|
Ahmad Lutfi Othman,
|
06 Nov 2012
|

Saya
melihat Himpunan Kebangkitan Rakyat, 3 November, di Seremban Jaya,
sebagai pelepasan pecutan awal di pusingan terakhir buat aktivis dan
pemimpin Pakatan Rakyat berdepan Pilihan Raya Umum Ke-13. Ia bukan
sekadar satu upacara penuh simbolik untuk menggerakkan seluruh potensi
kekuatan bagi menamatkan era BN, tetapi komitmen padu membawa perubahan
menyeluruh yang didambakan setiap warga selama ini.
Meskipun
jadualnya bertukar, daripada acara kemuncak menghimpunkan sejuta orang
di Stadium Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam, kepada himpunan di
peringkat zon -- dengan memilih Negeri Sembilan sebagai tapak bersejarah
membuka laluan kepada momentum tsunami politik 2008 ke arah selatan --
ia tetap membawa makna besar ke arah pembebasan Putrajaya. Seremban
menjadi saksi bahawa penampan yang memagari negeri-negeri yang dikatakan
kubu kuat Umno lebih empat tahun lalu, sudah mulai roboh.
Dari
petang ke malam Sabtu itu, hujan lebat ternyata tidak dapat menghalang
tekad waja dan azam jitu rakyat untuk berpusu-pusu memeriahkan himpunan,
mendengar amanat pemimpin, berkongsi pengalaman bertanya khabar, juga
selingan hiburan personaliti terkemuka tanahair. Audien pelbagai bangsa,
daripada pelbagai latarbelakang dan lapisan umur, setia menunggu
sehingga tamat program.
Pidato Anwar Ibrahim, Tuan Guru Abdul
Hadi Awang, Lim Kit Siang dilihat berupaya menyuntik keyakinan bukan
hanya kepada penduduk Negeri Sembilan, malah menjadi bekalan pembakar
semangat buat penonton yang datang dari jauh -- bahawa perubahan mesti
dilakukan segera, dalam PRU13 ini, bagi menyelamatkan negara. Peluang
terbaik tidak datang selalu dan kesempatan terbentang di depan mata
harus dimanfaatkan sebaiknya.
Menyedari terdapat asakan
berterusan yang bertujuan untuk memecah-belahkan kesatuan Pakatan,
khususnya antara PAS dan DAP, seorang kawan meminta saya menekankan
ucapan ataupun jaminan pemimpin DAP dalam majlis itu. "Aku tertarik
dengan kenyataan pemimpin mudanya, Ketua Pembangkang Dun Negeri
Sembilan, Anthony Loke," tambah sahabat saya itu.
Saya yang hanya
mengikuti himpunan itu melalui siaran langsung internet, mengakui
ucapan Loke agak menarik. "Mari kita tinggalkan politik korupsi,
nepotisme dan sentimen perkauman. Pemimpin mesti ada integriti, bersih,
dan pentingkan rakyat," katanya, sambil menekankan orang Melayu tidak
akan hilang kuasa apabila Pakatan mengambil alih kerana yang terlucut
kuasa hanyalah Umno.
"Malaysia era baru di bawah Pakatan, kalau
agama Buddha dihina, saya yakin PAS akan pertahan, kalau Hindu atau
Kristian dihina, KeADILan akan pertahan, dan kalau agama Islam dihina,
pemimpin DAP akan pertahannya. Saya sendiri pertahankan Tok Guru Nik
Aziz apabila beliau dihina pemimpin MCA," tambahnya lagi, disambut
tepukan bergemuruh.
Dalam pada itu, ada rakan-rakan
berpendapat, sekiranya siri program jelajah seluruh negara himpunan
kebangkitan rakyat itu bertujuan memaksimumkan impak tuntutan senarai
daftar pemilih yang benar-benar bersih, selain menimbulkan isu akses
media semasa kempen PRU13, seeloknya ia harus diakhiri dengan perarakan
ala Bersih di kota raya Kuala Lumpur dan turut membabitkan penyertaan
proaktif rangkaian NGO yang komited dengan isu-isu hak asasi dan
keadilan sejagat. Partisipasi masyarakat sivil bagi menyemarakkan proses
pendemokrasian di Malaysia sudah teruji, dan oleh itu mereka tidak
wajar dilupakan pada saat-saat kritikal ini.
"Usaha memaksa
kerajaan menyediakan pilihan raya bersih dan adil, bukan sekadar
memerlukan kehadiran ramai tetapi perlu melibatkan segenap lapisan
masyarakat. Benar, himpunan Hijau anjuran PAS, bermula di Stadium Darul
Aman, Alor Setar dihadiri 100,000, syabas, tapi kita mahukan penyertaan
lebih daripada itu. Biar Najib dan BN digoncang. Jadi, lebih elok kalau
dianjurkan perarakan seumpama Bersih 4.0, kalau boleh bergelegak sekali
lagi Kuala Lumpur," kata seorang aktivis NGO hak asasi sambil
mencadangkan Stadium Merdeka menjadi lokasi alternatif.
Berdasarkan
mood positif rakyat di seluruh negara, serta gelombang kesedaran yang
memuncak dan keazaman tinggi untuk melakukan perubahan menyeluruh --
dari Perlis ke Johor, merentasi Laut China Selatan -- saya kira jika
segalanya diuruskan dengan baik dan cermat, sekali gus mengelak
kesilapan, walaupun kecil, yang boleh membawa padah, kesempatan terbaik
ini mungkin sukar berulang lagi jika peluang keemasan disesiakan.
Keyakinan kepada penyokong, aktivis dan warga seluruhnya mesti dipasak
sedalam mungkin, namun jangan memandang rendah ruang berlakunya sabotaj,
pembelotan atau kealpaan yang tidak disengajakan.
Dan pastikan
segala konspirasi perancangan jahat dan komplot penipuan Umno-BN pada
hari mengundi nanti dapat disekat sebaik mungkin. "By hook or by crook,
kita masih cari jalan untuk gagalkan perencanaan musuh, pandai-pandailah
mengaturnya," tegas seorang strategis pilihan raya yang mengaku masak
dengan taktik jelik elit penguasa.
Dalam pada itu, bukan sedikit
usaha transformasi Najib Razak, ditambah pelbagai insentif one-off
ditabur, namun majoriti rakyat seperti sudah mencapai kata sepakat,
"cukuplah BN, kami tetap mahukan perubahan kali ini". Serangan
berterusan media, disokong segala kemudahan kerajaan yang boleh
diperkakaskan Umno-BN, seakan tumpul dan ada kalanya seperti menikam
belakang sendiri. Sekurang-kurangnya itulah yang dizahirkan di
permukaan. Apa pun, selagi belum tiba hari mengundi, usah mencurah air
di tempayan hanya kerana mendengar guruh di langit.
Seperti
biasa, saya masih cuba melihat sisi-sisi kelemahan Pakatan Rakyat, baik
di peringkat jentera parti mahupun empat kerajaan negerinya, dengan
mengandaikan situasi terburuk yang boleh menimpa. Juga menyedari bahawa
Najib Razak dan parti pemerintah peringkat pusat mempunyai banyak
kelebihan dan sumber yang tentu akan dieksploit sepenuhnya dalam
saat-saat genting nanti.
Saya memaksa diri untuk tidak mudah
percaya dengan "gambaran indah" yang ditunjukkan dalam setiap program
Pakatan, misalnya kehadiran luar biasa dalam majlis ceramah dan makan
malam.
Begitu juga dengan siri perisytiharan bekas pegawai kanan
kerajaan bersama oposisi, khususnya PAS. Itu belum dikira bisik-bisik
bahawa lebih ramai yang masih memegang jawatan strategik sudah tidak
sabar lagi menanti PRU13 bagi menghukum pemimpin dan parti yang korup
dan curang. Ya, mereka tidak akan membazirkan walaupun satu undi, bagi
memastikan perubahan dapat direalisasikan.
Malah, difahamkan,
tidak sedikit jumlahnya pemimpin BN yang menunggu masa untuk berpaling
tadah jika jelas tanda-tanda "bahtera besar" itu akan tenggelam!
Bukankah Dr Mahathir Mohamad sendiri kerap mengakui, apa gunanya
menjadi pemimpin Umno jika parti itu sudah hilang kuasa dan berpindah ke
blok pembangkang?
Rakyat yang makin terdedah dengan maklumat
dan celik politik sudah bosan dengan amalan rasuah, kronisme, salahguna
kuasa dan korupsi yang menjadi-jadi. Pendedahan silih berganti (cukuplah
dengan inisiatif Rafizi Ramli, bermula skandal lembu fidlot dan terkini
hubungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang bertanggungjawab
terhadap SPRM, Nazri Aziz dengan jutawan peniaga balak Sabah); semuanya
membuktikan, kuasa kepada pemimpin Umno bukan lagi dianggap amanah,
tetapi kesempatan memburu ghanimah menimbunkan harta kekayaan. Kehidupan
mewah anak beranak menteri tidak segan silu lagi untuk diperagakan
kepada publik.
Berkali-kali ditegaskan, Umno-BN yang hampir
ditewaskan lebih empat tahun lalu tidak pernah mengambil iktibar dengan
kejutan kekalahan pada lima negeri dan kehilangan majoriti dua pertiga
di Parlimen, sebaliknya dengan sisa dan baki kuasa yang ada, segalanya
mahu dikaut dan dibolot untuk diri, kelompok dan kroni. Hinggakan ramai
bekas pemimpin kanan Umno sendiri mencadangkan, biar sekali parti itu
merempat kalah, barulah kemungkinan ada potensi ia dapat dipulihkan
selepas menyedari tinggi rendahnya langit.
Terbukti, kuasa
politik menjadi sumber paling mudah buat pemimpin BN dan suku-sakatnya
memenuhkan tembolok. Atas nama projek pembangunan, perancangan rapi (dan
jahat) dibuat untuk mengagih-agihkan khazanah kekayaan negara dan
menghanguskan wang pembayar cukai. Apabila pemimpin BN bertepuk meja di
Dewan Rakyat menyokong pengumuman Menteri Kewangan meluluskan projek,
yang pantas terbayang bukanlah manfaat diraih rakyat tetapi berapa
banyak ghanimah yang boleh diangkut.
Lim Guan Eng, dalam
konvensyen tahunan DAP Melaka, 28 Oktober lalu menegaskan: "Sebanyak
RM240 juta yang dibelanja untuk lapangan terbang Melaka yang tidak
digunakan oleh kapal terbang tetapi untuk bermain layang-layang.
Barangkali ia boleh digunakan untuk menternak lembu juga." Tiga bulan
lepas, saya pernah meninjau Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu
Berendam yang sunyi senyap itu! Tiada pesawat, tiada penumpang, tiada
kedai-kedai yang dibuka, tiada pekerja yang bertugas, malah lampu pun
tidak dipasang pada sebahagian besar terminal. Dan airport itu bertaraf
lapangan terbang antarabangsa! Anda tidak perlu dikhutbahkan dengan
senarai panjang pembaziran ketua-ketua menteri negeri Hang Tuah itu.
Sogokan
rasuah RM40 juta Michael Chia kepada "Bapa angkatnya, Ketua Menteri
Sabah, Musa Aman dan misteri dana politik Umno negeri itu, yang
kemudiannya dirangkaikan Rafizi dengan kenderaan mewah Hummer RM459,000
yang diguna anak Nazri, dijangka mengocakkan lagi sisa-sisa keyakinan
Najib untuk berdepan PRU13. Maka, semakin tertangguhlah tarikh
pembubaran Parlimen ...
Najib sendiri mempertahankan Musa,
sebagaimana beliau membisu dengan kekayaan menakjubkan Ketua Menteri
Sarawak, Taib Mahmud, yang dikatakan mencecah USD15 bilion!. Bekas
menantu Taib, Shahnaz Abdul Majid, mendedahkan anak Taib membelanjakan
RM782,520.55 dengan hanya satu kad kredit untuk enam bulan pertama 2012.
Shahnaz menuntut RM400 juta sebagai penyelesaian kes cerai kerana aset
suaminya dikatakan bernilai berbilion ringgit, dengan deposit RM700 juta
di 111 akaun bank di dalam dan luar negara.
Cerita rasuah
pemimpin BN tidak terhenti setakat itu. Sememangnya korupsi dan Umno
tidak boleh bercerai-tanggal; gejala ini menjalar jauh ke peringkat akar
umbi, mungkin dengan skala lebih kecil. Soalnya, apakah isu kecurangan
pemimpin Umno ini cukup -- terutama di kalangan pengundi Melayu --
untuk membentuk gelombang besar penolakan menyeluruh terhadap BN? Dan
rakyat tidak mudah lagi tersilau dan terkeliru dengan tukang-tukang spin
dan penasihat media Perdana Menteri yang begitu ramai itu. Hadapilah
isu yang real dan berjejak, bukannya terpukau dengan sihir propagandis
Umno yang mahsyur dengan mantera perkauman dan sentimen palsu
menyelamatkan anak bangsa.
Seorang profesor dari sebuah
universiti utara bertanya saya: "Kenapa ramai orang Melayu tidak dapat
membaca ketidakjujuran pemimpin Umno walaupun ada di antara orang Melayu
itu bijak pandai?" Seorang rakan menambah, atau apakah mungkin mereka
yang sebenarnya mampu berfikir secara rasional dan kritikal itu akhirnya
mudah terperdaya dengan isu-isu jadi-jadian tetapi kosong tanpa makna?
Semasa
saya cuba mencari jawapan, gurauan seorang pemimpin kanan PAS agak
menyentak: "Kalau dulu kita sering terkejut dengan kekalahan pilihan
raya demi pilihan raya, kali ini kita akan tergamam dengan kemenangan
pula. Justeru, bersedialah untuk memikul kepercayaan rakyat mengisi
kemenangan. Tanggungjawab besar menunggu kita, dan ingatlah amanah
kuasa itu jika tidak diseleggerakan dengan baik, akan menggugat
idealisme murni kita selama ini."