Selasa, 11 Jun 2013

cara basmi kemiskinan di dalam Islam paling berkesan


Ahmad Baei Jaafar, 11 Jun 2013
Zakat kalau dilihat pada susunan rukun Islam berada di tempat ketiga selepas solat. Namun amalan mengeluarkan zakat ini jarang diperkatakan seperti yang selalu diulang-ulang pada ibadah solat. Apakah zakat tidak penting dalam Islam sepertimana pentingnya solat dan puasa? Padahal perintah zakat ini datang sekali dengan perintah solat.

Semua kita sedia maklum bahawa zakat wajib dikeluarkan berdasarkan al-Quran dan Sunnah juga Ijmak. Firman Allah:

Maksudnya: "Mereka tidaklah disuruh melainkan supaya menyembah Allah dengan penuh ikhlas demi agama yang lurus dan juga supaya mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan yang demikian itu adalah agama yang teguh." (Surah al-Bayyinah : 5)

Sehubungan dengan itu sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Islam dibangun di atas lima rukun; bersaksi bahawa tidak ada sembahan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad SAW adalah hamba dan utusan-Nya, menegakkan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadan." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan dalil di atas, perintah mengeluarkan zakat ini bukan perkara kecil malah dikategorikan sebagai rukun Islam. Sebenarnya rukun adalah perkara asas yang menentukan kukuh atau tidaknya sesuatu binaan. Jadi, sudah tentu zakat merupakan rukun yang kuat setaraf dengan rukun-rukun yang lain. Merujuk kepada kepentingan, zakat diwajibkan adalah kerana dua sebab:
1.       Taabbud; tunduk dan patuh kepada perintah Allah
2.       Taawun; membantu golongan yang layak dibantu.

Sikap umat Islam terhadap zakat

Perintah mengeluarkan zakat ini semestinya ada kaitan dengan harta yang dimiliki oleh umat Islam. Sebenarnya harta yang saban hari dicari oleh umat Islam terdedah kepada halal dan haram, mungkin dalam kesibukan mencari harta itu, mereka terlepas pandang lalu termasuk juga harta yang haram. Namun dalam Islam sesuatu yang tidak dijangka boleh dimaafkan Allah. Ketika itu harta tersebut sudah menjadi milik mereka yang sah. Sungguhpun begitu, dalam harta tersebut terdapat hak orang lain juga. Maka hak orang lain itulah yang perlu dikeluarkan sebagai zakat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka yang dengan zakat itu kamu dapat membersihkan dan mensucikan mereka." (Surah al-Taubah : 103)

Dalam ayat di atas Allah dengan tegas memerintahkan Rasulullah atau pemerintah sesuatu negeri agar mengambil sebahagian harta umat Islam sebagai zakat atas dua tujuan iaitu membersihkan harta dan membersihkan pemilik harta itu. Maknanya setiap umat Islam yang memiliki harta akan terjamin bersih hartanya sekali gus bersih diri mereka sendiri.

Cuma persoalan di sini, apakah sikap umat Islam terhadap perintah berzakat ini? Menurut laporan pihak yang mengurus zakat di negeri-negeri, jumlah pengeluar zakat amat rendah. Kalau dinisbahkan orang yang menunaikan solat 100 peratus maka pengeluar zakat tidak sampai 10 peratus. Ini seolah-olah 90 peratus lagi itu adalah golongan yang layak menerima zakat.

Jelas di sini ramai umat Islam yang belum layak untuk mengeluarkan zakat. Sungguhpun begitu mereka juga tidaklah semuanya layak untuk menerima zakat. Mengapa keadaan ini boleh terjadi? Apakah mereka tidak faham perintah Allah ini?

Sebenarnya umat Islam selama ini telah diberikan ilmu pengetahuan yang salah tentang ibadah zakat. Mereka telah diberitahu bahawa mereka yang tidak ada harta tidak perlu keluar zakat. Maka dengan fahaman itu, mereka tidak perlu membanyakkan harta. Apatah lagi apabila umat Islam selalunya diberi kefahaman bahawa pemburu harta dunia adalah anjing.

Selain itu umat Islam juga sering diingatkan bahawa zakat adalah ibadah orang-orang kaya. Atas fahaman itu, maka supaya harta kita tidak berkurangan jangan jadi kaya. Jadi, tidak perlulah keluar zakat. Biar hidup sederhana, bukankah Islam mengajar kita hidup secara sederhana. Jelas, mereka seolah-olah diajar supaya mengelak daripada aktiviti zakat.

Di samping itu umat Islam juga diajar bahawa harta zakat adalah hak orang fakir dan miskin. Oleh sebab itu sebahagian umat Islam berasa bangga kalau menjadi fakir dan miskin. Malah kalau mereka tidak terpilih sebagai asnaf, mereka akan marah dan terus merayu kepada pihak berkuasa. Sepatutnya umat Islam berasa malu kalau diisytiharkan miskin.

Memang pelik, umat Islam kini boleh berasa bangga dengan kemiskinan itu. Adakah ini kerana mereka ada terbaca sebuah hadis yang antara lain menyebut Rasulullah berdoa agar dia hidup miskin dan dibangunkan semula bersama golongan orang miskin.

Atas dasar itu barangkali mereka lebih rela jadi miskin dan dengan itu tidak perlu fikirkan soal zakat. Padahal dengan sikap itu mereka telah terlepas daripada satu rukun Islam yang asas iaitu zakat. Kalau begitu keadaannya kukuhkah Islam mereka tanpa zakat?

Ubah sikap sebagai pengeluar zakat

Umat Islam sepatutnya mengubah sikap ke arah menjadi pembayar zakat. Bukankah tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah, maka wajib kita berada di atas sebagai pembayar. Untuk merealisasikan perintah mengeluarkan zakat ini, umat Islam seharusnya berusaha agar mereka menjadi kaya raya, malah jutawan. Firman Allah yang bermaksud:

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kepada mereka kekuatan (kekayaan) di atas muka bumi nescaya mereka akan mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka juga akan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (Surah al-Hajj : 41)

Berdasarkan ayat itu Allah bersedia memberikan kekayaan kepada umat jika mereka mahu. Oleh sebab itu mereka perlu rebut peluang ini dengan bersungguh-sungguh. Jadi, umat Islam harus menjadi usahawan dan jutawan supaya dengan itu mereka boleh melakukan ibadah dengan lebih baik lagi sempurna. Bukan sahaja mereka boleh melakukan solat dan zakat malah mereka juga akan aktif berdakwah.

Sebenarnya melalui konsep zakat ini, umat Islam tidak boleh duduk diam, sebaliknya merasa malu kepada Allah kalau tidak mampu mengeluarkan zakat. Oleh sebab itu kita perlu berazam untuk menjadi kaya malah jutawan. Namun pada masa yang sama mereka perlu hindari daripada sifat tamak dan bakhil kerana harta zakat yang dikeluarkan itu tidak akan menjadikan mereka miskin sebalik bertambah subur dan kaya.

Daripada Abdul-Rahman bin Auf daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda yang bermaksud: "Tiga perkara yang aku bersumpah kerananya: Tidak akan berkurang harta kerana sedekah maka sedekahkanlah dan tidaklah kemaafan seseorang lelaki kerana kezaliman yang dizalimi melainkan Allah tambahkan kepadanya kemuliaan, maka maaflah nanti Allah akan muliakan kamu. Dan tidaklah seorang lelaki yang membuka ruang masalah melainkan Allah akan membuka baginya pintu kefakiran." (Nuruddin al-Haitami Kitab al-Astar)

Jadi sebagai umat Islam kita perlu terus berusaha untuk menjadi kaya supaya dengan itu kita menjadi orang yang selalu memberi daripada menerima. Kalaupun kita belum cukup nisabnya kita boleh memberi sedekah sunat. Untuk mencapai ke tahap itu, kita tidak boleh menampakkan masalah atau membuka peluang kepada masalah kerana menurut hadis di atas Allah akan bukan pintu kekafiran kepada kita pula.

Percayalah kalau umat Islam boleh berazam untuk mengeluarkan zakat dalam jumlah yang banyak. Kita akan lihat hasil pencapaiannya. Ketika itu zakat akan dapat dikeluarkan mengikut kaedah dan sistem yang ditetapkan. Dan kesannya, zakat itu boleh diagihkan dengan sempurna kepada sasarannya. Namun sebaliknya jika orang kaya enggan mengeluarkan zakat mereka akan menerima akibat di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang Allah telah berikan harta kepadanya kemudian dia tidak menunaikan zakatnya maka pada hari kiamat nanti hartanya akan menjadi ular botak yang mempunyai dua titik hitam di atas kepalanya lalu mengalungkannya sambil berkata: "Aku adalah simpananmu, aku adalah hartamu". Kemudian ular itu membaca ayat: "Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang telah Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya, menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka, sebenarnya bahawa kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka, harta-harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di lehernya kelak di hari kiamat." (Riwayat Bukhari Kitab Zakat 3:268 no.1403)

Inilah cara basmi kemiskinan


Bayangkan suatu hari nanti, negara kita dihuni oleh ramai usahawan, ahli korporat dan jutawan daripada perbagai bidang, dan mereka pula setiap tahun mengeluarkan zakat, tentu ketika itu asnaf zakat akan memperoleh agihan zakat dalam jumlah yang besar. Bayangkan juga kalau semua asnaf boleh memperoleh setiap bulan sudah tentu mereka tidak akan meminta-minta lagi selepas itu.

Tetapi bagaimana kalau zakat yang dikeluarkan setiap tahun itu diagihkan kepada asnaf secara berpilih dengan harapan zakat itu boleh dijadikan modal perniagaan, sudah tentu dalam tempoh beberapa tahun lagi mereka sudah tidak perlu zakat lagi sebaliknya mereka pula yang akan mengeluarkan zakat. Saya difahamkan kerajaan Selangor melalui Lembaga Zakat Selangor telah mempelopori agenda ini, tetapi belum menyeluruh kerana pembayar zakat masih rendah.

Saya percaya, kalau jumlah pembayar zakat semakin bertambah, dan sistem pengagihan dapat disampaikan kepada sasaran dengan tepat pasti kita akan menikmati satu zaman seperti zaman Khalifah Umar al-Khattab yang susah untuk mencari orang yang miskin. Kalau ini yang terjadi pasti wang zakat boleh disalurkan ke baitulmal yang kemudiannya boleh digunakan untuk pembangunan negara.

Dengan cara ini, golongan fakir miskin boleh dibasmi secara beransur-ansur. Nanti zakat yang dikeluarkan itu boleh diagihkan kepada asnaf yang lain dalam jumlah yang besar juga.

http://baei.blogspot.com/

10 sahabat iblis


http://www.myannur.com, 11 Jun 2013
TemanIblis

Riwayat Imam Bukhari pernah menceritakan, ketika Rasullullah sedang duduk, baginda didatangi seseorang. Rasullullah bertanya kepadanya: “Siapa anda?” Lalu dia pun menjawab: “Saya iblis.” Rasullullah bertanya lagi, apa maksud kedatangannya. Iblis menceritakan kedatangannya kerana izin Allah untuk menjawab semua pertanyaan dari Rasulullah SAW.
Lalu Rasullullah menggunakan kesempatan itu untuk bertanya beberapa perkara. Salah satunya adalah mengenai teman-teman iblis dari umat Muhammad SAW yang akan menjadi peneman iblis di neraka. Iblis menjawab, temannya di neraka terdapat 10 golongan.
Yang pertama, kata iblis, haakimun zaa`ir – hakim yang curang. Seseeorang hakim yang berlaku tidak adil dalam menetapkan hukum. Bukan hanya hakim mahkamah tetapi hakim-hakim umum seperti ketua kampung, ketua keluarga dalam menghakimi sesuatu.
Kedua, ghaniyyun mutakabbir – orang kaya yang sombong. Mereka begitu bangga dengan kekayaan dan enggan menafkahkan ke jalan Allah dan menganggap semua yang diperolehnya merupakan usahanya sendiri tanpa bantuan sesiapa.
Ketiga, taajirun kha’in – peniaga yang khianat. Mereka melakukan penipuan sama ada tentang kualiti barang atau mengurangkan timbangan. Juga berkaitan segala penipuan dalam urusan perniagaan.
Keempat, syaaribu al-khamr – orang yang meminum arak. Minuman apa-apa sahaja minuman yang memabukkan. Riwayat lain ada menyebutkan peminum khamar dikatakan tidak beriman, jika semasa dia mati masih terdapat arak dalam tubuhnya.
Kelima, al-fattaan – tukang fitnah. Ini kerana fitnah lebih berbahaya daripada pembunuhan. Ini termasuklah  mengungkap aib seseorang yang kebenarannya tidak boleh dipertanggungjawabkan, gosip, ghibah dan lainnya.
Keenam, shaahibu ar-riya` – orang yang suka menunjuk. Mereka selalu ingin menunjukkan kehebatan dirinya, menunjukkan amalnya, kekayaannya dan lainnya kerana ingin mendapatkan pujian.
Ketujuh, aakilu maal al-yatiim – orang yang memakan harta anak yatim. Mereka memanfaatkan harta anak yatim atau sumbangan untuk anak yatim demi kepentingan peribadi atau kelompoknya sendiri.
Kelapan, al-mutahaawinu bi al-shalah – orang yang meringankan solat. Mereka memahami tentang kewajipan solat, namun dengan berbagai alasan mereka melalaikan dan meninggalkan solat.
Kesembilan, maani’u az-zakaah – orang yang enggan membayar zakat. Mereka merasa berat untuk mengeluarkan zakat  walaupun tujuan zakat untuk membersihkan diri dan hartanya.
Kesepuluh, man yuthiilu al-amal – banyak angan-angan. Mereka enggan berusaha namun selalu menginginkan sesuatu.
Wallahu a’lam.
Rujukan : Republika.co.id

Isnin, 10 Jun 2013

pohon yang menaungi Rasulullah SAW Masih Hidup Segar


POHON NABI
Yang dimaksud dengan Pohon Nabi adalah Pohon yang pernah menanungi Nabi Muhammad Saw. dari terik matahari. Pohon Nabi ini sudah berumur ribuan tahun, namun anehnya Pohon Nabi ini masih hidup dan berbuah hingga sekarang.
Pohon Nabi ini sekali lagi menjadi bukti kenabian Nabi Muhammad Saw. Dan sepertinya Pohon Nabi ini sengaja dibiarkan hidup oleh Allah Swt. agar menjadi pengingat, kenangan dan bukti sejarah masa lalu. Pohon ini adalah pohon yang penuh keberkahan, pohon ajaib, pohon keramat dan pohon yang aneh.
POHON NABI_1
Dulu ketika Rasulullah Saw. melakukan perjalanan menuju Syam bersama Maisarah (pembantu Sayyidatuna Khadijah Ra.) untuk berdagang, Rasulullah Saw. pernah berteduh di bawah pohon ini sebelum sampai ke sana. Pada saat Rasulullah Saw. berteduh di bawahnya, dahan dan ranting-ranting pohon ini bergerak menaungi beliau Saw. dari panasnya terik matahari.
POHON NABI_5
Seorang rahib (pendeta) yang melihat kejadian ini, lantas mendatangi Maisarah dan menunjukkan kepadanya pohon tempat berteduh Rasulullah Saw. itu seraya berkata: “Hanya seorang Nabi saja yang berteduh di bawah pohon itu.”

POHON NABI_3
Lihatlah sampai hari ini pohon tersebut tetap subur walaupun berada di tengah-tengah padang pasir yang kering kerontang serta tiada tumbuhan yang hidup sepertinya. Allah Swt. menghidupkannya dengan kehendaknya.
TAHUKAH ANDA APAKAH POHON INI ?

POHON NABI_4
Inilah pohon yang memahami cinta buat Nabinya Muhammad SAW, Pohon yang diberkati.
Sehingga sekarang pokok ini masih hidup lagi di Jordan. Sebab itu ianya digelar “ the only living sahabi ” atau “sahabat Nabi yang masih hidup”.
Sedikit sejarah mengenainya…
Ketika Rasulullah SAW keluar ke Syam bersama Maisarah – pekerja Sayyidatuna Khadijah ra- untuk berniaga, Baginda SAW pernah berteduh di bawah pohon ini sebelum sampai ke sana.
Semasa Baginda SAW berteduh di bawahnya, dahan dan ranting-ranting pohon ini bergerak menaungi Baginda SAW daripada cahaya matahari.
Seorang paderi yang melihat kejadian ini datang bertemu Maisarah & menunjukkan kepadanya pohon tempat teduhan Rasulullah SAW itu dengan berkata: “Hanya seorang Nabi sahaja yang berteduh di bawah pohon ini.”
JORDAN MAP_2
Pohon ini terletak di tengah padang pasir bernama Buqa’awiyya di negara Jordan. Dari segi geografi, ia berdekatan dengan kota Bosra di Syria.
Sebagaimana kita tahu, Rasulullah S.A.W dua kali tiba di Bosra :
1. Ketika bersama bapa saudaranya Abi Talib sewaktu berumur 12 tahun & bertemu dengan Rahib Buhaira dan terserlah tanda kerasulan baginda
SAW di belakang bahu sepertimana tercatat dalam kitab injil tentang tanda kerasulan  nabi akhir zaman.
2. kali kedua rasulullah SAW ke bosra membawa barang dagangan saidatina khadijah. Apa yg menarik selepas dari tanah Tabuk hingga ke Bosrasejauh lebih 500km kita tidak akan berjumpa dengan pokok seumpama di atas. Lihatlah sampai hari ini ia tetap subur walaupun berada di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang. Tiada tumbuhan yang boleh  hidup sepertinya. ALLAH menghidupkannya dengan kehendak-NYA jua.
POHON_NABI

Dan di dalam foto ini juga, Habib Umar Benhafidz seorang daripada keturunan Rasulullah SAW menziarahi pohon di mana Datuknya – Rasulullah SAW – pernah berada di situ.
SubhanAllah, Indahnya Ciptaan الله
sumber : alamcyber.blogspot.com

POHON NABI ., iaitu tempat Nabi Muhammad SAW berteduh

POHON NABI_1

Yang dimaksud dengan Pohon Nabi adalah Pohon yang pernah menanungi Nabi Muhammad Saw. dari terik matahari. Pohon Nabi ini sudah berumur ribuan tahun, namun anehnya Pohon Nabi ini masih hidup dan berbuah hingga sekarang.
Pohon Nabi ini sekali lagi menjadi bukti kenabian Nabi Muhammad Saw. Dan sepertinya Pohon Nabi ini sengaja dibiarkan hidup oleh Allah Swt. agar menjadi pengingat, kenangan dan bukti sejarah masa lalu. Pohon ini adalah pohon yang penuh keberkahan, pohon ajaib, pohon keramat dan pohon yang aneh.
POHON NABI_1
Dulu ketika Rasulullah Saw. melakukan perjalanan menuju Syam bersama Maisarah (pembantu Sayyidatuna Khadijah Ra.) untuk berdagang, Rasulullah Saw. pernah berteduh di bawah pohon ini sebelum sampai ke sana. Pada saat Rasulullah Saw. berteduh di bawahnya, dahan dan ranting-ranting pohon ini bergerak menaungi beliau Saw. dari panasnya terik matahari.
POHON NABI_5
Seorang rahib (pendeta) yang melihat kejadian ini, lantas mendatangi Maisarah dan menunjukkan kepadanya pohon tempat berteduh Rasulullah Saw. itu seraya berkata: “Hanya seorang Nabi saja yang berteduh di bawah pohon itu.”

JORDAN MAP_2
Pohon ini terletak di tengah padang pasir bernama Buqa’awiyya di negara Jordan. Dari segi geografi, ia berdekatan dengan kota Bosra di Syria.
Sebagaimana kita tahu, Rasulullah S.A.W dua kali tiba di Bosra :
1. Ketika bersama bapa saudaranya Abi Talib sewaktu berumur 12 tahun & bertemu dengan Rahib Buhaira dan terserlah tanda kerasulan baginda
SAW di belakang bahu sepertimana tercatat dalam kitab injil tentang tanda kerasulan  nabi akhir zaman.
2. kali kedua rasulullah SAW ke bosra membawa barang dagangan saidatina khadijah. Apa yg menarik selepas dari tanah Tabuk hingga ke Bosrasejauh lebih 500km kita tidak akan berjumpa dengan pokok seumpama di atas. Lihatlah sampai hari ini ia tetap subur walaupun berada di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang. Tiada tumbuhan yang boleh  hidup sepertinya. ALLAH menghidupkannya dengan kehendak-NYA jua.
POHON_NABI

Dan di dalam foto ini juga, Habib Umar Benhafidz seorang daripada keturunan Rasulullah SAW menziarahi pohon di mana Datuknya – Rasulullah SAW – pernah berada di situ.
SubhanAllah, Indahnya Ciptaan الله
sumber : alamcyber.blogspot.com

Kemesraan suami isteri bawa bahagia


Ustaz Ahmad Baei Jaafar, 10 Jun 2013
Kebahagian rumah tangga menjadi idaman semua pasangan yang berkahwin. Bukan sahaja mereka idamkan semua itu pada awal perkahwinan tetapi sampai ke akhir hayat malah sampai ke dalam syurga.

Tetapi kadang-kadang idaman itu tidak tercapai kerana hanya beberapa punca yang kecil. Mungkin kerana suami mengharapkan sesuatu yang tidak difahami oleh isteri dan isteri pula mengharapkan sesuatu yang tidak difahami oleh suami.

Suka dijelaskan di sini, suami dan isteri masing-masing mempunyai rahsia yang mereka terpaksa di simpan kerana tidak mampu untuk menjelaskannya secara lisan. Di sinilah titik mula masalah sebenar.

Dalam hal ini pasangan itu perlu memahami rahsia diri pasangannya secara pandangan mata hati dan merasainya melalui gerak hati. Dengan cara itu sahaja mereka dalam lakukan yang terbaik untuk keluarga mereka.

Tetapi kalau sesama mereka ada hijab yang menutup hati kecil mereka, pasti mereka tidak nampak apa yang dihajati pasangannya. Perlu diingat, untuk membuka hijab itu mereka perlulah bertolak ansur dan cuba menurunkan ego masing-masing terutamanya isteri.

Sebenarnya seseorang suami ada menyimpan beberapa rahsia yang malu untuk dijelaskan kepada isterinya kerana takut ditertawakan isterinya. Antara rahsia itu ialah suami mahu “bermanja” dengan isteri apatah lagi pada usia tuanya. Selain itu suami mahu dia dibelai dan hormati isteri sepanjang masa.

Supaya lebih jelas suka dipaparkan contoh terbaik dan yang pasti rujukannya ialah Rasulullah. Baginda adalah panduan kita ke arah memacu bahteri keluarga bahagia. Perhatikan dua perkara yang sering dilakukan baginda.

1. Berbaring dipangkuan isteri
Daripada Aisyah RA, beliau berkata: "Nabi SAW biasa meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian beliau membaca al-Quran" (Hadis Riwayat Abdurrazaq).

Kalau para isteri sedar, suami anda sesekali menyandar dan menyentuh bahu anda. Malah kadang-kadang dia berbaring di atas paha anda. Itulah tandanya dia hendak bermanja.

Tetapi kadang-kadang isteri cuba mengelak dan bangun. Sebenarnya suami pada ketika itu akan berasa kecewa, tetapi dia tidak berani untuk melahirkan rasa kecewa itu.

Suami memang hendak bermanja dengan isteri, bukan sahaja pada waktu malam tetapi juga pada waktu berehat di siang hari.

Bayangkan kalau rasulullah mahu bermanja dengan isterinya, dan isterinya pula reda dengan sikap baginda, mengapakah isteri-isteri pada hari ini tidak boleh melakukan begitu juga.

Percayalah kalau suami boleh bermanja dengan suami, dan isteri sanggup melayan kehendak suami itu, pasti akan tercantum rasa sayang yang berkekalan. Pastinya, isteri yang memahami sikap manja suami itu akan diberi pahala oleh Allah.

2. Memanggil dengan panggilan mesra
Rasulullah SAW biasa memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti Aisy dan Umairah yang memberi maksud pipi merah bak delima.

Dalam budaya masyarakat kita, suami memanggil isterinya dengan namanya yang manja atau “yang” bagi maksud sayang. Ada juga yang menyebut “bib” yang bermaksud habibi, kekasihku dan banyak lagi. Sebaliknya isteri akan memanggil suami dengan panggilan “abang” atau “bang” yang juga dengan nada manja.

Panggilan sebeginilah yang akan membuahkan rasa sayang sentiasa berputik di hati suami. Namun begitu terdapat juga panggilan manja kerana sudah biasa dengan panggilan itu. Lahirnya panggilan itu bukan kerana ikhlas dari hati lagi.

Dalam masyarakat Melayu, panggilan manja itu lazimnya hanya berlaku pada awal perkahwinan, tetapi semakin pudar apabila sudah beransur tua. Malah mereka malu untuk memanggil dengan panggilan manja, kononnya malu kepada anak dan cucu. Inilah keadaan yang tidak kena kepada masyarakat kita, malah sikap mereka jauh daripada kehendak Rasulullah.

Seharusnya sebagaimana suami memanggil isteri dengan kasih sayang itulah yang sepatutnya disambut oleh isteri. Panggilan mesra pada setiap kali memulakan ucapan dan kata-kata merupakan sentuhan yang boleh membangkitkan rasa sayang antara mereka.

Jadi, binalah kemesraan dengan saling manja bermanja dan sebagainya. Semoga kita beroleh bahagia. Wallahu aklam.

http://baei.blogspot.com/

65 tahun malapetaka Palestin


Ustaz Imran bin Selamat, 10 Jun 2013
Tanggal 15 Mei lalu adalah ulang tahun ke-65 nakbah atau “malapetaka” yang menimpa Palestin dengan tertubuhnya negara Israel pada tahun 1948. Persoalan yang sering timbul ialah sejauh mana perubahan demografi (taburan penduduk) di bumi Palestin. Zionis dan negara ‘Israel’ mempunyai dua langkah utama untuk mewujudkan perangkaan penduduk agar Yahudi menjadi warga majoriti mengatasi kaum Arab Palestin.

Langkah pertama, melakukan serangan terhadap pribumi yang berakhir dengan pengusiran warga Arab Palestin dari perkampungan dan tanah air mereka. Pengganas Yahudi dengan sokongan British telah melakukan 44 serangan berdarah terhadap orang-orang Palestin pada tahun 1948. Akibatnya, kira-kira 850,000 warga Palestin dihalau keluar dari kampung halaman mereka hingga tanggal 15 Mei 1948. Para pelarian tersebut berasal dari 531 bandar dan perkampungan di Palestin.

Kira-kira 65 tahun telah berlalu, kini jumlah pelarian Palestin pada awal tahun ini (2013) adalah kira-kira enam juta orang. Sejumlah lima juta orang antaranya berdaftar dalam cacatan UNRWA. Taburan mereka di dalam dan luar bumi Palestin adalah seperti berikut, 41% bermastautin di Jordan, 22% berhijrah ke Gaza, 16% dari dalam Gaza sendiri, 10.5% menempati kem-kem pelarian di Syria dan Lubnan. Selebihnya sejumlah beribu-ribu pelarian Palestin berada di Mesir, Iraq dan lain-lain. Jumlah mereka ini tidak berdaftar dengan UNRWA.

Langkah kedua, Zionis Israel mewujudkan status quo dengan menarik warga Yahudi dari luar negara berimigrasi ke bumi Palestin yang dijajah itu. Usaha ini mampu menarik sekitar 650,000 orang bangsa Yahudi dari berbagai penjuru dunia sebagai merealisasikan objektif penubuhan negara ‘Israel’ pada tahun 1948 setelah Zionis melakukan penghapusan etnik secara terancang.

Perang etnik yang dilancarkan oleh Zionis di bumi Palestin bermula dari 30 November 1947 sehingga Majlis Keselamatan PBB mengakhiri mandat pemerintahan British di Palestin pada 15 Mei 1948. Ketika itu, bangsa Yahudi hanya menguasai kira-kira 5.8% wilayah Palestin. Setelah itu penaklukan terhadap wilayah kaum Arab Palestin dilakukan secara berperingkat-peringkat menerusi peperangan tahun 1948, 1956, 1967, 1978, 1982 dan 2002.

Tahun 1948, berlaku pengambilan wilayah Galilee, Auja dan luar bandar Jerusalem yakni kawasan ini adalah milik negara Palestin menurut Resolusi PBB 181. Ketika British menjajah Palestin tahun 1917, jumlah Yahudi hanya sekitar 50,000 dan ketika British melepaskan mandat kepada Israel, jumlah pendatang Yahudi bertambah 10 kali ganda hingga mencapai setengah juta orang.

Bangsa Yahudi membeli senjata dan kelengkapan perang dari tentera British berupa 24 buah pesawat bernilai lima juta pound (Mesir). Ini menjadi fasa pertama peperangan di Palestin pada tahun 1948. Warga Arab Palestin mula menyusun tindakan mempertahankan diri. Mereka cuba mengatasi kekuatan ketenteraan Zionis dengan berusaha mendapatkan bekalan senjata dan latihan dari Damsyik, Beirut dan Kaherah.

Pada awal tahun 1948, tatkala British masih berkuasa di Palestin, bangsa Yahudi sudah menyelinap masuk dalam pemerintahan dan pertahanan. Antara yang dapat dikenal pasti berada dalam ketenteraan ialah pasukan pelampau Hagana Yahudi berjumlah 35,000, di samping 10,000 pasukan unit komando Palmach serta kumpulan Aragon dan Sterin.

Manakala jumlah pasukan tentera revolusi Palestin hanyalah berjumlah 2,500 orang dan 4,000 sukarelawan Arab Palestin yang dikenali sebagai Jaysh al-Inqaz (tentera Penyelamat) yang masuk ke Palestin secara berperingkat. Ini bermakna, tentera Arab Palestin hanya berbekalkan senjata ringan dan sederhana dalam menghadapi tentera Zionis Yahudi yang memiliki senjata berat di darat atau udara. Pada ketika itu nisbah tentera Palestin ialah 1 orang berhadapan dengan enam orang tentera Yahudi.

Pada awal tahun 1948 berlaku beberapa kes letupan yang didalangi oleh pengganas Yahudi Hagana di Yafa, Haifa dan mengorbankan warga Palestin. Tujuannya adalah untuk mengusir penduduk asal Palestin dari tempat tinggal mereka. Kumpulan pengganas Hagana dan Palmach kemudian menghalau warga Palestin keluar secara beramai-ramai.

Ketika itu, Yitzhak Rabin adalah komandan pasukan Palmach yang mengetuai gerakan pengusiran warga Palestin dari perkampungan Qisriah di Haifa tengah dan menghancurkannya. David Ben Gurion juga pernah menegaskan agar setiap serangan yang dilancarkan oleh Zionis mesti bertujuan untuk menghancurkan kediaman orang Palestin dan mengusir penghuninya.

Setelah itu Zionis terus mengundang bangsa Yahudi dari seluruh pelosok dunia datang ke Palestin. Usaha ini tidak pernah berhenti. Hingga tahun 2013 ini, jumlah pendatang Yahudi ke Palestin sudah mencapai angka 6,042,000 orang. Sejumlah 40% dari mereka adalah Yahudi Barat Ashkenazi, 36% Yahudi Timur Sephardic, sementara Yahudi Sabira yang dilahirkan di Palestin adalah sebanyak 24% daripada jumlah keseluruhan.

Pengganas Zionis pada tahun 1948 telah menghalau sebanyak 850,000 etnik Palestin yang mana mereka adalah terdiri daripada 61% daripada keseluruhan warga Palestin yang mencecah 1.4 juta penduduk. Mereka akhirnya menjadi pelarian dan jumlah mereka kini di tahun 2013 menjadi kira-kira enam juta orang. Manakala pada tahun 1967, Israel melakukan pengusiran sekali lagi terhadap 460,000 warga Palestin setelah mereka menjajah Tebing Barat dan Gaza. Jumlah itu kini bertambah menjadi 1.4 juta.

Sementara itu masih terdapat 151,000 warga Arab Palestin saat itu yang masih bertahan di wilayah Palestin yang dijajah Israel. Pada tahun 2013, jumlah mereka bertambah menjadi 1.6 juta orang. Mereka kini berstatus sebagai pemastautin di ‘negara orang’ iaitu Israel. Mereka merupakan kelompok minoriti iaitu 20% daripada keseluruhan penduduk Israel. Pemastautin Palestin ini hanya memiliki 2% tanah saja daripada wilayah yang dikuasai Israel.

Namun demikian, keseluruhan jumlah warga Palestin sama ada di dalam wilayah Israel atau di luarnya mencecah 11.6 juta orang sehingga awal tahun 2013. Sejumlah kira-kira 6 juta warga Palestin berada di Tebing Barat, Gaza dan wilayah jajahan.

Kini, setelah 65 tahun. tertegaknya negara haram ‘Israel’ (1948-2013), projek demografi Israel ini masih belum mencapai matlamat kerana jumlah penduduk Yahudi yang kira-kira 6 juta itu masih seimbang dengan penduduk Arab Palestin. Oleh itu, ‘Israel’ masih membina penempatan penduduk secara drastik terutamanya di ibu negara Jerusalem (Baitulmaqdis) bermula pada tahun lalu.

http://www.tarbawi.my

Pada saya SPR gagal - Mohammad Agus


Harakahdaily, 10 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff tidak sependapat dengan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR yang menyatakan SPR telah menjalankan kerja dengan baik dalam mengurus Pilihan raya Umum ke-13 yang lalu.

“Pada saya SPR gagal,” tulis beliau di Facebook.


Menurut penganalisis politik itu jika SPR berjaya, maka untuk apa PM mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas terdiri dari Ahli Parlimen daripada semua parti politik bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti SPR pada 1 Jun 2013.

Berikut ialah tulis penuh beliau.

Saya tidak sependapat dengan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR yang menyatakan SPR telah menjalankan kerja dengan baik dalam mengurus pilihan raya umum ke-13 yang lalu. Pada saya SPR gagal.

Jika SPR berjaya, maka untuk apa PM mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas terdiri dari Ahli Parlimen daripada semua parti politik bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti SPR pada 1 Jun 2013.

Saya yakin jika SPR berjaya menjalankan tugasnya dengan baik, PM tidak akan membuat pengumuman sedemikian. Saya yakin jika SPR berjaya menjalankan tugasnya dengan baik tidak akan berlaku bantahan dan perhimpunan 505 seperti yang berlaku sekarang ini.


Bagi saya, jika sekadar menyediakan dakwat kekal pun gagal dilaksanakan dengan baik, jika sekadar menyediakan daftar pemilih yang bersih gagal dilaksanakan dengan baik, maka saya kira sudah sampai masanya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan.


Cumanya, yang saya tidak faham dengan pengumuman PM ini ialah kenapa perlu ditubuhkan jawatankuasa untuk memantau SPR?

Saya kira tidak perlu jawatankuasa untuk memantau SPR kerana SPR adalah sebuah badan bebas. Yang kita perlu sekarang ialah anggota SPR yang boleh bertindak cekap untuk mengurus pilihan raya yang adil dan bebas. Itu yang kita belum ada!


Begitupun, sekiranya kerajaan ingin menubuhkan jawatankuasa bagi mereformasikan SPR dan sistem pilihan raya kita, maka hal berikut perlu diberikan perhatian:

(i) kerajaan perlulah menubuhkan sebuah panel yang terdiri dari wakil parti mengikut kuota undi popular yang diterima oleh parti, dan setiap parti hendaklah berhak menamakan wakil masing-masing, bukannya ditentukan oleh kerajaan;

(ii) jawatankuasa ini juga perlulah diberi rangka kerja untuk mengkaji beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Pilihan Raya 1958, Peraturan-peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya, 1981, Peraturan-peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya, 2002 dan Peraturan-peraturan (Mengundi Melalui Pos) Pilihan Raya, 2003.


Di akhir analisisnya, saya merasakan kerajaan dan PR perlu mengambil tindakan berikut:

(i) mendesak Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR supaya meletakkan jawatan,

(ii) PR menghentikan perhimpunan 505 bagi memberi peluang kepada proses petisyen pilihan raya diadili di mahkamah undang-undang.

Dengan pendekatan ini, semoganya tidak ada lagi perhimpunan 505 diadakan dan kerajaan boleh terus menumpukan masa untuk merancang pembangunan negara. Sesungguhnya, rakyat dahagakan kehidupan yang selesa.