Ahad, 25 November 2012

Larang kedai gunting unisex di Kelantan sejak 1991

Larang kedai gunting unisex di Kelantan sejak 1991

Harakahdaily, 25 Nov 2012
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menjelaskan peraturan melarang kedai gunting lain jantina (unisex) dikuatkuasa sejak 1991 dan ia berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, peraturan tersebut sebagai langkah awal kerajaan bagi membendung gejala tidak sihat membabitkan semua rakyat.

“Cuba bayangkan kalau rambut isteri atau anak perempuan kita digunting tukang gunting lelaki, begitu juga keadaan sebaliknya. Ini tentunya kita tidak mahu berlaku sedemikian.

“Peraturan itu diwujudkan bukan kerana sentimen agama semata-mata sebaliknya bagi membendung lebih awal gejala kurang sihat berlaku.

“Sepatutnya semua pihak faham termasuk juga rakan kita daripada DAP. Langkah yang dibuat kerajaan negeri bertujuan untuk mendidik rakyat,” katanya pada sidang media di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam di sini, hari ini.

Semalam Pengerusi DAP, Karpal Singh dilaporkan mahu kerajaan Kelantan supaya menyelesaikan segera kekeliruan yang timbul apabila undang-undang Islam turut dilaksanakan terhadap orang bukan Islam.

Sebelum itu seorang pengurus kedai gunting Ong Lee Ting dilaporkan mendakwa terpaksa membayar banyak saman dikeluarkan MPKB BRI kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam.

Takiyuddin berkata, peraturan kedai gunting lain jantina sudah dilaksanakan sejak lebih 20 tahun lalu, sebagai usaha kerajaan negeri mengurangkan gejala kurang sihat.

Menurutnya juga sekiranya ada pihak yang kurang berpuas hati dengan peraturan tersebut mereka boleh mencabar di mahkamah memandangkan peraturan tersebut sudah diterima umum rakyat Kelantan.

Baru-baru ini Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan sekumpulan peniaga Cina dari sini yang mencabar peraturan menghalang premis menjual nombor ekor. Peniaga terbabit difahamkan turut mendapat sokongan pemimpin MCA.

Ramai pemimpin Umno mengaku salah

Ramai pemimpin Umno mengaku salah

Aspan Alias, 25 Nov 2012
Akhir-akhir ini ramai di antara pemimpin-pemimpin BN berkata yang UMNO sudah pulih dan parti itu telah membetulkan kesilapannya. Kata mereka lagi yang UMNO akan berubah dan akan membetulkan kesalahannya. UMNO tidak akan lakukan lagi apa yang mereka telah lakukan selama ini. Oleh itu marilah menyokong UMNO sekali lagi kerana telah berubah. Begitulah lebih kurang kata-kata mereka di antaranya termasuk apa yang dikatakan oleh Najib dan Muhyiddin Yassin.


Dengan kata-kata itu ia memberi makna yang selama ini mereka mengaku UMNO dan BN telah membuat kesalahan dan UMNO telah mengakui apa yang dituduh oleh pelbagai pihak yang UMNO itu telah melacurkan politik dan siasah negara. Justeru UMNO sememangnya parti yang telah berdosa dan sekarang mahu bertaubat. Saya gembira dengan pengakuan Najib dan pimpinan tertinggi UMNO yang lain yang UMNO telah melakukan kesalahan dan sekarang mahu bertaubat dan meminta diberi lagi peluang untuk memerintah kita rakyat yang sudah begitu lama dalam pencarian ini.

Persoalannya sekarang apa yang mereka telah taubatkan itu? Maaf-memaafkan sesama sendiri itu memang amalan orang mukmin. Tetapi tidak bermakna menjanjikan taubat itu sudah cukup untuk meneruskan penguasaan lagi terhadap rakyat dan negara. Apabila UMNO sudah taubat, parti itu sepatutnya direhatkan untuk melaksanakan apa yang mereka taubatkan itu. Jika RM ratusan billion wang rakyat dicuri dan diambil oleh pimpinan BN secara haram, ia memakan masa untuk melakukan proses pemulangan balik harta-harta curi itu kepada rakyat jelata.

Orang yang telah sedar dan bertaubat tidak boleh lagi melakukan apa-apa kesalahan yang terbesar terutamanya terhadap sesama manusia. Saya selalu katakan rasuah itu merupakan ketagihan tegar yang dihidapi oleh UMNO dan BN itu. Seperti penagih dadah yang hendak kembali berbuat baik dan menjauhi amalan mengambil dadah itu mereka sepatutnya duduk di dalam pusat-pusat serenti yang banyak di sediakan oleh kerajaan sekarang ini untuk beberapa lama yang wajar. Mereka dikawal dan dijaga dengan baik oleh pihak kerajaan supaya merawat ketagihan itu dengan bersistem. Banyak cara untuk merawat penagih ini.

Ada juga yang berjaya dirawat dan menjadi ahli masyarakat yang berguna dan berbuat baik selepas keluar dari pusat pemulihan serenti itu. Tidak kurang juga yang kembali menagih dan kembali ke pusat-pusat serenti itu. Di dalam pusat-pusat serenti itu panagih-penagih ini akan diberikan bimbingan untuk menjadi insan yang baik dengan kelas agama dan memberikan mereka kegiatan riadah seperti bersenam dan sebagainya untuk memulihkan mereka kembali. Mereka ini perlu bimbingan dan ditunjukkan bagaimana untuk menjadi umat yang baik dan berguna untuk masyarakat dan negara, lebih-lebih lagi untuk agamanya.

Begitu jugalah dengan pimpinan-pimpinan UMNO. Seperti yang kita tahu salah satu dari salah laku pimpinan UMNO ialah rasuah. Rasuah ini merupakan salah satu dari penyakit ketagihan yang boleh merosakkan masyarakat dan negara. Rasuah sepatutnya dijadikan musuh nombor satu negara kerana banyak tamadun telah runtuh oleh kegiatan rasuah pemimpinnya.

Oleh kerana secara terus menerus UMNO telah melakukan ketagihan itu, maka UMNO patut berihat dan melakukan pembaik-pulihan supaya parti itu menjadi parti yang berguna kepada rakyat dan negara dan tidak lagi menjadi penagih rasuah yang telah hampir menjahanamkan negara kesayangan kita ini.

Maka tidak boleh lah UMNO sendiri mengisytiharkan yang mereka telah pulih dari semua penyakit merbahaya untuk manusia itu dan meminta terus memerintah negara ini seperti biasa. Penagih ini tidak semua yang baik dengan sendirinya. Selalunya ia perlu dibimbing dan diatur segala kegiatan kehidupan mereka. Maka UMNO perlu berihat dan memulihkan penyakit ketagihan ini. Kita tidak mahu penagih rasuah ini kembali melakukan rasuah seperti penagih dadah yang kembali menagih selepas keluar dari pusat serenti itu.

Tetapi yang pentingnya sekarang UMNO sudah mula sedar dan mengakui kesalahannya dan serangan terhadap pembangkang yang menuduh mereka (UMNO) itu rasuah sepatutnya di tarik balik dan di dalam hati meminta maaf kepada mereka yang membuat tuduhan yang benar itu.

Ramai pemimpin-pemimpin UMNO telah mengisytiharkan yang mereka telah berjaya memulihkan kesalahan yang telah mereka lakukan dahulu dan telah mengakui kesilapan dan kesalahan mereka. Mengakui kesalahan itu sudah cukup untuk mengakui yang pihak pembangkang adalah pihak yang benar dan kecenderungan rakyat untuk memberikan mandat kepada mereka (pembangkang) sepatutnya mendapat galakan dan sokongan dari orang ramai.

Buat sementara waktu UMNO biarkanlah mereka duduk berihat sambil memperbaiki diri mereka supaya parti itu pula yang akan menjadi parti alternatif kepada Pakatan Rakyat yang memerintah nanti. Jika Pakatan Rakyat melakukan kesalahan yang sama UMNO yang sudah pulih semasa dalam ‘political confinement’ itu boleh kembali dan menjadi UMNO yang bertenaga dan tidak lagi seperti dahulu. Mungkin semasa itu nanti UMNO akan menjadi bertenaga dan berseri-seri wajah pimpinan mereka setelah melakukan rawatan mereka selama beberapa tahun semasa menjadi pembangkang itu.

Maksud saya ini ialah, menjadikan negara ini sebagai negara demokrasi yang mempunyai sistem dua parti itu akhirnya akan memberikan kenaikan kepada rakyat. Semasa itu nanti baru lah rakyat sedar betapa nikmatnya jika kuasa itu sebenar-benar berada ditangan mereka dan bukannya di tangan ‘war lords’ UMNO seperti sekarang ini.

Rakyat yang bermaruah tidak akan membenarkan sesiapa untuk mengawal hak mereka dengan wang sogokan atau bantuan seperti gigi palsu percuma, BRIM dan sebagainya. Rakyat tidak boleh memberikan hak kepada pihak lain setelah mendapat tayar teksi percuma dan sebagainya.

Harga diri rakyat itu lebih tinggi dari harga tayar dan bantuan BRIM serta pembayaran bonus satu setengah bulan gaji dan sebagainya. Sedangkan kucing belaan kita pun sekarang tidak makan ikan mentah lagi. Mereka (kucing) sekarang makan Friskies dan Whiskas yang dibeli dari pasaraya. Kucing pun tahu harga diri mereka. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Surah Al-Isra' punya bukti kemenangan Islam ke atas Israel

Surah Al-Isra' punya bukti kemenangan Islam ke atas Israel

http://ajijoi.blogspot.com, 25 Nov 2012

ALLAHUAKBAR! Peristiwa yang berlaku antara Israel dan Palestin telah pun Allah nyatakan dengan jelas dalam Al-Quran. Allah Allah Allah..

Mari menghayati ayat Al-Quran surah Al-Isra' ayat 4-7.
MasyaAllah, rupanya konflik Israel-Palestine tercatat didalam ayat2 ini, dan sedang berlaku di depan mata...Subhanallah, isi kandungannya ayat-ayat ini merupakan bukti-bukti kebenaran Al-Quran yang harus dikongsikan bersama semua.....

Terjemahan di dalam bahasa Melayu bermaksud:
[Al-Isra':4] Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) DUA KALI, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.

[Al-Isra':5] Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang PERTAMA dari dua itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah** dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.......(**Kisah pembebasan BaitulMaqdis oleh pahlawan Islam agung Salehuddin Al-Ayubi)

[Al-Isra':6] Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.

[Al-Isra':7] Jika kamu berbuat kebaikan, (maka) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) KALI KEDUA, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada KALI YG PERTAMA; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.

Tentera Al-Qassam (Palestine) yang sedang mempertahan dan memerangi zionis laknatullah Israel itu sedikitpun tidak akan gentar malah yakin seyakin-yakinnya akan janji-janji Allah bahawa BaitulMaqdis akan dibebaskan buat kali KEDUA oleh pejuang-pejuang Islam yang benar, dan Israel akan diberikan penghinaan/kemusnahan yang selayaknya.

Yakinlah bahawa masanya akan tiba untuk kita menyaksikan pembebasan dan kemenangan rakyat Palestin dalam membebaskan tanahair mereka daripada kekejaman zionis Israel. Dan sekaligus membebaskan Bailtul Maqdis dan mengembalikannya kepada umat Islam sedunia.

ALLAH AKBAR!!!

Jumaat, 23 November 2012

Wajib Baca: Janji Umno Yang Tak Ditepati

Wajib Baca: Janji Umno Yang Tak Ditepati

http://pejuang-rakyat.blogspot.com, 23 Nov 2012
Sekarang tak henti-henti UMNO BN mencari punca menyalahkan manifesto Pakatan Rakyat yang kononnya tidak menunaikan janji. Oleh itu, maka kaki bodek, cacai UMNO bekerja keras mengangkut sesiapa saja bagi menunjukkan konon rakyat marah tak tunai janji. Terkini, ibu-ibu tunggal di Selangor diangkut oleh puak-puak ini.  Sebagai timbal balas, penulis ingin siarkan semula menifesto Barisan Nasional 2008 yang lalu.  Slogan utamanya  SELAMAT , AMAN, MAKMUR cukup membuatkan kita ketawa gelihati dengan slogan ini. Hahaha.... sekarang korang nilaikan sendiri apa  janji yang telah ditunaikan oleh Barisan Nasional  tahun 2008. Kalau ada yang tak ditunaikan, boleh ke orang Pakatan Rakyat pula saman Kerajaan UMNO BN ni?....


Janji manifesto BN 2008

Bertemakan 'Selamat, Aman dan Makmur', dokumen itu Malaysia 2008: Laporan Kemajuan dan Manifesto boleh juga diperolehi di laman web rasmi BN untuk pilihanraya umum 2008 di alamat bn2008.org.my

Manifesto dalam sembilan topik utama itu, antaranya, memuatkan janji-janji berikut:

bullet buttonEkonomi
- Menangani kesan kenaikan harga bagi menjamin kualiti hidup rakyat yang bermutu
- Memupuk dan membantu 1 juta syarikat dan usahawan IKS dalam masa 5 tahun 
- Menjana lebih 2 juta peluang pekerjaan yang bermutu dalam masa 5 tahun
- Mengurangkan lagi defisit fiskal negara
- Melaksanakan pelan pembangunan lima koridor ekonomi

bullet buttonKeselamatan
- Mengurangkan indeks jenayah negara
- Menangani isu pendatang asing tanpa izin
- Menambah 60,000 anggota polis menjelang 2011 dan membina 150 balai
- Meningkatkan keselamatan di sekolah-sekolah, taman-taman permainan dan tempat-tempat awam
bullet buttonUrus tadbir kerajaan
- Memerangi rasuah tanpa gentar atau pilih kasih
- Mengukuhkan pemantauan dan penguatkuasaan oleh BPR, kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan pihak berkuasa tempatan (PBT) 
- Suruhanjaya Aduan Khas bagi menangani aduan berhubung salah laku agensi penguatkuasa 

bullet buttonPendidikan
- Menaikkan tahap kelayakan minima guru dan membanyakkan peluang latihan, 
- Menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan; antaranya meluaskan pengajaran Mandarin dan Tamil 
- Memelihara kedudukan sekolah jenis kebangsaan (SJK) 
- Lebih banyak biasiswa untuk pelajar peringkat ijazah, dari keluarga miskin, tanpa mengira kaum

bullet buttonPembangunan
- Mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan kepada 2.8% menjelang 2010 
- Menyediakan rumah lebih bermutu dengan harga yang mampu dibeli - Akses kepada perkhidmatan kesihatan moden dan bermutu 
- Menaik taraf pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas 
- Merapatkan jurang digital dan meningkatkan perkhidmatan internet jalur lebar
- Melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Kampung-kampung Baru 
- Pendekatan ”Kelantan Baru, Kelantan Maju” bagi penduduk negeri itu 

bullet buttonPerkhidmatan awam
- Cepatkan pelaksanaan e-kerajaan 
- Cepatkan pengeluaran lesen dan permit
- Budaya bertindak dan maklum balas dalam tempoh 3-7 hari bagi semua aduan awam

bullet buttonAgama
- Membina persefahaman lebih baik tentang Islam kepada seluruh rakyat melalui Islam Hadhari 
- Meluaskan program J-QAF di lebih banyak sekolah
- Meningkatkan usaha dialog isu-isu antara agama

Di laman web itu, BN turut menggariskan tiga sebab pemilih harus memangkah parti itu, antaranya:

bullet buttonSistem perkongsian kuasa yang terbukti sejak zaman Perikatan. 
bullet buttonKemakmuran serta keselamatan yang dinikmati sejak 50 tahun kemerdekaan.
bullet buttonKeberanian menghadapi cabaran, berwawasan menghadapi masa depan

Perwakilan Umno ditegah membuka mulut

Perwakilan Umno ditegah membuka mulut

Aspan Alias, 23 Nov 2012
Salah seorang Naib Presiden UMNO Dato' Seri Dr Haji Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO telah mengarahkan perwakilan untuk menutup mulut dalam Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula 27hb November ini. Arahan ini bertujuan untuk perwakilan tidak menyentuh pandangan isu yang berbeza memandangkan pilihanraya luar biasa akan mereka hadapi tidak lama lagi. Perwakilan di arah untuk tidak menyentuh perkara-perkara yang sensitif kerana ia boleh melemahkan parti dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang ini.
Presiden dan Timbalan Parti itu akan bertemu dengan perwakilan sehari sebelum perhimpunan itu diadakan bagi menentukan apa yang boleh dibincangkan dan setiap Perhubungan Negeri akan menamakan siapa yang akan berucap dalam perhimpunan itu. Arahan ini adalah arahan yang tidak pelik dalam UMNO dan saya berharap mana-mana parti dalam PR tidak akan melakukan perkara yang dilakukan oleh UMNO itu. Apa maknanya Perhimpunan Agung jika perwakilan tidak boleh bercakap apa yang mereka ingin perkatakan untuk kebaikan parti.

Ini adalah budaya biasa dalam UMNO kerana apa yang diucapkan oleh perwakilan itu telah di tentukan oleh pucuk pimpinan. Dalam Perhimpunan Agong itu apa yang akan diucapkan sudah ditentukan dan semasa perhimpunan itu perwakilan hanyalah di tugaskan untuk bertepuk tangan dengan kuat sahaja. Selain dari itu perwakilan hanya membuat lawak jenaka untuk hiburan murahan bagi pimpinan yang berada di atas pentas nanti.

Budaya ini wujud hanya setelah penubuhan UMNO (B) pada tahun 1988 dahulu kerana pucuk pimpinan tidak gemar mendengar rungutan ahli-ahli dan rakyat di akar umbi. Pucuk pimpinanan hanya suka mendengar perkara yang baik-baik sahaja dan jika boleh mendapat pujian dari perwakilan yang berucap dan di ikuti dengan tepukkan gemuruh dari perwakilan yang menyelang-selikan ucapan dengan jenaka dan lawak yang mampu membuat pimpinan di atas ketawa besar sambil mengangkat tangan kegembiraan.

Itulah sebabnya UMNO yang baru berusia 24 tahun itu tidak berkembang kerana pemikiran ahli dan perwakilan telah di penjara oleh pucuk pimpinan. Mereka (perwakilan) hanya di arah untuk menyebut isu yang sedap-sedap sahaja. Perwakilan UMNO akan hanya di arah untuk memberikan kutukan dan cemuhan terhadap pimpinan PR seperti Anwar Ibrahim, Tok Guru Nik Aziz, LGE, LKS dan lain-lain. Ini merupakan isu yang sudah dijangka oleh orang ramai dan ia akan menjadi isu yang dianggap sudah basi dan menjemukan.

Kita boleh menjangkakan yang Najib akan berucap bergegar-gegar, sesuai dengan sifat seorang pemimpin yang pengecut dan penakut. Selalunya sesiapa yang bercakap dengan gegaran retorik yang besar-besar mereka ini adalah mereka yang terlalu banyak perkara yag hendak di tutupi. Mereka ini adalah dari gulungan yang penakut, ibarat orang berjalan di dalam gelap di kampung-kampung pedalaman. Di dalam gelap itu mereka selalunya akan menyanyi sekuat hati dari lagu Ahmad Jais, lagu Mat Sentul sehinggalah lagu P Ramlee dan semuanya itu untuk menghilangkan rasa takut dan ngeri mereka berada di dalam gelap itu.

Tetapi dalam pada menyanyi lagu P Ramlee itu, mereka juga merasakan seram sejuk di tubuh mereka kerana takutkan kepercayaan tahayul tentang hantu dan sebagainya yang berkeliaran di dalam gelap itu.. Begitulah juga yang sedang berlaku kepada Najib. Beliau akan berucap bergegar-gegar dengan nada yang tinggi dan kuat untuk menyorokkan perasaan takut beliau menghadapi pilihanraya yang akan datang ini.

Berbalik kepada arahan menutup mulut itu, ia melambangkan kelemahan yang banyak dalam UMNO itu. Mereka tidak memahami bahawa perwakilan setiap tahun itu adalah untuk perwakilan negeri-negeri menyampaikan masalah-masalah kepada pucuk pimpinan. Semasa Mesyuarat Agung seperti inilah masa yang baik untuk meluahkan perasaan tentang apa yang patut dan tidak patut dilakukan atau yang berlaku di dalam parti yang uzur itu. Dalam Perhimpunan Agung itulah masa untuk melambakkan apa yang perlu diketahui dan dirasakan oleh pucuk pimpinan secara bersama.

Kalau Ahmad Zahid mengarahkan perwakilan untuk menutup mulut maka tidak salah jika orang ramai menganggapnya sebagai mesyuarat agung orang-orang bisu sahaja. Ahmad Zahid mahukan agar perwakilan hanya ‘buat tidak tahu sahaja’ tentang apa yang berlaku di dalam UMNO. Ada telinga dengar, ada mata pandang dan jangan bercakap apa-apa. Kalau bercakap itu merupakan kesalahan. Maka tidak salahlah apa yang saya katakan selalu, dalam UMNO bercakap benar adalah satu kesalahan besar.

UMNO adalah sebuah parti dalam mana ahli-ahlinya dididik untuk tunduk dan mengangguk sahaja dan di dalam perhimpunan itu adalah tempat untuk mendengar lawak jenaka dan kita akan lihat Utusan Malaysia menyiarkan gambar-gambar Najib dan Muhyiddin ketawa besar dan akan di sertai oleh Khairy Jamaludin dan semua ahli-ahli Majlis Tertinggi parti yang lain.

Inilah kejayaan UMNO yang terbesar, iaitu memenjarakan pemikiran dan perasaan rakyat dan itulah sebabnya ada orang Melayu menganggap UMNO itu lebih tinggi dari agama. Chua Soi Lek boleh menghentam agama suci kita, tetapi jangan menghentam pucuk pimpinan tertinggi UMNO. Siapa yang berani mengecam pemimpin mereka, yang mengecam itu akan tidak mendapat kedudukan lagi di dalam parti dan kerajaan dan akan segera di sisihkan.

UMNO lebih buruk kerjanya dari penjajah British dahulu. Penjajah British dahulu mahukan orang Melayu untuk mudah berpuas hati dan tidak diberikan peluang untuk memegang jawatan besar-besar dalam kerajaan. UMNO pun begitu. Orang Melayu dididik untuk sentiasa berterima kasih dengan bantuan gigi palsu, dan pemberian lembu dan kerbau pawah kepada petani-petani kecil di kampung-kampung. Jika ada yang bercakap dan mengkritik, UMNO akan mengungkit-ngungkit apa yang mereka telah berikan walaupun pemberian itu hanyalah sebatang dua gigi palsu.

Jangan mengkitik UMNO kerana UMNO lah yang membawa api letrik ke kampung-kampung dan UMNO jugalah yang menyalurkan air paip ke rumah-rumah rakyat. Tetapi UMNO tidak pula memberi tahu yang semua negara dalam dunia ada api letrik dan bekalan air bersih walaupun di negara-negara tersebut tidak ada parti UMNO. Di Amerika Syarikat (AS) tidak ada parti UMNO. Begitu jugalah di Jepun dan di Britain tidak ada UMNO tetapi mereka ada bekalan air yang lebih baik dari yang ada di negara ini DAN rakyat mereka menggilir-gilirkan parti-parti yang memerintah mereka.

Maksudnya itu adalah tanggungjawab setiap pihak yang dimandatkan oleh rakyat dengan menggunakan sumber kewangan dari rakyat untuk melaksanakan semua projek pembangunan negara. Mereka itu sendiri di bayar gaji dan elaun untuk mentadbir rakyat dan tidak munasabah rakyat pula yang perlu berterima kasih kepada UMNO.

Kepada UMNO kita ucapkan selamat bersidang dan kepada para perwakilan yang berucap sediakan beberapa lawak jenaka untuk hiburan pimpinan di atas pentas itu nanti. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Khamis, 22 November 2012

Ingat Umno, ingat rasuah!

Ingat Umno, ingat rasuah!

Ahmad Tajdid, 22 Nov 2012
"Penerima dan pemberi rasuah masuk neraka." (Hadis riwayat At Tirmidzi)

"Allah melaknat mereka yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya." (Hadis riwayat Ahmad)


Ketua penerangan Umno, Dato' Ahmad Maslan baru-baru ini dilaporkan tidak senang hati dengan tuduhan bahawa "Umno sahaja yang terlibat dalam rasuah" sebaliknya berpendapat rasuah boleh berlaku di mana-mana sahaja dan tidak kenal siapa.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Dato' Tengku Adnan Mansor beberapa minggu lalu bahawa antara cabaran semasa Umno adalah menangani isu "persepsi rasuah".

"Rasuah tidak boleh dibandingkan antara sesebuah parti, tidak boleh dibandingkan dengan sesuatu jantina serta tidak boleh dibandingkan dengan sesuatu bangsa," kata Ahmad.

"Jangan menuduh rasuah hanya berlaku di kalangan orang Umno sahaja. Isu rasuah adalah merentas semua," katanya dalam satu sidang akhbar selepas berkempen di Hentian Jalan Duta, lapor Malaysian Insider.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga mendakwa kerajaan BN tegas dalam membanteras rasuah.

Tidak sesiapa pun yang akan menyanggah pandangan Ahmad Maslan bahawa rasuah itu boleh berlaku merentasi manusia, masa dan ruang. Tidak ada sesiapa juga yang boleh mendakwa bahawa parti yang diwakilinya dijamin seratus peratus bersih daripada penyakit rasuah.

Selagi manusia punyai rasa tamak, ketagih pengaruh dan kemaruk kuasa, rasuah menanti masa untuk bertapak dan menjadi budaya yang sukar dibendung.

Persoalannya, setakat manakah komitmen sesebuah parti politik itu untuk menbanteras rasuah? Sehingga mana komitmen parti itu untuk mengenal pasti, menghukum dan menyisih anggota parti yang terlibat dengan jenayah keji itu?

Prinsip utama dalam menyelesaikan masalah adalah mengakui wujudnya masalah. Bagaimanapun Umno sebagai parti teras BN dilihat enggan mengakui wujudnya rasuah dalam parti itu.

Mempopularkan istilah "politik wang" dalam pemilihan parti adalah bukti wujudnya 'sindrom nafi' (denial syndrome) dalam Umno terhadap gejala rasuah. Ia sebenarnya satu usaha kosmetik bagi menggambarkan bahawa "politik wang" tidaklah seberat kesalahan rasuah.

Oleh kerana itulah ada kalangan pemimpin Umno yang terlibat dalam "politik wang" (atau lebih tepatnya rasuah) diberi pangkat kedudukan selepas tamat menjalani hukuman Lembaga Disiplin parti. Contoh paling menonjol ialah bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad yang digantung jawatannya dalam parti dan kerajaan kerana terlibat dalam 'politik wang'. Isa juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan. Selepas bebas dari hukuman gantung jawatan, Isa diberi laluan untuk bertanding dalam PRK Teluk Kemang dan seterusnya dilantik Pengerusi Felda!

Satu lagi contoh tidak seriusnya kerajaan BN pimpinan Umno dalam membanteras rasuah adalah kes suapan rasuah membabitkan calon PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Raja pada PRU ke-11 (2004), Sanip Isnin.

Sanip mendakwa cuba disogok oleh wakil BN dengan imbuhan RM100,000 sekiranya beliau bersetuju menarik diri dari bertanding. Dua 'orang tengah' iaitu pemimpin Umno Cawangan dan pemimpin Pemuda Umno Kawasan 'ditangkap basah' oleh petugas PAS di rumah Sanip ketika cuba menyerahkan wang pendahuluan berjumlah RM5000.

Kejadian ini berjaya dirakam oleh petugas PAS dan dua orang tengah itu ditahan sehingga pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) tiba. Telefon bimbit yang dimiliki Pemuda Umno terbabit juga mengandungi nombor telefon calon BN, Dato’ Halimah Mohamad Sadique.

Bagaimanapun apa yang berlaku kemudiannya amat mendukacitakan.

Walaupun BPR telah menyiapkan laporan dan fail siasatan dihantar ke pejabat Peguam Negara, namun Peguam Negara enggan membawa kes tersebut ke mahkamah. Keengganan Peguam Negara membawa kes suapan rasuah itu ke mahkamah dicabar bekas calon PAS. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi memutuskan menolak permohonan Sanip kerana hakim berpendapat menjadi hak (prerogatif) kepada Peguam Negara menurut Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Kita juga boleh melihat bagaimana laihnya pihak berkuasa apabila berhadapan dengan salah laku rasuah pemimpin Umno. Di Selangor sebagai contoh, puluhan kes rasuah dan penyelewengan yang didedahkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawab dan Ketelusan Selangor (Selcat) tidak diambil peduli SPRM dan polis.

Pengerusi Selcat, Dato' Teng Chang Khim kesal kerana SPRM dan polis enggan meneruskan siasatan hasil daripada pendengaran awam Selcat sedangkan wujud bukti penyelewengan dan rasuah dalam kes-kes yang diperdengarkan.

Menurutnya, SPRM dan polis tidak seharusnya menunggu laporan daripada mana-mana pihak untuk melakukan siasatan kerana mereka boleh mengikuti pendengaran awam yang dibuat Selcat secara terbuka dan disiarkan secara langsung melalui laman web khas.

"Setakat ini saya belum nampak ada tindakan susulan daripada mereka walaupun ada beberapa kes termasuk penyelewengan Balkis yang dipengerusikan isteri mantan MB, Datin Zaharah Kechik," tegasnya.

Begitu juga dengan peruntukan RM500,000 bagi setiap Adun BN Selangor bagi tahun 2008 yang dihabiskan sebelum Mac tahun yang sama. Pendengaran awam Selcat mendapati peruntukan itu diselewengkan untuk aktiviti parti dan kempen pilihan raya.

Banyak lagi tindakan rasuah pemimpin Umno yang boleh disenaraikan. Namun cukuplah kita memetik tulisan mantan Presiden Umno, Tun Mahathir Mohamad dalam blognya Che Det bahawa "Umno sudah busuk sampai ke perut".

Walaupun pun Dr Mahathir hanya memetik kenyataan seorang veteran Umno terhadap apa yang berlaku dalam parti itu, jelaslah bahawa Umno tidak boleh dipisahkan dengan rasuah dan penyelewengan.

Pendek kata, "Ingat Umno, ingat rasuah!"

Malaysia beli kamera AES jauh lebih mahal

Malaysia beli kamera AES jauh lebih mahal

Muhammad Faizal, 22 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri didakwa telah membeli kamera perangkap laju AES bagi kegunaan polis pada kadar lebih mahal dari harga sebenar.

Kementerian itu dalam satu jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar memberitahu, kamera Laser Digicam itu dibeli dengan harga RM173,385 seunit.

Bagi kamera model Laser Truecam pula dibeli dengan harga RM223,500 seunit.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika berucap di peringkat jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri mendakwa negara luar telah membeli kamera tersebut dengan harga yang lebih murah.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada dokumen pembekal kepada kerajaan di tiga negeri di Amerika Syarikat antara Oktober 2011 hingga Januari 2012.

"Dokumen yang kita ada ini menunjukkan di negara luar hanya membayar dalam RM15,000 hingga RM19,000 sahaja atau AS$4,995 hingga AS$6,378, kenapa kita berbelanja lebih dari itu," jelasnya.

Beliau yang juga turut mempersoalkan adakah proses pembelian ini dilakukan secarta terbuka atau pun tidak.

"Kita minta kerajaan menjelaskan syarikat manakah yang telah dipilih untuk membekal kamera tersebut," sambungnya lagi.

Dokumen yang didedahkan mendapati kerajaan negeri Montana menawarkan AS$4,995 dan Idaho AS$5,057.44 untuk setiap unit kamera jenis Laser Trucam.

Manakala, negeri Delaware menawarkan AS$6,378 bagi jenis Laser Digicam.

Difahamkan kerajaan membelanjakan sebanyak RM23.5 juta bagi tujuan pembelian kamera tersebut.

Ianya diperolehi secara berperingkat sejak 1995 yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak 85 unit bagi model Digicam dan 39 unit bagi Truecam.

"Kita tidak tahu kenapa harga kamera yang dibeli oleh kerajaan itu jauh lebih mahal," soal Mahfuz.