Ahad, 9 Jun 2013

Babi' Dalam Istilah Permakanan.


MUNGKIN banyak umat Islam tidak tahu bahwa label label yang bertulis 'This product contain substance from porcine. Sebenarnya bermaksud 'Produk ini mengandungi bahan daripada babi. Selain itu, antara label yang kerap digunakan adalah 'The source of gelatin capsule is porcine' yang bermaksud 'Kapsul dari gelatin babi.

Berikut antara istilah sains yang digunakan dalam produk yang mengandungi unsur babi:

1. Pork:Istilah yang digunakan untuk daging babi di dalam masakan.
2. Swine:Istilah yang digunakan untuk keseluruhan kumpulan spesis babi.
3. Hog:Istilah untuk babi dewasa, berat melebihi 50 kg.
4. Boar:Babi liar.
5. Lard:Lemak babi yang digunakan bagi membuat minyak masak dan sabun.
6. Bacon:Daging haiwan yang disalai, termasuk babi.
7. Ham:Daging pada bahagian paha babi.
8. Sow:Istilah untuk babi betina dewasa (jarang digunakan).
9. Sow Milk:Susu babi.
10.Pig:Istilah umum untuk seekor babi atau sebenarnya bermaksud babi muda, berat kurang daripada 50 kg.
11.Porcine:Istilah yang digunakan untuk sesuatu yang berkaitan atau berasal daripada babi. Porcine sering digunakan di dalam bidang perubatan untuk menyatakan sumber yang berasal daripada babi.

Sebarkan kepada semua saudara-saudara kita agar lebih berhati-hati..Moga Allah S.W.T akan membalas jasa baik anda dan semoga Allah memelihara kita di dunia dan di akhirat.

Sumber whatsapp

KELAB GREENBOC: [VIDEO] Presiden Mursi Mesir Azan Ketika Sedang Be...

KELAB GREENBOC: [VIDEO] Presiden Mursi Mesir Azan Ketika Sedang Be...: S edutan video dari ucapan Dr. Muhammad Mursi ( Presiden Mesir ) yang berlangsung di daerah Iskandariah. Ketika sedang berucap dihadapan ra...

Amalan Khurafat Yang Masih Menebal Masyarakat Melayu...


1. Mendirikan Rumah Baru.Antara Syarat dan adat Istiadat yang mesti di buat untuk mendirikan rumah baru ialah seperti mengantungkan buah kelapa muda di tiang seri rumah, menanam tahi besi / emas / perak / tembaga pada setiap tiang seri rumah dan menepung tawar sebagai upacara memulih rumah tersebut. Acara-acara tersebut akan dilakukan oleh Bomoh, kononnya untuk mengelakkan daripada di ganggu oleh jin dan syaitan dan untuk mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan kepada semua penghuni rumah tersebut.
Sebenarnya upacara tersebut tidak lebihdaripada upacara menjamu jin dan tidak ada kena mengena dengan keselamatan dan kesejahteraan penghuni rumah itu.

2. Upacara Menurunkan Perahu / Kapal yang baru ke laut.Upacara ini di lakukan oleh Bomoh dengan harapan perahu / kapal tersebut selamat daripada gangguan hantu laut dan sebagainya semasa belayar di lautan luas. Upacara dilakukan dengan perahu itu di pulihkan dengan jampi serapah dan mentera dengan menggunakan tepung tawar dan sebagainya. 
3. Kenduri Tolak Bala. Kenduri ini dilakukan setahun sekali di tengah padang di sesebuah kampung, dengan setiap penduduk membawa sepinggan makanan. Imam di jemput untuk membaca doa dan Bomoh pula di jemput untuk membaca jampi serapah supaya kampung tersebut selamat dari bala bencana pada tahun tersebut.

4. Upacara Persandingan.
Persandingan sebenarnya adalah salah satu bentuk pemujaan dalam agama Hindu di mana mempelai yang bersanding itu sebenarnya meniru adat Hindu yang memuja Dewa Rama dan Dewi Sita. Persandingan secara ini memperlihatkan di sebelah perempuan Mak Andam sebagai pengiring utamanya dan di sebelah pihak lelaki pula Bomoh sebagai pengiringnya. Kedua-dua
mempelai ini di arak dan di sanjung serta di puja sepertimana orang-orang Hindu memuja Dewa Rama dan Dewi Sita, dengan sebab itulah pengantin baru di gelar sebagai Raja Sehari.

5. Mengandung / Kelahiran bayi
Sebelum ibu melahirkan anak, Bidan di jemput untuk mengadakan upacara lenggang perut. Semasa kelahiran bayi persiapan di buat dengan menyediakan kain kuning tujuh lapis, tilam dan bantal bewarna kuning serta pulut kuning dan
putih. Duri di letakkan di bawah rumah supaya jangan di ganggu oleh hantu penanggal. Sementara pantang larang selepas bersalin pula adalah selama 45 hari.

6. Adat meninggal dunia dan selepas kematian.
Semasa seseorang meninggal dunia Bomoh akan meletakkan gunting di atas mayat semasa baru meninggal dunia. Semasa hendak menghantar mayat ke kubur diadakan pula kenduri masuk kubur, selepas 7 hari kematian, diadakan
kenduri pecah perut, selepas 14 hari di adakan kenduri makan serabai ( sejenis kuih). Kenduri 40 hari sebagai tanda ruh berpisah dari waris. Kenduri 100 hari sebagai kenduri turun batu nisan dan ruh si mati telah masuk ke dalam
kumpulannya di alam kubur. Sebenarnya memperbanyakkan sedekah bacaan
ayat-ayat Al-Quran dengan apa cara sekalipun, asalkan tidak menyalahi syarak dan tidak terdapat di dalamnya sesuatu yang menyalahi syarak dengan diniatkan pahala sedekah itu untuk disampaikan kepada ibu bapa yang telah
mati daripada waris-warisnya yang masih hidup terutamanya anak-anak adalah digalakkan dalam Islam.

7. Upacara membuka gelanggang latihan pertahanan diri.
Upacara ini biasanya di lakukan oleh guru latihan pertahanan diri yang juga merupakan seorang Bomoh yang dilakukan supaya pelatih-pelatih latihan pertahanan diri di gelanggang tersebut tidak mendapat sebarang kecederaan
semasa berlatih. Antara alat dan upacara yang di lakukan ialah seperti menyembelih seekor kambing atau ayam hitam dimana darah ayam dan kambing tersebut di semah di sekeliling gelanggang.
Sesetengahnya menyapu darah tersebut di tapak kaki pelatih latian pertahanan diri. Selepas itu Bomoh tersebut akan menyeru nama-nama panglima tertentu seperti Panglima Hitam dan sebagainya. Akhir sekali Bomoh tersebut akan
mengasapkan kemian di sekeliling gelanggang dengan tujuan untuk menghalau hantu-hantu jahat daripada menghampiri gelanggang latihan
pertahanan dirinya.

8. Membuang Air Kecil/Besar
Salah satu adat lagi yang sering di peringatkan oleh orang-orang tua kepada anak-anak muda mereka jika hendak membuang air semasa di
dalam hutan atau di tempat-tempat yang sunyi atau di padang-padang atau ketika hendak melalui sesuatu kawasan atau pokok besar
hendaklah meminta izin terlebih dahulu daripada Jin atau penunggu yang kononnya menunggu tempat tersebut dengan menyebut "Minta tabik tok nenek, anak cucu tak tahu bahasa, nak tumpang kencing" atau "Minta ampun tok nenek anak cucu nak tumpang lalu". Kononnya jika tidak meminta izin kemungkinan orang tersebut akan di sampuk oleh penunggu tempat tersebut.

Kesemua adat-adat di atas sebenarnya adalah campuran daripada pengaruh agama Hindu, agama Buddha dan adat istiadat orang-orang Asli yang memuja roh. Adat-adat tersebut masih kuat diamalkan dalam budaya orang Melayu,
yang menyangkakan sebahagian daripada adat Melayu yang tidak bertentangan dengan agama Islam, tetapi sebenarnya adat istiadat dan budaya tersebut terang-terang bertentangan dengan Islam. Contoh Peralatan dalam pemujaan jin Yang biasa dilakukan oleh Bomoh, Pawang dan seumpamanya.

Sabtu, 8 Jun 2013

Pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj


Abu Basyer, 07 Jun 2013
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.

Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.

1. Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

2. Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Perjalanan Rasulullah SAW ini telah diabadikan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah SAW hanya berlangsung pada satu malam.

Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad SAW yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi sama ada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda SAW menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda SAW. Fitnah terhadap baginda SAW bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda SAW maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi SAW lalu beliau dengan tegas menyatakan :

"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda SAW mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah SAW berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

Sahabat yang dimuliakan,

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,

2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah,

3. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa AS dilahirkan),

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut:

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah SWT);


Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Di Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS.

Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS.

Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa AS Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu “La Haula Wala Quwwata Illa Billah” Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim AS bersabda, "Sampaikan nya ialah lima kalimah, iaitu: Subhanallah, Wal-Hamdulillah, Wa La Ilaha Illallah Allahu Akbar Dan Wa La Haula Wa La Quwwata Illa Billahil- 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT: Ya Muhammad.

Rasulullah: Labbaika.

Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah: Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sopak dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah SWT: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu 50 (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj:

Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Makkah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

(Sumber: Kitab Jam'ul-Fawaa'id)
Sahabat yang dikasihi,

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)

Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.

- Artikel iluvislam.com

Jumaat, 7 Jun 2013

Sultan Muhammad Al-Fateh

PENGENALAN

Sultan Muhammad II yang lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Konstantinople) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dalam kalangan pemerintah selain beberapa orang lagi dalam kelompok yang sama seperti Sultan Salahuddin al-Ayyubi (Penyelamat Jerusalem) dan Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz (Penghancur Monggol). Dia menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran “Al-Fath” itu bersempena kejayaannya ‘membuka’ Konstantinople.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw pernah berkata: “Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.

”Hadis ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam untuk menakluki dan ‘membuka’ Konstantinople yang terkenal dengan keutuhan tembok berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja perwira yang mahu diri mereka memenuhi maksud hadis Nabi itu. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun kemudiannya, pelbagai kempen ketenteraan dilakukan namun kesemuanya gagal menembusi tembok Konstantinople. Konstantinople yang berada dalam Empayar Byzantine ini sangat penting kerana ia merupakan laluan utama untuk ‘membuka’ Eropah keseluruhannya. Runtuh sahaja pintu Eropah, bermaksud mudahlah untuk sesiapa sahaja menerobos ke luar sana.

Tuhan menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad saw itu melalui Sultan Muhammad al-Fateh. Namun kita kena memahami satu perkara, iaitu Konstantinople dibuka sekurang-kurangnya dua kali. Sultan Muhammad al-Fateh ialah pembuka yang pertama manakala pembuka utamanya akan datang tidak lama lagi. Bahagian ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut di bawah nanti.Seorang sahabat Nabi bernama Abu Ayyub al-Ansari menemui kesyahidannya berhampiran tembok kota Konstantinople. Dia melancarkan serangan pada zaman Kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan antara hujah Abu Ayyub ke sana ialah kerana dia pernah mendengar Rasulullah saw memberitahu bahawa akan ada seorang lelaki yang akan dikuburkan di sana. Dia berharap agar dialah orangnya. Selain itu, jika dia gagal membuka Konstantinople, dia berharap dapat mendengar derap kuda “sebaik-baik raja dan tentera” itu.

ZAMAN KECIL

Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) seorang yang soleh, handal dalam perang jihad dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad jadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan lain-lain. Dia berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia. Hal ini menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.Kekhalifahan Uthmaniyyah yang bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah aliran Asha’irah dan bermazhab Hanbali itu sangat mementingkan ilmu tasauf kesufian.

Pihak istana mengamalkan Tariqat Naqshabadiyyah. Para khalifah mempunyai bilik suluk khas mereka. Peribadi yang banyak membentuk rohani Sultan Murad dan anaknya ini ialah seorang mursyid besar Tariqat Naqshabandiyyah iaitu Syeikh Shamsuddin al-Wali, seorang berketurunan Sayyidina Abu Bakar. Dia bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu.Ketika Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad, bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinople tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian itu.

ZAMAN REMAJA

Muhammad al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah daulah Islam pada tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad ada urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah dia secara rasminya menjawat jawatan khalifah. Sultan Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.ZAMAN

DEWASA

Sultan Muhammad al-Fateh memimpin sendiri 25 kali kempen ketenteraan sepanjang hidupnya. Walaupun dia ketua seluruh umat Islam pada zaman itu, namun dia seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan ketika tentera Islam membina Benteng Rumeli Hisari, Sultan Muhammad membuka serban dan bajunya lalu turut sama menjadi buruh binaan.Sultan Muhammad sangat gemar mengenakan serban, begitu juga dengan tentera dan rakyat Turkistan ketika itu. Selain daripada mempraktikkan sunnah, serban besar mereka itu tidak lain ialah kain kafan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan kecintaan mereka kepada syahid pada bila-bila masa dan tentunya kecintaan kepada sunnah. Sebab itu kesemua tentera Islam pada zaman itu mengenakan serban.

Walaupun Sultan Muhammad sudah dilantik sebagai khalifah, tetapi dia masih memerlukan tunjuk ajar bapanya, yang juga mahagurunya. Oleh itu, sungguhpun Sultan Murad sudah bersara dan mahu memberi tumpuan pada amal ibadah, Sultan Muhammad tetap mahu bapanya ke medan juang. Setelah Sultan Murad uzur, barulah dia dibiarkan berehat. Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya setelah dia menjawat jawatan khalifah:

“Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.”Begitulah lebih kurang. Dengan kata-kata ini, Sultan Murad tidak dapat berhelah lagi. Memang benar, perjuangan tidak ada hari berhentinya.


MEMBUKA KONSTANTINOPLE

Sebelum melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinople, Sultan Muhammad membuat persediaan rapi. Dia belajar daripada sejarah yang menyaksikan sekian banyak kegagalan tentera Islam terdahulu dalam menyerang kota tersebut. Dengan tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya, kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa mesti dilakukan.Antara langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu. Meriam ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600 kilogram setiap biji.

Tentera musuh memang gentar akan teknologi ketenteraan umat Islam ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15 tembakan setiap hari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk umat Islam menguasai teknologi.Tentera Islam tiba di Konstantinople dengan jumlah lebih kurang 150,000 orang. Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, moral tentera musuh sudah menjunam jatuh.Selain tembok kebal, penghalang besar antara tentera Islam dengan Kota Konstantinople ialah Selat Bosphorus. Kapal-kapal tentera Islam tidak dapat membuat serangan kerana tentera Kristian sudah memasang rantai besi yang merentangi selat. Strategi ini berjaya menghalang kemaraan tentera Islam untuk tempoh yang agak lama juga.

Sultan Muhammad yang berusia 21 tahun dan tenteranya tiba di Konstantinople pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam selama 48 hari, namun Konstantinople masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong.Satu keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat.

Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh luar biasa.Esoknya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh melompat masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku.Sudah berlalu 53 hari namun Konstantinople tetap gagah. Sultan Muhammad tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan tekad muktamad dia memberikan ucapan : “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari ikut saya!”

Ucapan ini benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan bernama Hasan Ulubate dan 30 orang perajurit menyerbu masuk ke kubu musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu. Bendera yang berkibar itu membuatkan tentera Islam ‘naik syeikh’. Mereka bertarung sambil mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya Konstantinople tunduk melutut ke bawah tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang perajuritnya berjaya mendapatkan syahid. Allahu Akbar!

Konstantinople ialah kubu utama Kerajaan Byzantine. Kerajaan Byzantine lemah lalu akhirnya hancur selepas kota ini jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fateh. Sultan Muhammad menukar nama Konstantinople kepada Islambol, yang membawa maksud “Islam Keseluruhannya”. Nama Islambol diubah pula kepada “Istanbul” oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk, Bapa Pemodenan Turki. Gereja St Sophies ditukar oleh Sultan Muhammad menjadi masjid, iaitu Masjid Aya Sophia. Sekarang dijatuhkan maruahnya sebagai sekadar sebuah muzium. Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya.

JUMAAT BERSEJARAH

Selepas berjaya menakluki Konstantinople, sampailah ketikanya untuk tentera Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam? Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya:“Siapakah antara kamu yang pernah meninggal solat fardhu setelah baligh, sila duduk.”Tidak ada seorang pun dalam ribuan perajurit itu yang duduk. Maksudnya mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan solat fadhu.

Beginilah salah satu ciri sebaik-baik tentera.“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh, sila duduk.”Sebahagian daripada tenteranya duduk.“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat tajahud setelah baligh, sila duduk.”Semua tenteranya duduk, kecuali Sultan Muhammad sendiri. Hal ini menunjukkan pemerintah besar ini tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud sejak dia cukup umur. Alangkah hebatnya peribadi seorang pemimpin sebegini! Ada lagikah pemimpin umat Islam yang sebegini?

AKHIR HAYAT

Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hurkascayiri, Gebe. Ada pendapat mengatakan dia meninggal kerana menderita penyakit ghout. Ada pula yang mengatakan dia diracun.Siapa yang meracunnya? Seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa. Ada orang mengaitkan putera Sultan Muhammad sendiri dalam hal ini. Wallahu a’lam.

IniKalilah™: Sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh

IniKalilah™: Sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh: PENGENALAN Sultan Muhammad II yang lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Konstantinople) ialah salah seorang tokoh pej...

Jangan pisahkan Trio Kepimpinan ini


-, 06 Jun 2013


1. Tiada dikotomi antara ulama', profesional dan aktivis dalam PAS. Ini penegasan saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia. Malah ini juga konsensus kami seluruh saf kepimpinan Jawatan Kuasa Harian, EXCO dan seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia. Sebarang usaha memisahkannya adalah kerja jahat musuh luar atau dalam yang mahu merosakkan reputasi PAS sebagai sebuah Gerakan Islam unggul di negara ini.

2. Ulama' memerlukan Profesional dan Aktivis bagi memacu perjuangan suci ini ke mercu jaya. Sebagaimana Profesional memerlukan Ulama' untuk terus memimpin dan mentarbiyah serta memandu arah bahtera perjuangan ini. Demikian jua Ulama' dan Profesional tidak boleh meminggirkan para Aktivis PAS untuk melaksanakan tugas - tugas besar perjuangan ini agar ia dipikul bersama dan menempa kejayaan dengan gemilang.

3. Kepimpinan Ulama' bukan istilah atau slogan juga bukan konsep untuk mewujudkan dikotomi sekaligus memisahkan Trio Kepimpinan PAS yang berlangsung sejak dulu. Sebaliknya Kepimpinan Ulama' adalah konsep sebuah Kepimpinan "Ilmu" dan "pendokongnya yang berilmu" menepati kehendak Islam untuk memimpin perjuangan atau parti ini dengan benar dan pula menepati Manhaj Perjuangan Islam. Bukan konsep kepimpinan yang memisahkan semua unsur baik dan positif bagi memperkukuhkan jamaah.

4. Semua pihak mesti menginsafi keperluan Trio Kepimpinan ini. Ulama', Profesional dan Aktivis mesti saling kukuh mengukuh bukan runtuh meruntuh, saling bina membina bukan saling hina menghina dan saling bentuk membentuk bukan saling kutuk mengutuk. Justeru semua segmen mempunyai kekurangan tersendiri yang mesti diakui sebagaimana semua segmen itu juga mempunyai kelebihan tersendiri yang mesti dihormati.

5. Apabila kesilapan atau kepincangan berlaku, maka ia adalah mewakili individu tersebut bukan ulama' atau profesional atau aktivis. Jangan rosakkan institusi Ulama', Profesional dan Aktivis yang merupakan institusi penting untuk kekal dan wujud dalam bahtera perjuangan ini. Sebagai contoh, apabila seorang guru melakukan perbuatan mungkar seperti zina maka kita tidak boleh menghukum Guru adalah Penzina sebaliknya individu tersebutlah penzina. Demikian juga dalam hal ini.

6. Kepimpinan Ulama' yang diperjuangkan dan diasaskan sejak 1982 yang lalu dan menjadi Konsep Kepimpinan yang sangat berjaya menjulang PAS sebagai sebuah Gerakan Islam Kontemporary yang disegani dari dalam dan luar negara akan terus dipertahankan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan gandingan seimbang serta sepadu antara Ulama', Profesional dan Aktivis.

7. PAS adalah sebuah gerakan yang memperjuangkan Islam agar cara dan gaya hidupnya dapat direalisasikan dalam masyarakat negara kita. Justeru itu, pemimpin dan anggotanya mesti berilmu bagi memastikan dasar dan matlamat perjuangan dapat didokong serta dilaksanakan dengan baik. Berilmu bukan sahaja kewajipan pemimpin dan anggota PAS malah ia adalah kewajipan asas seorang muslim justeru Islam menentang dan memusuhi kejahilan.

8. Mana - mana individu atau pihak yang meletakkan diri mereka bertentangan dengan dasar dan matlamat perjuangan Islam yang didokong oleh PAS, hendaklah diluruskan agar ia kembali melandasi matlamat dan dasar perjuangan yang betul. Ulama' kah ia, Profesional kah ia atau Aktivis kah ia , itu bukan persoalannya. Persoalannya sikap individu yang memesong diri dari dasar, matlamat, ilmu, amal, adab dan akhlak perjuangan Islam mesti diluruskan. Sementara kebiadaban dan kedegilan mempertahankan sikap yang salah itu pula mesti ditentang.

9. Islam adalah agama hikmah. Islam adalah agama yang maha luas dan kaya dengan pendekatan yang hebat dan menarik menepati zaman dan tempat. Maka pendokongnya juga mesti berhikmah dan berpandangan luas serta hebat seiring dengan kehebatan Islam dalam melayan karenah zaman, tempat dan seluruh warganya.

10. Kepimpinan Ulama' adalah antara hikmah yang dipamerkan oleh PAS yang menggandingkan semua segmen [Ulama', Profesional dan Aktivis secara seimbang dan sepadu]. Gandingan ini pula melahirkan sebuah kehebatan bagi meletakkan PAS mampu bersaing dipentas politik moden pada hari ini. Lantaran itu, usah tolak Kepimpinan Ulama' sebaliknya tolak individu atau mereka yang merosakkan jamaah, mereka yang membocorkan rahsia jamaah, mereka yang menikam jamaah dari belakang, mereka yang menabur fitnah dan tohmahan dalam jamaah, mereka yang melaga - lagakan pemimpin dan 1001 salah laku yang mesti diaudit dengan teliti terlebih dahulu sebelum memuktamadkan tindakan .

Ringkas Pengalaman Saya

a] Zaman Datuk Mahfuz Omar menjadi Ketua DPPP dan Sdr Yb Salahudin Ayub menjadi Timbalan Ketua DPPP, pada waktu itu saya adalah EXCO DPPP dan saya menyokong dan mendokong kepimpinan beliau masa rebah dan tegak.

b] Zaman Yb Salahudin Ayub menjadi Ketua DPPP sementara Ust Idris Ahmad menjadi Timbalan Ketua DPPP bergandingan dengan Sdr Mazlan Aliman sebagai naib Ketua DPPP dan kemudiannya saya menjadi Timbalan Ketua DPPP. Saya menyokong dan mendokong kepimpinan beliau masa jatuh dan bangun.

c] Dua penggal kepimpinan Datuk Mahfuz dan tiga penggal kepimpinan Yb Salahudin Ayub [10 tahun] saya bekerja di bawah mereka dan saya selesa bersama mereka tanpa mencetuskan polemik kepimpinan ulamak.

d] Kini saya dengan segala kelemahan diri ditakdir dan dipilih oleh jamaah untuk memimpin DPPM, Ust Azman Syafawi dan Ust Nik Mohd Abduh bergandingan dengan Sdr Sabki Yusuf dan Dr Raja Iskandar masing - masing sebagai Timbalan dan Naib Ketua DPPM selama dua penggal saya menerajui DPPM, saya harap polemik kepimpinan Ulama' tidak dicetuskan. Justeru ia adalah gandingan mantap yang dipertahankan sejak dulu.

Salam dari bumi Multazam

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia