Harakahdaily, | 04 Jun 2013 |
(Kata Mahathir, orang Melayu sudah meluat dengan Umno... tetapi hanya sebut selepas pilihan raya selesai)
Bagi Mahathir, ramai orang Melayu sudah merasa meluat dengan Umno dan mengganggapnya tidak relevan dan perlu ditolak kerana parti itu tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair.
“Umno ternampak dan memang pun benar, berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya sahaja. Umno berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati, untuk poket sendiri,” tulis Mahathir di blognya.
Mahathir berkata pemimpin Umno kini melariskan budaya memilih orang kurang berkobolehan untuk menyertai parti supaya kedudukan mereka tidak diancam sampai bila-bila.
“Untuk ini mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka dicabar, kurangkan kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. Umno adalah hak ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak orang Melayu. Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu lain, terutama yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai Umno,” selar beliau.
Sekarang, Mahathir berkata Umno sudah menjadi sebuah parti hanya untuk pemimpin dan ahli semasa, dari ketua cawangan kepada ketua bahagian.
“Umno tidak perlu tambahan ahli, tidak perlu penyertaan sesiapa lagi kerana ahli yang sedia ada perlu memelihara habuan mereka. Jika terlalu banyak ahli, habuan perlu dikongsi. Dan habuan yang dikongsi tentulah tidak sebanyak sebelum berkongsi,” sindirnya lagi.
Akibatnya, kata Mahathir, mereka terutama yang berkebolehan, yang berbakat tidak dibenar masuk Umno lagi.
“Yang boleh menyertai hanyalah yang kurang berkebolehan dibanding dengan yang sudah ada. Oleh kerana penyertaan dalam Umno mestilah melalui cawangan, yang boleh masuk Umno ialah yang kurang berkebolehan dari ketua cawangan,” katanya.
Mahathir juga menyindir bahawa pemimpin-pemimpin Umno ini sering terlupa ajal boleh sampai bila-bila masa.
“Ketua cawangan manusia biasa yang boleh diserang penyakit, bahkan boleh mati pun. Satu hari ketua cawangan terpaksa lepaskan jawatannya. Penggantinya tentulah orang yang memiliki kebolehan yang kurang darinya. Dengan itu kebolehan ketua cawangan akan merosot sepanjang masa, tiap kali pengganti mengambil alih. Dan ini akan terjadi dalam keseluruhan parti,” katanya.
Akhirnya, Mahathir berkata Umno hanya tinggal golongan yang tidak berbakat sehingga semakin kurang ahli yang berbakat dan layak untuk menjadi calon dalam PRU.
"Calon payung terjun yang berbakat akan dikalahkan. Dengan itu pemimpin Kerajaan juga akan terdiri dari yang tidak berkebolehan,” sindirnya lagi.
“Di mana pergi mereka yang berbakat ini?. Mereka pergi ke mana mereka di terima, tentunya parti lawan,” tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan