Rabu, 11 September 2013

Tanda Putera: Sejarah atau Fitnah - Siri 1


Dr Angin Budiman, 11 Sep 2013
SEWAKTU Tun Dr. Ismail meninggal dunia, aku berada di Darjah 3. Dan hari itu, adalah hari jadi aku tetapi sebagai budak kampung, aku tidak pernah tahu untuk meraikan hari jadi.
Televisyen hitam putih membuat siaran langsung. Kami sekampung sedih menonton upacara pengkebumian Tun Dr. Ismail. Tambahan pula, juru ulas televisyen itu mengulas dengan nada sedih dan sayu.  Kesedihan bukan kerana aku kenal siapa sosok tokoh itu. Sedih kerana televisyen itu mengajak untuk kami bersedih dan sayu bersama. Kamipun turut bersimpati pada waris yang ditinggalkan. Entah berapa ramai jiranku meninggal dunia sebelum itu tetapi aku tidak pernah sesedih pada hari itu. Sedangkan, waris yang ditinggalkan masih dalam lingkaran kemiskinan. Rumah mereka menanti rebah. Entah ada beras atau garam atau tidak di dapur mereka.

Sedangkan ketika Tun Dr. Ismail meninggal dunia, aku percaya para warisnya tidaklah ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Sedih atau simpati atas kematian seseorang adalah biasa. Namun kesedihan dan rasa simpati yang terpilih menjadikan kita seorang yang tidak adil.  Sebabnya mudah; itulah pengaruh televisyen kepada pemikiran masyarakat umum. Kamera yang memfokuskan pada sudut tertentu, seakan-akan untuk kita melupakan sudut lain yang lebih terbentang luas.

Tanda Putera
Ulasan terhadap filem Tanda Putera secara tidak langsung bermakna membantu mempromosi filem arahan Shuhaimi Baba. Tidak kira sama ada ulasan itu bersifat menyokong, membangkang ataupun neutral. Dari sudut positifnya, kontroversi di sekitar filem ini membantu industri filem Melayu yang asyik terperosok dalam kerangka filem bersifat ala-ala aksi, seram, hiburan dan  ‘lebih mengada-ngada’. Aku mungkin tergolong dalam kelompok yang kecewa dengan industri filem Melayu yang merendah-rendahkan pemikiran masyarakatnya sendiri.

Menonton filem Melayu adalah detik yang memenatkan dan menyeksa akal sendiri. Usaha penerbitan filem Tanda Putera memang mencabar kelaziman pengeluar filem tempatan. Mereka terpaksa menampung risiko. Untungnya, Finas membiayai kos penerbitan filem itu. Jika tiada siapa yang membeli tiket pawagam atau membeli vcd, bukanlah masalah besar pada pengeluar.

Walau bagaimanapun, tayangan percuma hanya menambah-nambah ‘teruk’nya filem tersebut dari segi strategi pasaran. Lebih-lebih lagi jika tayangan percuma itu bersifat terpilih dan audien tertentu sahaja untuk menonton. Secara sifir yang mudah, ini adalah filem keluaran dan memiliki aspirasi kerajaan yang akan memaparkan sejarah versi penguasa semasa.
Kontroversi filem Tanda Putera sebenarnya lebih dirujuk pada naratifnya. Ini meliputi aspek hubungan sebab-akibat, latar belakang waktu dan ruang. Filem sebagai sebuah medium massa sememangnya terdedah dengan proses propaganda, promosi dan juga doktrinisasi. Oleh itu sama ada disedari atau tidak, setiap filem akan mengandungi ideologi, falsafah dan perspektif. Hiburan hanyalah satu juzuk dalam pembikinan sebuah filem.
sentimen politik

Mengambil 13 Mei sebagai latar belakang filem Tanda Putera secara jelas ia mempunyai sentimen politik. Menjadikan Tun Razak dan Tun Dr. Ismail sebagai watak utama dalam filem tersebut menambahkan lagi kesungguhan filem ini adalah sebuah karya sejarah dari persektif penguasa. Itupun, masih ada keraguan untuk mengkategorikan sebagai sebuah filem sejarah melainkan lebih selamat untuk menganggap sebagai filem yang ada unsur sejarah.

Minggu lepas, aku berkesempatan berforum atas tajuk ‘Tanda Putera: Sejarah atau Fitnah’ yang dianjurkan oleh Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM) dan Sekolah Pemikiran al Syaitibi di ibu kota.

Menurut Tawfik Tun Dr.  Ismail yang menjadi salah seorang ahli forum itu¸ beliau menyebut bahawa filem itu ‘dilihat’ begitu propaganda kerana faktor waktu yang terhad.

Asalnya, filem itu berdasarkan buku ‘ The Reluctant Politician – Tun Dr. Ismail and His Time’ tulisan Dr. Ooi Kee Beng.  Filem Tanda Putera hanya mengutip beberapa fakta dan meninggalkan fakta penting sehingga  naratifnya tidak seimbang. Contohnya, ketegangan 13 Mei itu berlaku antaranya disebabkan oleh faktor Tan Siew Sin mengusulkan untuk membawa MCA keluar daripada Perikatan setelah kalah teruk dalam pilihan raya umum 1969. Hal ini dinyatakan dalam surat Tun Dr. Ismail kepada Eric Friffith-Jones, Pengerusi Guthrie di London dan surat kepada rakannya, Philip Kouk. Beliau juga menyebut tentang wujudnya golongan ultra nasionalis Melayu dalam Umno dan PAS.

Untuk memahami makna sejarah, seharusnya buku E.H. Carr, 'What is History?' dijadikan bacaan cadangan sebelum bercakap soal sejarah. Sejarah adalah 'mother of knowledge' (ibu segala ilmu).  Ia terlalu panjang untuk dibincangkan di sini. Kenyataan yang menyebut bahawa mereka telah membuat ‘kajian mendalam’ dan ‘terperinci’ dan menganggap ‘Tanda Putera’ sebagai ‘sejarah sebenar’ adalah kenyataan politik, publisiti dan murahan. Sesiapapun berhak untuk mendakwa perkara yang sama.

dua kutub

Soalan yang pertama akan ditanya adalah; sumber sejarah manakah yang dijadikan sandaran pembikinan filem ini?

Ada dua kutub dalam memahami sejarah 13 Mei. Kutub utama menyebutkan bahawa sebab tragedi itu adalah kerana fanatisme dalam parti pembangkang (terutama DAP, Gerakan dan PPP) selepas keputusan PRU 1969. Oleh kerana Gerakan dan PPP menyertai BN menjadi sekutu Umno, sejarah ‘gelap’nya dibuang. Kerana itu, bendera roket-DAP menjadi latar belakang kekecohan yang berlaku.

Secara mudah, para penonton akan menjadi hakim penghukum jika tidak mempunyai daya taakulan yang kuat. Lalu tidak menghairankan jika kerajaan negeri Pulau Pinang yang dikuasai DAP beria-ia untuk melarang penayangan filem tersebut di negeri berkenaan. Secara politiknya, filem ini memberi gambaran buruk pada DAP dan merugikan parti itu.

Hal yang sama dilakukan oleh kelompok yang tidak gembira dengan penayangan filem ‘The New Village’ yang dikatakan cuba memaparkan rasa simpati pada perjuangan PKM semasa era darurat. Pendekatan ‘pengharaman’ atau ‘penyekatan’ filem oleh kerajaan adalah satu pendekatan mudah tetapi mengundang rasa tidak puas kerana perhitungan politik dijadikan asas keputusan. Ia juga merendah-rendahkan pemikiran masyarakat yang boleh membuat perhitungan sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan