Jumaat, 21 Disember 2012

Sebelum memilih, pandang segalanya dengan mata hati

Sebelum memilih, pandang segalanya dengan mata hati

Aspan Alias, 21 Dis 2012
Pilihanraya mahu tidak mahu akan sampai juga. Samada penggal kali ini penggal yang penuh atau sebaliknya ia akan sampai juga. Seperti yang saya sebut dalam posting yang lepas, pengundi atas pagar merupakan pengundi yang terpenting untuk diyakini. Isu yang terpenting sekarang ialah bagaimanakah persepsi kumpulan ini terhadap kedua-dua belah pihak yang sedang berebut untuk menguasai Putrajaya itu. Tidak ramai yang begitu minat dengan kerajaan-kerajaan negeri kerana yang terpenting ialah kuasa di Putrajaya itu.


Kalau ada pun minat terhadap kerajaan-kerajaan negeri, yang direbutkan dengan kuat ialah Selangor dan Pulau Pinang kerana kedua-dua negeri ini menyumbang sebanyak tidak kurang dari 40 peratus dari GDP negara ini. Kebetulan kedua-dua buah negeri ini di bawah tadbiran Pakatan Rakyat dan negeri-negeri ini merupakan negeri yang ditadbir secara relatifnya lebih baik dari zaman pentadbiran BN dahulu.

Banyak dari pembaharuan yang berlaku di kedua buah negeri ini tidak dapat dipersoalkan oleh mana-mana pihak kerana ia telah menunjukkan prestasi yang sangat luar biasa kalau dinilai dan dibandingkan dengan pentadbiran BN dahulu. Bagi saya untuk BN mengambil alih kembali kerajaan-kerajaan negeri-negeri di bawah Pakatan ini agak ‘impossible’ kerana BN pun bermasalah untuk menonjolkan calon Menteri Besar masing-masing. Baik di Selangor, Pulau Pinang, Kedah mahu pun Kelantan, BN tidak berdaya memberikan pimpinan ‘alternative’ yang berkesan kepada Pakatan Rakyat sekarang ini.

Rakyat sedang berfikir, bukannya setakat menjadi pengikut sahaja sekarang ini. Rakyat sudah mula memahami yang merekalah sebenarnya yang bertanggungjawab jika berlaku perkara-perkara yang berbentuk jenayah dan keburukan moral yang dilakukan oleh pimpinan, tidak kira di pihak BN dan di pihak Pakatan Rakyat. Rakyat sudah tidak lagi berfikir tentang parti atau badan-badan siasah. Bagi mereka kerajaan mana yang mereka fikirkan telah menunjukkan prestasi yang baik, kerajaan itulah pilihan mereka terutamanya bagi pengundi di atas pagar tadi.

Itulah sebabnya saya telah memaparkan yang kehendak dan selera rakyat kini telah jauh berubah kerana mereka tidak mahu lagi terikat dengan retorik dan ancaman dari pihak yang sedang berkuasa. Rakyat sekarang tahu yang merekalah yang mempunyai hak untuk menjadi penentu kepada masa depan negara.

Kalau kita kaji dan mendengar rintihan rakyat sekarang ini, berbohong adalah satu isu moral yang amat besar kepada mereka. Rakyat tahu, sekali kita berbohong, mereka yang berbohong itu terpaksa berbohong seribu kali untuk menutup bohong yang telah dilakukan mereka terdahulu dari itu. ‘Once a liar, he or she will remain a liar forever’.

Politik bukan lagi perkara yang mudah untuk dikendalikan seperti dahulu. Itulah sebabnya BN sedang menghadapi fenomena dan isu berbohong itu sekarang ini. Setiap pilihanraya BN akan bercakap dan berjanji seperti yang kita dengar sekarang ini. Janji-janji BN sekarang ini adalah janji-janji yang sama seperti dalam pilihanraya-pilihanraya sejak 30 tahun dahulu.

Di antara janji-janjinya ialah untuk membina kemajuan rakyat semua kaum dengan membina kekuatan dan pegangan equiti Melayu dan Bumiputra yang lebih tinggi. Janji-janji inilah yang berulang-ulang kali di buat tetapi sehingga ke hari ini, usahkan hendak mendapatkan pegangan 30 peratus equiti, hendak mendapatkan 20 peratus pun sangat susah dan masih tidak tercapai sehingga ke hari ini.

Apa yang mampu dicapai oleh UMNO dan BN hanyalah mewujudkan kumpulan kecil yang eksklusif yang lazim disebut sebagai kroni semata-mata. Mewujudkan komuniti kronism inilah yang telah membantutkan kemajuan rakyat ramai termasuk orang Melayu kerana segala peluang perniagaan yang besar-besar di kuasai oleh kroni-kroni ini yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pimpinan persekutuan dan negeri. Masing-masing pemimpin ada kroni masing-masing.

Justeru perjuangan UMNO khususnya telah gagal sama sekali kerana janji-janji nya untuk membentuk bumiputra yang aktif di dalam bidang ‘commerce dan Industry’ tidak akan tercapai selagi budaya membentuk kronism ini masih berlanjutan. Cita-cita besar Dr Mahathir dahulu untuk membina masyarakat perniagaan Melayu telah gagal kerana perlaksanaan dasar itu telah digagalkan oleh beliau sendiri. Zaman beliau mentadbirlah mula wujudnya budaya kronism ini dan semua di antara kroni ini tidak bersusah payah untuk bersaing kerana mendapat ‘favour’ yang kuat dari pimpinan negara.

Maka wujudlah masyarakat Melayu yang sentiasa bersandar kepada pucuk pimpinan di setiap peringkat dan usaha untuk mewujudkan Melayu yang berdikari seperti yang Mahathir dan pimpinan selepas beliau itu hanyalah merupakan retorik yang biasa kita dengar setiap pilihanraya mendatang. Malahan Mahathir dan pimpinan yang lain sendiri telah bersandarkan kepada UMNO dan kuasa untuk membina ‘empire’ perniagaan keluarga beliau. Itu semua rakyat tahu.

Itulah sebabnya rakyat memberikan tumpuan kepada janji-janji semua pihak termasuk dari mereka yang berdiri di atas pagar. Itulah sebabnya jika ada janji-janji parti-parti dalam Pakatan sendiri yang telah terdengar oleh rakyat, sama ada isu menghadapi pilihanraya atau dari segi prestasi kepimpinan maka adalah penting kepada Pakatan Rakyat untuk mempastikan janji-janji itu dipenuhi.

Jika kedapatan ada janji-janji itu hanyalah janji politik pilihanraya sahaja maka rakyat di atas pagar akan rela mengekalkan pentadbiran yang ada sahaja kerana mereka tidak mahu terperangkap dengan janji-janji dan keadaan yang sama sahaja selepas mereka merubah pemtadbiran negara.

Jika isu 'multi racialism' menjadi janji yang besar kepada Pakatan Rakyat seperti PKR dan DAP, pastikan ia nampak terpapar dengan jelas kerana sesiapa sahaja yang mampu membawa sedikit perbezaan yang ‘positive’ dari prestasi dan rekod kepimpinan BN. Pakatan akan menjadi tumpuan untuk rakyat terutama yang duduk di atas pagar itu memberikan mandat dan sokongan mereka.

Jika keterbukaan ini wujud dalam Pakatan maka tidak syak lagi Pakatan boleh lah bersedia untuk menjadi pemimpin di Putrajaya. Jika ada tanda-tanda yang isu rasis wujud dalam penampilan kepimpinannya maka rakyat akan berfikir banyak kali sebelum melakukan perubahan. Rakyat kini dalam ‘desperation’ untuk mencari kepimpinan yang prakmatik dan ‘real’ dalam isu penyatuan kaum yang manjadi impian ‘ultimate’ rakyat zaman sekarang ini.

Dalam isu ini PAS nampaknya tidak menghadapi apa-apa masalah dalam penampilannya di depan mata rakyat. Itu sebabnya PAS di mana-mana sedang mendapat perhatian yang kuat dari rakyat. Baik di kampung-kampung tradisi mahu pun dalam tanah rancangan Felda parti itu sedang hampir kepada menjadi parti ‘alternative’ yang paling ‘viable’ bagi orang Melayu.

Dalam kita sedang berada di penghujung penggal ini, jangan kedapatan elemen-elemen permainan politik peribadi yang keterlaluan kerana jika ada isu-isu politik peribadi yang keterlaluan, takut-takut perubahan tidak akan dapat dilakukan.

Kini rakyat bukan memandang sesuatu perkara itu dengan mata zahir mereka semata-mata. Rakyat juga akan memandang dengan mata hati mereka kerana mata hati lah pandangan yang paling tajam dan merentasi malam yang gelap dan segala halangan yang ada merintasinya.

Itu sebab nya kita wajar yakin dengan pesanan Tuhan ‘tidak ada sezahrah pun gerak, selain dari gerak aku’. Semuanya adalah af’alNya semata-mata. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan