|
Ustaz Hamizul Abdul Hamid,
|
05 Sep 2013
|
Soalan: Saya mempunyai saudara-mara yang miskin dan
merasa kasihan kerana mereka amat teringin menunaikan haji ke Mekah.
Soalan saya, adakah boleh saya menggunakan wang zakat saya yang
berjumlah kira-kira RM10,000 setahun untuk menaja mereka pergi
menunaikan haji, dari seorang ke seorang setiap tahun? Harap sangat
penjelasan daripada pihak ustaz.
Jawapan:
Alhamdulillah, musim haji tiba lagi, mudah-mudahan mereka yang terpilih
untuk bertamu sebagai pengunjung ke Baitullah dan menjadi ‘dhuyufur
rahman’ mendapat anugerah haji yang mabrur, amin. Dalam pada itu juga,
memang timbul persoalan seperti ini di kalangan masyarakat awam. Tahniah
juga kerana mempunyai kesedaran untuk menaja orang-orang yang kurang
berkemampuan menunaikan haji ke Mekah.
Demi menjawab soalan ini,
kita sepatutnya terlebih dahulu mengetahui apakah syarat-syarat wajib
haji yang telah ditetapkan oleh Islam. Seseorang yang tidak mempunyai
cukup syarat bagi menunaikan haji, maka di sisi Allah SWT mereka tidak
dikira berdosa jika tidak dapat ke Mekah menunaikan haji.
Ada pun
syarat menunaikan haji ada lima, iaitu Islam, Baligh, Berakal, Merdeka
dan Mampu (istita’ah). Yang perlu difahami, kewajipan haji ini tertakluk
atas kemampuan individu berkenaan, yang mana antara kemampuan itu
ialah, mampu menyediakan perbelanjaan yang cukup untuk menyempurnakan
haji dan juga biaya mereka yang ditinggalkan di tanah air.
Allah
SWT tidak murka kepada orang yang tidak berkemampuan, seperti mana
firman-Nya yang bermaksud: “Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia
terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu (Baitullah) bagi yang sanggup
(mampu) berjalan di antara mereka.” (surah Ali-Imran : ayat 97)
Maka,
secara umumnya jika orang Islam yang sudah sememangnya miskin, maka
mereka tidak berdosa jika tidak dapat menunaikan haji. Melainkan jika
mereka mampu, misalnya ada harta beku seperti tanah yang banyak, maka
wajiblah mereka mencairkan harta berkenaan untuk menjadikan mereka mampu
daripada aspek kewangan untuk ke sana.
Dalam hal ini, saudara
menyatakan bahawa individu berkenaan adalah orang miskin, maka tidak
berdosa jika dia tidak menunaikan haji. Namun, bolehkah kita menyalurkan
wang zakat kepadanya untuk ke Mekah?
Suka saya paparkan
perbincangan fiqh yang lebih luas. Di dalam kitab Ensaiklopedia Fiqh
Wanita Jilid 2, susunan Dr Abdul Karim Zaidan, ada dinyatakan bahawa
terdapat ulama yang membolehkan orang-orang yang mahu menunaikan haji,
diberikan wang zakat atas nama fisabilillah agar mereka dapat menunaikan
hajat berkenaan.
Dinyatakan oleh Imam Ahmad seperti berikut:
“Ibadah haji merupakan bahagian daripada perjuangan fisabilillah,
sehingga orang fakir dapat diberi bahagian zakat ini untuk melaksanakan
ibadah haji, sebagaimana orang-orang yang kehabisan bekal dalam
menunaikan haji dapat diberikan bantuan untuk menyempurnakan ibadah haji
yang dilakukannya.’ (rujuk hal. 147)
Walau bagaimanapun,
pandangan ini tidak bersifat muafakat dalam kalangan fuqaha, kerana
ramai yang menyanggahinya, bahkan menurut Ibn Qudamah, Imam Ahmad juga
pernah mengeluarkan pendapat bahawa zakat atas nama fisabilillah tidak
boleh diberikan kepada orang yang mahu menunaikan haji.
Janganlah
kita terkejut jika ulama yang sama mengeluarkan pandangan kedua yang
berbeza dengan pendapat awal, kerana adakalanya wujud keperluan dan
rasional yang melahirkan pendapat kedua berkenaan dan ia selalunya lebih
menepati keperluan. Imam Syafie sendiri penah menyatakan kadar zakat
harta ma’din (galian) adalah 2.5 peratus dan kemudian pendapat keduanya
adalah 20 peratus, dan penulis melihat pandangan kedua inil lebih
sejalan dengan fuqaha yang lain serta lebih kuat dalilnya.
Bahkan
Ibn Qudamah turut memperkuatkan pandangan berkenaan, atas alasan ia
disepakati oleh fuqaha lain misalnya Imam Syafie, Malik, Abu Hanifah,
at-Tswari dan lain-lain. Mereka selanjutnya menyatakan, bahawa pendapat
yang paling tepat mengenai tujuan fisabilillah, adalah merujuk
semata-mata bagi tujuan peperangan menegakkan Islam.
Seandainya
kita meneliti lebih lanjut, maka pandangan fuqaha mengenai fisabilillah
sebenarnya tidaklah terbatas kepada aspek peperangan semata-mata. Hal
ini ada dikemukakan oleh T.M Hasbi as-Shiddieqy di dalam kitabnya,
Pedoman Zakat dengan menyajikan pelbagai definisi fisabilillah oleh
pelbagai fuqaha (rujuk hal. 169-172).
Umumnya, fuqaha menyatakan
bahawa fisabilillah adalah bermaksud mempertahankan agama Islam dan
mendekatkan diri kepada Allah SWT (taqarrub ilallah). Maka, boleh jadi
dalam mendefinisikan maksud taqarrub ilallah inilah, ada yang
berpandangan bahawa orang yang mahu mengerjakan haji wajar dibantu,
kerana mereka memang mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sedangkan,
jika diteliti lebih mendalam, maksud taqarrub ilallah yang lebih tepat
ialah, segala aktiviti yang bersifat kepentingan umum, misalnya untuk
tujuan dakwah Islamiyah, menganjurkan program Islami, menerbitkan
risalah penerangan Islam dan menangkis tohmahan musuh-musuh Islam,
memperkukuhkan institusi-institusi keIslaman dan sebagainya.
Jika
orang yang dalam proses menunaikan haji dan mereka kehabisan belanja
untuk kembali ke tanah air, hakikatnya bagi mereka memang sudah tersedia
peruntukan khusus buat menangani keperluan itu, iaitu di bawah asnaf
ibn sabil.
Manakala dalam konteks semasa, di Lembaga Zakat
Selangor (LZS) sendiri, dana fisabilillah ini dimanfaatkan sama ada
untuk tujuan pemerkasaan institusi agama dan juga menaja individu muslim
menyudahkan sesuatu pekerjaan yang mana, natijah akhirnya kelak akan
kembali kepada umat Islam secara umum.
Maka, berdasarkan
pandangan dan huraian ini, menyalurkan wang zakat sebanyak RM10 ribu itu
untuk menaja individu yang miskin menunaikan haji, dianggap tidak
menepati kehendak dalam amalan haji itu sendiri, iaitu mestilah ‘mampu’.
Manakala, di sisi zakat, terdapat asnaf lain yang lebih utama (asnaf
muqaddam, seperti fakir dan miskin) yang wajar disantuni terlebih dahulu
sebelum menyalurkannya terus kepada asnaf fisabilillah.
Maka,
berdasarkan perbincangan di atas, pandangan fuqaha bahawa tidak boleh
disalurkan wang zakat bagi menunaikan haji lebih menepati kehendak zakat
dan syariat. Lalu, adalah disarankan agar saudara mengeluarkan wang
lain bagi menaja individu berkenaan menunaikan haji, dan tidaklah
menggunakan wang zakat. Andai setelah diberikan RM10 ribu (katakan
diambil dari wang simpanan dan diberikan bukan atas nama zakat kepada
individu berkenaan) dan dengan sebab itu wang simpanan saudara juga
menyusut dan menyebabkan zakat juga menyusut, maka ia tidaklah menjadi
apa-apa kesalahan di sisi Islam.
http://www.hamizul.com/