Jumaat, 21 Disember 2012

Petua MENAMBAT HATI SUAMI


Petua MENAMBAT HATI SUAMI

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum wbh

Apa khabar semua pembaca Laman Emjay. Bulan Puasa dah semakin memasuki penghujung Ramadhan. Semoga amalan sdr di bulan Ramadhan ini diterima Allah dan dihapuskan segala dosa.

Sudah lama saya tidak menulis dan tulisan saya terakhir adalah pada 24 September lalu. Hari ini sudah 5 Oktober. Kerja dipejabat agak banyak untuk disempurnakan dan waktu malam dibulan puasa ini saya tidak membuka pun Laman emjay di rumah.

Sudah lama saya menulis artikel-artikel yang hevyweight dan insyaAllah kali ini saya ingin menulis sesuatu yang digemari  ramai  iaitu petua berkaitan  suami isteri.

Dalam sebulan dua ini, atas urusan rasmi saya dipertemukan dengan satu hamba Allah seorang wanita muda yang baru setahun lebih bersuami. Anak baru seorang dan masih kecil. Pertemuan saya yang pertama dengan hamba Allah yang saya namakan Asiah ini pada waktu itu beliau bermake up. Saya seperti biasa memang suka busy body dan menegurnya dengan tujuan agar Allah menambah rahmat ke atasnya. Alhamdulillah pada pertemuan berikutnya, Asiah tidak lagi bermake up. Semenjak pertemuan kedua, Asiah bertambah rapat dengan saya dan saya memulakan proses membimbing dan berdakwah. Saya mula mencampuri urusan keluarga termasuk anak, suami dan keluarganya. Macam-macam cerita keluar dari mulut Asiah.

Asiah semakin percaya dengan saya dan tiba-tiba pada suatu hari telefon saya berbunyi. Dihujung talian, kedengaran suara Asiah sedang menangis beria-ia sambil menceritakan pergaduhannya dengan suami. Perkara paling meruncing ialah hasrat sang suami yang mengugut hendak kahwin lain. Melalui telefon, alhamdulillah sempat juga saya menasihati Asiah agar bersabar dan jangan lari meninggalkan suami. Begitulah, perkahwinan belum sampai setahun setengah, berbagai pergaduhan antara Asiah dengan suaminya.

Pada pertemuan antara saya dengan Asiah berikutnya,  panjanglah ceramah saya untuk membimbing Asiah ini.  Berikut adalah antara intipati nasihat saya:

1. Asiah teramat suka makan kobis. Keturunannya semua sangat suka makan kobis. Asiah dan keluarganya (perempuan) menghadapi masalah keturunan keputihan yang serius. Saya menjelaskan kepada Asiah bahawa keputihan bukanlah penyakit keturunan tetapi adalah kesan dan akibat gemar memakan kobis. Sila baca artikel saya berkenaan kobis ini di http://emjayjb.multiply.com/journal/item/5.

2. Asiah menghadapi masalah untuk melayan suaminya dari segi hubungan kelamin. Kerap kali ia menolaknya kerana tidak berupaya untuk melakukannya. Saya menjelaskan bahawa orang yang mengidap keputihan serius memang menghadapi masalah untuk melayan suami dari aspek hubungan kelamin.

Masalah sang isteri sukar untuk melayan suami di bilik tidur berdasarkan pengalaman saya memang semakin lumrah bagi pasangan Melayu pada masa kini. Isteri yang kerap makan jeruk kering (seperti asam boi), jeruk basah, junk food, jambu batu dan kubis insyaAllah bakal menghadapi masalah untuk melayan suami.

Saya mengajarkan satu ilmu yang dititipkan oleh arwah guru saya dahulu sebagai panduan isteri untuk menambat hati sang suami iaitu:

1. Jaga mulut suami. Maksudnya ialah jagalah makan minum sang suami. Kenyang perut senang hati.

2. Jaga kemaluan suami. Maksudnya ialah berilah makan kemaluan suami secukupnya. Islam juga mengharamkan dan melaknat si isteri yang menolak permintaan suami untuk berjimak. Jikalau disemak hadis, ada hadis yang menyuruh isteri melayan suami walaupun sedang menunggang unta. Bab jaga mulut suami iaitu menyediakan makanan dan minuman suami adalah lebih mudah kerana kalau tidak pandai masak, boleh saja membeli makanan di restoran. Namun sekiranya makanan kemaluan suami tidak mencukupi, dimana nak cari ganti?? Ramai suami hari ini pergi kerja waktu pagi bagai kucing kelaparan. Bila ini berlaku, mulalah semua kerja asyik tidak betul. Pernah saya diberitahu oleh seorang hamba Allah, si isteri hanya melayan suaminya sekali dalam tempuh dua hingga tiga bulan walau pun pasangan ini baru berkahwin!!

Dalam bab menjaga kemaluan suami ini, ramai isteri melakukan kesilapan dengan tidak melayan kemaluan suaminya sewaktu haid dan sewaktu pantang beranak. Ada suami yang kuat nafsu yang mengingini dilayan kerap kemaluannya dan ada yang tidak begitu agresif. Apatah lagi kalau suami ini masih muda. Ada suami yang tidak mampu bertahan dan merasakan tempuh seminggu haid sebagai tempuh yang sangat lama. Kalau seminggu sudah tidak mampu bertahan, inikan pula berpantang lebih 40 hari sewaktu isteri beranak!!

Di dalam pertemuan ini, saya menasihatkan Asiah agar melayan juga suaminya pada kedua-dua waktu ini. Islam hanya mengharamkan berjimak sewaktu haid dan nifas tetapi Islam tidak melarang isteri melayan kemaluan suami. Saya menasihatkan Asiah membeli satu seluar dalam yang ketat yang macam seluar pendek untuk dipakainya bersama pad haid untuk kegunaan memuaskan nafsu suami. Saya menasihatkan Asiah untuk melakukan apa sahaja selain memasukkan ke vagina atau lubang dubur kerana ini ditegah dan haram. Lakukanlah apa sahaja asalkan air mani suami keluar, dan itu yang penting. Bila dah keluar mani tu, legalah sang suami.

Apa yang penting ialah puaskanlah nafsu suami kerana adalah bahaya seorang suami yang lapar kemaluannya. Suami dalam keadaan ini sangat sensitif dan kuat marah dan mungkin beliau akan marah tak tentu pasal. Kalau sang suami melancap untuk memuaskan nafsunya kerana tidak cukup makan, ini adalah haram dan bakal mengundang pelbagai masalah lain sebagai musibah dari Allah dan pastinya si isteri juga mendapat saham dosa. Yang haram ialah suami mengeluarkan air maninya sendiri tetapi adalah satu ibadah apabila isteri mengeluarkan air mani suaminya.

3. Jagalah minatnya. Kalau suami suka bertukang, janganlah suruh tukar minatnya ini. Lebih baik lagi kalau sang isteri juga turut belajar bertukang. Kalau suami suka menulis, fahamilah dan sokonglah. Kalau suami gemar baju warna biru, janganlah diberikan baju warna merah. Yang penting di sini ialah isteri jangan sekali-kali menentang minat sang suami ini. Tetapi apa yang penting di sini ialah berikanlah sokongan ke atas minat suami ini sekiranya minat ini tidak bercanggah dengan agama seperti merokok.

Dengan menguasai ketiga-tiga ilmu ini, seorang suami bakal menjadi suami yang bertimbang rasa, pemurah, sabar dan perkara-perkara positif lain.

Alhamdulillah Asiah dapat menerapkan 3 ilmu ini tetapi timbul pula satu masalah baru sewaktu saya menemuinya baru-baru ini. Suaminya menyuruh sang isteri bercuti pada hari jumaat semata-mata untuk melayan nafsunya.

Ilmu yang saya kongsikan di atas kelihatan sangat mudah namun persoalannya ialah adakah ianya mudah untuk dilakukan oleh sang isteri?? Kalau menurut saya jawapannya ialah SUSAH!. Mengapa susah? Jawapannya ialah walaupun ilmu ini kelihatan mudah, namun seandainya Allah tidak mengizinkannya, tetap ia tidak akan terlaksana!!! Ramai para isteri yang mengamalkan ilmu ini tidak menyertakannya dengan meningkatkan ilmu dan amalan agama. Sekiranya ilmu ini di amalkan serentak dengan peningkatan amalan agama sebagaimana dituntut Islam, insyaAllah ketiga-tiga ilmu ini menjadi mudah untuk diamalkan.

Bayangkan seorang isteri yang ingin mengamalkan  3 ilmu ini namun sang isteri ini kerap melakukan perkara berikut:
1. Tidak menghormati suami
2. Bersangka buruk terhadap suami
3. Membenci poligami
4. Memarahi dan mengherdik suami
5. Menyangka sama taraf dengan suami kerana masing-masing bekerja dan ada gaji
6. Melayani dan mengutamakan anak melebihi dari melayani suami

Allah tidak memberikan sesuatu rahmat secara percuma. Setiap rahmat Allah memerlukan pengorbanan dari pada isteri. Korbankanlah  segala sikap negatif semoga Allah memberikan rahmatNya dan seterusnya mudah mengamalkan 3 ilmu ini dan seterusnya dapat menawan hati sang suami.

Wahai para isteri, ingatlah bahawa hanya dengan taat kepada suami, Allah SWT mengizinkan memasuki syurgaNya melalui mana-mana pintu!

Ibnu Hasyim: Ramas Payudara Dapat Lumpuhkan Sel Barah..

Ibnu Hasyim: Ramas Payudara Dapat Lumpuhkan Sel Barah..: KESIHA TAN RAMAS sikit-sikit payudara boleh memberikan manfaat bagi pada wanita. Kajian menunjukkan bahawa meramas payudara mampu...

Sebelum memilih, pandang segalanya dengan mata hati

Sebelum memilih, pandang segalanya dengan mata hati

Aspan Alias, 21 Dis 2012
Pilihanraya mahu tidak mahu akan sampai juga. Samada penggal kali ini penggal yang penuh atau sebaliknya ia akan sampai juga. Seperti yang saya sebut dalam posting yang lepas, pengundi atas pagar merupakan pengundi yang terpenting untuk diyakini. Isu yang terpenting sekarang ialah bagaimanakah persepsi kumpulan ini terhadap kedua-dua belah pihak yang sedang berebut untuk menguasai Putrajaya itu. Tidak ramai yang begitu minat dengan kerajaan-kerajaan negeri kerana yang terpenting ialah kuasa di Putrajaya itu.


Kalau ada pun minat terhadap kerajaan-kerajaan negeri, yang direbutkan dengan kuat ialah Selangor dan Pulau Pinang kerana kedua-dua negeri ini menyumbang sebanyak tidak kurang dari 40 peratus dari GDP negara ini. Kebetulan kedua-dua buah negeri ini di bawah tadbiran Pakatan Rakyat dan negeri-negeri ini merupakan negeri yang ditadbir secara relatifnya lebih baik dari zaman pentadbiran BN dahulu.

Banyak dari pembaharuan yang berlaku di kedua buah negeri ini tidak dapat dipersoalkan oleh mana-mana pihak kerana ia telah menunjukkan prestasi yang sangat luar biasa kalau dinilai dan dibandingkan dengan pentadbiran BN dahulu. Bagi saya untuk BN mengambil alih kembali kerajaan-kerajaan negeri-negeri di bawah Pakatan ini agak ‘impossible’ kerana BN pun bermasalah untuk menonjolkan calon Menteri Besar masing-masing. Baik di Selangor, Pulau Pinang, Kedah mahu pun Kelantan, BN tidak berdaya memberikan pimpinan ‘alternative’ yang berkesan kepada Pakatan Rakyat sekarang ini.

Rakyat sedang berfikir, bukannya setakat menjadi pengikut sahaja sekarang ini. Rakyat sudah mula memahami yang merekalah sebenarnya yang bertanggungjawab jika berlaku perkara-perkara yang berbentuk jenayah dan keburukan moral yang dilakukan oleh pimpinan, tidak kira di pihak BN dan di pihak Pakatan Rakyat. Rakyat sudah tidak lagi berfikir tentang parti atau badan-badan siasah. Bagi mereka kerajaan mana yang mereka fikirkan telah menunjukkan prestasi yang baik, kerajaan itulah pilihan mereka terutamanya bagi pengundi di atas pagar tadi.

Itulah sebabnya saya telah memaparkan yang kehendak dan selera rakyat kini telah jauh berubah kerana mereka tidak mahu lagi terikat dengan retorik dan ancaman dari pihak yang sedang berkuasa. Rakyat sekarang tahu yang merekalah yang mempunyai hak untuk menjadi penentu kepada masa depan negara.

Kalau kita kaji dan mendengar rintihan rakyat sekarang ini, berbohong adalah satu isu moral yang amat besar kepada mereka. Rakyat tahu, sekali kita berbohong, mereka yang berbohong itu terpaksa berbohong seribu kali untuk menutup bohong yang telah dilakukan mereka terdahulu dari itu. ‘Once a liar, he or she will remain a liar forever’.

Politik bukan lagi perkara yang mudah untuk dikendalikan seperti dahulu. Itulah sebabnya BN sedang menghadapi fenomena dan isu berbohong itu sekarang ini. Setiap pilihanraya BN akan bercakap dan berjanji seperti yang kita dengar sekarang ini. Janji-janji BN sekarang ini adalah janji-janji yang sama seperti dalam pilihanraya-pilihanraya sejak 30 tahun dahulu.

Di antara janji-janjinya ialah untuk membina kemajuan rakyat semua kaum dengan membina kekuatan dan pegangan equiti Melayu dan Bumiputra yang lebih tinggi. Janji-janji inilah yang berulang-ulang kali di buat tetapi sehingga ke hari ini, usahkan hendak mendapatkan pegangan 30 peratus equiti, hendak mendapatkan 20 peratus pun sangat susah dan masih tidak tercapai sehingga ke hari ini.

Apa yang mampu dicapai oleh UMNO dan BN hanyalah mewujudkan kumpulan kecil yang eksklusif yang lazim disebut sebagai kroni semata-mata. Mewujudkan komuniti kronism inilah yang telah membantutkan kemajuan rakyat ramai termasuk orang Melayu kerana segala peluang perniagaan yang besar-besar di kuasai oleh kroni-kroni ini yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pimpinan persekutuan dan negeri. Masing-masing pemimpin ada kroni masing-masing.

Justeru perjuangan UMNO khususnya telah gagal sama sekali kerana janji-janji nya untuk membentuk bumiputra yang aktif di dalam bidang ‘commerce dan Industry’ tidak akan tercapai selagi budaya membentuk kronism ini masih berlanjutan. Cita-cita besar Dr Mahathir dahulu untuk membina masyarakat perniagaan Melayu telah gagal kerana perlaksanaan dasar itu telah digagalkan oleh beliau sendiri. Zaman beliau mentadbirlah mula wujudnya budaya kronism ini dan semua di antara kroni ini tidak bersusah payah untuk bersaing kerana mendapat ‘favour’ yang kuat dari pimpinan negara.

Maka wujudlah masyarakat Melayu yang sentiasa bersandar kepada pucuk pimpinan di setiap peringkat dan usaha untuk mewujudkan Melayu yang berdikari seperti yang Mahathir dan pimpinan selepas beliau itu hanyalah merupakan retorik yang biasa kita dengar setiap pilihanraya mendatang. Malahan Mahathir dan pimpinan yang lain sendiri telah bersandarkan kepada UMNO dan kuasa untuk membina ‘empire’ perniagaan keluarga beliau. Itu semua rakyat tahu.

Itulah sebabnya rakyat memberikan tumpuan kepada janji-janji semua pihak termasuk dari mereka yang berdiri di atas pagar. Itulah sebabnya jika ada janji-janji parti-parti dalam Pakatan sendiri yang telah terdengar oleh rakyat, sama ada isu menghadapi pilihanraya atau dari segi prestasi kepimpinan maka adalah penting kepada Pakatan Rakyat untuk mempastikan janji-janji itu dipenuhi.

Jika kedapatan ada janji-janji itu hanyalah janji politik pilihanraya sahaja maka rakyat di atas pagar akan rela mengekalkan pentadbiran yang ada sahaja kerana mereka tidak mahu terperangkap dengan janji-janji dan keadaan yang sama sahaja selepas mereka merubah pemtadbiran negara.

Jika isu 'multi racialism' menjadi janji yang besar kepada Pakatan Rakyat seperti PKR dan DAP, pastikan ia nampak terpapar dengan jelas kerana sesiapa sahaja yang mampu membawa sedikit perbezaan yang ‘positive’ dari prestasi dan rekod kepimpinan BN. Pakatan akan menjadi tumpuan untuk rakyat terutama yang duduk di atas pagar itu memberikan mandat dan sokongan mereka.

Jika keterbukaan ini wujud dalam Pakatan maka tidak syak lagi Pakatan boleh lah bersedia untuk menjadi pemimpin di Putrajaya. Jika ada tanda-tanda yang isu rasis wujud dalam penampilan kepimpinannya maka rakyat akan berfikir banyak kali sebelum melakukan perubahan. Rakyat kini dalam ‘desperation’ untuk mencari kepimpinan yang prakmatik dan ‘real’ dalam isu penyatuan kaum yang manjadi impian ‘ultimate’ rakyat zaman sekarang ini.

Dalam isu ini PAS nampaknya tidak menghadapi apa-apa masalah dalam penampilannya di depan mata rakyat. Itu sebabnya PAS di mana-mana sedang mendapat perhatian yang kuat dari rakyat. Baik di kampung-kampung tradisi mahu pun dalam tanah rancangan Felda parti itu sedang hampir kepada menjadi parti ‘alternative’ yang paling ‘viable’ bagi orang Melayu.

Dalam kita sedang berada di penghujung penggal ini, jangan kedapatan elemen-elemen permainan politik peribadi yang keterlaluan kerana jika ada isu-isu politik peribadi yang keterlaluan, takut-takut perubahan tidak akan dapat dilakukan.

Kini rakyat bukan memandang sesuatu perkara itu dengan mata zahir mereka semata-mata. Rakyat juga akan memandang dengan mata hati mereka kerana mata hati lah pandangan yang paling tajam dan merentasi malam yang gelap dan segala halangan yang ada merintasinya.

Itu sebab nya kita wajar yakin dengan pesanan Tuhan ‘tidak ada sezahrah pun gerak, selain dari gerak aku’. Semuanya adalah af’alNya semata-mata. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Jawapan fitnah terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Jawapan fitnah terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Ahmad Fadhli Shaari, 21 Dis 2012


Saya telah diarahkan oleh YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan untuk membuat sedikit penjelasan berkenaan isu sekeping tanah seluas tanah 10,526 hektar milik kerajaan negeri Kelantan yang didakwa sebagai habuan kepada pemimpin DAP Perak agar mereka sudi menyerahkan kerusi Menteri Besar Perak kepada PAS selepas pilihanraya umum 2008. Ia dilaporkan di dalam blog pisau.net yang kemudiannya dijadikan asas kepada laporan polis oleh sebuah badan bukan kerajaan Barisan Bersatu Nambikkai (Nambikkai) pada 19 Mac 2012. Ia juga turut dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Disember 2012.

Hakikatnya, ini satu lagi fitnah UMNO/Barisan Nasional yang cuba memperdayakan rakyat dengan isu-isu ciptaan mereka khususnya menjelang pilihanraya umum yang ke13. Peluru-peluru terakhir UMNO/BN ini kelihatan berterabur kerana dilancarkan dalam keadaan panik dan kelam kabut ekoran kebimbangan akan terlucut kuasa selepas pilihanraya nanti.

Barangkali UMNO lupa bahawa merekalah yang telah menukar status tanah rizab melayu di bandar Baru Kubang Kerian ketika memerintah Kelantan. Ini boleh dirujuk melalui Warta Kerajaan Kelantan 22 April 1990 (ketika Kelantan masih diperintah oleh Barisan Nasional). Ini hanya sekelumit dari 'jasa baik' UMNO terhadap tanah rezab Melayu.

Dalam isu tanah seluas 10,526 hektar yang didakwa sebagai habuan kepada pemimpin DAP Perak, suka untuk dinyatakan bahawa kawasan tersebut yang terletak di Hutan Simpan Relai, Gua Musang telah diluluskan kepada Yayasan Islam Kelantan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan yang bersidang pada 13 September 2000. Ia bertujuan untuk menjana pendapatan YIK bagi tujuan menampung urusan pengajaran dan pembelajaran anak-anak di sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan. Perlu diingatkan bahawa pada tahun 2000, Pakatan Rakyat masih belum wujud dan masih belum membentuk kerajaan di Perak.

Pada Disember 2000, Yayasan Islam Kelantan telah bersetuju menawarkan Projek Usahasama memajukan tanah ini kepada sebuah syarikat. Bagaimanapun syarikat tersebut ternyata tidak mampu untuk melaksanakan kerja-kerja memajukan tanah terbabit dan ini menyebabkan Mesyuarat Lembaga Yayasan Islam Kelantan pada 18 Ogos 2004 membuat keputusan agar tawaran projek ladang hutan ini ditarik balik dan dibatalkan.

Tawaran kepada syarikat Upayapadu Sdn Bhd (pada masa itu dipengerusikan oleh Dato Seri Wong Yeon Chai) pula dibuat melalui surat Yayasan Islam Kelantan bertarikh 28 Ogos 2005 manakala perjanjian ditandatangani pada 3 Mei 2006, hampir dua tahun sebelum pilihanraya umum 2008. Ia merupakan usahasama projek melalui konsep pajakan dan perjanjian selama 50 tahun dengan diberikan leasehold dan bukannya hak milik. Ia juga menjana pendapatan YIK melalui kadar sewaan RM100.00 seekar setahun untuk kawasan getah klon dan RM150.00 seekar setahun untuk kawasan kelapa sawit.

Pertukaran komposisi pengarah dan pegangan saham dalam Upayapadu Plantation Sdn Bhd telah dimaklumkan kepada Yayasan Islam Kelantan pada Mei 2012 di mana ekoran pertukaran tersebut, pihak syarikat dikehendaki membayar sumbangan kepada YIK sebanyak RM1.5 juta.

Berasakan kepada kronologi di atas, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa :

1. Dakwaan yang menyatakan YAB Menteri Besar Kelantan telah memberikan 'habuan' kepada pemimpin DAP Perak agar memberikan laluan kepada calon PAS mengisis kerusi Menteri Besar adalah fitnah sama sekali. Tarikh perjanjian dengan Upayapadu Sdn Bhd yang ditandatangani pada 3 Mei 2006 dan pertukaran komposisi pada Mei 2012 adalah tidak relevan dengan tarikh pilihanraya umum 8 Mac 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional hilang kuasa di Perak.

2. Dakwaan blog pisau.net bahawa 'sekelip mata mereka memperolehi 10,526 ekar dengan nilai pasaran melebihi 30 juta ringgit' juga adalah dakwaan yang tersasar. Ini kerana tanah tersebut hanya dipajak dan tidak diberikan hak milik. Pajakan pula hanya dalam tempoh 50 tahun sahaja. Blogger terbabit wajib mendatangkan salinan geran tanah sebagai bukti bahawa tanah tersebut telah dipindah milik.

3. Segala urusan perjanjian, pajakan dan transaksi dibuat dan dilaporkan di dalam mesyuarat samada Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kewangan, Tender, Pembangunan dan Pelaburan YIK atau Mesyuarat Lembaga YIK. Ia dilakukan melalui prosedur yang sah dan tidak bertentangan dengan undang-undang.

Saya kira, fitnah terbaru ini tentunya akan menyaksikan satu lagi episod saman yang akan difailkan di mahkamah. Ia jelas merupakan satu fitnah besar terhadap YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. UMNO hakikatnya sudah hilang punca untuk menonjolkan diri sebagai pejuang Melayu sedangkan pada hakikatnya, merekalah pengkhianat kepada tanah rezab Melayu.

Di Selangor misalnya, UMNO Bahagian Puchong telah cuba menjual sebidang tanah rezab Melayu kepada sebuah syarikat Lagi Gemilang Development Sdn Bhd yang mana pemiliknya adalah 75 peratus bukan bumiputra. Ia disyorkan ditolak oleh Pengarah Tanah dan Galian Selangor Darul Ehsan melalui sepucuk surat kepada Menteri Besar Selangor pada 25 Januari 2010. Inilah dia wajah UMNO yang sebenar!

Barangkali, UMNO meletakkan pihak lain seperti mereka di mana setiap perkara memerlukan habuan dan balasan. Dalam hal ini, menarik juga untuk dibincangkan apakah habuan yang diperolehi oleh UMNO ketika memberikan laluan kepada parti GERAKAN untuk mengisi kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang satu ketika dulu... - 21 Disember 2012

Penulis ialah Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan.

Khamis, 20 Disember 2012

Kantoi! Najib bohong lagi! MB Terengganu sahkan!

Kantoi! Najib bohong lagi! MB Terengganu sahkan!

http://www.pencacai-semalaysia.com, 19 Dis 2012

30 Okt. lalu, Lidah Rasmi UMNO melaporkan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Pahang bakal menjadi negeri sumber pengeluaran minyak dan gas terbaharu di Malaysia berikutan penemuan pertambahan rizab minyak di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM 307.

Perdana Menteri berkata, medan minyak itu terletak kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan dengan negeri Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh Petronas salah satu usaha sama minyak dan gas atau Kontrak Perkongsian Pengeluaran terdiri daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Lundin Oil telah menemui rizab minyak tambahan itu baru-baru ini.

Hakikatnya apa yang dinyatakan oleh Najib itu adalah satu pembohongan semata-mata dan pembohongan Najib itu disahkan oleh Menteri Besar Terengganu...
Soalan lisan saya pada persidangan Dewan Undangan Neegeri Terengganu berhubung dengan status hak milik kerajaan Terengganu ke atas penemuan kawasan minyak di medan minyak Bertam PM 307 akhirnya dijawab oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Jawapan yang diberikan oleh beliau amat memeranjatkan banyak pihak. Tanpa berselindung, beliau telah memberikan beberapa fakta penting mengenai penemuan hasil minyak di kawasan tersebut.

Beliau menyatakan bahawa:

"Kita (Kerajaan Terengganu) menerima surat dari syarikat Lundin Oil (syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden) yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan (dengan kerjasama Petronas Carigali) mengesahkan bahawa ia adalah di kawasan perairan Terengganu...

"Dengan penemuan rizab tambahan ini, Terengganu dijangka memperoleh tambahan royalti sebanyak RM100 juta setahun atau bergantung kepada anggaran pengeluaran."

Berpandukan jawapan ini, kawasan medan minyak yang baru ditemui di Blok PM 307 Bertam yang terletak di luar pantai Semenanjung antara Terengganu dan Pahang kini sah menjadi milik rakyat Terengganu.

Medan minyak itu terletak kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan dengan sempadan Terengganu dan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

Ahmad Said juga mengesahkan bahawa kerajaan negeri ada menulis surat kepada Petronas mengenai status penemuan minyak itu, namun sehingga kini belum lagi menerima jawapan.

Namun pendedahan terbuka Menteri Besar Terengganu ini mempunyai implikasi undang-undang dan kedaulatan sesebuah negeri yang bernaung di bawah sistem Persekutuan.

Yang paling penting adalah tindakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak yang terlebih dahulu mengisytiharkan pada 30 Oktober lalu bahawa negeri Pahang dan bukannya Terengganu berhak menerima royalti di medan minyak Bertam tersebut.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa negeri Pahang dijangka menerima royalti sekitar RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.

Pengumuman ‘anugerah royalti minyak’ oleh Perdana Menteri kepada negeri Pahang ini telah membuka kembali terlalu banyak persoalan besar.

Ia jelas menafikan hak rakyat dan kedaulatan negeri Terengganu yang berpegang teguh kepada semangat Federalisme dan keluhuran perlembagaan negara.

Begitu juga dengan kedudukan Akta Perjanjian Petroleum yang ditandatangani pada tahun 1975 antara kerajaan negeri-negeri dan kerajaan Persekutuan bersama Petronas.

Perjanjajian ini jelas menjamin hak royalti sebanyak lima peratus kepada negeri-negeri yang ditemui hasil minyak dan gas di perairan sempadan negeri masing-masing.

Persoalan besar adalah, apakah perjanjian asal di antara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas yang ditandatangani pada tahun 1975 itu sudah tidak diterima-pakai lagi?

Dan apakah setiap penemuan hasil minyak termasuk di Sabah dan Sarawak kini boleh di agih-agihkan kemana-mana sahaja negeri hanya dengan kuasa mutlak Perdana Menteri?

Isu royalti minyak kepada negeri-negeri mula timbul sebaik sahaja Pas berjaya menawan negeri Terengganu pada pilihan raya umum ke-11 tahun 1999.

Pada 5 September 2000, di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed, Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk menarik balik royalti minyak Terengganu.

Beliau menyatakan bahawa “pembayaran royalti lima peratus kepada Terengganu selama 25 tahun oleh Petronas adalah satu kesilapan dan hanya MOU semata-mata."

Jadi di manakah maruah dan hak negeri Terengganu Darul Iman sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan negeri yang berpayungkan Tuanku Al-Sultan, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud?

Ini ditambah dengan tindakan ‘mengihsankan’ royalti minyak Terengganu di bawah Dana Khas Persekutuan yang jelas menzalimi rakyat Terengganu yang majoritinya Melayu dan beragama Islam.

Bagi saya apa yang berlaku bukanlah isu hasil minyak yang diperoleh itu berada samada di dalam atau diluar tiga nautika dari persisir pantai negeri.

Kenapa ini tidak berlaku di Sabah dan Sarawak? Apa yang dilakukan adalah kerana dendam dan diskriminasi politik yang berjalan sejak berpuluh-puluh tahun.

Lebih parah lagi mereka sanggup menghina dan menghukum negeri yang 96 peratus penduduknya adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Amat wajar diamati kembali sikap pengasas pertama Petronas, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang telah menunjukkan sifat seorang negarawan tulen.

Beliau berani berdiri dipersada politik tanahair bagi membetulkan fakta yang diselewengkan khususnya dalam perkara pembayaran royalti pertoleum kepada negeri Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri lain.

Beliau dengan tegas menyatakan hak royalti kepada mana-mana negeri termasuk Terengganu dan Kelantan mesti ditunaikan oleh Petronas berpandukan kepada perjanjian asal pada tahun 1975.

Isu hak royalti minyak Bertam kepada negeri Terengganu adalah persoalan kedaulatan dan maruah negeri yang berdaulat.

Setiap rakyat Terengganu biarpun berbeza pandangan politik dan parti, semestinya mempertahankan hak ini demi kebaikan negeri Darul Iman ini.

Semua rakyat Terengganu yang sayangkan negerinya harus bersatu dalam mempertahankan hak negeri daripada diambil oleh negeri lain.


Dr Syed Azman Ahmad Nawawi,
Adun Batu Burok, Terengganu
Penolong Setiausaha Agong Pas

Ahad, 16 Disember 2012

10 Taktik Kotor UMNO/BN Yang Rakyat Wajib Ketahui

10 Taktik Kotor UMNO/BN Yang Rakyat Wajib Ketahui

http://greenboc.blogspot.com, 15 Dis 2012
Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon membongkarkan 10 taktik kotor UMNO/BN untuk terus berkuasa di tanahair kita. Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) merupakan satu persimpangan sejarah penting bagi semua rakyat Malaysia yang sedang berdepan dengan keangkuhan kuasa UMNO/BN lebih daripada 55 tahun.

Keinginan rakyat berjuang untuk perubahan di Malaysia semakin kuat. Rakyat mahu selamatkan Malaysia daripada masalah politik, ekonomi, sosial serta pendidikan yang kian hari kian serius. Kehidupan rakyat juga dalam keadaan yang susah di mana beban yang semakin berat.

Dalam PRU13, sebanyak 13,052,374 pengundi yang akan menentukan masa depan negara kita. Samada negara kita akan mengembalikan hak kepada rakyat, banteras rasuah dan menubuhkan Malaysia yang baru yang berasaskan dengan prinsip kebebasan, demokrasi dan hak asasi manusia.

Sebagai seorang pengundi yang bijak maka perlu didedahkan dengan pelbagai maklumat yang tepat. Oleh itu, semua pengundi perlu mengetahui 10 taktik kotor yang seringkali dipergunakan oleh UMNO/BN sejak dulu lagi agar tidak tertipu lagi.

Taktik KOTOR 1: Tidak Berupaya Bezakan Negara dan Parti.
Sebagai balasan perjuangan kemerdekaan, UMNO/BN telah rampas tanah rakyat dengan terang-terang. 24 keping tanah komersial di Selangor telah dijual dengan RM1 persegi menunjukkan keangkuhan kuasa yang ada pada UMNO/BN.

Taktik KOTOR 2: Salahguna Kuasa Untuk Kepentingan Politik.
Bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan menuduh Menteri Dalam Negeri campur tangan politik ke atas pasukan polis. Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dipergunakan untuk menyiasat badan bukan kerajaan NGO SUARAM yang menfailkan kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene di Mahkamah Perancis. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menukar dan memindah kakitangan awam di negeri-negeri pentadbiran Pakatan Rakyat untuk menjejaskan urus tadbir kerajaan negeri. Semua adalah contoh salahguna kuasa yang bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Taktik KOTOR 3: Politik Perkauman.
Walupun negara telah merdeka lebih 55 tahun, tetapi UMNO/BN masih mewarisi politik ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh penjajah British. Dengan politik perkauman sempit seperti kuasa orang Melayu tergugat dan Insiden Mei 13 mungkin berulang yang dibawa oleh PERKASA dan Pemuda UMNO, maka konsep 1 Malaysia hanya menjadi satu slogan kosong yang tidak bermakna sahaja.

Taktik KOTOR 4: Politik Wang.
Presiden MCA Chua Soi Lek menyatakan bahawa politik wang bukan rasuah. Keluarga PM Najib Razak terlibat dalam projek Kementerian Pertahanan yang melibatkan sebanyak RM100 juta. Ketua Menteri Musa Aman yang terlibat secara langsung dalam RM40 juta wang seludup. Kesemua ini hanya merupakan sebahagian kecil politik wang dan rasuah UMNO/BN. Kredibiiti dan kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bankrap.

Taktik KOTOR 5: Penipuan dalam Pilihanraya.
Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) didapati adalah ahli UMNO. Senarai pengundi yang tidak bersih serta mempunyai pengundi hantu. Media tidak bebas, masa kempen terlalu singkat serta peraturan yang berat sebelah. Walaupun BERSIH 2.0 telah mendesak kerajaan untuk menjalankan reformasi sistem pilihanraya tetapi tiada perkembangan yang positif.

Taktik KOTOR 6: Akta Zalim Menindas Hak Asasi.
Walaupun PM Najib Razak berjanji untuk mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO), tetapi diganti dengan dua akta yang terus membenarkan kerajaan membuat penahanan tanpa perbicaraan. Akta Hasutan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Perhimpunan Aman adalah akta-akta zalim yang dijadikan alat kepada UMNO/BN untuk mencabuli hak asasi rakyat.

Taktik KOTOR 7: Menguasai Media dan Putar-Belit.
Utusan Malaysia, TV3 dan RTM yang dikuasai oleh UMNO/BN telah menjadi alat politik untuk menyerang Pakatan Rakyat. Liputan yang berat sebelah serta putar-belitkan sesuatu isu telah menyebabkan media massa tersebut hilang kredibiliti dan profesionalisme. Media massa tersebut juga tidak berupaya membuka minda masyarakat umum.

Taktik KOTOR 8: Fitnah dan Aibkan Pembangkang.
Tuduhan fitnah yang sering dibuat oleh UMNO/BN ke atas Pakatan Rakyat seperti hasut rakyat guling kerajaan melalui demonstrasi atau belajar dari Arab Spring, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan sebagainya. Peserta demonstrasi didakwa membawa senjata atau menyerang polis adalah taktik kotor UMNO/BN yang tipikal.

Taktik KOTOR 9: Budaya politk samseng dan ganas.
Banyak ceramah umum Pakatan Rakyat telah diganggu dan diserang oleh penyokong UMNO/BN. Politik samseng seperti baling batu, rosakkan banner, bakar bendara parti serta SMS ugutan sering diamalkan oleh UMNO/BN yang tidak berani untuk berdebat atau berhujah. Puak samseng tersebut masih bermaharajarela sampai hari ini.

Taktik KOTOR 10 Alih Fokus dan Tipu Helah.
Apabila ditentang kuat oleh masyarakat sivil seperti BERSIH 2.0 dan Himpunan Hijau, UMNO/BN akan mengalih fokus untuk meredakan bantahan daripada masyarakat umum. Dalam isu Lynas, kerajaan UMNO/BN sanggup menipu rakyat dengan menyatakan produk sisa radioaktif akan dihantar keluar ke luar negera walaupun dilarang oleh Waigani Convention. Kesemua ini adalah tipu helah UMNO/BN.

Oleh itu, AMK menyeru kepada semua pengundi khasnya pengundi baru mesti mengetahui 10 taktik KOTOR UMNO/BN. Jangan kita terpedaya dengan manfaat segera yang berjangka masa pendek atau terperangkap oleh UMNO/BN yang telah pecah amanah yang diberikan oleh rakyat.

Marilah kita bersatu untuk menolak politik perkauman dan UMNO/BN untuk mendirikan sebuah Malaysia Baru yang bebas, adil dan demokrasi.

LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Sabtu, 15 Disember 2012

Geng gunting rambut jangan bermain api di Kelantan

Geng gunting rambut jangan bermain api di Kelantan

Mohd Sayuti Omar, 15 Dis 2012

Orang Islam atau orang Kelantan terkenal dengan sikap terbuka dan 'tasamuh' mereka di dalam politik. Mereka bersedia membuka pintu negeri mereka untuk didatangi sesiapa saja. Sikap keterbukaan ini menunjukkan keramahan orang Kelantan, atau sifat suka meraikan orang ini, baik tetamu atau perantau. Sebab itulah terdengar saja siulan si musafir di kejauhan, suri di dapur sudah menanakkan pulut untuk dihidangkan.

Kerana sikap inilah menyebabkan ada orang luar atau bukan anak Kelantan datang bertanding di Kelantan mencuba nasib untuk jadi wakil rakyat di negeri ini. Tidak perlu disebut nama-nama mereka satu persatu. Kehadiran mereka dan berjaya menjadi wakil rakyat adalah bukti jelas orang Kelantan (dalam hal ini Pas) sedia menerima orang luar dan bekerjasama dengan sesiapa saja.

Tetapi rasanya bukan baik kalau orang luar mengambil kesempatan atas keterbukaan orang Kelantan itu. Jangan salah digunakan sikap rendah diri orang Kelantan sewenang-wenangnya. Sebaliknya hargai sifat rendah diri orang Kelantan selunaknya.

Bak kata orang tua-tua, orang memberi kita merasa, orang berbudi kita kena berjasa. Dan kenanglah kepada pulut ditanak untuk diberi makan kepada si dagang. Dan ingatlah juga orang Kelantan sama sekali tidak meracun musuh di dalam makanan, jauh sekali bertindak menikam musuh dari belakang kecuali saing sendiri yang melakukan kadas beris dan cah kenting sesama sendiri.

Kedatangan dua tiga orang Cina dari parti Gerakan dari Negeri Sembilan ke negeri ini dua tiga hari lepas dengan tujuan hendak menujuk gedebe dan mencabar Majlis Perbandaraan Kota Bharu (MPKR-BRI) berhubung Undang-Undang Kecil PBT terhadap salun rambut itu, rasanya tidak wajar. Tindakan mereka datang bergunting rambut secara terbuka dengan pendandan rambut wanita Cina itu tidak sepatutnya berlaku dan ia adalah sikap samseng dan aksi melampau.

Benar seperti kata Exco Kelantan Dr Mohd Fadzli Hassan, tindakan mereka itu mengilankan hati rakyat Kelantan dan kerajaan sendiri. Belum pernah berlaku sebelum ini ada orang luar yang datang mencabar secara terang-terang terhadap undang-undang dan rukun hidup rakyat negeri ini. Wajar kalau tindakan mereka dikatakan samseng atau lebih teruk dari itu. Orang yang tidak reti budaya dan cuba melakukan sesuatu yang kurang ajar di negeri orang lain patut dikenakan tindakan dan dikutuk.

Apa yang berlaku itu ia bukan satu provokasi yang baik dan merupakan sikap politik yang sihat dan tidak sepatutnya berlaku di negara ini yang masyarakatnya majmuk. Tindakan itu boleh menyebabkan berlaku sesuatu yang tidak baik. Tindakan Cina Gerakan Negeri Sembilan itu boleh difahami ia adalah bermotif politik. Tetapi cara berpolitik begitu adalah tidak baik kerana ia melampau.

Apa kata kalau ada orang Islam gila di Kelantan sewaktu mereka membuat cabaran itu? Di Kelantan ini kena beringat sedikit kerana ramai juga orang Islam gila yang sedia bangkit membela agama dan maruah mereka.

Seperti mana kata Cina itu tujuan mereka berbuat begitu mahu melihat sejauh mana kekuatan undang-undang kecil MPKB-BRI dalam membanteras maksiat atau dalam kata lainnya menyusuri perlembagaan negara. Dengan berbuat demikian - mendandan rambut, mereka berharap akan disaman oleh MPKB. Ekoran itu pula mereka akan membawa kes itu ke mahkamah dan mahu mahkamah membuat pengadilan sejauh mana benar dan betulnya undang-undang berkenaan.

Kalau itulah tujuannya, sebenarnya tidak payah datang ke Kelantan semta-mata untuk mencabar MPKB. Cina Gerakan itu boleh bawa kes yang berlaku sebelum ini ke mahkamah untuk menentukan sejauh mana kebal atau pun tidaknya undang-undang berkenaan. Bukankah sebelum ini MPKB sudah pun menyaman pekedai yang tidak mematuhi peraturannya? Ambil dan bawalah kes itu.

Geng gunting rambut itu tidak payah datang dan menunjuk berani dan henalan di Kota Bharu. Mereka boleh membuat kenyataan akhbar dari jauh saja mengenai isu berkenaan. Apabila mereka datang sendiri ke Kota Bharu menepuk dada dan membuat kenyataan berupa cabaran, ia adalah satu sikap biadap yang boleh ditafsirkan sebagai datang untuk menjual berani, dan perbuatan mereka itu sangat sensitif dan merbahaya kerana orang Kelantan adalah pembeli berani yang mewah.

Kita hendak tanya apakah yang mereka perjuangkan dengan tindakan itu? Apakah mereka hendak membela kelompok Cina yang ada dan hidup di Kelantan? Rasanya kalau itulah tujuannya ia tidak payah kerana kerajaan Kelantan memahami hakikat itu dan sudah lama menjaga kehidupan orang Cina. Orang Cina tidak akan lapar dan papa selama mereka bermukim di Kelantan kerana orang Kelantan sangat toleran berasaskan agama dan budaya mereka. Orang Kelantan tidak payah bagaimana untuk memberi makan kepada musafir sebab mereka sudah terbiasa sangat.

Apa lagi Pas sebagai parti Islam senantiasa mengambil berat kepada keadilan dan hak asasi manusia tanpa mengira warna kulit. Apa yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan ke atas rakyat kaum lain di negeri ini adalah jaminan seperti mana dituntut oleh Islam. Sejarah klasik bagaimana orang Kelantan begitu mesra dan baik dengan orang Cina, semasa berlaku peristiwa 13 Mei 1969 tidak ada setitik darah Cina di Kelantan yang menitis ke bumi, bahkan mereka dilindungi.

Dengan situasi dan keistimewaan itu apa lagi yang orang Cina Kelantan mahukan? Layanan seperti apa lagi yang diingini? Bukan tidak boleh bermain politik, tetapi jangan melampau. Bagaimana pun saya masih percaya Cina di Kelantan memahami apa yang diamal di negeri ini tetapi apa yang menajdi masalah Cina luar yang masih asing atau tidak pernah menikmati budu, ataupun mengenali apa itu kapak jangok.

Berdasarkan itu sepatutnya Geng Gunting Rambut memahami kenapa MPKB-BRI menggubal undang-undang kecil berkenaan. Ia adalah untuk kebaikan dan sama sekali tidak ada niat untuk menganiaya dan berlaku kejam kepada sesiapa. Mudahnya kalau mereka 'bereng' sangat mereka boleh mengajak mana-mana Cina yang tidak betah untuk tinggal dan cari makan di negeri ini kerana kongkong undang-undang dan sebagainya, bawa mereka nyah ke negeri lain. Rasanya kita sedia menyiapkan tongkang.

Dalam hubungan ini kita ingin bertanya kepada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang diketuai oleh Cina Kelantan, kenapa tidak memberi pencerahan kepada geng gunting rambut berkenaan. Mereka tidak sepatutnya membiarkan geng itu datang membuat kacau di negeri ini. Hu Pang Chau seharusnya bertanggungjawab memberi penjelasan. Apakah Pang Chau juga masih berfahaman dan penuh dengan sentimen seperti geng gunting rambut itu?

Sedikit memusykilkan dengan sikap dewan himpunan Pas ini. Mereka mengakui sebagai dewan yang menyokong perjuangan dan kerajaan Pas, tetapi dalam masa sama kadang-kadang menjadi penyala api kepada isu-isu tertentu khasnya berkaitan dengan orang Cina. Kalau beginilah cartanya dengan himpunan berkenaan tidak memberi manfaat langsung kepada kerajaan dalam konteks ini.

Mengenai sikap samseng geng gunting rambut dari Negeri Sembilan itu, mereka perlu memikir kembali kewajaran tindakan mereka. Mereka jangan bertindak lebih sudu dari kuah. Kalau pun ianya dalam wap politik, tetapi jangan wap itu bertukar menjadi bau racun yang boleh menimbulkan suasana yang tidak baik. Mereka kena ingat di Kelantan ini hanya satu kerusi saja yang mana kemungkinan orang Cina boleh menang, manakala 44 kerusi lagi ada majoriti Melayu.

Cara mereka lakukan itu tidak akan memberi benefit kepada rakan mereka Umno. Sebaliknya Umno juga akan terkena tempias bila mana orang akan menganggap kerja geng gunting rambut itu adalah kerja yang disuruh oleh Umno. Persepsi ini tidak boleh dielakkan sebab Gerakan adalah rakan nombor tiga utama kepada Umno.

Selain itu juga dan ini penting, apa yang kena difahami tindakan mereka itu bukan saja mencabar MPKB-BRI dan Pas, tetapi ia mencabar seluruh rakyat Kelantan dan orang Islam yang berada di Kelantan. Orang Kelantan yang selama ini dikenali sebagai orang yang kuat beragama, tentu merasakan kurang enak dengan tindak demikian.

Geng gunting rambut kena memahami perangai dan sikap orang Kelantan. Jangan mereka fikir di sini ada Umno, ada MCA dan Gerakan mereka mengira tindakan mereka disokong. Apa juga keadaan atau suasana yang menyentuh soal sensitivi orang Melayu, seperti agama, adat resam dan budaya mereka boleh bersatu. Orang Kelantan boleh bergaduh mengenai politik tetapi kalau hak mereka disentuh mereka akan bersatu.

Saya percaya orang Umno Kelantan juga terkilan dan marah dengan apa dilakukan geng gunting rambut berkenaan. Setahu saya tidak ada kenyataan dari mana-mana pihak dalam Umno yang menyokong perbuatan dua tiga orang sengket Cina Negeri Sembilan itu. Mereka (orang Umno) diam bermakna menyokong perbuatan itu, tetapi mereka sedang memerhati apa yang akan berlaku seterusnya.

Makanya sebelum terjadi sesuatu yang buruk, isu kedai gunting dan tindakan secara samseng dan 'gedebe' itu dan begitu juga isu tuduhan penguatkuasa MPKB kejam kerana menangkap Cina yang sedang melakukan perbuatan meloyakan di dalam kereta hendak dihentikan. Jangan cuba bermain api di Kelantan, sebab kalau ia terbakar nanti buruk padahnya.

Saya cukup bimbang kalau kedatangan geng gunting rambut sekali lagi dengan jumlah yang ramai, seperti mana dijanjikan, meraka akan disambut bukan dengan pulut tetapi akan dinanti dengan penumbuk. Tidak mustahil ia akan berlaku. Makanya elok semua pihak berusaha menghindarinya.

Elok kalau rakan Gerakan seperti MCA dan Umno menasihati dan memastikan kejadian nak tunjuk gedebe ini tidak akan berlaku. Presiden Umno Najib Razak perlu menegur rakan BN itu. Manakala Mustapa Mohamed juga elok kalau ikut sama memberi tunjuk ajar kepada Gerakan serta memberi tahu bagaimana mengenai warna politik di Kelantan, sikap orang Kelantan yang boleh jadi baik dan boleh juga jadi hodoh. Orang Kelantan ada fiil perangainya sendiri.

Ini penting kerana sedikit sebanyak tindakan Gerakan yang dibuat atas tujuan membela peniaga Cina itu ia akan memberi kesan buruk kepada Umno sendiri. Politik selalunya ditafsir dengan berbagai tafsiran yang dirujuk kepada pelbagai kitab. Ini pun bila Umno tidak menegur perbuatan biadap itu menyebabkan sudah ada dalam fikiran orang, geng gunting rambut itu datangan mungkin kerana Umno yang bagi idea?

Terlanjur berbicara isu saya juga hendak mengulas sedikit berhubung tindakan kerajaan Kelantan yang mengarahkan MPKR-BRI menangguhkan sementara pelaksanaan undang-undang kecil yang sedang menjadi polimek ketika ini. Apakah wajar MPKR mengambil tindakan demikian? Bukankah ia menjejaskan kredibiliti bandaran itu sendiri? Apakah apabila ada orang mengkritik atas tujuan komersial dan politik maka kita kena akur begitu saja?
Dibimbangi kalau sikap bertolak ansur seperti ini diambil dan dijadikan praktis lama kelamaan apa-apa undang-undang dan peraturan yang berunsurkan nilai-nilai Islam yang digubal akan dipertikaikan dan natijahnya ia tidak dapat dilaksanakan. Dalam apa juga keadaan kerajaan Kelantan harus tegas dan berani. Mengenai pelaksanaan peraturan Islam ini jangan sesekali mudah cair disebabkan kerana apa-apa kepentingan termasuk politik. Apa yang perlu dipentingkan setiap tindakan itu mesti mendapat keredhaan Allah bukan kesenangan manusia. Sebab yang bersifat qadimnya adalah Allah s.w.t. - http://msomelayu.blogspot.com/