Ahad, 23 Jun 2013

Apabila tangan terkena kuali panas


Tuan Ibrahim Tuan Man, 21 Jun 2013
Apabila tangan kita terkena kuali yang panas, Allah menjadikan kulit kita terasa sakit. Tujuannya bukan untuk menyakitkan, tapi untuk menyedarkan bahawa ada bahaya di depan.

Bayangkan jika Allah tidak membuatkan kulit kita terasa sakit, sebahagian tangan kita dah mungkin hangus dibakar api kerana kita tak sedar kita terkena benda hangat.

Dalam kesakitan, ada benda positif dan hikmah Allah di sebaliknya. Dalam kesakitan biasanya kita teringat Allah dan berdoa kepada-Nya.

Terutamanya pada pelajar yang sedang mengaji, yang terasa beban belajar itu satu kesakitan dan kebosanan. Mereka yang menahan dan bersabar dengan kesakitan ini, biasanya akan muncul kecemerlangan.

Banyak buku, kata-kata hikmah yang cukup bermakna dan menyentuh kalbu juga diilhamkan dan ditulis tatkala orang tersebut berasa sakit, penuh emosi, kekecewaan - kerana masa tersebutlah mereka memahami sesuatu deripada kesakitan yang dialami... kerana kesakitan tersebut, hasilnya adalah sebuah karya yang membawa kebaikan untuk beberapa generasi akan datang.

Bagi pelajar yang hidup selesa, penuh kebebasan tanpa beban tanggungjawab dan tidak pernah merasai kesusahan biasanya akan menjadi pelajar yang malas, boros, tidak produktif dan kurang peka kepada sekelilingnya.

Penulis yang tidak pernah merasai keperitan, walaupun pandai menulis, tapi kata-katanya hanya murah tanpa pernah merasai pengalaman itu sendiri.

Inilah sesungguhnya di sebalik setiap kesakitan dan kesusahan ada benda yang Allah ingin mengajar kita, selagi kita tidak belajar, tangan kita akan berulang-ulang melecur terkena kuali yang panas.

Oleh demikian, usah bimbang pada kesakitan/keperitan kerana dalam setiap kesakitan/kesusahan, orang yang beriman akan lebih dekatkan diri dengan Allah dengan keikhlasan yang murni berbanding waktu kesenangan. Ia menjadi lebih lengkap dan kuat setelah melepasi ujian Allah tersebut.

Diharap pengalaman sedikit ini ada manfaat pada semua yang rajin membaca. Ingat SENYUM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan