|
Ustaz Hamizul Abdul Hamid,
|
03 Jun 2013
|
Takaful dalam Islam sendiri bermakna saling menjamin demi kebaikan bersama...
Soalan:
Keluarga saya baru sahaja mendapat duit simpanan daripada sebuah
pengendali insurans takaful pendidikan anak-anak saya yang berusia 12
dan 13 tahun sebanyak RM 20,000.00, dan suami saya juga baru mendapat
pampasan daripada sebuah takaful atas kecederaan yang dialaminya kerana
kemalangan jalan raya sejumlah RM150,000.00. Persoalan saya, adakah duit
insurans ini juga perlu dizakatkan? Mohon penjelasan.Jawapan:
Terima kasih kerana mengajukan persoalan yang baik ini. Mudah-mudahan,
puan dan keluarga puan sentiasa diberikan kesabaran dan diberkati Allah
SWT hendaknya, amin. Baiklah, demi menjawab persoalan puan, saya akan
menegaskan beberapa perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Pertamanya,
mungkin ramai yang terkeliru dengan status wang yang disimpan di dalam
mana-mana institusi takaful atau insurans. Sebelum itu, sila fahami
bahawa, takaful adalah insuran yang Islami dan ia tertakluk kepada akta
takaful; serta ia berbeza dengan insuran, kerana insuran dijalankan
secara konvensional yang melibatkan kontrak yang tidak syarie serta
adanya tiga unsur yang tidak halal, iaitu gharar (ketidakpastian),
maisir (judi) dan riba.
Oleh itu, demi memudahkan perbincangan, saya mengandaikan bahawa puan hanya mencarum di dalam takaful sahaja.
Hakikatnya,
takaful adalah wang yang berbentuk simpanan, kerana seseorang penyimpan
itu masih mempunyai hak milik sempurna ke atas wang berkenaan.
Misalnya, sungguh pun puan menandatangani kontrak polisi takaful
berkenaan untuk tempoh 10 tahun; namun dalam tempoh masa sebelum 10
tahun itu, puan masih boleh memohon pengeluaran tunai daripada pihak
takaful berkenaan.
Maka, dalam hal ini puan hendaklah
menyandarkan wang di dalam takaful sebagai wang simpanan dan dikeluarkan
zakat sebagaimana puan mengira zakat simpanan yang lain. Iaitu, puan
campurkan jumlah simpanan anak-anak puan di dalam takaful yang sempurna
milik itu dan dicampurkan dengan simpanan-simpanan lain anak-anak puan
yang ada di bank atau di mana-mana sahaja, dan jika ia menyamai atau
melebihi paras nisab, maka wajiblah dizakatkan ke atasnya 2.5 peratus.
Adakah
jumlah simpanan takaful itu perlu diambil pada hujung tahun? Tidak,
kerana jumlah itu tidak bersifat genap setahun disimpan, maka sila ambil
jumlah permulaan puan mencarum dalam takaful berkenaan.
Ilustrasi: Contoh kiraan zakat simpanan Pn. Izah bagi tahun 2012
Nisab: RM10,500.00
Haul: Satu tahun (12 bulan dan andaikan ia bermula 1 Januari 2012)
Jumlah
simpanan di takaful setahun (sila ambil baki permulaan simpanan di
takaful atau jumlah terendah) Jumlah di bank setahun (ambil baki
terendah) Jumlah di lain-lain tempat Jumlah
RM200.00 RM13,000.00 RM1,000.00 RM13,200.00
Maka, zakatnya ialah: RM13,200.00 X 2.5 % = RM330.00
Nota:
Simpanan dikira saat seseorang mula menyimpan, katakanlah Pn. Izah mula
menyimpan di takaful pada bulan 1 Januari 2012 sebanyak RM200, maka
itulah baki terendah simpanannya. Manakala, dalam akaun bank yang lain,
ambil sahaja baki terendah dalam tempoh tahun 2012 dan jumlahkan
kesemuanya untuk mendapatkan jumlah yang besar. Cumanya, dalam akaun
takaful ada yang bersifat simpanan, tabarru’ dan pelaburan, maka
ambillah daripada akaun simpanan yang merupakan milik sempurna Pn. Izah
sahaja, yang mungkin berjumlah 50 peratus daripada keseluruhan
carumannya setiap bulan.
Justeru, bagi kes anak-anak dan suami
puan, sebenarnya mereka sudah perlu mengeluarkan zakat wang simpanan
mereka, semasa ia masih lagi berada dalam simpanan pihak takaful,
bukannya semasa mereka mendapatkan wang setelah genap 10 tahun atau
semasa mereka membuat permohonan tunai daripada pihak takaful.
Oleh
itu, dalam kes anak-anak puan di atas, oleh sebab mereka sudah pun
mengeluarkan zakat sepanjang wang simpanan itu berada dalam akaun
takaful, maka ketika mereka memperoleh wang RM20,000.00, maka mereka
tidak wajib lagi mengeluarkan zakatnya. Melainkan, jika mereka tidak
mengeluarkannya, maka mereka wajiblah mengqada berdasarkan berapa jumlah
simpanan yang sebenarnya selama 10 tahun tidak dikeluarkan.
Kecuali
dalam kes yang mana, sepanjang tempoh 10 tahun itu, puan dan anak-anak
puan langsung tidak boleh mengeluarkannya (tetapi saya fikir, hal ini
mungkin tidak berlaku), maka ketika itu wang yang puan peroleh
sebenarnya dikategorikan sebagai sebahagian daripada wang yang tertahan
yang kemudiannya diperoleh kembali, dan ia diistilahkan sebagai mal
al-dimar. Menurut Imam an-Nawawi, mal al-dimar ini hendaklah ditunaikan
zakatnya ketika diperoleh, samalah seperti kita mendapat wang KWSP
setelah lama tertahan dalam simpanan KWSP dan ia perlu dizakatkan tanpa
bertangguh lagi.
Sementara itu, bagi kes suami puan yang menerima
wang pampasan daripada pihak takaful akibat kemalangan jalan raya
sebanyak RM150,000.00; maka ia sudah pasti dikira sebagai wang
pendapatan sepenuhnya. Maka, wang itu hendaklah terlebih dahulu
dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5 peratus semasa diterima (zakatnya
berjumlah RM3,750.00).
Keduanya, ada beberapa isu lain yang ingin
saya perjelaskan, lewat persoalan puan. Iaitu, puan menyatakan wang itu
diperoleh oleh anak-anak puan yang kelihatannya masih belum mencapai
usia baligh. Adakah mereka juga wajib berzakat?
Hakikatnya,
kedudukan anak-anak di bawah usia baligh juga, menurut fuqaha
termasuklah di sisi Syafie, tidak menjadi penghalang daripada dikenakan
zakat ke atas mereka. Hal ini kerana, illat (sebab) dikenakan zakat,
adalah kerana kekayaan yang dimiliki bukan ke atas individu semata-mata.
Maka, dalam konteks syarat wajib zakat juga, ia tidak mengambil kira,
sama ada pemilik harta itu adalah orang yang baligh, berakal atau tidak;
yakni selagi kekayaannya bersifat milik sempurna dan dia mempunyai hak
at-tasaruf (hak menggunakan harta tanpa batasan), maka dia dikira wajib
berzakat. Oleh sebab itulah, seorang yang sudah tua dan nyanyuk atau
hilang akal kerana gila (tidak kiralah apa pun puncanya), maka para
warisnya masih wajib mengeluarkan zakat ke atas harta-harta yang
dimiliki olehnya.
Mungkin akan ada pihak yang mempertikaikan,
bahawa bukankah wang yang diperoleh itu adalah untuk tujuan pembelajaran
dan pelajar itu juga berhak menerima santunan zakat atas nama asnaf
fisabilillah?
Suka juga dijelaskan di sini, ada pun pandangan
bahawa pelajar itu berhak mendapat santunan atas nama fisabilillah,
adalah merupakan perkara khilaf yang dibahaskan dalam kalangan fuqaha,
kerana ada yang membataskan fisabilillah hanya untuk tujuan peperangan
dan ada yang meluaskannya, sehingga termasuklah dalam bab mencari ilmu.
Manakala, dalam bab mengenakan zakat, sudah jelas bahawa ada dalil yang
Nabi SAW pernah memerintahkan supaya sahabat yang menjaga harta anak
yatim agar melaburkannya, supaya tidak susut dimakan oleh zakat.
Diriwayatkan
daripada ‘Amru bin Syuaib daripada datuknya, bahawa Nabi SAW pernah
memberitahu: “Ketahuilah, sesiapa yang menjadi wali bagi anak yatim yang
ada harta, hendaklah ia memperniagakannya (supaya bertambah kembang)
dan janganlah ia membiarkan harta itu (berterusan susut) – dimakan oleh
zakat,” (Hadis Riwayat Termizi).
Sungguh pun ahli hadis
menyatakan hadis di atas termasuk hadis yang daif (lemah); namun ia
diperteguhkan dengan pelbagai hadis lain, seperti mana Imam al-Syafi’i
sendiri di dalam kitab Musnad as-Syafi’i (sebuah kitab yang disandarkan
kepada namanya), ada menyatakan sebuah hadis, bahawa Rasulullah SAW
pernah bersabda yang maksudnya: “Carilah jalan yang menguntungkan semasa
kamu menjaga dan mengurus harta anak yatim, supaya hartanya itu tidak
ditelan habis oleh zakat,” (rujuk Musnad Imam Syafie, 1: 224).
Begitu
juga daripada keterangan athar (perkataan, perbuatan dan pengakuan)
oleh para sahabat, bahawa Ummul Mukminin Aisyah r.ha sendiri semasa
memelihara anak-anak saudaranya yang yatim, baginda telah memperniagakan
harta mereka untuk mengembangkannya dan mengeluarkan zakat ke atasnya
(ibid, 225).
Dalam pada itu, statusnya sebagai pelajar juga
adalah masih di bawah pembiayaan ibu bapa, yakni mereka tidak bergantung
100 peratus kepada wang takaful yang diperoleh. Makanya, tuntutan agar
dikenakan zakat ke atas harta seorang pelajar yang sudah mencapai syarat
wajib zakat, sebenarnya lebih kuat daripada menafikan zakat ke atasnya.
Kesimpulannya,
puan hendaklah menunaikan zakat simpanan ke atas simpanan takaful
anak-anak puan dan jika belum ditunaikan, bolehlah dikeluarkan sebagai
zakat qada simpanan. Manakala, bagi suami puan, sudah jelas kedudukannya
bahawa ia adalah zakat pendapatan.
Wallahua’lam.
Disediakan
oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga
Zakat Selangor (MAIS) dan sebarang kemusykilan zakat sila emailkan
kepada
24 Rejab 1434 H | 3 Jun 2013hamizul@e-zakat.com.myThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
atau boleh layari www.e-zakat.com.my; blog.e-zakat.com.my atau www.
facebook.com/ LembagaZakatSelangor.MAIS untuk maklumat lanjut.