![]()
Dunia
terkini telah berubah kepada zaman di mana rakyat mendesak supaya suara
mereka didengari dan hak mereka diberikan dengan adil. Manakala zaman
kuku besi di mana sesebuah kerajaan berlagak Tuhan, rakyatnya
diperhambakan pula hampir dilupa dan diletakkan dalam lipatan sejarah.
Islam yang dibawa para Rasul adalah pendukung menentang kezaliman di
sepanjang zaman. Mesir adalah bumi bersejarah berlakunya pertembungan di
antara Fir’aun yang zalim berlagak Tuhan. Fir’aun itulah yang berlagak
sebagai penentu rezeki rakyat, bermegah dengan pembangunan hebat,
bangunannya tersergam menjadi tarikan pelancong sehingga kini. Semua
pembangunan dan monumen hebat yang dibina oleh penzalim seperti Fir’aun
telah dilupakan bahawa semuanya dibina di atas mayat rakyat yang di
hamba-abdikan, banyaknya darah yang mengalir dan air mata yang dicurah.
Nabi Ya’akob dan puteranya Nabi Yusuf A.S. dikumpulkan di Mesir,
daripada zuriatnya ramai para anbiya’, maka Mesir dinamakan bumi para
anbiya’. Allah juga telah mengutuskan Rasulnya Musa A.S. untuk melakukan
Islah di bumi Mesir. Sebagai satu hikmah dari Allah, Rasul itu menjadi
anak angkat yang dibesarkan di bawah mahligai Fir’aun, untuk berdepan
secara langsung dengan Fir’aun paling zalim dan ganas. Akhirnya Fira’un
dan kerajaannya tamat riwayat bersama amal zalimnya dengan khatimah
buruk dilaknat mengikut perhitungan Islam, celaka dunia dan neraka di
akhirat. Fir’aun inilah yang dijulang oleh golongan nasionalis Mesir
sebagai tokoh tamadun yang dibanggakan.
Kedatangan Rasul akhir zaman juga membawa perubahan besar kepada
Mesir sehingga menjadi pusat ilmu Islam dan gerakan Islam menentang
penjajah. Kedudukannya yang berada di tempat paling penting dalam peta
hubungan antarabangsa dan benua, menjadikannya sasaran kezaliman
antarabangsa. Bu,I Mesir menjadi rebutan kuasa besar timur dan barat,
sejak sebelum Islam, sehinggalah perang salib, zaman penjajahan, dan
menjadi medan dua perang dunia dan perang dingin.
Ketika era perang dingin ramai pemimpin gerakan Islam Ikhwan Muslimin
gugur syahid di medan perang Palestin. Ketika berlakunya penubuhan
negara haram Israel dan seterusnya rampasan kuasa tentera di Mesir,
kalangan Ikhwan Muslimin terus menerus diburu dan dihukum. Sejarah hitam
berdarah ini sedang diulangi sekali lagi.
Semua negara kuasa besar dan sekutunya tidak memberi perhatian
terhadap seluruh negara dunia seperti perhatian khusus mereka terhadap
apa yang berlaku di Mesir. Perubahan telah berlaku di negara bekas
komunis dan sosialis lainnya, tetapi kepentingan kuasa besar terhadap
geo-politik Mesir tentunya tersangat penting untuk mereka biarkan
berlaku begitu sahaja. Mereka mengkaji dengan serius apabila Mesir
menerima perubahan kepada demokrasi yang memberi hak kepada rakyat.
![]()
Mereka
memandang secara tajam dan ganas, apabila Mesir berubah setelah
dicengkam regim diktator kuku besi tentera sejak beberapa dekad. Negara
Barat yang kononnya memperjuangkan demokrasi tetap mengiktiraf diktator
zalim dan paling tajam kuku besinya di Mesir sejak beberapa dekad.
Semuanya kerana kepentingan strategic kuasa besar terhadap sumber tenaga
dan kedudukan sekutu rapat mereka negara haram Israel. Akhirnya,
perubahan berlaku di Mesir mengikut musim perubahan dunia sehingga tidak
mampu dihalang, sehingga Presidennya terpaksa meninggalkan kerusi dan
terdedah segala jenayah dan salah laku yang terselindung dilakukan
ketika berkuasa.
Apabila Demokrasi dihidupkan, pilihanraya dilaksanakan dengan adil
dan telus. Bermulalah era media menjadi saksi yang adil yang diberi
peluang kepada semua parti politik dan rakyat mendapat maklumat daripada
semua pihak. Maka rakyat memilih kerajaan dan Presidennya secara
langsung, sehingga kumpulan saki bagi penipu besar gagal menyekat
pilihan rakyat. Tiba-tiba kumpulan sekular yang didokong oleh negara
luar kalangan kuasa besar dan daripada kalangan negara Arab serantau,
sebangsa, se agama, menolak pilihan rakyat Mesir kerana kemenangan
berpihak kepada kumpulan Islam.
Rakyat Mesir pernah menjadi mangsa penipuan ketua negaranya ketika
kalah perang menghadapi negara haram Israel 1967 yang memalukan, apabila
ketua cawangan Parti Sosialis dan ketua kampung (JKKK) diperintah
supaya mengerah rakyat keluar beramai-ramai berdemonstrasi dan bersedih
tidak bersetuju Presidennya meletakkan jawatan kerana malu kalah
perang. Kerahan dilakukan sebelum Presiden menyampaikan lagi ucapannya,
satu lakonan menipu rakyat dan seluruh dunia.
Akhirnya terkini, diulangi lagi penipuan terbuka yang diketahui umum
tanpa maruah dan rasa malu. Kali ini rakyat miskin dan bodoh dikerah
lagi dengan duit upah dan kenderaan percuma, dengan sumbangan duit
negara minyak Arab yang sanggup menyumbangnya. Rakyat yang begitu
sifatnya dihimpunkan di Medan Tahrir menunjuk perasaan kerana Presiden
Morsi yang baru setahun dilantik tidak berjaya menyelesaikan masalah
yang diadakan oleh kerajaan yang lalu sejak enam puluh tahun. Bantahan
disertakan dengan kononnya jutaan tanda tangan kalangan yang
sebahagiannya buta huruf dan buta akal.
Protes itu berlaku terhadap masalah yang berakar umbi selam enam
puluh tahun warisan kerajaan diktator terdahulu. Protes yang
dirancangkan dengan rapi dan tersembunyi tangan ghaib kuasa besar dan
negara Arab sekitarya hanyalah mengenai masalah yang belum dapat
diselesaikan dalam masa setahun pemerintahan Presiden Morsi, itupun
dalam keadaan Presiden dan kerajaannya yang masih baru, tidak
dibenarkan bertindak terhadap saki baki penyangak dan penyamun lama yang
masih berakar umbi dalam jentera kerajaan dan institusinya.
Seluruh dunia menyaksikan lakonan atau drama terbuka di tengah padang
di waktu siang hari yang nyata, kononnya menyokong kehendak rakyat.
Malangnya ada kalangan ulama dan pemimpin agama yang menjadi pelakon
tambahan, ada pula negara Arab yang mengucap tahniah mengiktiraf drama
bohong ini adalah benar dan adil, sehingga lupa serban di kepala dan
lupa berada paling hampir dengan Ka’abah. Sedang negara Barat sendiri
masih hati-hati membuat kenyataan.
Maka berlakulah pesanan Rasulullah S.A.W.:
سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ
خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ
وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ
فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ
التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ
سنن ابن ماجه - (ج 12 / ص 44)
(Akan datang masanya manusia berdepan dengan tahun-tahun yang
mengelirukan (musimnya tidak menentu), berlakunya dibenarkan
(dipercayai) pembohong, dibohongi orang yang benar. Diberi amanah kepada
pengkhianat, dikhianati orang yang amanah, Orang-orang yang bebal
bercakap. Lalu ditanya apakah maksudnya ?. Sabdanya :” Orang-orang yang
terlalu jahil bercakap dalam perkara yang besar).
Berlakunya yang di-sabda Rasulullah S.A.W. menjawab soalan Malaikat
Jibril : Apakah tanda-tanda hampirnya Hari Kiamat (Yang membinasakan
seluruh alam)”. Sabdanya:
وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ
صحيح مسلم - (ج 1 / ص 87)
(….dan apabila kamu melihat adanya orang-orang yang dahulunya
berkaki ayam (tanpa kasut), bertelanjang, yang terlalu miskin, tiba-tiba
(kaya raya) berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi).
![]()
Banyaklah sejarah latar belakang negara kaya raya hasil minyaknya, bagaimana mereka dahulunya dan bagaimana sekarang?
Segala yang berlaku menandakan fajar kemenangan Islam, mereka yang
ditarbiyah oleh penjajah berbangga dengan sejarah Fir’aun dan melupai
sejarah Nabi Musa dan para Rasul akan menerima nasib Fir’aun dunia dan
akhirat.
Islam mustahil dapat dihapuskan dengan kekalahan pilihanraya dan paksaan kerajaan tentera paling besar dan zalim.
Firman Allah yang bermaksud:
137. Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh
kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap;
oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah
bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).
138. (Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia,
dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
139. Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan
mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita
(terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang
tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu
orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (آل عمران )
Malangnya ada kalangan yang berbahasa Al Quran mengucap tahniah
bersama pemimpin negara haram Israel kerana kejayaan rampasan kuasa
menggulingkan Presiden Mesir daripada kumpulan Islam yang dipilih rakyat
secara Demokrasi, ada juga yang munafiq, menunggu dan lihat untuk
berpihak kepada siapa sahaja yang menang dalam pertarungan yang berlaku.
Demikianlah Allah membahagikan manusia kepada tiga kumpulan sahaja :
(1) Beriman dan beramal soleh, (2) Kufur menentang Islam secara nyata
dan (3) Munafiq yang berpura-pura.
Presiden PAS,
11 Julai 2013