|
Saidah Hairan,
|
12 Okt 2013
|
SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul
Hadi Awang berkata, perlaksanaan undang-undang Islam tidak menghalang
kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat termasuk rakan bukan Islam kerana
mereka tidak terlibat dengan undang-undang tersebut sebaliknya mereka
harus melihat undang-undang itu dilaksanakan terlebih dahulu.
Katanya,
PAS menyatakan dasarnya secara terbuka manakala DAP turut menyatakan
perjuangannya secara terbuka dengan berdialog maka PAS dapat bekerjasama
dalam perkara yang ada persamaan tanpa menghalang dalam perkara yang
berbeza.
Beliau turut menegaskan untuk melaksanakan
undang-undang Islam kuasa politik merupakan syarat utama untuk
menggubal undang-undang dalam perlembagaan negara.
Katanya,
undang-undang merupakan salah satu rukun dalam negara mengikut kaedah
politik dan undang undang sebuah negara tidak boleh diikhtiraf kecuali
mempunyai lima syarat.
"Sebuah negara mesti mempunyai pemimpin
iaitu kerajaan yang memerintah, negeri atau negara, rakyat, ada
perlembagaan dan kedaulatan sebuah negara mesti bebas sepenuhnya,"
katanya dalam ucaptama `56 tahun Merdeka: Ke Mana Hala Tuju Syariah
Islam di Malaysia', di Unisel, Shah Alam.
Beliau menegaskan
sebab itu negeri Kelantan, Terengganu ketika memerintah bahkan Selangor
mempunyai bidang kuasa yang terhad untuk melaksanakan undang-undang
Islam.
Menurut beliau, penjajah telah meminggirkan undang-undang
Islam setelah mereka gagal untuk memurtadkan penduduk supaya
meninggalkan ajaran Islam kerana melaksanakan konsep sekularisma
memisahkan agama dengan urusan dunia.
Undang-undang Islam itu
katanya telah dipinggirkan secara halus dengan cara mewujudkan Jabatan
Agama Islam sedangkan Islam itu lebih besar dan tidak perlu berada di
bawah satu jabatan.
"Mengapa Islam ada pejabat seperti pejabat
haiwan, pejabat hutan dan bermacam-macam pejabat lagi. Islam ditadbirkan
bukan Islam dikongkong," tegasnya.
Beliau berkata,
undang-undang Islam bukan sekadar undang-undang keluarga, pusaka serta
berkait dengan wakaf bahkan undang-undang keluarga tidak boleh
diasingkan daripada undang-undang lain.
Mengulas tentang
Suruhanjaya Reid katanya, PAS bersama NGO Islam pernah menghantar
memorandum mendesak supaya Islam diletakkan dalam pelembagaan kerana
umat Islam merupakan majoriti besar selepas kemerdekaan.
Katanya,
tekanan itu menyebabkan Suruhanjaya Reid meletakkan Perlembagaan Fasa 3
Islam sebagai agama Persekutuan di samping agama lain boleh diamalkan.
Menurut
beliau, selepas 56 tahun negara mencapai kemerdekaan pemikiran pimpinan
negara masih jumud kerana mereka tidak mengikut ajaran Islam.
PAS
mendesak supaya syariat Islam yang sempurna dilaksanakan secara umum
malangnya ada kalangan yang menentang kerana menganggap syariat Islam
lemah sehingga mereka menghentam undang-undang Islam, katanya.
Beliau
yang juga Ahli Parlimen Marang mengimbas sejarah PAS menyertai kerajaan
campuran pada tahun 1970-an yang tegas dengan pendirian sehingga
menegaskan majlis tari menari bercampur lelaki dan perempuan.
"PAS membantah minuman arak dihidangkan dalam jamuan negara menuntut laungan azan di radio dan TV di adakan," katanya.
Begitu
juga tambah beliau, iklan arak dan judi dihapuskan dalam media kerajaan
dan PAS minta supaya ada hak untuk menyebarkan kefahaman Islam di
Kementerian.