Sabtu, 3 Ogos 2013

Tanda-tanda lailatul Qadar dari hadis sahih


Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 02 Ogs 2013
1. Pada malamnya bulan kelihatan seperti separuh jafnah (jafnah; bekas makanan berbentuk bulat seperti pinggan besar atau talam)” (Soheh Muslim, 1170/222).

2. Malamnya tenang, tenteram dan sentosa (Al-Jami’ as-Saghier; 7728, menurut as-Suyuti; hasan. Musnad Ahmad; 22765, hasan).

3. Malamnya bersih dan terang di mana seolah-olah pada malam itu terdapat cahaya bulan yang menerangi, menenggelamkan cahaya-cahaya bintang (Soheh Ibnu Hibban, 3688, menurut Syeikh Syu’aib al-Arnaut; hadis soheh bisyawahidihi. Musnad Imam Ahmad; 22765, hasan).

4. Udaranya tidak terlalu panas, tidak terlalu sejuk (Soheh Ibnu Hibban, 3688, hadis soheh bisyawahidihi. Al-Jami’ as-Saghier; 7727, 7728, menurut as-Suyuti; hasan).

5. Tidak ada lontaran dari bintang pada malam itu hinggalah pagi (Al-Jami’ as-Saghier; 7727, hasan. Musnad Imam Ahmad; 22765, hasan).

6. Malamnya tidak berawan, tiada hujan dan tiada angin (Al-Jami’ as-Saghier; 7727). Menurut penjelasan al-Munawi; maksudnya ialah tidak bersangatan awan, hujan dan anginnya (tiada ribut) (Faidhul Qadier).

7. Pada paginya matahari muncul dengan cahaya yang lemah, sekata, berwarna kemerahan dan tanpa sinaran/pancaran yang menyucuk mata (Al-Jami’ as-Saghier; 7727, 7728, hasan. Musnad Imam Ahmad; 22765, hasan. Soheh Muslim; 762/220).

Namun yang penting pada malam al-qadar (lailatul qadar) ialah beramal pada malam tersebut. Berkata Imam al-Munawi; “Orang yang tidak dapat melihat tanda, tidak mesti dia tidak mendapat malam tersebut. Boleh jadi seorang yang bangun beribadah di malam itu, ia hanya dikurniakan Allah kesempatan beribadah, tanpa dapat melihat sebarang tandanya. Orang itu di sisi Allah lebih baik dan lebih mulia daripada orang yang hanya melihat tanda sahaja (tetapi tidak beribadah di malam tersebut)” (Faidhul Qadier; 7728).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan