahupun Perancis.
Kita tahu bahawa Nabi saw tidak pernah pergi ke Mesir dan tidak pernah melihat piramid, bahkan mungkin tidak pernah mendengar tentangnya. Kisah Firaun, terjadi sebelum masa hidupnya Nabi saw ribuan tahun yang lalu, dan tidak ada satu pun di muka bumi ini pada masa itu yang mengetahui tentang rahsia piramid. Sebelum ini, para saintis tidak pasti bahawa Firaun menggunakan tanah liat yang dipanaskan untuk membina monumen tinggi kecuali beberapa tahun kebelakangan ini.
Ajaib, 1400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad saw, beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang kini dikenali sebagai Piramid menggunakan tanah liat.
Kenyataan ini sangat jelas dan kuat untuk membuktikan bahawa Nabi Muhammad saw tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan petunjuk dari Allah swt yang menciptakan Firaun dan menenggelamkannya, dan Dia pula yang menyelamatkan nabi Musa. Dan Dia pula yang memberitahu kepada Nabi terakhir-Nya akan hakikat ilmiah ini, dan ayat ini menjadi saksi kebenaran kenabiannya di kemudian hari.
Rakyat Marhaen
Wallahu’alam….

Isnin, 5 Ogos 2013

Tamim Ad-Dariy Mengenai Al-Masih Ad-Dajjal

by Hasnul Hadi Ahmad on July 18, 2010

Dari Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya telah mendengar muazzin memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah SAW. Selesai solat, Rasulullah SAW naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda SAW tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua duduk di atas sejadahnya.” Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?” Kami menjawab: “Allah dan RasulNya yang lebih tahu.”
Rasulullah SAW berkata lagi: “Demi Allah aku menyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya.
Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya.
Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?” Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.” Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?” Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.
Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?” Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?”
Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini.
“Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”
Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya.” Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan: “Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” nama tempat di negeri Syam. Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang tuan maksudkan?” Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?” Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah.”
Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabariah.” Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.” Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering.”
Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?” Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.” Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, mereka memeranginya.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa Rasulullah SAW telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.
Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya.” Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.”
Katanya lagi, “Rasulullah SAW menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?” Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.” Rasulullah SAW berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah SAW sambil menunjuk ke arah timur.
Rasulullah SAW telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau Isfahan.
Wallahu’alam….

Rahsia Di Sebalik Janggut Suami Pada Isteri


by Hasnul Hadi Ahmad on January 11, 2012

Rahsia Di Sebalik Sunnah Memelihara Janggut
Sabda Rasulullah SAW:
“Cukurlah (menipiskan) kumis dan peliharalah janggut.” (HR. Muslim)
“Tuhanku memerintahkanku untuk memelihara janggutku dan memotong kumisku.” (HR. Thabrani)
Kajian Di Sebalik Sunnah Memelihara Janggut
Satu kajian yang dijalankan terhadap janggut menemui satu lagi bukti saintifik mengenai sunnah Nabi Muhammad saw dalam memelihara janggut, ini menunjukkan bahawa wahyu Allah yang diturunkan keatas Nabi Muhammad saw mendahului penemuan saintifik sejak lebih 1400 tahun yang lalu.

Rahsia Di Sebalik Janggut Suami Pada Isteri
Dr Jamnul Azhar Mulkan, seorang doktor perubatan, pemilik rangkaian klinik juga seorang pendakwah, dalam satu ceramah, mendedahkan hasil kajian yang sangat luar biasa mengenai khasiat janggut.
Menurutnya, kajian oleh saintis dari Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat yang berjudul The Amazing Fact of Human Body mendapati janggut lelaki mengandungi hormon testosteron yang amat diperlukan bagi kesuburan wanita. Ia mampu menstabilkan kitaran haid selain menggalakkan pertumbuhan telur wanita.
Dalam kata yang lain, janggut lelaki juga boleh meningkatkan tahap kegalakan pasangannya.
Bagaimana Caranya?
Hanya melalui sentuhan. Jadi kepada sesiapa yang belum mempunyai anak kerana mengalami masalah kesuburan, mintalah suami anda menyimpan janggut, dan belailah selalu janggut suami anda.
Kata Dr Jamnul Azhar, kajian itu beberapa kali diulang tayang oleh National Geographic.
Ini sekali gus menjadi bukti apa yang disarankan oleh Islam sejak zaman silam, boleh dibuktikan secara saintifik akan hikmah dan kelebihannya.
Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah A-li’Imraan 3:191)
Wallahu’alam

Cara Melebatkan Rambut Yang Tumbuh Jarang-Jarang


by Hasnul Hadi Ahmad on August 2, 2013
Lebatkan Rambut
Cara Melebatkan Rambut Yang Tumbuh Jarang-Jarang
Cara Lebatkan Rambut
Rambut yang lebat boleh menjadi aset kepada penampilan anda untuk nampak cantik dan segak. Oleh itu, bagi anda yang ingin dapatkan rambut yang lebat, di bawah ini di sediakan tips lebatkan rambut, antaranya ialah:
1- Untuk lebatkan rambut anda, anda perlu sentiasa basuh rambut anda supaya ia kekal lembap. Jangan basuh rambut anda dengan air panas. Sebaliknya basuh rambut anda dengan air sejuk.
2- Urut kulit kepala anda. Jangan hanya meraba–raba kepala anda. Sebaliknya urut seperti anda urut pada bahagian badan yang lain. Urutan pada bahagian kepala boleh menghasilkan rambut yang lebat dan kuat. Buktinya, ada kedai gunting rambut mamak dan salon mengurut kepala pelanggan mereka untuk lebatkan rambut.
3- Untuk lebatkan rambut, anda perlu makan banyak makanan yang mengandungi vitamin A dan vitamin D.
4- Makan banyak sayur–sayuran dan buah–buahan. Sayur dan buah mengandungi vitamin B6, zink dan magnesium di mana ia penting untuk memberi kekuatan kepada rambut anda. Rambut anda akan lebat apabila rambut anda kuat.
5- Amalkan senaman pada setiap hari atau tiga kali seminggu. Senaman akan kurangkan rasa tekanan dan melancarkan aliran darah di dalam badan. Rambut anda akan lebat apabila anda kurang tekanan atau stress. Aliran darah yang lancar juga membantu rambut anda untuk jadi sihat dan tumbuh lebat.
6- Tip-tip lebatkan rambut berikutnya adalah kurangkan minum minuman yang mengandungi kafein dan banyakkan minum air kosong dan jus buah–buahan.
7- Gunakan produk kecantikan yang boleh lebatkan rambut anda.
8- Elakkan menggunakan syampu yang mengandungi terlalu banyak bahan kimia. Bahan kimia seperti yang kita tahu akan memberi kesan yang teruk kepada rambut anda.
Cara Merawat Rambut Yang Tumbuh Jarang-Jarang
Ramai lelaki dan wanita mempunyai masalah rambut yang tumbuh jarang–jarang iaitu menghampiri keadaan botak. Jika anda mempunyai masalah ini, anda boleh mencuba cara merawat rambut jarang di bawah ini:
1- Cara merawat rambut yang pertama adalah beli produk yang mampu melebatkan rambut anda. Gunakan produk tersebut mengikut arahan dan tunggu kesannya.
2- Jangan cabut rambut anda. Ada lelaki yang memiliki rambut jarang–jarang pada bahagian depan kepala suka menarik rambut di sekitar itu. Akibatnya rambut tidak tumbuh–tumbuh lagi.
3- Urut kulit kepala anda selama lima minit sehari. Urut dengan kelajuan yang perlahan. Urut pada bahagian kepala akan membantu kulit kepala untuk mempunyai kekuatan dan aliran darah yang baik. Hasilnya rambut anda akan terangsang untuk tumbuh memandangkan darah membawa zat yang cukup untuk rambut anda.
4- Kurangkan pengambilan makanan yang mengandungi bahan kimia. Sebaliknya anda fokus banyakkan makan buah dan sayur. Seperti yang kita tahu bahan kimia akan beri kesan yang teruk kepada badan. Antara kesannya adalah rambut gugur dan tidak tumbuh–tumbuh.
5- Cara merawat rambut yang seterusnya adalah anda banyakkan makan makanan yang mengandungi protein dan omega.
6- Antara agen kepada pertumbuhan rambut adalah protein keratin. Pengambilan protein secara konsisten boleh merangsang pertumbuhan rambut anda. Apabila anda ingin cuba cara ini, anda perlu mengambil protein pada setiap hari. Selain itu, anda perlu urut–urut kulit kepala anda secara konsisten juga. Gabungan pengambilan protein dan mengurut kepala pasti boleh merangsang pertumbuhan rambut anda.
Masalah rambut gugur memang memeningkan kepala. Keyakinan sangat rendah apabila bertemu rakan sekerja, berjumpa pelanggan, ada majlis makan malam, majlis konvokesyen dan sebagainya. Tetapi jangan gundah gulana, download Ebook PERCUMA Teknik Mudah Lebatkan Rambut Dalam 30 Hari!! klik di sini. Insyaallah masalah rambut gugur anda akan selesai.
Wallahu’alam….