|
Mohd Azmir bin Maideen,
|
11 Sep 2013
|
Mengikut terminologi yang dirumuskan Prof. Dr Mohamad Rabi’ Jawhari,
pensyarah Kuliah Usuluddin di Universiti Al-Azhar, bahawa Qada’ adalah
pengetahuan Allah tentang perbuatan yang lampau, sedang dan yang akan
berlaku telah ditetapkan-Nya sejak azali dan tertulis di dalam Lauh
Mahfuzh. Adapun Qadar adalah terjadinya suatu perkara yang baik mahupun
buruk sesuai dengan prinsip sifatnya, ukurannya, dan syarat-syaratnya
mengikut aturan dan kehendak Allah Taala. (Aqidatuna, Juzuk 2)
Beriman
dengan Qada’ dan Qadar termasuk salah satu daripada kewajiban Rukun
Iman, meyakini bahawa seluruh penciptaan alam semesta mengikut ilmu
Allah dan kebijaksanaan-Nya, sesungguhnya Dia berkuasa ke atas setiap
sesuatu dan berkuasa melakukan perkara yang dikehendaki-Nya.
“Sesungguhnya Kami menciptakan setiap sesuatu menurut Qadar (yang telah ditentukan).” (Surah al-Qamar : ayat 49)
Sabda Rasulullah SAW maksudnya:
“Sesungguhnya yang pertama diciptakan oleh Allah adalah ‘Al-Qalam’.
Allah berfirman kepadanya; ‘Tulislah.’ Al-Qalam pun berkata; ‘Ya Tuhan,
apakah yang aku akan tulis?’ Allah berfirman; ‘Tulislah akan qadar
(ketetapan) dan segala apa yang terjadi sehingga menjelang Kiamat.” (Riwayat Abi Daud)
Firman Allah yang bermaksud:
“Tiada
suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu
sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami
menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi
Allah.” (Surah al-Hadid : ayat 22)
Para salaf as-soleh
meyakini dengan sepenuh keimanan bahawa Allah Taala mencipta tiap-tiap
sesuatu, mentadbir dan memilikinya. Allah telah menentukan perkara yang
akan terjadi sebelum menjadikannya. Dia telah menentukan ajal, rezeki
dan kerja yang mereka lakukan. Dia telah menulis kesudahan mereka sama
ada menjadi bertuah atau ditimpa celaka. Semuanya telah ditulis dalam
catatan yang jelas dan nyata.
Setiap perkara yang Allah kehendaki
akan berlaku dan setiap perkara yang tidak dikehendaki tidak akan
berlaku. Allah mengetahui perkara yang telah lepas, sedang berlaku, akan
datang, waktu dan cara ia berlaku. Allah berkuasa ke atas setiap
sesuatu, memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki dan
menyesatkan orang-orang yang dikehendaki.
Setiap hamba memiliki
kehendak dan kuasa untuk melakukan semua perkara yang ditentukan oleh
Allah ke atas mereka dengan keyakinan bahawa setiap hamba tidak mampu
melakukan sesuatu kecuali dengan kehendak Allah. Kefahaman inilah yang
dapat mendorong manusia untuk melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan
bila ia sedar bahawa Allah sentiasa mengawasinya serta meminta
pertanggungjawaban.
Firman Allah yang bermaksud:
“Maka barang siapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barang siapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir.” (Surah al-Kahfi : ayat 29)
Sesungguhnya
Allah mencipta hamba-hamba-Nya serta perbuatan mereka dan mereka
sendiri pula yang melakukan semua perbuatan yang mereka lakukan tanpa
paksaan. Maka tidak ada hujjah bagi seorang hamba ke atas Allah
sekiranya dia mahu meninggalkan perkara yang wajib atau melakukan
perkara yang haram (bahawa ini adalah ketentuan Allah), bahkan Allah
mempunyai hujjah yang kuat ke atas hamba-hamba-Nya.
Seorang hamba
Allah yang beriman dengan ajaran Rasul-Nya, wajiblah menolak taqdir
buruk dengan taqdir baik. Di mana kufur itu dihilangkan dengan iman,
kezaliman dengan keadilan, peperangan dengan perdamaian, maksiat dengan
ketaatan, penyakit dengan ubat, kebodohan dengan pengetahuan, kekalahan
dengan jihad, kemiskinan dengan bekerja dan begitulah seterusnya.
Keyakinan terhadap Qada’ dan Qadar Allah memerlukan seseorang melaksanakan tiga perkara;
Pertama:
Hendaklah berdoa kepada Allah agar mempermudahkan baginya untuk
mendapat kesenangan dan menjauhkannya daripada kesusahan dan segala
larangan-Nya di samping bertawakkal kepada Allah dan meminta
perlindungan daripada-Nya, maka jadilah ia sentiasa bergantung dengan
Allah untuk mendapatkan perkara yang baik dan meninggalkan kejahatan.
Firman Allah, maksudnya:
“Dan
apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku
maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan
orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku maka hendaklah mereka
itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman
kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (surah al-Baqarah :
ayat 186)
Kedua: Hendaklah berusaha mencapai
tujuan akhirat sebagaimana usaha yang dilakukan untuk mencapai tujuan
dunia. Adalah sangat menghairankan jika dalam urusan akhirat segala amal
usaha ditinggalkan sementara dalam urusan dunia masing-masing sedar
bahawa hanya beristirehat tanpa usaha dan perancangan adalah salah satu
bentuk amalan menuju pengangguran dan kemiskinan.
Sabda Nabi SAW, maksudnya:
“Hendaklah
kamu melakukan perkara yang mendatangkan manfaat kepada kamu, dan
mintalah pertolongan kepada Allah, jangan kamu mudah berasa lemah
(malas). Sekiranya musibah menimpa kamu maka janganlah kamu berkata;
‘Kalaulah dulu aku lakukan begitu tentu ia akan jadi begini’, tetapi
katakanlah, ‘Allah telah menentukan dan setiap yang dikehendaki-Nya akan
dilakukan-Nya’. Lantaran kerana perkataan ‘kalau’ akan membuka peluang
kepada syaitan.” (Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW membimbing
umatnya untuk bersemangat menempuh usaha yang bermanfaat dalam urusan
dunia dan juga akhirat. Perintah Rasulullah SAW kepada umatnya untuk
berusaha itu, baginda gabungkan dengan iman kepada taqdir, ini
menunjukkan bahawa beriman kepada taqdir tidak menafikan keperluan
strategi dan usaha untuk mencapai sesuatu hajat.
Ketiga:
Hendaklah bersabar di atas perkara yang telah ditentukan ke atasnya dan
tidak meratap atau menyesal, setelah dia mengetahui bahawa semua yang
terjadi adalah dengan kehendak Allah maka dia redha dan berserah diri.
Dia seharusnya mengetahui bahawa dia tidak mungkin terlepas daripada
perkara yang ditetapkan untuk menimpanya dan perkara yang tidak
ditetapkan ke atasnya tidak akan menimpanya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah
(wahai Muhammad); Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun
melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung
yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah
jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.” (Surah Taubah : ayat 51)
Ketika
kekhalifahan Umar al-Khattab RA, beliau telah bermusafir bersama
beberapa orang sahabat dari Madinah ke tanah Syam. Peristiwa ini berlaku
pada bulan Rabi’ul Akhir tahun 18 Hijrah, iaitu perjalanan Umar adalah
untuk melihat keadaan rakyat dan para gabenurnya. Setelah beberapa hari
menempuh perjalanan, rombongan Umar mendapat berita bahawa Syam telah
dilanda wabak ta’un ‘Amwas. Umar kemudiannya bermusyawarah bersama para
sahabat di dalam jemaah rombongan itu dan masing-masing sepakat
memutuskan untuk kembali ke Madinah.
Abu Ubaidah RA yang ketika itu menjadi gabenur di Syam berkata mempersoalkan keputusan Umar al-Khattab RA,
“Wahai Amiral Mukminin, mengapa kamu lari daripada takdir Tuhan?”Umar RA lantas menjawab,
“Ya, aku lari daripada takdir Allah kepada takdir yang lain. Apa
pendapatmu wahai Aba Ubaidah seandainya engkau memiliki seekor unta yang
turun di sebuah lembah yang memiliki dua lereng, salah satunya subur
dan yang keduanya tandus, bukankah jika engkau membiakkannya di tempat
yang subur bererti engkau menggembala untamu itu dengan takdir Allah?
Begitu pun sebaliknya, jika engkau membiakkannya di tempat tandus,
bukankah engkau menggembalakannya juga dengan taqdir Allah?”Tiba-tiba datang Abdurrahman bin ‘Auf kerana keperluannya lalu berkata, maksudnya;
“Sesungguhnya
dalam masalah ini aku memiliki ilmunya, aku telah mendengar bahawa
Rasulullah SAW bersabda; ((Jika engkau mendengar wabak taun di sebuah
negeri maka janganlah kamu memasukinya, dan seandainya wabak taun
terjadi di negeri yang engkau tinggal di dalamnya janganlah engkau
meninggalkan negerimu kerana lari daripada taun).” (Riwayat Muslim)
Menurut
sejarah, taun ‘Amwas yang berlaku pada zaman kekhalifahan Umar telah
mengorbankan sekitar 25’000 – 30,000 kaum Muslimin. Di antara mereka
yang meninggal dunia akibat wabak ini adalah Abu Ubaidah ‘Amir bin
Al-Jarrah RA, salah seorang daripada sepuluh orang sahabat Nabi yang
mendapat jaminan syurga Allah Taala.
Takdir mengikut pandangan ulama’Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah;
Taqdir Mubram:
Iaitu takdir yang muktamad dan ia tertulis di Lauh Mahfuz. Tidak ada
apa-apa pengurangan, penambahan atau pengubahan kepada takdir ini. Ia
adalah ketentuan Allah Taala yang pasti berlaku dan tidak dapat dihalang
oleh sesuatu apa pun. Contohnya: Kehidupan dan Kematian.
Taqdir Mu’allaq:
Iaitu takdir yang tertulis yang boleh tetap dan boleh berubah dengan
kehendak Allah, bergantung kepada sebab-sebab yang diusahakan oleh
manusia. Mu'allaq bererti tergantung. Ia adalah ketentuan yang tidak
semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara. Contohnya:
Panjang umur bergantung kepada menghubungkan silaturrahim dan amal
kebajikan yang lain, seperti dalam sabda Rasulullah SAW, maksudnya:
“Tidak
boleh ditolak ketetapan Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh
memanjangkan umur melainkan berbuat baik kepada ibu bapa.” (Riwayat
Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi)
Menurut ulama Ahl as-Sunnah, doa
berpengaruh dalam mengubah apa yang telah tertulis. Dengan berdoalah
seseorang hamba itu akan merasakan dirinya lemah dan berhajat kepada
Allah. Akan tetapi perubahan yang kita pohon itupun sudah ditetapkan
melalui doa. Janganlah kita menyangka apabila berdoa, bererti meminta
sesuatu yang belum tertulis, bahkan doa kita telah tertulis dan apa yang
terjadi kerananya juga telah tertulis.
Begitu juga penyakit yang
merupakan taqdir Allah boleh disembuhkan melalui rawatan dan pegharapan
yang bersungguh-sungguh kepada-Nya, ia juga termasuk dalam Taqdir
Mu’allaq. Rasulullah SAW pernah ditanya;
“Ya Rasulallah,
bagaimana pandanganmu terhadap ruqyah-ruqyah yang kami gunakan untuk
jampi, ubat-ubatan yang kami gunakan untuk menyembuh penyakit,
perlindungan-perlindungan yang kami gunakan untuk menghindari daripada
sesuatu, apakah itu semua boleh menolak taqdir Allah? Jawab Rasulullah
SAW; ‘Semua itu adalah (juga) taqdir Allah.” (Riwayat Tirmizi)
Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya
Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka
mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’du : ayat 11)
Maka,
apa yang tercatat dalam Taqdir Mu’allaq boleh diubah oleh Allah atas
sebab-sebab yang diusahakan oleh manusia dengan kehendak Allah. Namun
perubahan itu tidak terkeluar daripada apa yang Allah sedia ketahui dan
tulis dalam Taqdir Mubram. Dalil untuk dua jenis taqdir ini ialah firman
Allah Taala, maksudnya:
“Allah menghapuskan apa yang Dia
kehendaki, dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya-lah
terdapat Umm al-Kitab.” (Surah ar-Ra'd : ayat 39)
“Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki),” ia merujuk kepada Taqdir Mu'allaq.
“Dan di sisi-Nya-lah terdapat Umm al-Kitab,” merujuk kepada Taqdir Mubram.
Ibnu Kathir r.hm menafsirkan “Umm al-Kitab” tersebut adalah perkara yang halal dan yang haram. (Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir)
Allah
Taala telah menjadikan kepada ketentuan ini beberapa sebab yang boleh
menolak dan mengangkatnya seperti berdoa, sedekah jariah, pengetahuan,
perubatan, dan sebagainya. Kerana makna beriman terhadap Qada' dan Qadar
sama sekali tidak menafikan kewajipan kita berusaha dan berikhtiar
melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini.
Allah pemilik Zat
Yang Maha Adil, tidak akan sesekali menzalimi hamba-Nya, barang siapa
yang jujur dalam melaksanakan amal soleh pasti akan dimudahkan jalan
menuju Syurga.
“Adapun orang yang memberikan (hartanya di
jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik
(syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah.” (Surah al-Lail : ayat 5-7)
Firman Allah lagi, maksudnya:
“Dan
orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh (kerana memenuhi
kehendak agama Kami), sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke
jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah
berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut : ayat 69)
Dengarkan
pula firman Allah tentang penduduk neraka yang mereka kekal di dalamnya
mengharapkan kembali ke alam dunia, Allah Maha Mengetahui apa yang akan
mereka lakukan seandainya dikembalikan ke dunia di dalam surah al-An’am
ayat 27 hingga 28, maksudnya;
“Dan jika kamu (Muhammad)
melihat ketika mereka dihadapkan ke neraka, lalu mereka berkata;
‘Kiranya kalau kami dikembalikan (ke dunia) dan tentulah kami tidak
mendustakan ayat-ayat Tuhan kami, serta menjadi orang-orang yang beriman
(tentulah kamu melihat suatu peristiwa yang mengharukan).”
“Bahkan
(sebenarnya) telah nyata bagi mereka kejahatan yang mereka dahulu
selalu menyembunyikannya. Sekiranya mereka dikembalikan ke dunia,
tentulah mereka kembali kepada apa yang mereka telah dilarang
mengerjakannya. Dan sesungguhnya mereka itu adalah pendusta-pendusta
belaka.” Demikianlah ilmu Allah, tidak ada sedikitpun yang
terluput daripada pengetahuan-Nya. Berdasarkan ilmu Yang Maha Sempurna
itu Allah menulis segala sesuatu yang akan terjadi, yang belum terjadi
dan yang sudah terjadi di Lauh Mahfuzh, 50,000 tahun sebelum Allah
ciptakan langit dan bumi. Rasulullah SAW bersabda;
“Allah telah mencatatkan taqdir-taqdir sekalian makhluk-Nya 50,000 tahun sebelum diciptakan langit-langit dan bumi.” (Riwayat Muslim)
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan
apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala
bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun
yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu.” (Surah ar-Ra'd : ayat 11)
Apa-apa
yang telah tercatat dalam Lauh Mahfuzh berlaku menurut kehendak Allah
dengan penuh perincian melangkaui akal manusia, satu-persatu, tiada
satupun yang terlepas daripada ilmu, kehendak dan penciptaan Allah
Taala. Tiada sesuatu di alam ciptaan-Nya ini yang terjadi berlawanan
dengan kehendak-Nya. Kerana Maha Luasnya pengetahuan Allah, maka tiada
siapapun mampu menghitungnya secara tuntas sehingga hal ini diperhatikan
oleh Imam Ja’afar as-Sodiq r.hm, sebagaimana katanya;
“Orang
yang terlalu memikirkan masalah Qadar ibaratnya seperti orang memandang
terik mentari, semakin kuat ia melihat semakin bertambah ia merasa
hairan.” (Jami’ Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlih, Ibn ‘Abd al-Barr)
Oleh
sebab manusia tidak mengetahui Qada’ dan Qadar-nya, maka manusia perlu
kepada usaha dan doa tanpa berputus asa. Ambillah pengajaran tentang
kesilapan masa lalu, agar kita tidak mengulanginya pada masa kini. Usah
menyalahkan taqdir kerana semuanya itu mengandungi rahsia Allah yang
tiada siapapun mampu merungkainya. Batasan tersebut diingatkan
Rasulullah SAW kepada umatnya:
“Jika ada yang menyebut perkara takdir, maka hentikanlah mereka (membahas takdir).” (Riwayat at-Tabarani)
Semoga Allah sentiasa mencurahkan rahmat dan inayah-Nya kepada kita.
http://www.tarbawi.my