VIDEO
Walau
berdepan kesulitan dan amaran keras pihak berkuasa, Pakatan Rakyat
meneruskan acara kemuncak perhimpunan 'Black 505' di Padang Merbok,
Kuala Lumpur hari ini.
Kumpulan perserta berkenaan dijadualkan
berhimpun di tujuh lokasi utama yang ditetapkan dan akan berarak dari
lokasi masing-masing ke padang itu - sebagai tanda bantahan mereka
terhadap dakwaan berlakunya penipuan dalam pilihan raya umum lalu.

Tujuh
lokasi tersebut adalah di Jalan Pekeliling, ibu pejabat PAS di Jalan
Raja Laut, kawasan sekitar Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan
Sultan, Brickfields, Universiti Malaya dan Masjid Negara.
Wakil parti politik dan NGO akan mengetuai peserta perhimpunan yang bakal memenuhi padang tersebut petang ini.

Penganjur
berkali-kali menegaskan bahawa perhimpunan hari ini akan berlangsung
dengan aman, walau polismendakwa peserta akan menimbulkan provokasi
terhadap pihak berkuasa dan mencetuskan huru-hara.
Kumpulan
peserta ini membawa tiga tuntutan utama - menuntut kepimpinan SPR
meletak jawatan, mengadakan pilihan raya semula bagi 30 kawasan, dan
menghentikan persempadanan semula sehingga kepimpinan SPR baru dilantik.
Cuaca di Kuala Lumpur hari ini cerah, namun agak berjerebu.
Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan terus ke Padang Merbok dan tidak menyertai perarakan.
Setakat
jam 2 petang ini, dianggarkan seramai 10,000 orang telahpun berhimpun
di lokasi berasingan dan akan bergabung di Padang Merbok.
LAPORAN LANGSUNG
5.50pm: Padang Merbok - Sebanyak 30 buah khemah telah didirikan di atas Padang Merbok.
Jurucakap SMM, Ehsan berkata, mereka menjangkakan seramai 100 orang yang akan berkhemah pada hari ini.
Pada ketika ini juga orang ramai mula bersurai dari Padang Merbok.
5.30pm: Padang Merbok -Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya mendesak kepimpinan SPR meletak jawatan.
Katanya,
pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf secara khususnya perlu
meletak jawatan berhubung kegagalannya dalam isu penggunaan dakwat
kekal.

Katanya lagi, timbalan Abdul Aziz pula, Datuk Wan Ahmad Wan Omar pula bersikap sombong.
"Kamu tidak layak (memimpin SPR). Kamu bicara dengan sombong. Orang ini sepatutnya didakwa di mahkamah," katanya.
Beliau
juga memberi amaran kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan
juga menteri dalam negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar tidak
mempertahankan SPR.
"Kamu dah hilang mandat. Kamu tak sanggup ambil tindakan kepada mereka sebab mereka berjasa kepada Umno," katanya.

Anwar
juga menyatakan alasan di sebalik usul Pakatan untuk melantik Hakim
Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai speaker Dewan
Rakyat.
"Kita ketengahkan beliau kerana, kita tidak mahu jadi alat pekakas Umno.
"Kedua,
kita tidak mahu disalahtafsir sebagai menghina Yang di-Pertuan Agong
memandangkan keesokan hari, Tuanku akan merasmikan sidang parlimen.
Dalam
ucapan selepas itu, pengerusi SAMM Badrul Hisham Shaharin pula berkata
NGO berkenaan serta pergerakan siswa SMM akan terus berkhemah di Padang
Merbok.
5.10pm: Padang Merbok - Salahudin Ayub
berkata walaupun beliau kalah dalam pilihan raya, tetapi beliau telah
berjanji akan teruskan perjuangan 'Black 505'.

"Saya tak akan lari dan berundur, selagi BN tidak undur dan tersungkur dari bumi Malaysia.
"Kawan
Tiong chua kata, kalau saya tak menang pilihan raya boleh pergi Hong
Kong, boleh berlakon filem sebab muka saya macam Jackie Chan. Tapi itu
bukan pilihan saya,
"Saya di sini untuk tumbangkan mereka tak
lama lagi. Kita perlu berjuang hari ini, esok, bulan depan, selagi tak
selesai.Kita berjuang atas nama kebenaran," katanya.
Dalam ucapan
sebelum itu, aktivis mahasiswa Adam Ali merayu rakyat supaya keluar
daripada zon selesa dan merayu supaya pertahankan Dataran Merbok
sehingga kepimpinan SPR letak jawatan.
"Mahu seluruh turun ke Dataran Merbok perlu pertahan, jangan dirampas kembali kepada kuasa yang angkuh.
"Jangan
sia-sia perjuangan ini. Nak menang perlu perjuang terlebih dahulu. Kita
datang untuk menang bukan untuk pulang. Kita akan robek kekuasaan BN,"
katanya.
4.50pm: Padang Merbok - Aktivis
Hishamuddin Rais dalam ucapannya berkata beliau sering berpendapat
bahawa usaha untuk menukar kerajaan melalui pilihan raya adalah jalan
yang mustahil.
"Saya sering katakan, mustahil.
"(Caranya) Jalan raya, jalan raya," katanya berulang kali.
Beliau
memberi amaran bahawa golongan anak muda akan terus berkhemah di Padang
Merbok sekiranya pemimpin SPR tidak meletak jawatan pada hari Isnin.
4.40pm: Padang Merbok - Dua
orang pegawai penguatkuasa DBKL tiba ke kawasan khemah yang didirikan
dan meminta para peserta untuk merobohkan struktur tersebut.

Seramai 20 orang peserta yang tidak berpuas hati dengan amaran itu kemudiannya mengerumuni dan mengasak pegawai tersebut.
Salah seorang daripada pegawai tersebut kemudiannya beredar dari kawasan tersebut.
Namun
rakannya membalas asakan para peserta dan menolak salah seorang dari
anggota kumpulan terbabit sehingga individu tersebut terjatuh.
Susulan
itu, pegawai terbabit terpaksa diiring oleh sekumpulan kira-kira 10
orang pegawai DBKL lain serta unit amal PAS sehingga ke satu van milik
DBKL.
Van tersebut kemudiannya dikerumun oleh sekumpulan 50 orang
lagi peserta himpunan yang kelihatan marah dengan tindakan pegawai
tersebut sebelum itu.
Pegawai tersebut kemudiannya dibawa meninggalkan kawasan itu dengan satu kenderaan lain, dengan iringan polis
4:35pm: Padang Merbok -
Beberapa orang peserta dari kalangan aktivis SAMM, Solidariti Mahasiswa
Malaysia (SMM) dan NGO Suara Rakyat 505 mendirikan lima buah khemah di
bahagian tengah Padang Merbok.

Menurut jurucakap SMM, Ehsan Bukharee berkata, lebih banyak lagi khemah akan didirikan selepas ini.
4.30pm: Padang Merbok - Pengerusi majlis Badrul Hisham Shaharin mengumumkan bahawa perhimpunan hari ini berjaya mengumpul kehadiran lebih 55,000 orang.Beliau juga meminta para peserta agar tidak bersurai sehingga polis membebaskan naib presiden PAS Datuk Husam Musa.
4.00pm: Ampang - Naib presiden PAS Husam Musa dalam satu kiriman SMS berkata beliau
ditahan dan dibawa ke balai polis Ampang.
Katanya, beliau ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
Butiran
lanjut mengenai penahanan berkenaan masih belum diperolehi namun ia
dijangka mempunyai kaitan dengan kenyataannya beberapa hari lalu
berhubung kehadiran ke perhimpunan 'Black 505' hari ini.

Sementara itu di
Padang Merbok,
bekas MB Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin dalam ucapannya berkata
Pakatan Rakyat memenangi undi sebanyak 55 peratus di Perak, manakala BN
hanya 44 peratus.
Katanya, Ini membuktikan rakyat tolak BN, dan mahu pr terajui kerajaan.
Katanya, peguam PAS telah hantar lapan petisyen pilihan raya bagi membukti segala salah laku yang didakwa yang dibuat oleh BN.
"Kalau dua petisyen kalah, dia akan tumbang di Perak. Tuan-tuan nak tgk BN tumbang di Perak? Jadi doa terus.
"Dari lapan, kita mohon dua utk menyebelahi kita dan tumbang bn dan zambry. Itu permintaan drpd Pakatan Perak," katanya.
3.23pm: Padang Merbok - Timbalan
Speaker Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kehadiran orang ramai ke
perhimpunan itu membuktikan semua ancaman oleh Umno dan BN tidak
berkesan.
Katanya, ini kerana orang ramai mempunyai pesanan yang
jelas iaitu "pilihan raya pada 5 Mei dimenangi rakyat dan Umno-BN
ditewaskan".
3.37pm: Padang Merbok - Pengerusi
Bersama BERSIH Datuk S Ambiga mula berucap dengan menegaskan bahawa
gabungan itu menyokong Black 505 untuk mendesak pengerusi SPR meletakkan
jawatan.
3.25pm: Padang Merbok - Pemimpin PKR Datuk Johari Abdul umumkan jumlah peserta di Padang Merbok cecah 30,000.
Beberapa
pemimpin utama Pakatan akan berucap tidak lama lagi. Pemimpin NGO
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin atau
Chegubard sedang mempengerusikan majlis.
3pm: Padang Merbok - Bekas speaker DUN Perak V Sivakumar berkata, pembangkang mendapat 118,000 undi lebih banyak daripada BN di negeri itu.
Oleh itu, katanya, Pakatan sebenarnya "tidak kalah" di Perak.
Beliau juga berkata akan mencalonkan dirinya sendiri untuk menjadi speaker dewan sekali lagi.

Beliau
juga mengingatkan, BN juga boleh menjadi mangsa pertukaran kerajaan
menggunakan kaedah sama yang berlaku secara kontroversi pada 2009.
Beliau bercakap kepada kira-kira 20,000 peserta di Padang Merbok.
Sementara
itu, di tempat sama, pengarah Perhimpunan Black 505 Rafizi Ramli ketika
ditemui sejurus tiba di Padang Merbok berkata, Ketua Umum PKR Datuk
Seri Anwar Ibrahim dijangka tiba pada jam 4 petang untuk memberikan
ucapan.
Beliau juga turut memberi jaminan bahawa perhimpunan pada hari ini juga akan berakhir pada kira-kira jam 7 petang.
"Kita jangka menjelang Maghrib perhimpunan ini dah bersurai," katanya.
2:45pm: Jalan Parlimen -
Peserta dari Jalan Sultan kini tiba di Padang Merbok. Di sepanjangJalan
Parlimen kira-kira 500 orang sedang menunggu di tepi jalan untuk
menyertai perarakan itu.
Peserta kini sedang memenuhkan Padang Merbok.
Di sekitar Padang Merbok kelihatan anggota polis di beberapa penjuru padang bagi memerhati perhimpunan.
2.45pm: Jalan Parlimen - Kumpulan
peserta yang berarak dari ibu pejabat PAS, Sogo dan Brickfields kini
bergabung di Jalan Parlimen dan seterusnya bergerak ke Padang Merbok.
Sementara itu di
Padang Merbok, sejumlah kira-kira 3,000 orang sudahpun berkumpul dan mendengar ucapan dari MP Sungai Petani Johari Abdul.
Beliau menasihati para peserta agar tidak memusnahkan harta awam, menjaga kebersihan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa.
2.42pm: Jalan Parlimen - Lebih 5,000 peserta yang bergerak dari Sogo di Jalan TAR memasuki Jalan Parlimen dan menuju ke Padang Merbok.
Sebahagian dari peserta berkenaan yang terdiri daripada golongan muda menyanyi 'anak muda tolak BN" sambil bertepuk tanga
n.
2.30pm: Jalan TAR
- Kumpulan peserta dari ibu pejabat PAS bergabung dengan peserta di
hadapan kompleks membeii-belah Sogo dan bersedia untuk meneruskan
perjalanan.

Kumpulan berkenaan turut melaungkan takbir serta slogan "Tumbang SPR", "SPR penipu" dan "Reformasi".
2.20pm: Jalan Parlimen
- Tren komuter KTMB yang sepatutnya bergerak melalui jambatan, yang
merentasi Jalan Parlimen berhampiran Bank Rakyat, terpaksa berhenti
seketika kerana terdapat peserta himpunan yang berdiri di atas landasan.
Peserta
berkenaan memenuhi kawasan landasan itu untuk merakam video dan gambar
perarakan peserta lain yang menuju ke Padang Merbok.
2.12 pm: Jalan Raja Laut - Sekumpulan
2,000 orang yang diketuai naib presiden PAS Salahuddin Ayub berjalan
melawan arus kenderaan menuju ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Mereka akan bergabung dengan kumpulan yang menunggu di hadapan kompleks membeli belah Sogo.
2.10pm: Jalan TAR - Sejumlah 2,000 orang menunggu ketibaan satu lagi kumpulan yang berarak dari ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.
Mereka seterusnya akan meneruskan perarakan ke Padang Merbok.
2pm: Brickfields - Naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengetuai 1,000 orang berarak ke Padang Merbok.

Dalam
ucapannya sebelum itu, Nurul menangkis kenyataan polis bahawa peserta
perhimpunan akan melakukan provokaasi ke atas pasukan keselamatan.
"Kenyataan
itu tidak berasas," katanya yang turut meminta para peserta agar
menjaga keselamatan anak-anak, terutama dalam keadaan cuaca berjerebu.
Sementara itu di
Jalan Sultan, seramai kira-kira 2000 peserta yang berkumpul juga mula berarak ke Padang Merbo.
Mereka
akan melalui Jalan Hang Kasturi, Jalan Tan Cheng Lock, Jalan Tun H.S
Lee, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Parlimen dan seterusnya menuju
ke Padang Merbok.
Pergerakan kumpulan berkenaan dibantu oleh anggota polis trafik yang membantu mengawal lalu lintas.
1.55pm: Masjid Negara - Sekumpulan 5,000 orang yang berhimpun di Masjid Negara mula berarak ke Dataran Merdeka selepas menunaikan fardu Zohor.Kumpuian berkenaan dikawal oleh unit amal PAS, dan diketuai timbalan presiden PKR Azmin Ali.
1.20 pm: Dataran Merdeka
- Seramai kira-kira 150 orang yang rata-rata berpakaian baju-T hitam
sedang duduk-duduk berhampiran Dataran DBKL bersebelahan Dataran
Merdeka.
Kumpulan ini menunggu untuk menyertai perarakan kumpulan lain dan seterusnya menuju ke Padang Merbok.
Selain
itu, terdapat juga beberapa individu yang mengambil peluang untuk
menjual kain selempang dan ikat kepala dengan yang mempromosi
perhimpunan 'Blackout 505'.
1.12pm: Jalan Raja Laut - Salahuddin
Ayub yang hadir bersama kira-kira 500 orang penyokong berkata PAS kesal
dengan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Saleh yang
mendakwa peserta akan melakukan kekecohan dalam perhimpunan ini.

"Kita
kesal dengan kenyataan ketua polis Kuala Lumpur yang dengan sengaja
mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, provokasi, bahawa peserta mahu
pertempuran.
"Kita yakin, kita adakan secara aman, kita ada
rekod cemerlang dalam Bersih dan siri Blackout, terbukti aman,
dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan tak cetus provokasi... Itu
komiten kita, kita tak bawa senjata," katanya.
Turut hadir di perkarangan bangunan ibu pejabat PAS itu ialah ahli parlimen Kuala Terengganu Raja Bahrin.
1:10pm: Jalan Sultan – Jumlah
peserta kini bertambah kepada seramai kira-kira 1,500 orang, yang
dipimpin pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham
Shaharin.

Badrul
Hisham dalam ucapannya dari atas sebuah lori di kawasan berkenaan
memimpin peserta untuk melaungkan slogan "SPR Penipu", "Jahanam SPR" dan
"Bangkit rakyat".
Turut hadir di perhimpunan itu ialah seorang peserta Orang Kurang Upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda, Fennix Lim, 25.
Katanya,
beliau datang dari Kluang Johor dengan menaiki van bersama rakannya,
semata-mata untuk menyertai perhimpunan ;Black 505'.
Menurutnya,
beliau ingin menuunjukkan kepada kerajaan bahawa rakyat mempunyai kuasa
untuk menolakkan keputusan pilihan raya umum yang lalu.
"Sebagai
rakyat Malaysia saya nak tunjuk pasa kerajaan dan SPR yang kita semua
menolak SPR. Saya datang demi demokrasi," katanya.
1.10pm: Masjid Negara - Naib
presiden PKR Azmin Ali dan pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman
disambut oleh para peserta sebaik tiba di kawasan masjid.
Kumpulan penyokong ini akan menunaikan fardu Zohor sebelum memulakan perarakan ke Padang Merbok.
1pm: Universiti Malaya - Seramai kira-kira 100 orang berhimpun di kawasan Masjid Ar-Rahman, di kampus ini.
Kebanyakan
daripada peserta tersebut terdiri dari golongan muda dan aktivis siswa,
yang akan berarak ke arah Brickfields dan bergabung dengan satu lagi
kumpulan di situ.
Beberapa orang pemimpin parti turut menyampaikan
ucapan, termasuk MP Bukit Katil Shamsul iskandar Md Akin dan aktivis
siswa Adam Adli.
12.30pm: Brickfields - Kumpulan
pendesak Justice for Beng Hock muncul di satu kawasan berhimpun –
Brickfields – untuk membangkitkan mengenai kes kematian K Murugan, yang
merupakan pembantu politik kepada calon parlimen Tapah, K Vasantha
Kumar.
Jurucakap kumpulan tersebut, Ng Yap Hwa berkata beliau dan
Vasantha akan menyerahkan satu memorandum kepada ahli Parlimen pada 27
Jun bagi menggesa agar siasatan dijalankan ke atas kes berkenaan.
Kumpulan
yang berhimpun di kawasan berkenaan, sementara menunggu untuk memulakan
perarakan ke Padang Merbok, memenuhi kawasan gerai berdekatan.
12.28pm: Jalan Raja Laut - Ketika
ditemui pemberita di luar ibu pejabat PAS, ahli parlimen Bukit Gantang
Idris Ahmad berkata perhimpunan kali ini sebagai menunjukkan rasa tidak
puas hati interaktif SPR dengan perjalanan PRU- 13.

"Mereka sering mendakwa kalau tak telus, bagaimana boleh menang tiga negeri menang.
"Kita kata, sebab tak telus, kita menang tiga negeri. Kalau telus, 13 negeri kita menang," katanya.
Katanya,
beliau melihat kehadiran anak-anak muda daripada pelbagai kaum, datang
sukarela dan mereka mahu tadbir urus SPR berjalan dengan baik.
Mengulas andaian bahawa peserta akan melakukan kekecohan sewaktu perhimpunan ini, Idris berkata ia hanya andaian sahaja.
Sedangkan
sebelum ini banyak perhimpunan dianjurkan oleh pembangkang dan NGO
seperti Bersih, Himpunan Kebangkitan Rakyat, mansuhkan Felda Global
Venture berjalan dengan aman.
"Semuanya aman elok. Tak ada
provokasi. Kalau Bersih 1, sebiji pasu bunga tak pecah," katanya sambil
menegaskan bahawa perhimpunan ini akan berjalan aman
"Insya-Allah. Kita disiplin. Kita ada trek rekod. Kita cakap berdasarkan," katanya.
Kira-kira 250 peserta telah mula berada di ibu pejabat PAS, ketika ini.
12.24am: Jalan Sultan -
Memandangkan cuaca jerebu, terdapat peserta yang kelihatan memakai
topeng muka. Penjual topeng muka juga mengambil kesempatan menjual di
tepi Jalan Sultan kepada peserta perhimpunan.
1205am: Masjid Negara - Bekas
menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin, anggota Parlimen
Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian dan pemerhati Majlis Peguam yang juga
anggota jawatankuasa BERSIH Andrew Khoo kelihatan tiba.
12:00pm: Jalan Sultan - Seramai kira-kira 200 orang peserta mula membanjiri satu kawasan kaki lima di Jalan Sultan.
Kegiatan
kumpulan berkenaan, yang turut mengumpul tandatangan untuk satu
petisyen bagi membantah satu projek pembinaan di kawasan terbabit,
diawasi beberapa orang anggota polis berpakaian seragam.
Turut kelihatan tiga anggota polis trafik bagi membantu melancarkan aliran lalu lintas di jalan itu.
12pm: Brickfields - Ratusan sudah berkumpul di Tun Sambathan. Suasana juga mula bingit dengan sorakan dan bunyi vuvuzela.
Mereka
juga memaparkan kain rentang memuatkan tiga tuntutan, antaranya supaya
pengerusi SPR dan timbalannya berundur dengan segera.
Secara
kreatif, seorang peserta hadir dengan pakaian dan solekan ala-hantu,
sebagai langkah sinis terhadap dakwaan wujudnya pengundi hantu dalam
pilihan raya umum lalu.
Penampilannya itu menarik perhatian pelbagai pihak. 'Hantu' itu juga membawa kota bertulis SPR.
11.45am: Sogo - Sebuah
kedai roti dekat pintu masuk di kompleks membeli belah itu mungkin
ditutup separuh hari. Pelanggannya sudah mencecah 200 orang.
Pekerjanya
memberitahu, mereka masih menunggu "arahan" untuk itu. Mereka juga
mengambil gambar pelanggannya bagi membantu atasan mereka membuat
keputusan.
Bagaimanapun, perniagaan mereka nampak menguntungkan
hari ini apabila ia menjadi tempat peserta perhimpunan dan wartawan
bersarapan.
11.35am: Masjid Negara - Anggota PKR
Tan Teck Huang, 47, antara yang berkumpul di Masjid Negara. Beliau
bertolak dari Muar, Johor bersama saudaranya dan tiga lagi untuk ke
perhimpunan hari ini.
Katanya, ekoran cuaca di Muar teruk dicemari jerebu,menyertai perhimpunan di Kuala Lumpur hari ini amat dinikmati.
"Pada
mulanya saya jangkakan tidak ramai orang akan hadir kerana ia dibuat
selepas pilihan raya. Saya terkejut dengan jumlah orang ramai yang
berkumpul di sini," kata pekerja separuh masa dalam sektor pendidikan
itu.
11.30am: Padang Merbok – Keadaan di
kawasan utama perhimpunan masih tenang dan para peniaga dilihat mula
membuka gerai di kawasan letak kereta berhampiran padang tersebut, dan
juga di sepanjang Jalan Parlimen.
Dianggarkan, seramai 200 orang
peserta berada di kawasan tepi padang yang diteduhi pokok sementara
menunggu acara kemuncak – dijangka bermula pada jam 3 petang.
11.05am: Masjid Negara -
Sejumlah 14 buah bas yang membawa peserta perhimpunan dari Pulau
Pinang, Kedah, Johor, Pahang dan Terengganu diparkir di kawasan
berhampiran Masjid Negara.
Sebanyak 50 buah kereta juga diparkir di bahu jalan di hadapan masjid dan kawasan ini mula mula dipenuhi orang ramai.
Gerai
yang dibuka di kawasan masjid menjual barangan seperti baju-T dan
makanan manakala para peserta dilihar berlegar di sekitar kawasan
berkenaan.
Antaranya, Mazlan Mukhtar, 47, dari Nibong Tebal,
Penang yang berkata beliau memandu sejak tengah malam tadi dan tiba pada
jam 5 pagi.
“Saya menyertai kesemua perhimpunan termasuk di Kelana Jaya, Petaling Jaya dan himpunan BERSIH,” katanya.
10.50am: Jalan TAR - Sekumpulan kira-kira 100 orang peserta perhimpunan dilihat berkumpul di kawasan pintu masuk ke pusat membeli belah Sogo.
Naib presiden PKR Tian Chua dijangka akan menyertai kumpulan berkenaan dan seterusnya berarak ke Padang Merbok.
Kebanyakan para peserta merupakan kelompok penyokong PAS yang memakai baju berwarna hitam.
10.40am: Jalan Raja Laut - Seramai empat orang peguam daripada Majlis Peguam hadir sebagai pemerhati kepada perhimpunan Black 505.
Kawasan itu juga dipantau sepasukan lima orang anggota polis, yang tiba dengan sebuah kenderaan peronda.
10.30am: Jalan Sultan - Seramai kira-kira 30 orang mula berkumpul di kaki lima Jalan Sultan sambil memegang bendera PAS DAP dan PKR.
Mereka turut meniupkan wisel meminta pemandu yang melalui jalan itu membunyikan hon sebagai tanda sokongan.
Seorang
peniaga, Abdul Kader Mydin, 50, yang telah berniaga selama 40 tahun di
kaki lima Jalan Sultan berkata, kehadiran peserta himpunan Black 505
tidak mengganggu perniagaannya.

"Tak adalah. Mana ada ganggu. Buat apa saya mahu tutup (kedai). Tak bahaya pun," katanya.
Seorang
pemilik hotel murah pula, Steven Yong, 70, juga berkata perhimpunan
yang diadakan pada hari ini tidak menganggu peniaga.
Beliau yang
membuka hotel berkenaan sejak tahun 1973 di Jalan Sultan, berkata
peserta pehimpunan kini bijak dan tidak akan menyebabkan peniaga
kerugian.
"Mereka ini ada baca punya orang (orang berpelajaran).
Mereka takkan ganggu dan buat kacau. Bila polis datang kacau baru jadi
lain. Baru kita tutup," katanya.
10.20am: Dataran Merdeka - Laluan
dari Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka dihalang oleh
penghadang besi yang dipassang oleh petugas Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur.
Pasukan polis pula dilihat meletakkan kon di sepanjang
Jalan Parlimen untuk menghalang pemandu meletakkan kenderaan di jalan
berkenaan.
Anggota polis dan penguatkuasa DBKL dilihat berkawal di Jalan Parlimen.
10.00am: Jalan Raja Laut - Kira-kira
80 penyokong peserta Black 505 berada di perkarangan pejabat PAS untuk
bersama kepimpinan PAS, yang akan berarak ke Padang Merbok.

Mereka merupakan antara yang tiba dengan dua buah bas dari Alor Setar, pada pagi ini di pejabat parti berkenaan.
Antaranya, Abdullah Abdul Rahman, 42, bekerja swasta yang berkata beliau cukup bersemangat untuk menyertai perhimpunan hari ini.
"Kita
desak habis-habis untuk kepimpinan SPR letak jawatan. Kalau tidak
sampai kiamat macam ni (tak ada perubahan)," katanya yang berasal dari
Alor Setar.
Kumpulan peserta berkenaan dibekalkan dengan air minuman, yang disediakan di hadapan bangunan pejabat parti tersebut.
Selain itu, terdapat juga individu yang mengambil kesempatan untuk
menjual baju-T dengan slogan 'Black 505' di kawasan berhampiran ibu
pejabat PAS.
Pergerakan lalu lintas dilihat lancar, tanpa sebarang sekatan di sepanjang jalan berkenaan.