|
Dr Dzulkefly Ahmad,
|
18 Jun 2013
|
1. Saman jutawan Tan Sri Halim Saad terhadap tiga pihak defenden;
kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional Berhad dan Tan Sri Nor Mohamad
Yaakop bakal mendedahkan pelbagai hakikat ‘kebejatan tadbir-urus
korporat’ yang kerap didakwa pihak pembangkang dari era pentadbiran Tun
Dr Mahathir dan dasar ekonominya sebagai Mahathirnomics!
2.
Andainya kes ini tidak dipaksa mengikuti ‘penyelesaian di luar mahkamah’
seperti seorang lagi korporat Melayu Tan Sri Tajuddin Ramli, rakyat
akan berpeluang mendapat ‘pencerahan minda’ tentang tata-kelola
‘Corporate Malaysia’ dan fenomena “Political Business” atau “Perniagaan
Politik”– sebuah ‘dunia perniagaan korporat’ yang terhindar daripada
pengetahuan orang Melayu teramai khasnya dan rakyat amnya.
3.
Hanya segelintir ‘Melayu-Umnoputera’ yang ‘bertuah’ (privileged) – satu
‘class’ yang mendapat ‘patronage’ (penaungan) daripada perlaksanaan
polisi ini dalam ‘gelombang penswastaan mega’ Mahathirnomics.
Kepercayaan Tun Mahathir terhadap penjanaan kekayaan (Wealth Creation)
melalui metodologi ini yakni Pasaran Saham (Equity Market) dan
‘Pemilikan Saham Korporat’ (Corporate Equity) bagi mencipta ‘satu kelas
kapitalis Melayu yang super-kaya’ adalah sangat jelas. Hampir-hampir
Mahathirnomics adalah sinonim dengan ‘kelas Kapitalis Melayu super-rich’
itu.
4. Mengapa Halim Saad memilih tarikh 27 April 2013, tiga
hari sebelum pembubaran Dewan Rakyat tidak sukar untuk diselami. Namun,
hanya Halim Saad sahaja yang tahu jawapan setepatnya kepada ‘soalan-RM1
bilion’ ini. Penulis bersedia memberi ‘bacaan’nya tetapi itu bukanlah
matlamat penulisan ini.
5. Apa tujuan penulisan ini? Tujuannya
ialah ‘Pencerahan minda’ rakyat supaya tabiat buruk ini tidak diulangi,
sama ada ‘pemangsaan’ sesama kelompok mereka sendiri atau lebih penting
lagi bagaimana kekayaan negara berakhir dalam pemilikan parti
pemerintah dalam amalan ‘Kapitalisme Kroni’ atau ‘Crony Capitalism’.
‘Nominee’ atau ‘Penama’ yang mendapat ‘naungan’ atau ‘patronage’
penguasa politik adalah ‘pemegang amanah’ parti-parti tersebut. Barisan
Nasional sudah terlalu selesa dengan cara begini hingga lahirlah
contoh-contoh seperti Fleet Holding milik Umno, Multi-Purpose Holding
milik MCA dan Maika Holding milik MIC.
6. Kapitalisme Kroni or
‘Crony Capitalism’ adalah satu fenomena yang tidak asing dalam bidang
ilmu ‘Political Economy’ atau lebih khusus lagi dalam “Political
Business”. Di Malaysia, tokoh-tokoh akademik yang telah menumpu bidang
ini antara lainya ialah Profesor Jomo Sundram dan Profesor Terrence
Gomez. Mereka menghasil puluhan buku dan terbitan akademik yang sangat
kritis terhadap ‘amalan sumbang’ (incestuous relationship) antara
penguasa politik dan segelintir elit bisnes khasnya sejak era Tun
Mahathir sehingga mempopularkan istilah ‘Mahathirnomics’.
7.
Halim Saad adalah contoh ‘nominee’ Umno seperti ditegaskan Tun Mahathir
sendiri dalam penjelasannya. Walaubagimana pun atas ukuran dan tuntutan
keadilan, wajarkah beliau diperlakukan seperti yang bakal kita
perincikan ini, tidak juga sesuatu yang mudah untuk kita hukumi. Aspek
ini memerlukan wacana dan penelitian yang lebih mendalam dan sekarang
ini telah menjadi kes tumpuan di mahkamah. Meskipun Halim berhutang
sejumlah RM26 bilion pada kemuncak Krisis Kewangan Asia 1997 itu dan
RM13 bilion selepas bayaran sebahagian dibuat, aset Renong-UEM masih
punya nilai pasaran yang tinggi. Plus Expressway sahaja di bawah UEM
berjaya menjana terbitan RM30 bilion dalam bentuk sukuk dan Prolink Sdn
Bhd contohnya yang dimiliki Renong, mempunyai ‘land bank’ 25,000 ekar
tanah di Johor yang kini adalah Iskandar Malaysia. Anggaran nilai
pasaran melebihi RM21 bilion. Maka tidak mudah juga untuk kita
persalahkan hanya ‘kroni-kroni’ Umno ini sahaja tentunya.
8.
Sejauh mana Halim Saad seorang akauntan asalnya, turut menambah nilai
aset Renong-UEM adalah satu pertikaian yang tidak akan berkesudahan.
Penulis ‘tawakuf’ dalam membuat hukuman dari segi ini. Betul lah dia
‘kroni’ tetapi bayangkan kalau dia tidak ‘kroni’ dan tidak pula dia
perlu bersaing dalam kancah yang sarat amalan ‘kronisme’. Itulah jenayah
Mahathirnomics – yang tidak pernah memberikan ‘padang yang sama-rata’
untuk melahirkan ‘local champions’ kepada semua. Yang ‘dinaunginya’ pun
dia ‘pancung’ juga apabila bertembung kepentingan.
9. Tegasnya
kesimpulan tema : Perbalahan atau ‘perang korporat’ di antara penguasa
politik-pemimpin parti yang ‘memangsakan’ kroninya sendiri. Renong dan
UEM sebagai satu “Kumpulan”, pada kemuncak kejayaan mereka, memilikki 9
lagi syarikat awam (PLCs). Struktur ekuiti juga tidak mudah
dirungkaikan. Sementara UEM memilikki 32.5% ekuiti dalam Renong Berhad,
UEM pula dimilikki 37.1% oleh Renong Berhad (yakni pegangan saham
bersilang atau cross-holding). Tan Sri Halim Saad sendiri memilikki
16.5% ekuiti Renong sekali gus menjadi pemilik utama ke atas ‘Kumpulan’
konglomerat ini.
10. Sebagai kesimpulan kes, Halim Saad telah
mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan bagi menuntut
penyelesaian pembayaran sebanyak RM1.3 bilion yang didakwanya adalah
baki dari tawaran kepadanya sebagai ‘galakan’ (inducement) supaya beliau
melepaskan seluruh pegangannya dalam Renong Berhad dan United Engineers
Motor (UEM) dan menjual ‘Kumpulannya’ ini kepada Khazanah pada tahun
2001.
11. Halim Saad mendakwa pengambilalihan Khazanah ke atas
Renong dan UEM itu berlaku dengan kerelaan beliau kerana beliau
dijanjikan akan mendapat beberapa bayaran antara lainnya:
i. RM1.3
bilion yakni RM325 juta akan dibayar secara tunai dan RM325 juta dalam
bentuk ‘cash equivalent’ dan bakinya RM650 juta dalam bentuk tanah
‘Prolink Development’ yang kini adalah Iskandar Malaysia
ii. Khazanah akan membeli saham Halim sebanyak 16% blok dalam Renong dengan harga RM1.25 sesaham berjumlah RM485 juta.
iii. Sebuah syarikat alam sekitar bernama Kualiti Alam Sdn Bhd akan dipindahmilikkan kepada Halim Saad bernilai RM1.805 juta
12.
Kini setelah 12 tahun menantikan bayaran bakinya, Halim mengesahkan
beliau telah tertipu untuk melakukan sedemikian atau ‘fraudulently
induced’ dengan pihak defenden tidak punya niat untuk membayar
keseluruhan tawaran tersebut. Sehingga ke saat penulisan ini, Halim
menyatakan mendapat bayaran sebanyak RM165 juta sahaja.
13.
Menyingkap rentetan kontroversi tentang Renong-UEM ini membawa kita
supaya memahami peristiwa latar yang menyebabkan tindakan Tun Mahathir
ke atas ‘anak buah’ Tun Daim ini. Tun Daim ketika itu mempunyai masalah
dengan bossnya, Tun M.
14. Pada 17 November 1997, UEM, sebagai
sebuah syarikat awam (PLC), melaporkan kepada KLSE bahawa mereka telah
membeli 32.6% saham Renong Berhad bersamaan 722.9 juta saham, pada harga
RM2.3 bilion pada 13 November. Ini bermaksud bahawa UEM telah membayar
RM3.24 bagi setiap saham Renong Berhad.
15. Pembelian itu yang
ditanggapi pasaran dan khasnya oleh pemegang saham minoriti sebagai satu
langkah menyelamatkan pemilik utama Renong atau satu ‘bailout’. Ia
telah mendapat reaksi keras daripada pelabur yang membantah tindakan
tersebut serentak telah mencetuskan peristiwa “Black Week”dalam sejarah
pasaran Bursa Malaysia. Krisis Kewangan sudah mula menggawatkan pasaran
saham dan menjejaskan ekonomi negara-negara Asia bermula dari Thailand.
16.
Akibatnya berlaku satu penjualan besar-besaran pihak pelabur secara
‘panik’, yang menyaksikan indeks composit di KLSE menjunam 20% sekaligus
melenyapkan ‘market capitalisation’ bernilai RM126.78 bilion! Peristiwa
ini diberi jolokan ‘Black Week’ atau ‘Minggu Hitam’ dalam sejarah
pasaran saham di negara ini.
17. Pelbagai persoalan penting masih
belum mendapat jawapan secara tuntas dan muktamad. Siapa penjual saham
Renong itu atau dari mana UEM membeli 32.6% saham Renong itu? Mengapa
UEM tidak mendedahkannya perkara itu lebih awal sekali gus memangsakan
pemegang saham minoriti? Apakah pembelian saham Renong diluluskan oleh
lembaga pengarah UEM?
18. Pada Januari 1998, Suruhanjaya Sekuriti
(SC) berjaya mendapatkan Halim Saad untuk membeli kembali 32.6% blok
saham Renong dari UEM pada harga RM3.1 bilion, melalui satu instrument
perniagaan “Put Option” yang memberikan beliau keanjalan untuk menjual
saham tersebut dalam 12 bulan bermula Mac 2000. Perkara tersebut tidak
mendapat tindakan lanjutan ketika Menteri Kewangan ketika itu (Dato Seri
Anwar Ibrahim) dipecat dan berkebetulan Halim Saad juga gagal membayar 2
lagi ansuran sebanyak RM100 juta yang dijanjikan sebagai sebahagian
perjanjian beli balik saham Renong tersebut secara “Put Option”.
19.
Pada 17 Julai 2001, bertindak di atas arahan Tun Mahathir, Nor Mohamad
Yaakop telah berjaya mendapat persetujuan Halim Saad untuk kerajaan,
melalui Khazanah Nasional Berhad, mengambil alih UEM dan seterusnya
Renong Berhad berikutan kegagalan Halim Saad melunaskan hutang hutang
pembelian semula dari UEM. Halim Saad meletakkan semua jawatan daripada
menjadi Lembaga Pengarah UEM dan kemudiannya daripada Renong Berhad pada
Oktober 3, 2001 ketika Khazanah mengambil kedua-duanya ( kerana
bersetuju dengan tawaran tawaran di atas ).
20. Di antara
September 2001 hingga Ogos 2002, Halim telah mengutus beberapa pucuk
surat peringatan kepada Tun Mahathir dan Nor Mohamad untuk mendapatkan
bayaran daripada kerajaan. Halim mendakwa hanya dibayar dua kali sahaja,
pertama RM100 juta sebagai ganti kepada RM100 juta yang beliau bayar
ketika menggunakan instrument “Put Option” pada Februari 2001 dan RM65
juta sebagai pampasan bagi bayaran ‘foreclosure’ atau ‘penyitaan’
aset-aset kepada pihak kreditor.
21. Di antara 2003 hingga 2010,
Halim mendakwa bahawa beliau telah beberapa kali berjumpa Nor Mohamad
untuk mendapat bayaran perjanjian 17 Oktober 2001. Menjadi lebih malang
lagi buat Halim apabila Tun Dr Mahthir pada 23 April 2010, melalui Nor
Mohammad akhirnya menegaskan bahawa kesemua aset yang diambil alih oleh
Khazanah adalah milik Umno dan tidak ada sebab mengapa kerajaan mesti
membayar apa-apa lagi dari segi bayaran ganti rugi kepada beliau.
22.
Perang antara penguasa dan kroni Umno ini, jelasnya akan memaparkan
kepada rakyat bahkan seluruh dunia apa yang disebut-sebut oleh pihak
pembangkang sebagai ‘kebejatan tata-kelola kewangan dan kepincangan
pembangunan negara’. Tidak sukar untuk membayangkan bahawa kalau
‘dakwa-dakwi’ antara dua pihak ini dilanjutkan, berapa banyak lagikah
transaksi yang seumpama ini yang menjadi sinonim dengan ‘Umno dan mesin
mencetak jutawan-bilionawan’ dalam ‘era penswastaan raksaksa’ akan
diketemui? MAS, Perwaja Steel, MISC, LRT dan lain-lain, yang berjaya
dibongkar telah menjadi subjek penyelidikan dan terbitan Jomo dan
Terrence buat beberapa dekad lamanya.
23. Maka tidak hairan kalau
seorang ahli ekonomi daripada Morgan Stanley pernah menyebutkan setelah
Tun Mahathir meletakkan jawatan PM, (The Edge, April, 2004), beliau
bertanggungjawab ‘meleburkan’ RM 100 bilion dana awam. Hal sama
disebutkan oleh seorang lagi penulis yang lebih masyhur yakni Barry Wain
yang yakin seratus peratus (100%) bahawa Tun bertanggungjawab atas
sebab pembaziran, penyelewengan dan rasuah ‘menghanguskan’ RM100 bilion
wang rakyat. Pengharaman bukunya ‘Malaysian Maverick’ (2010) di
Malaysia, adalah testimoni paling jelas akan ketakutan penguasa politik
di negara ini akan kebenarannya.
24. Wain antara lain mendakwa
dalam bukunya, bahawa Tun Mahathir mempunyai memori singkat. Kerugian
dalam Perwaja Steel adalah antara RM15-20 bilion tetapi Tun hanya
mengakui sebanyak RM1-2 bilion sahaja. Wain membuktikan bahawa Menteri
Kewangannya sendiri mengemukakan satu laporan audit oleh Pricewaterhouse
Cooper di Parlimen pada pertengahan 1990-an. Kerugian pada masa itu
sahaja, beliau nyatakan sudah berjumlah RM9.5 bilion dan makin bertambah
selepas itu.
25. Tun Mahathir juga keliru dan kekadang tidak
tahu duit Umno atau dana rakyat yang digunakan sebagai contoh dalam hal
bangunan ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Tun
menafikan dakwaan PWTC dibina dengan dana awam. Sebaliknya Barry Wain
tegaskan bahawa beliau ada satu salinan akaun Umno yang diaudit (yang
menunjukkan sedemikian), termasuk dana politik rahsia dan ia menunjukkan
dengan jelas, mereka ada berpuluh juta di dalam akaun ketika Tun Daim
Zainuddin mengambil alih bendahari Umno.
26. Sebagai iktibar
awal, bukankah kekayaan yang dijana sepatutnya adalah ‘kekayaan dari
sumber negara untuk rakyat’ yang kemudiannya wajar berakhir dengan
‘pengagihan semula kekayaan’ (wealth redistribution’) bagi
mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara? Tampaknya yang berlaku
adalah sebaliknya. Ia persis seperti yang diherdik dan dikecam Allah SWT
dalam al-Quran mafhumnya :“Supaya kekayaan itu tidak hanya berlegar
dalam kalangan orang-orang kaya dan super-kaya (aghniya’) di antara kamu
sahaja” dan larangan serta cemohan Allah supaya “jangan kamu memakan
dari harta-rezeki antara kamu secara batil”.
27. Sangat malang
sekiranya PM Najib terus menjejaki laluan atau ‘lebuh raya’ (trajektori)
yang sama daripada Mahathirnomics kepada Najibonomics… menjalankan
perbuatan dan polisi yang sama dalam penswastaan pembangunan
infrastruktur mega-mewah serta sektor pembinaan tidak berkesudahan -
(Menara Warisan, TRX, MRT, HSR dsbnya) menjalankan kerja-kerja yang
sama. Pastinya natijah akan seperti era Mahathir. Bezanya cumalah
mempunyai set ‘nominee’ (kroni) baru tetapi tetap dengan dasar ‘Kroni
Kapitalisme’ dalam amalan “Political Business”.
28. Impian dan
cita-cita mengeluarkan negara daripada kebejatan tadbir-urus kewangan
dan kepincangan pembangunan bagi ‘mensejahterakan rakyat dan
memakmurkan‘ tidak akan terlaksana dalam regim pemerintahan ini. Frasa
‘mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara’ adalah asing bagi
mereka.
Sampai bila mahu begini?
Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan PAS Pusat