|
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin,
|
01 Nov 2013
|

Kita
baru sahaja mendengar pembentangan Bajet 2014. Pelbagai ulasan dibuat
oleh pelbagai pihak. Ada yang pakar, ada yang tidak pakar. Ahli ekonomi
apabila berkata-kata banyak istilah dan angka yang mereka lafazkan.
Orang awam mungkin tidak semua yang faham. Jika pun mereka tahu maksud,
mereka tidak tahu pula antara angka yang benar dan angka yang di‘silap
mata’kan. Apabila hutang negara bertambah, beban rakyat meningkat,
kehidupan menjadi sukar, jenayah dan ketakutan mula merayap ke segenap
kehidupan rakyat dan sebagainya, maka bala dan derita itu dirasai oleh
semua peringkat. Mereka yang faham dengan segala istilah dan angka, juga
mereka yang kurang faham atau langsung tidak faham pun akan merasai
derita dari segala bala tersebut.
Saya tidak mahu mengulas bajet
secara detil. Biarlah hal itu dilakukan oleh pakar-pakarnya. Saya
sekadar mahu berkongsi apa yang Nabi Shu‘aib nyatakan kepada kaumnya
tentang punca kemusnahan ekonomi sesuatu umat.
Nabi Shu’aib
merupakan seorang nabi yang yang diutuskan kepada Kaum Madyan. Beliau
terpaksa menghadapi kerenah penyelewangan pengurusan ekonomi dan harta
yang mereka lakukan. Kaum Madyan dicatatkan sebagai kaum yang awal
mengenakan cukai kepada orang yang lalu-lalang dalam kawasan mereka.
Al-Quran merakamkan ucapan-ucapan Shu’aib bagi mengingatkan sesiapa yang
terlibat dengan harta orang lain tentang asas-asas penting dalam
menguruskan harta. Bahasa Nabi Shu’aib a.s. bahasa asas yang dapat
difahami oleh semua peringkat.
Penipuan HargaPenipuan
harga adalah antara ibu penipuan dalam urusan ekonomi. Meletak harga
bohong pada sesuatu adalah kezaliman. Penipuan ini boleh berlaku samada
dengan cara menipu ukuran ataupun timbangan. Dalam kerangka
projek-projek kerajaan bererti meletakkan harga yang tidak sepadan
dengan nilai yang sepatut. Sehingga projek-projek itu dibayar oleh
kerajaan dengan harga yang tinggi melebihi ‘sukatan’ ataupun ‘timbangan’
yang sepadan. Wang awam menjadi mangsa dan negara menjadi korban. Ini
semua kerana ada pihak yang mengambil kesempatan untuk memakan harta
secara tidak sepatutnya. Inilah yang Nabi Shu‘aib tegaskan dalam
seruannya. Firman Allah: (maksudnya)
“dan kepada penduduk
Madyan Kami utuskan saudara mereka Syu’aib, dia berkata: “Wahai kaumku!
Sembahlah Allah! Tiada tuhan bagi kamu selain dariNYA, dan janganlah
kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu
berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa
azab hari yang meliputi.” (Surah Hud ayat 84).Menipu
timbangan ataupun sukatan bukan bererti tidak langsung menimbang ataupun
menyukat, tetapi sukatan dan timbangan secara tipu. Inilah punca
kemusnahan kehidupan penduduk Madyan kerana ada pihak yang menipu dalam
berurusan dengan pihak yang lain. Justeru, negara yang baik hendak
mempratikkan ‘good monetary policy’ yang dapat menyelamat harta awam
dari ditipu ataupun dirompak secara ‘lulus di atas kertas’. Kebanyakan
penipu silam dan moden memperlihatkan seakan mereka jujur pada mata yang
tertipu, tetapi hakikatnya mereka penipu. Hal ini akan menyebabkan
negara yang zahirnya kaya, tetapi rakyatnya susah sebab timbangan dan
sukatan mereka sudah ditipu. Nampak banyak, hasilnya sedikit.
Mengurangi HakIngatan Nabi Shu’aib yang lain ialah: (maksudnya)
“Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya.” (Surah Hud: 85).Dalam
konteks negara, jika kita membicarakan tentang hak, maka hak rakyat
menikmati kekayaan bagi setiap negara tidak sama. Ia bergantung kepada
latar kekayaan negara tersebut. Jangan samakan Malaysia dengan negara
yang lebih miskin dari kita ataupun sebaliknya. Sebab itu al-Quran
apabila menyebut tentang mut’ah yang suami patut berikan kepada isteri
yang diceraikan, Allah memerintahkan agar kadarnya ditentukan oleh
kemampuan masing-masing. Allah menyebut:
“..hendaklah kamu
memberi “mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan
itu), iaitu suami yang senang (hendaklah memberi) menurut ukuran
kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya,
sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu
kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.” (Surah
al-Baqarah, ayat 236).Suami yang kaya tidak boleh
memberikan saguhati ataupun mut’ah itu seperti kadar yang diberikan oleh
suami yang miskin. Dia tidak boleh bandingkan hak isterinya dengan
isteri orang tidak sekaya dirinya. Demikian hak-hak rakyat dalam setiap
negara itu berbeza berdasarkan kekuatan kekayaan negara berkenaan. Tidak
boleh mana-mana kerajaan yang kaya menyamakan hak rakyat di negaranya
dengan rakyat di negara yang lebih miskin daripadanya. Lebih buruk lagi
jika sebahagian ‘bangsawan’ dan ‘atasan’ menikmati kekayaan sesebuah
negara secara berlebihan sementara sebahagian rakyat hanya menjilat
lebihan kuah yang tumpah ke lantai sahaja.
KeberkatanIntipati
yang penting dalam penghayatan amalan ekonomi yang jujur ialah mencari
keberkatan yang diperolehi melalui harta yang terhasil dari sumber yang
halal. Shu’aib a.s: (maksudnya)
“Baki (yang halal) Allah
kepada kamu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang
beriman, dan aku bukanlah orang yang mengawasi kamu.” (Surah Hud, ayat
86).Inilah asas jiwa insan yang jujur dalam pengurusan
ekonomi. Jiwa yang memadai dengan yang halal dengan tidak mengambil
harta orang lain atau pun mengurangkan hak mereka. Memadai dengan apa
yang tinggal dari pengurusan yang halal itu lebih baik dan diberkati
Tuhan. Dilimpahkan kedamaian dan kebaikan dari pelbagai sudut dalam
kehidupan. Kebahagiaan bukan hanya diukur dengan jumlah harta tetapi
kurniaan keberkataan limpahan Tuhan kepada kehidupan ini. Keberkatan
adalah elemen yang ditekankan dalam pengurusan ekonomi Islam yang tiada
dalam sistem ekonomi yang lain. Keberkatan itu seperti kata Al-Asfahani
(meninggal 425H) bermaksud
“kelangsungan kebaikan ilahi kepada sesuatu.” (Al-Asfahani, Mufradat Alfaz al-Quran m.s 119, Damsyik: Dar al-Qalam)Lihatlah
bila keberkatan hilang maka orang yang kaya-raya pun hidup tanpa
bahagia. Pencuri-pencuri harta awam hendaklah faham hakikat ini.
Pengurus harta awam juga hendaklah faham. Justeru itu kita kena sedar
bahawa jumlah jenayah dan keadaan tekanan hidup yang sedang meningkat
dalam negara kita adalah antara tanda hilangnya keberkatan kehidupan.
Good GovernanceGood
governance atau urus tadbir baik adalah istilah yang digunapakai pada
hari ini bagi menggambarkan bagaimana institusi awam yang mengendalikan
urusan dan harta awam ditadbir. Ia menggambarkan urustadbir yang
bertanggungjawab lagi baik. Beberapa anasir diletakkan oleh pelbagai
pihak seperti UN, IMF, World Bank dan lain-lain dalam menetapkan
characteristics sesuatu urus tadbir yang baik. Sesiapa yang mengkaji
tentang international development boleh memperincikannya.
Apapun,
nasihat-nasihat Nabi Syu’aib adalah kunci kepada urustadbir harta yang
baik. Para pemerintah hendaklah insafi diri masing-masing ketika
menguruskan harta negara. Sekali lagi saya ulangi apa yang Syeikh
al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya
As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah sebut:“Tidak
boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka
seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya.
Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan.
Mereka bukan pemilik harta. Ini seperti yang Nabi SAW sabda: “Aku –demi
Allah- tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang.
Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku
diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah
r.a.”
“Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa
dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan
pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja
dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa
yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah SAW) hanya seorang hamba
Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana
yang Allah perintahkan”.Sambung Ibn Taimiyah lagi:
“Demikian
apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab:
“Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta
Allah ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah
bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada
dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian
mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk
mereka. Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan
menggunakan harta mereka?.” [m/s 51-52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)]