Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, | 21 Jun 2013 |
Dalam kenyataannya itu, beliau mencadangkan agar PAS bergabung dengan Umno untuk memperjuangkan Islam. Hal ini kerana parti-parti yang ada di sekeliling PAS semuanya mengkhianati Islam. Hanya Umno sahaja yang memperjuangkan Islam.
Pada saya, kenyataan ini sangatlah tidak berasas. Jika umpama dahan pokok untuk berpaut, profesor ini nyata sekali sedang bergayut di dahan yang rapuh. Barangkali kerana bimbang jatuh ke tanah digigit semut, terus-menerus tangan memeluk dahan yang menunggu masa untuk tersemban. Lambat laun sebenarnya dahan ini akan jatuh jua.
Amatlah lucu sekali apabila beliau menyatakan bahawa hanya Umno yang memperjuangkan Islam. Barangkali langkah Umno membenarkan premis judi di Kelantan sebelum tahun 1990 dahulu salah satu daripada perjuangan Islam menurut kaca mata 'orang cerdik pandai' ini? Di Melaka, pernah seorang Ketua Menteri yang merupakan pimpinan tertinggi Umno mencadangkan agar pusat hiburan dilanjutkan masa pembukaannya sehingga ke awal pagi, inipun juga barangkali perjuangan untuk menegakkan Islam. Itu belum dicampur kenyataan-kenyataan yang menghina Islam yang dikeluarkan oleh pemimpin Umno sebelum ini. Semuanya termaktub di dalam lipatan sejarah dan generasi kita tidak buta untuk membaca semula catitan ini.
Saya ingin bertanya, jika sekarang mahu mengajak PAS bersatu dengan Umno, apa lebihnya Umno berbanding dengan PAS dalam hal memperjuangkan Islam? Sewaktu pemimpin parti komponen Barisan Nasional menghina seorang wakil rakyat Umno di Johor yang mencadangkan hudud dengan label 'hilang akal', di mana pemimpin Umno menyembunyikan diri? Jika lebihnya Umno ialah kerana bilangan kerusi, saya suka mencadangkan agar ADUN Umno di Kelantan menyertai PAS kerana bilangan kerusi yang dimiliki oleh PAS di Kelantan lebih banyak jauh mengatasi Umno!
Jika Umno memperjuangkan Melayu, kenapa Kelantan dinafikan hak ke atas royalti minyak dalam keadaan majoriti rakyat Kelantan berbangsa Melayu dan beragama Islam? Kenapa Umno memainkan peranan untuk menyekat pembangunan ke Kelantan dan ini diakui sendiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan satu ketika dahulu? Apakah perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkan sikap seperti ini selain daripada pengkhianat?
Pada saya, Islam yang dibawa oleh Umno ialah Islam celup. Selagi dasar yang menjadi tunjang perjuangan Umno ialah kebangsaan, tiada apa-apa nilai terhadap gerak laku Umno sekalipun nampak seolah-olah ia pro-Islam. Pada zaman Rasulullah SAW, masjid Dhirar diperintahkan untuk diruntuhkan sekalipun ia sebuah masjid kerana ia didirikan bukan di atas semangat Islam yang sebenar.
Oleh sebab itu, saya tetap berpendirian, PAS tidak akan bersama-sama Umno selagi Umno tidak menukar dasar. Berhentilah menjadi pungguk yang rindukan bulan. Saban malam merenung bulan sambil memanggil-manggil, mahu terbang sayap kecil, mahu biarkan sahaja, hati pula tidak sanggup melihat bulan dipagar bintang. Akhirnya si pungguk hanya mampu berbuat bising!
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
11 Syaaban 1434H bersamaan 20 Jun 2013M
Tiada ulasan:
Catat Ulasan