Isnin, 10 Jun 2013

65 tahun malapetaka Palestin


Ustaz Imran bin Selamat, 10 Jun 2013
Tanggal 15 Mei lalu adalah ulang tahun ke-65 nakbah atau “malapetaka” yang menimpa Palestin dengan tertubuhnya negara Israel pada tahun 1948. Persoalan yang sering timbul ialah sejauh mana perubahan demografi (taburan penduduk) di bumi Palestin. Zionis dan negara ‘Israel’ mempunyai dua langkah utama untuk mewujudkan perangkaan penduduk agar Yahudi menjadi warga majoriti mengatasi kaum Arab Palestin.

Langkah pertama, melakukan serangan terhadap pribumi yang berakhir dengan pengusiran warga Arab Palestin dari perkampungan dan tanah air mereka. Pengganas Yahudi dengan sokongan British telah melakukan 44 serangan berdarah terhadap orang-orang Palestin pada tahun 1948. Akibatnya, kira-kira 850,000 warga Palestin dihalau keluar dari kampung halaman mereka hingga tanggal 15 Mei 1948. Para pelarian tersebut berasal dari 531 bandar dan perkampungan di Palestin.

Kira-kira 65 tahun telah berlalu, kini jumlah pelarian Palestin pada awal tahun ini (2013) adalah kira-kira enam juta orang. Sejumlah lima juta orang antaranya berdaftar dalam cacatan UNRWA. Taburan mereka di dalam dan luar bumi Palestin adalah seperti berikut, 41% bermastautin di Jordan, 22% berhijrah ke Gaza, 16% dari dalam Gaza sendiri, 10.5% menempati kem-kem pelarian di Syria dan Lubnan. Selebihnya sejumlah beribu-ribu pelarian Palestin berada di Mesir, Iraq dan lain-lain. Jumlah mereka ini tidak berdaftar dengan UNRWA.

Langkah kedua, Zionis Israel mewujudkan status quo dengan menarik warga Yahudi dari luar negara berimigrasi ke bumi Palestin yang dijajah itu. Usaha ini mampu menarik sekitar 650,000 orang bangsa Yahudi dari berbagai penjuru dunia sebagai merealisasikan objektif penubuhan negara ‘Israel’ pada tahun 1948 setelah Zionis melakukan penghapusan etnik secara terancang.

Perang etnik yang dilancarkan oleh Zionis di bumi Palestin bermula dari 30 November 1947 sehingga Majlis Keselamatan PBB mengakhiri mandat pemerintahan British di Palestin pada 15 Mei 1948. Ketika itu, bangsa Yahudi hanya menguasai kira-kira 5.8% wilayah Palestin. Setelah itu penaklukan terhadap wilayah kaum Arab Palestin dilakukan secara berperingkat-peringkat menerusi peperangan tahun 1948, 1956, 1967, 1978, 1982 dan 2002.

Tahun 1948, berlaku pengambilan wilayah Galilee, Auja dan luar bandar Jerusalem yakni kawasan ini adalah milik negara Palestin menurut Resolusi PBB 181. Ketika British menjajah Palestin tahun 1917, jumlah Yahudi hanya sekitar 50,000 dan ketika British melepaskan mandat kepada Israel, jumlah pendatang Yahudi bertambah 10 kali ganda hingga mencapai setengah juta orang.

Bangsa Yahudi membeli senjata dan kelengkapan perang dari tentera British berupa 24 buah pesawat bernilai lima juta pound (Mesir). Ini menjadi fasa pertama peperangan di Palestin pada tahun 1948. Warga Arab Palestin mula menyusun tindakan mempertahankan diri. Mereka cuba mengatasi kekuatan ketenteraan Zionis dengan berusaha mendapatkan bekalan senjata dan latihan dari Damsyik, Beirut dan Kaherah.

Pada awal tahun 1948, tatkala British masih berkuasa di Palestin, bangsa Yahudi sudah menyelinap masuk dalam pemerintahan dan pertahanan. Antara yang dapat dikenal pasti berada dalam ketenteraan ialah pasukan pelampau Hagana Yahudi berjumlah 35,000, di samping 10,000 pasukan unit komando Palmach serta kumpulan Aragon dan Sterin.

Manakala jumlah pasukan tentera revolusi Palestin hanyalah berjumlah 2,500 orang dan 4,000 sukarelawan Arab Palestin yang dikenali sebagai Jaysh al-Inqaz (tentera Penyelamat) yang masuk ke Palestin secara berperingkat. Ini bermakna, tentera Arab Palestin hanya berbekalkan senjata ringan dan sederhana dalam menghadapi tentera Zionis Yahudi yang memiliki senjata berat di darat atau udara. Pada ketika itu nisbah tentera Palestin ialah 1 orang berhadapan dengan enam orang tentera Yahudi.

Pada awal tahun 1948 berlaku beberapa kes letupan yang didalangi oleh pengganas Yahudi Hagana di Yafa, Haifa dan mengorbankan warga Palestin. Tujuannya adalah untuk mengusir penduduk asal Palestin dari tempat tinggal mereka. Kumpulan pengganas Hagana dan Palmach kemudian menghalau warga Palestin keluar secara beramai-ramai.

Ketika itu, Yitzhak Rabin adalah komandan pasukan Palmach yang mengetuai gerakan pengusiran warga Palestin dari perkampungan Qisriah di Haifa tengah dan menghancurkannya. David Ben Gurion juga pernah menegaskan agar setiap serangan yang dilancarkan oleh Zionis mesti bertujuan untuk menghancurkan kediaman orang Palestin dan mengusir penghuninya.

Setelah itu Zionis terus mengundang bangsa Yahudi dari seluruh pelosok dunia datang ke Palestin. Usaha ini tidak pernah berhenti. Hingga tahun 2013 ini, jumlah pendatang Yahudi ke Palestin sudah mencapai angka 6,042,000 orang. Sejumlah 40% dari mereka adalah Yahudi Barat Ashkenazi, 36% Yahudi Timur Sephardic, sementara Yahudi Sabira yang dilahirkan di Palestin adalah sebanyak 24% daripada jumlah keseluruhan.

Pengganas Zionis pada tahun 1948 telah menghalau sebanyak 850,000 etnik Palestin yang mana mereka adalah terdiri daripada 61% daripada keseluruhan warga Palestin yang mencecah 1.4 juta penduduk. Mereka akhirnya menjadi pelarian dan jumlah mereka kini di tahun 2013 menjadi kira-kira enam juta orang. Manakala pada tahun 1967, Israel melakukan pengusiran sekali lagi terhadap 460,000 warga Palestin setelah mereka menjajah Tebing Barat dan Gaza. Jumlah itu kini bertambah menjadi 1.4 juta.

Sementara itu masih terdapat 151,000 warga Arab Palestin saat itu yang masih bertahan di wilayah Palestin yang dijajah Israel. Pada tahun 2013, jumlah mereka bertambah menjadi 1.6 juta orang. Mereka kini berstatus sebagai pemastautin di ‘negara orang’ iaitu Israel. Mereka merupakan kelompok minoriti iaitu 20% daripada keseluruhan penduduk Israel. Pemastautin Palestin ini hanya memiliki 2% tanah saja daripada wilayah yang dikuasai Israel.

Namun demikian, keseluruhan jumlah warga Palestin sama ada di dalam wilayah Israel atau di luarnya mencecah 11.6 juta orang sehingga awal tahun 2013. Sejumlah kira-kira 6 juta warga Palestin berada di Tebing Barat, Gaza dan wilayah jajahan.

Kini, setelah 65 tahun. tertegaknya negara haram ‘Israel’ (1948-2013), projek demografi Israel ini masih belum mencapai matlamat kerana jumlah penduduk Yahudi yang kira-kira 6 juta itu masih seimbang dengan penduduk Arab Palestin. Oleh itu, ‘Israel’ masih membina penempatan penduduk secara drastik terutamanya di ibu negara Jerusalem (Baitulmaqdis) bermula pada tahun lalu.

http://www.tarbawi.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan