Jika benarlah...
http://kldailyblog.wordpress.com, | 06 Nov 2012 |
Jika benar Haji Hadi mengatakan bahawa beliau bersedia bertanding di Pekan menentang Najib pada PRU 13 akan datang jika kepimpinan parti menghendakinya, pasti tindakan ini adalah satu tindakan stunt politik. Apakah pula strategi PAS dan Haji Hadi dalam isu ini? Adakah ia sekadar gimik atau memang benar-benar mahu mempertimbangkan idea gila ini?
Jika ia benar-benar terjadi pastinya ia akan menjadi medan perjudian nasib dan masa depan politik kepada kedua-dua calon heavyweight ini. Pada masa itu, pastinya Najib akan terpasak di kawasannya untuk memastikan setiap kerja kempennya tidak putus. Ini akan merantai kaki Najib dari menjelejah ke seluruh negara berkempen untuk UMNO dan BN.
Sedangkan Haji Hadi pula, pastinya akan dapat bekerja dan berkempen secara effisien dengan hanya menfokus dalam kawasan Pekan sambil memerhatikan Najib berpeluh dalam setiap kempennya.
Perlu diingat, dalam perjudian ini, dari segi psikologinya Haji Hadi lebih baik kerana beliau ada pengalaman kalah dalam pilihanraya berbanding Najib yang belum pernah kalah. Ini akan memberi tekanan kepada Najib selaku calon pilihan untuk menang. Bukankah ini adat berlawan, lihat sajalah bolasepak. Bebanan psikologi ini pastinya memberi advantage buat Haji Hadi dan PAS.
Dalam masa yang sama, jika pergerakan Najib terkekang dek kerana mengawal kawasan parlimennya, Tan Sri Muhyiddin pula akan bergerak seperti panglima garang atau jeneral perang dalam kempen UMNO BN di peringkat Nasional. Ini juga boleh memberi tanggapan buruk kepada kem UMNO dan BN apabila timbalan presiden akan dilihat lebih tangkas dan aktif dalam kempen nasional. Adakah Najib bersedia untuk ini?
Dari segi Pakatan pula, jika Haji Hadi bertanding di Pekan, kempen di peringkat Nasional tidak akan terjejas sama sekali kerana faktor Anwar dan barisan kepimpinan utama lain. Namun, jika ditakdirkan Haji Hadi menang ke atas Najib, apakah mungkin kedudukan Anwar Ibrahim selaku calon PM akan mula dipersoalkan kerana status kemenangan Haji Hadi lebih bernilai berbanding Anwar?
Jika Haji Hadi kalah, pastinya beliau tidak terkilan kerana beliau sudah memberi isyarat untuk mengendur dalam politik dan ingin menumpukan perhatian kepada partinya. Atau mungkinkah ini juga (bertanding di Pekan) menjadi isyarat bahawa Haji Hadi mahu bersara dengan penuh kesan kepada politik beliau dan Malaysia.
Terlalu banyak jika dalam politik.. jika itu tidak berlaku, maka politik Malaysia pastinya tiada imaginasi.-editor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan