|
Dr Ahmad Najib bin Abdullah Al-Qari,
|
29 Jul 2013
|
Pendahuluan:Nuzul al-Qur’an merupakan satu
peristiwa penting berhubung sejarah al-Qur’an itu sendiri. Justeru, ia
mendapat tempat khusus dalam karya-karya Ulum al-Qur’an (Ilmu-ilmu
berkaitan al-Qur’an). Tumpuan diberikan untuk menjelaskan hakikat nuzul
dan tahap-tahap penurunan al-Quran.
Al-Syaikh Muhammad Abd
Al-‘Azim al-Zarqani ada menyatakan bahawa Nuzul al-Qur’an adalah asas
keimanan terhadap al-Qur’an itu sendiri dan juga keimanan terhadap Nabi
SAW.
Nuzul al-Qur’an bermaksud penurunan al-Qur’an. Ia terbahagi kepada dua tahap utama:
Pertama: Nuzul al-Qur’an dari Lauh Mahfuz ke langit dunia di Bait al-Izzah secara sekaligus.
Kedua: Nuzul al-Qur’an dari Bait al-Izzah di langit dunia kepada Nabi SAW secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.
Berhubung
isu Nuzul Al-Qur’an yang dibincangkan ini, apakah maksud penurunan
(Nuzul)? adakah ia bermaksud Nuzul Al-Qur’an pada tahap pertama atau
pada tahap kedua?
Jika kita mengumpulkan pendapat para ulama Islam dalam isu ini kita akan memperolehi pelbagai pendapat dan huraian.
Pendapat Pertama:
Pendapat
yang agak masyhur memilih tanggal 17 Ramadhan sebagai tarikh Nuzul
al-Qur’an. Pendapat ini dipegangi sebahagian ulama sirah. Antara ulama
sirah yang kuat berpegang kepada pendapat ini ialah Syaikh al-Khudhari
dalam karyanya; Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyyah. Pendapat ini
merujuk kepada suatu riwayat daripada al-Waqidi menerusi Abu Ja’far
al-Baqir yang mengatakan bahawa (penurunan) wahyu kepada Rasulullah SAW
bermula pada hari Isnin, 17 Ramadhan (dan dikatakan pada 24 Ramadhan).
Riwayat ini dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa
al-Nihayah, maksudnya:
Al-Waqidi meriwayatkan dengan sanadnya
daripada Abu Ja’far al-Baqir bahawa dia berkata: Permulaan wahyu kepada
Rasulullah SAW adalah pada hari Isnin 17 Ramadhan, dan dikatakan juga
pada 24 Ramadhan.
Ada suatu hal yang agak menarik dalam kita
membincangkan pendapat yang menyatakan 17 Ramadhan sebagai tanggal Nuzul
Al-Qur’an. Setelah saya meneliti kitab Sirah Ibn Hisyam berhubung tajuk
“Ibtida’ Tanzil Al-Qur’an” (Bermulanya Penurunan Al-Qur’an), terdapat
semacam satu kekeliruan apabila Ibn Hisyam ada membuat catatan berikut,
maksudnya:
Ibn Ishaq berkata: Rasulullah SAW mula diturunkan
wahyu kepadanya pada bulan Ramadhan. Allah Azza Wajalla berfirman
(maksudnya): Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Qur’an sebagai
petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan kepada petunjuk itu,
juga sebagai pembeza (antara yang haq dan yang batil). Dan Allah Ta’ala
berfirman (maksudnya): Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Qur’an) pada
malam al-Qadr …Dan Allah berfirman maksudnya: Sekiranya kamu benar-benar
beriman kepada Allah dan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami pada
hari al-Furqan, hari pertembungan dua kumpulan… Itulah (yang
dimaksudkan) pertemuan (peperangan) Rasulullah SAW dengan golongan
musyrikin di Badr. Berkata Ibn Ishaq: Abu Ja’far Muhammad bin Ali bin
Husain menceritakan kepadaku bahawa Rasulullah SAW bertemu (memerangi)
golongan musyrikin pada hari Juma’at, pagi 17 Ramadhan.
Jika
diperhatikan dan dihalusi, kenyataan di atas semacam mengaitkan elemen
‘al-furqan’ yang terdapat dalam al-Qur’an (pada ayat 185, Surah
al-Baqarah) dengan ‘yaum al-furqan’ (hari al-Furqan, pada ayat 41,
Surah al-Anfal) yang merujuk kepada hari Peperangan Badr yang berlaku
pada 17 Ramadhan. Oleh sebab perkara ini disebut di bawah tajuk “Ibtida’
Tanzil al-Qur’an”, berkemungkinan ada pihak yang memahami bahawa Nuzul
Al-Qur’an juga berlaku pada tarikh yang sama.
Pendapat Kedua: Nuzul Al-Qur’an berlaku pada 7 Ramadhan.
Pendapat Ketiga: Nuzul Al-Qur’an berlaku pada 18 Ramadhan.
Pendapat kedua dan ketiga ini dinyatakan oleh Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab sirahnya.
Pendapat Keempat:Syaikh
Safiyy al-Rahman sendiri membuat pilihan dan tarjih yang berbeza dengan
ulama lain. Menurut beliau, Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 21 Ramadhan.
Antara alasan yang dikemukakan seperti berikut:
1.Semua ulama sirah
atau majoriti kalangan mereka sepakat mengatakan bahawa Nabi SAW
dibangkitkan pada hari Isnin berdasarkan hadis Abu Qatadah RA dalam
Sahih Muslim dan lain-lain.
2.Hari Isnin pada tahun Nabi SAW
dibangkitkan jatuh sama ada pada hari 7 Ramadhan, 14 Ramadhan, 21
Ramadhan dan 28 Ramadhan. Hadis yang sahih ada menyebut bahawa malam
al-Qadr tidak berlaku melainkan pada malam-malam ganjil, sepuluh malam
terakhir Ramadhan.
3.Setelah dibuat perbandingan antara firman Allah
dalam ayat 1 Surah Al-Qadr dan riwayat Abu Qatadah tentang penentuan
hari Isnin sebagai hari Nabi SAW dibangkitkan serta dipadankan dengan
perhitungan taqwim yang tepat bilakah sebenarnya jatuh hari Isnin pada
bulan Ramadhan tahun kebangkitan Nabi SAW, jelaslah bahawa baginda
dibangkitkan pada malam 21 Ramadhan.
Pendapat Kelima:Pendapat seterusnya, Nuzul al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan. Pendapat ini berdasarkan hadis berikut, maksud:
Berkata
Imam Ahmad: Abu Sa’id Maula Bani Hashim memberitakan kepada saya,
katanya: ‘Imran Abu al-‘Awwam memberitakan daripada Qatadah daripada Abi
al-Malih daripada Wathilah bin Al-Asqa’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Suhuf Nabi Ibrahim AS diturunkan pada malam pertama Ramadhan, Taurat
pula diturunkan pada 6 Ramadhan, Injil diturunkan pada 13 Ramadhan. Dan
Allah menurunkan al-Furqan (Al-Qur’an) pada 24 Ramadhan.
Hadis di atas dihukumkan hasan oleh Syaikh al-Albani, manakala Syaikh Ahmad Shakir menghukumkan sanad hadis ini sebagai sahih.
Menurut
al-Hafiz Ibn Hajar, hadis di atas bertepatan dengan firman Allah SWT
dalam Surah al-Baqarah ayat 185 dan firman-Nya Surah al-Qadr ayat 1.
Kata
beliau, berkemungkinan Lailah al-Qadr berlaku pada tahun kebangkitan
Nabi SAW pada malam tanggal 24 Ramadhan yakni al-Qur’an diturunkan
secara sekaligus ke langit dunia dan pada masa yang sama (24 Ramadhan)
wahyu pertama diturunkan, iaitu surah Iqra:
Al-Tabari juga ada
menyebut satu riwayat dengan sanadnya menerusi Sa’id Bin Jubair daripada
Ibn Abbas RA katanya: Al-Qur’an diturunkan sekaligus dari Lauh Mahfuz
pada malam 24 Ramadhan, kemudiannya ia ditempatkan di Bait al-‘Izzah.
Al-Qurtubi
pula menyebut hadith Wathilah bin al-Asqa’ di atas dan menyatakan
bahawa hadis tersebut merupakan dalil atau hujah terhadap pendapat Hasan
al-Basri yang menegaskan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24
Ramadhan.
Al-Hafiz Ibn Kathir juga ada membawa hadis Wathilah ini
dalam mentafsirkan maksud ayat 185, Surah al-Baqarah, kemudian beliau
menyatakan bahawa Ibn Mardawaih ada meriwayatkan hadis daripada Jabir
Bin ‘Abdullah RA seumpama hadith Wathilah dengan sedikit perbezaan pada
matan hadith berkenaan.] Beliau juga ada menyebut hadis ini dalam
al-Bidayah wa al-Nihayah dan menyatakan bahawa berdasarkan hadis
Wathilah ini, sebahagian ulama dari kalangan para sahabat dan tabi’in
berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.
Turut
menyebut hadis Wathilah ,Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di mana
beliau mengambil hadis ini bagi menjelaskan Nuzul al-Qur’an berlaku
pada tanggal 24 bulan Ramadhan.
Kesimpulan yang dapat dibuat
setelah meneliti pendapat-pendapat yang dikemukakan di atas berhubung
tanggal Nuzul Al-Qur’an seperti berikut:
1.Pendapat yang menyebut
Nuzul al-Qur’an jatuh pada 17 Ramadhan bersandarkan riwayat al-Waqidi.
Menurut ulama al-Jarh wa al-Ta’dil, al-Waqidi (m. 207 H), nama penuh
beliau: Muhammad Bin Umar Bin Waqid al-Aslami seorang perawi yang
sangat lemah (matruk) dan tidak diterima riwayatnya. Pendapat ini juga
ditolak oleh Syaikh al-Zarqani kerana ia bercanggah dengan pendapat yang
masyhur lagi sahih.
2.Pendapat Syaikh Safiyy al-Rahman
al-Mubarakfuri yang menyatakan Nuzul al-Qur’an jatuh pada tanggal 21
Ramadhan merupakan cetusan ijtihad beliau semata-mata berdasarkan
penelitian beliau terhadap hadis Abu Qatadah dan perkiraan taqwim yang
dipegangi beliau dengan mengambil kira malam ganjil untuk Malam al-Qadr.
Malam al-Qadr boleh berlaku pada malam-malam genap dan juga boleh
berlaku pada malam-malam ganjil di 10 hari terakhir Ramadhan.
3.Pendapat
yang menyebut bahawa Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan adalah
kuat. Ini berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:
i.Pendapat
ini bersandarkan hadis marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh
dalam bidang hadis. Sebagaimana yang termaklum, apa jua permasalahan
dalam Agama Islam perlu dirujuk kepada nas al-Qur’an dan hadis. Dalam
hal ini, hadis Wathilah Bin al-Asqa’ adalah rujukan utama dalam
menentukan bilakah berlakunya Nuzul al-Qur’an.
ii. Matan hadis dengan jelas menyebut bahawa al-Qur’an diturunkan pada 24 Ramadhan.
iii.Maksud
atau mafhum hadis diterima pakai oleh ulama muktabar dari kalangan ahli
hadis dan para mufassirin dan dijadikan hujah bagi menetapkan tanggal
24 Ramadhan sebagai tarikh tepat bagi Nuzul al-Qur’an. Rujuk kata-kata
al-Hafiz Ibn Hajar, Imam al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.
Penutup:
Kepelbagaian
pandangan para ulama dalam membincangkan tarikh Nuzul al-Quran
membuktikan keprihatinan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap
al-Qur’an al-Karim. Setiap pendapat ada sandaran hujah yang dipegangi.
Ruang untuk perbincangan masih terbuka asalkan hati bertekad mencari
kebenaran. Dan perbezaan pendapat dalam hal sebegini janganlah sampai
membawa kepada pertelingkahan yang boleh meruntuhkan ummah.
* Maqalah ini telah diedit semula oleh penulis (Dr Abu Zaid) pada bulan Ramadhan 1432Hhttp://abuanasmadani.blogspot.com