Selasa, 25 Jun 2013

Tidak dedah aib setelah bersengketa


Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, 24 Jun 2013



KERJASAMA dalam masyarakat umpama dua belah tangan, saling membersihkan apabila menyedari sebelah tangannya kotor. Begitulah keadaan di antara ahli masyarakat jika melakukan kesilapan, hendaklah saling tegur menegur tanpa menyinggung perasaannya.

Setiap kali berlaku tegur menegur janganlah berkecil hati atau masam muka, dengan syarat orang yang menegur itu mesti mengguna bahasa yang sopan dan lemah lembut. Agar yang mendengar nasihat dapat menerimanya dengan hati terbuka, kerana nasihat itu tidak menyinggung perasaan orang yang menerimanya.

“Rohama-u bainahum,” di antara satu sama yang lain dalam keadaan kasihan belas dan berkasih sayang. Itulah sikap luhur yang mesti wujud dalam masyarakat Islam. Untuk mengetahui sama ada seorang kawan itu sungguh bersimpati dan baik hati iaitu; dia tidak menikmati makanan yang lazat sendirian tanpa ditemani bersama kawannya.

Jika dia merasai lazat dan seronok makan sendirian, maka itu tandanya dia tiada sikap ingin berkawan dengan orang lain. Terpaksa berkawan dengan sesama manusia, lantaran mereka duduk sekampung atau setaman dengannya. Sedangkan maksud berkawan bukan atas alasan begitu.

Bahkan kerana agama mengajar supaya anggota masyarakat itu ada sifat “suhbah” (persahabatan) dan “ukhuwah” (persaudaraan) dalam diri masing masing.

Antara tandanya lagi ialah jika seseorang pergi ke tempat yang menggembirakan hati, tetapi tidak mempelawa bersama kawannya. Itu tandanya dia tidak suka berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Sikap dirinya terlalu keakuan dalam perkara yang sepatutnya boleh dikongsi.

Sewajarnya dia merasa terkilan apabila tidak mengajak kawannya bersama ke tempat tersebut. Di hatinya berkata; alangkah baiknya jika kawanku turut bersama, tentu dia rasai gembira bersama seperti yang dirasainya.

Selepas memperkatakan tanggungjawab tenaga dan jiwa raga terhadap kawan atau sahabat, kini diperkatakan pula tentang tanggungjawab lisan (lidah) ketika bersahabat.

Ada ketikanya kita kena cakap perkara tertentu, ada masanya lebih baik diam senyap tanpa kata-kata, apabila berdepan dengannya jika dia kawan atau sahabat kita.

Adapun perkara yang sepatutnya senyap tanpa ucapan, ialah dari menyebut keaiban dirinya. Sama ada di hadapan atau belakangnya. Jika seringkali menyebut keburukannya, perbuatan itu menjadi bukti bahawa anda tidak bersahabat dengannya.

Bahkan menjadi kewajipan kita berdiam diri, seolah-olah tidak tahu langsung wujudnya keaiban kawan kita itu. Seperti orang jahil langsung tidak mengetahuinya. Menjadi tanggungjawab seseorang itu membisu daripada menyebut keaiban kawannya, wajib bersikap jahil atas keaiban orang lain.

Hendaklah senyap tanpa kata daripada membalas balik, perkataan kawan yang boleh menjejaskan diri atau peribadi kita. Jangan berbalah dan berbantah atas isu tersebut.

Sebolehnya mengelak daripada meneruskan pertuturan tersebut, atau lencongkan daripada bercakap topik itu kepada isu yang lebih bermanfaat, atau berdiam diri. Supaya akhirnya dia sedar bahawa perbualan buruknya, tidak mendapat sambutan dan perhatian daripada kita.

Hendaklah senyap dan berdiam diri, daripada berkata yang bersifat menyelidiki (tajassus) hal ehwal peribadinya. Kerana perbuatan mencungkil rahsia adalah ditegah oleh Islam, seperti yang ditegaskan dalam ayat 12 Surah Al-Hujraat.  Perbuatan yang perlu dielakkan apabila berkawan, kerana ia boleh menimbulkan masalah dan menjejaskan hubungan persahabatan antara kedua-dua pihak.

Mungkin dia tidak suka orang lain terlalu ambil tahu tentang ehwal diri dan pekerjaannya. Apakah sebabnya yang perbuatan itu tidak manis jika terlalu bertanya khabar, ketika bertemu di saat dia membuat sesuatu perkara. Kerana boleh meninggalkan kesan berat atasnya, untuk menjelaskan sesuatu yang ditanya itu. Kadang kala mereka terpaksa tidak bercakap benar untuk menjawabnya, pertanyaan kita itu menyebabkan dia jadi pendusta.

Hendaklah tidak berkata akan rahsia-rahsia yang dia telah menceritakan kepada kita, sedangkan dia telah meletakkan kepercayaan sepenuhnya. Hingga dia sanggup mendedahkan rahsia kepada kita, sekali-kali tidak boleh mendedahkan rahsia tersebut, walaupun kepada kawan paling rapat dan dipercayai.

Tidak boleh mendedahkan walau sedikit pun rahsia seseorang, sekalipun setelah berselisih faham dan berbalah antara kedua-duanya. Orang mukmin tidak mendedahkan rahsia, sama ada ketika berkawan baik atau ketika bersengketa atau selisih faham.

Membuka rahsia seseorang walaupun setelah berbalah dengannya, jadi bukti bahawa hakikat peribadi yang berkenaan terlalu hodoh dan kotor. Sebagaimana ditegah mencaci peribadinya, begitu juga dilarang mencaci keburukan orang yang menjadi kawan temannya dan keluarganya.

Janganlah menyebut mengenai orang yang  menceritakan hal keburukan kawannya kepada kita, kerana golongan itu kelak yang akan dedah keaiban peribadi kita kepada pihak lain.

Wajar menasihati orang yang berurusan dengan golongan tersebut, sekadar mengingatkan agar berhati-hati tanpa menyebut dan menyenarai keburukannya.

Isnin, 24 Jun 2013

Ibnu Hasyim: Husam Bebas. 15 Penceramah Sambut & Solat Hajat Le...

Ibnu Hasyim: Husam Bebas. 15 Penceramah Sambut & Solat Hajat Le...:     KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang ditahan sejak awal pagi semalam di lokap Ibu p...

Ibnu Hasyim: Datuk Husam Musa, Terbilang Tapi Terbuang?? -Datu...

Ibnu Hasyim: Datuk Husam Musa, Terbilang Tapi Terbuang?? -Datu...: Wan Rahim YDP PAS Kota Baru : Orang-orang muda kena jaga Husam Musa   Ucapan bersemangat Dato Wan Rahim, YDP PAS Kota Baru sewaktu soli...

Secawan air sekeping roti


Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man , 24 Jun 2013
1. Manusia yang hidup senang tanpa melalui kesusahan
2. Manusia yang hidup sihat tanpa pernah jatuh sakit
3. Manusia yang sentiasa gembira, seronok tanpa merasai sedih, duka, kecewa dan pilu.

Ketiga-tiga situasi di atas, bukan sahaja membuatkan seseorang yang beriman lupa pada Allah, bahkan ia akan melawan Allah.

Mengapa banyak berlakunya peristiwa buang bayi, zina - semua kerana dalam keseronokan, manusia lupakan Allah. Jika dia teringat Allah, nescaya, perkara itu tidak terjadi.

Sakit, sedih, susah, miskin - tanpa semua ini, manusia akan lupakan Allah. Apabila mengharungi perkara-perkara sedemikian, kita akan merasai bahawa kita lebih dekat dengan Allah berbanding mereka yang tidak pernah diuji. Itulah nikmatnya kerana masa kesusahan, yakni doa kita lebih ikhlas memohon bantuan daripada Allah.

Asalkan kita mempunyai air, sekeping roti dan tempat berteduh, sebenarnya yang lain ialah lebihan - sekiranya anda mempunyai ketiga-tiga ini bersyukurlah kerana Allah telah memberikan secukupnya untuk anda meneruskan kehidupan di bumi ini.

Seterik-terik matahari, penyelesaiannya hanya satu tempat berteduh.

Sehaus-haus tekak waktu tengahari, penyelesaiannya hanya secawan air bersih.

Selapar-lapar perut, penyelesaiannya hanya sekeping roti panas.

Sebimbang-bimbang manusia sehingga tidak dapat tidur, pe-nyelesaiannya hanya mencari ketenangan daripada Allah.

Sesakit manusia, kesakitannya akan dilupai apabila sihat semula.

Yang diperlukan hanya sentiasa mengingati Allah, berdoa pada-Nya dan kesabaran, peringatan bahawa semuanya hanyalah sebahagian ujian-Nya.

Segala yang susah, selepas diharungi, akan terasa nikmat kelegaan, nikmat perasaan bahawa Allah sentiasa di sisinya dan pencerahan.

“Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.” (Surah Maryam : ayat

Panduan menghadapi jerebu


Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, 24 Jun 2013
Saya selaku Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia menyarankan orang ramai supaya menjaga kesihatan masing-masing semasa kita menghadapi situasi jerebu ini dan ikut nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Saya juga mohon jasa baik semua untuk sama-sama berkongsi ("share") maklumat yang dimuatkan di dalam Facebook ini dari semasa ke semasa sebagai tanda kita sebagai satu masyarakat mengambil berat terhadap satu sama lain.

GOLONGAN ORANG YANG BERISIKO TINGGI SEMASA JEREBU

Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan buruk kepada semua orang terutama yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, wanita mengandung , pesakit jantung dan respiratori juga mereka yang sensitive kepada habuk, orang yg merokok termasuk mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah

NASIHAT KESIHATAN SECARA UMUM UNTUK MENCEGAH PENYAKIT AKIBAT JEREBU

i. Orang ramai dinasihatkan supaya, sejauh mana yang boleh, berada di dalam bangunan.

ii. Kurangkan aktiviti lasak di luar rumah.

iii. Orang ramai dinasihatkan supaya kerap membasuh muka dan bahagian-bahagian yang terdedah kepada jerebu.

iv. Orang ramai dinasihatkan supaya minum banyak air.

v. Mereka yang menggunakan kenderaan yang berhawa
dingin hendaklah menghidupkan alat penghawa dingin (mod: kitaran dalam) dan menutup semua tingkap

vi. Penutup hidung dan mulut hendaklah digunakan oleh mereka yang melakukan aktiviti di luar terutamanya mereka yang berisiko tinggi.

vii. Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jikalau keadaan penyakit bertambah teruk.

viii. Perokok dinasihatkan supaya berhenti merokok.

ix. Sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada media massa dan mengikut nasihat daripada pihak berkuasa.


* Penulis adalah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Ramadan menghampiri, jangan lupa kurma


selamatkanpahang.blogspot, 24 Jun 2013
Tujuh Khasiat Kurma yang Mungkin Anda Tidak Tahu

Kurma (Phonex dactylifera) atau Tamar merupakan sejenis tumbuhan yang berbuah dan boleh dimakan sama ada ketika sudah masak atau masih mentah. Kurma dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan dan sebahagian daripadanya sudah terbukti secara saintifik. Malah dalam kitab suci al-Qur’an sahaja terdapat 21 ayat yang menyebut tentang kurma. Baginda Rasulullah SAW juga sendiri telah beberapa kali menyebut perihal kurma dan khasiatnya, dan amat sinonim dengan kisah sirah baginda.

“Kemudian, Kami tumbuhkan untuk kamu dengan air itu, kebun-kebun tamar (kurma) dan anggur. Kamu beroleh dalam kebun-kebun itu (berbagai jenis lagi) buah-buahan yang banyak dan dari kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.” (Surah al-Mukminah : ayat 19)


“Sesiapa yang memakan tuju biji tamar ‘Ajwah’, dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu“
. Sabda Rasulullah SAW.

Manakala dari sudut sains pula mengatakan, kandungan protein dalam kurma adalah lebih kurang 2.5 peratus, serat 8.0 peratus manakala kandungan gulanya pula adalah sangat tinggi, yakni sehingga 63 peratus, majoritinya adalah glukosa. Lemak yang terkandung di dalamnya pula adalah sangat sedikit iaitu sekitar 0.4 peratus sahaja. Kurma juga terkenal dalam dunia perubatan tradisional kerana kaya denga zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potassium, vitamin A, C dan niasin.

Apakah antara khasiat utama kurma?

1. Paling pantas diproses dan diserap, sekaligus memberikan tenaga segera. Memandangkan kandungan gula ringkasnya (monosaccharide) yang sangat tinggi malah lebih tinggi daripada pisang, kurma berupaya memberikan “tenaga segera” yang akan diserap oleh tubuh serta-merta. Berbeza dengan kebanyakan buah-buahan lain yang mengadungi sukrosa (disaccharide). Disaccharide seperti sukrosa harus dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi monosaccharide lalu diserap tubuh sebagai tenaga.

“Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada kurma, maka Baginda akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air.” Hadis riwayat Ahmad.

Makan kurma ketika berbuka puasa amat bagus kerana pada waktu ini, kita perlukan tenaga segera, dan bukannya tenaga yang “lambat untuk dicerna” seperti yang terkandung dalam kebanyakan makanan berlemak dan bergoreng yang lain.

2. Kaya dengan serat dan potasium. Kurma dimakan tanpa perlu membuang kulitnya dan pada kulitnya itulah terkandung serat. Kurma adalah antara buah-buahan yang amat kaya dengan serat, serat larut mahupun tak larut. Kita sering menganggap buah-buahan seperti pisang itu mengandungi serat yang tinggi, tetapi tahukah anda, dalam 100g Kurma terdapat 8g serat sedangkan dalam 100g Pisang hanya terdapat 2.6g serat sahaja? Tinggi serat amat baik untuk sistem pelawasan.

Selain itu, kurma kaya dengan Potasium dan beberapa zat galian yang lain. Potasium adalah elektrolit yang akan menyeimbangkan kembali kandungan air dalam tubuh badan apabila kita kehilangannya, terutama sepanjang tempoh berpuasa. Tidak perlu membeli 100 Plus sekiranya khuatir akan kekurangan elektrolit ketika berbuka, memadai dengan beberapa biji kurma dan air suam. Potasium juga membantu dalam pembinaan otot termasuk otot jantung dan mampu memelihara sistem saraf.

3. Penguat memori. Ramai yang berfikiran hanya kismis yang baik untuk menguatkan daya ingatan, namun hakikatnya kurma juga tidak kurang hebatnya. Ia amat sesuai untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

4. Baik untuk wanita mengandung/bersalin. Masih ingat kisah Maryam yang hanya memakan buah kurma semasa melahirkan Nabi Isa AS? Menerusi malaikat Jibrail, Allah telah mewahyukan kepada ibu Isa iaitu Maryam binti Imran supaya menggegar pohon kurma sehingga gugur lantas memakannya tatkala lemah selepas bersalin.

“Dan goncangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak.” (Surah Maryam : ayat 25)

Dan menurut sebuah laman web, buah kurma amat baik untuk wanita mengandung dan akan memudahkan wanita untuk melahirkan anak serta akan mengurangkan pengaliran darah semasa proses kelahiran. Malah anak yang dilahirkan kelak dipercayai akan mempunyai sifat-sifat yang baik, penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.

5. Penawar Racun. Diriwayat oleh Aishah RA, “Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan.”

6. Merawat penyakit. Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus seperti serbuk teh. Ia direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

7. Mengubati gangguan usus dan sembelit. Ketidakserasian dengan gluten menghalang penyerapan zat-zat makanan secara sempurna. Kurma mencegah ini daripada berlaku.

http://selamatkanpahang.blogspot.com

Puasa elak penyakit tingkatkan taqwa


Ahmad Baei Jaafar, 24 Jun 2013
Selalu kita dengar orang berkata, jangan pentingkan diri sendiri, malah ustaz-ustaz juga sering mengingatkan anak muridnya supaya selalu mementingkan orang lain. “Jika kita selalu memberi nanti kita akan mendapat pulangannya,” kata pakar motivasi.

Persoalannya berapa ramai yang selalu memberi dan terus memberi, tetapi tidak mendapat pulangan yang sewajarnya? Tidak dinafikan, terdapat beberapa orang yang sering menyumbang hingga akhirnya dia pula yang jatuh miskin. Di manakah silapnya teori di atas.

Jawapan yang sering diterima ialah, boleh jadi dia tidak ikhlas dalam memberi, apatah lagi kalau dalam memberi itu dia mengharapkan pulangan pula. Ya keikhlasan hati kita amat besar nilaiannya di sisi Allah. Oleh sebab itu betulkan hubungan dengan Allah zahir dan batin.

Isu di atas ada kaitan dengan formula berikut, “Dalam hubungan kita dengan Allah kita perlu pentingkan diri sendiri, tetapi dalam hubangan dengan manusia kita perlu pentingkan orang lain.” Pelikkan bunyinya, tetapi itulah kaedah yang sewajarnya dipraktikkan oleh umat Islam.

Oleh sebab kita sudah hampir masuk ke bulan Ramadan, formula ini cuba kita kaitkan dengan Ramadan dan amalan puasa. Sebaik sahaja kita melangkah masuk ke bulan Ramadan kita secara semula jadi akan berhadapan dengan Allah dan Manusia, malah akan lebih kerap mengadakan hubungan dengan dua pihak ini.

Hubungan dengan Allah

Puasa adalah ibadah yang menghubungkan manusia dengan Allah, sama juga dengan ibadah lain termasuk ibadah zakat.  Bukan itu sahaja, malah semua ibadah sunat mesti wujud hubungan antara manusia dengan Allah. Sebaliknya ibadah itu akan menjadi sia-sia jika dalam melakukan sesuatu ibadah hatinya terpaut kepada manusia.

Berdasarkan formula itu, apabila seseorang itu berpuasa, mereka perlu pentingkan diri sendiri. Maknanya mereka perlu pastikan bahawa sahur dilakukan mengikut peraturan yang sebaiknya. Semasa berpuasa pastikan mereka tidak melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa. Pada masa yang sama jangan pedulikan orang lain sama dia puasa ke, dia bersahur ke, dia jaga mata ke, tidak perlu diberi komen. Biar urusan mereka dengan Allah.

Pada waktu malam pula, kita bersiap-siap untuk melakukan solat sunat tarawih. Jadi, pastikan kita hadir awal dan solat Isyak berjemaah dan sunatnya dengan sempurna. Kita perlu pastikan solat itu terbaik yang hendak kita persembahkan kepada Allah. Malah perlu kita pastikan yang solat sunat tarawih yang dilakukan terbaik dan paling sempurna. Sebaliknya jika terasa kurang disesali dan diusahakan peningkatannya.

Bayangkan jika semua umat Islam boleh jaga kepentingan diri sendiri dalam ibadah di atas, tentu mereka tiada masa untuk memikirkan kepentingan orang lain. Mereka tiada masa lagi untuk memikirkan ibadah orang lain sama ada betul atau tidak, sempurna atau tidak, sah atau tidak. Percayalah kalau kita tidak fikirkan kepentingan orang lain, kita telah selamat daripada dosa bertekak, dosa mengumpat dan dosa melakukan kerja yang sia-sia.

Kalau begitu kedudukannya, setiap kali kita berpuasa hubungan kita dengan Allah bertambah rapat dan tidak syak lagi dengan perhatian serius dalam hubungan ini akan menjadikan ibadah puasa kita itu lebih berkualiti. Ketika itu kita bukan sahaja sihat fizikal, malah sihat mantel dan segala-galanya. Hal ini kerana kita sudah tidak stres dalam memikirkan hal orang lain. Pada masa yang sama kita akan dianugerahkan sifat taqwa kerana takut untuk melakukan dosa terhadap manusia.
Hubungan dengan manusia

Dalam bulan Ramadan juga kita perlu melakukan hubungan dengan manusia seperti berniaga, bertolong bantu, berderma, memberi hadiah, nasihat ke arah kebaikan dan mengajar. Dalam menjayakan urusan ini, kita diminta supaya selalu menjaga kepentingan orang lain. Elak daripada mengambil kesempatan bagi faedah diri sendiri.

Seorang peniaga sebagai contoh, sewaktu menjual barangannya kepada pembeli perlu pastikan barangan itu berkualiti dan tidak rosak supaya pembeli mendapat manfaatnya. Tawaran harga yang ditetapkan perlu difikirkan nilainya berpatutan dan mampu dibayar oleh pembeli. Dan komunikasi antara penjual dan pembeli juga perlu dilunakkan agar tidak mengecilkan hati pelanggan.

Selain itu jika kita membuat juadah makanan untuk berbuka puasa pastkan baik, sedap dan banyak. Maka menjelang waktu berbuka puasa, bawakan sebahagian juadah itu ke rumah jiran. Semoga dengan itu mereka dapat merasai hasil kerja tangan kita. Biasanya jiran itu akan pulangkan kuih yang lain jika dia juga ada membuat kuih. Amalan seperti ini termasuk dalam menjaga kepentingan orang lain.

Begitu juga kalau kita boleh mengajar atau memberi nasihat kepada kawan-kawan dalam soal makruf tentu perbuatan itu termasuk dalam menjaga kepentingan orang lain. Dan amalan yang paling bermanfaat ialah membantu orang susah dengan berderma atau bersedekah dalam bulan Ramadan. Amalan ini semua akan dinilai oleh Allah sebagai kebajikan.

Percayalah dengan amalan menjaga kepentingan orang lain ini, taqwa kita akan meningkat dan bertambah baik. Paling baik lagi kalau amalan itu diteruskan walaupun selepas bulan Ramadan. Jadi, mana-mana umat Islam yang dapat menjaga kedua-dua kepentingan itu, sahlah mereka akan beroleh sehat dan taqwa.