Selasa, 4 Jun 2013

Penatlah ! berehat kejap ambil angin oh oh.................

 

Lepas PRU baru Dr M dedah wajah sebenar Umno


Harakahdaily, 04 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Setelah menang pilihanraya umum ke 13 walaupun tewas undi popular buat pertama kalinya dalam sejarah, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan wajah Umno yang sebenar kepada umum.


(Kata Mahathir, orang Melayu sudah meluat dengan Umno... tetapi hanya sebut selepas pilihan raya selesai)

Bagi Mahathir, ramai orang Melayu sudah merasa meluat dengan Umno dan mengganggapnya tidak relevan dan perlu ditolak kerana parti itu tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair.

“Umno ternampak dan memang pun benar, berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya sahaja. Umno berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati, untuk poket sendiri,” tulis Mahathir di blognya.

Mahathir berkata pemimpin Umno kini melariskan budaya memilih orang kurang berkobolehan untuk menyertai parti supaya kedudukan mereka tidak diancam sampai bila-bila.

“Untuk ini mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka dicabar, kurangkan kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. Umno adalah hak ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak orang Melayu. Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu lain, terutama yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai Umno,” selar beliau.

Sekarang, Mahathir berkata Umno sudah menjadi sebuah parti hanya untuk pemimpin dan ahli semasa, dari ketua cawangan kepada ketua bahagian.

“Umno tidak perlu tambahan ahli, tidak perlu penyertaan sesiapa lagi kerana ahli yang sedia ada perlu memelihara habuan mereka. Jika terlalu banyak ahli, habuan perlu dikongsi. Dan habuan yang dikongsi tentulah tidak sebanyak sebelum berkongsi,” sindirnya lagi.

Akibatnya, kata Mahathir, mereka terutama yang berkebolehan, yang berbakat tidak dibenar masuk Umno lagi.

“Yang boleh menyertai hanyalah yang kurang berkebolehan dibanding dengan yang sudah ada. Oleh kerana penyertaan dalam Umno mestilah melalui cawangan, yang boleh masuk Umno ialah yang kurang berkebolehan dari ketua cawangan,” katanya.

Mahathir juga menyindir bahawa pemimpin-pemimpin Umno ini sering terlupa ajal boleh sampai bila-bila masa.

“Ketua cawangan manusia biasa yang boleh diserang penyakit, bahkan boleh mati pun. Satu hari ketua cawangan terpaksa lepaskan jawatannya. Penggantinya tentulah orang yang memiliki kebolehan yang kurang darinya. Dengan itu kebolehan ketua cawangan akan merosot sepanjang masa, tiap kali pengganti mengambil alih. Dan ini akan terjadi dalam keseluruhan parti,” katanya.

Akhirnya, Mahathir berkata Umno hanya tinggal golongan yang tidak berbakat sehingga semakin kurang ahli yang berbakat dan layak untuk menjadi calon dalam PRU.

"Calon payung terjun yang berbakat akan dikalahkan. Dengan itu pemimpin Kerajaan juga akan terdiri dari yang tidak berkebolehan,” sindirnya lagi.

“Di mana pergi mereka yang berbakat ini?. Mereka pergi ke mana mereka di terima, tentunya parti lawan,” tambahnya lagi.

Pengajaran dari medan Tabuk


Mohammad Faizal Che Yusof, 04 Jun 2013
BANYAK peristiwa sirah yang boleh kita pelajari dari bulan Rajab. Selain himpunan pengajaran dalam peristiwa Israk Mikraj, peperangan Tabuk adalah antara medan yang turut berlaku dalam bulan Rajab.

Peperangan Tabuk adalah medan terakhir yang disertai oleh baginda Rasul Allah S.A.W sejurus sebelum kewafatan baginda. Selain medan Tabuk itu sendiri, peristiwa-peristiwa sebelum dan sesudah peperangan tersebut baik untuk diambil iktibar sebagai pedoman.

Perjanjian Hudaibiah telah member ruang yang cukup luas kepada baginda Rasul Allah S.A.W dan para sahabat meyusun gerakan dakwah di seluruh tanah Arab. Satu demi satu utusan telah dihantar keluar dari Madinah sebagai duta kerajaan Islam menyampaikan risalah.

Dalam usaha tersebutlah, seorang utusan Rasulullah S.A.W yang bernama Harith Ibn Umair telah dibunuh semasa membawa risalah Islam di kawasan jajahan Rom. Pembunuhan ini telah menjadi antara faktor kepada gerakan tentera Mu’ta yang dipimpin oleh tiga panglima Islam iaitu Zahid Bin Harithah, Ja’far Abi Talib dan Abdullah Bin Rawahah.

Dalam masa melepaskan tentera pimpinan Zahid Bin Harithah ini, baginda Rasul Allah S.A.W telah memberi pesan yang amat bermakna. Antara pesanan baginda termasuklah betapa mereka perlu menjaga adab-adab peperangan seperti tidak memusnahkan tumbuh-tumbuhan, tidak membunuh mereka yang lemah, dan tidak sewenang-wenangnya membakar rumah atau kediaman.

Antara yang paling penting, pesanan Rasulullah S.A.W kepada tentera Mu’ta, ialah maranya mereka bukanlah kerana membalas dendam atas kematian Haris Ibn Umair. Lebih dari itu misi mereka hanya satu iaitu meletakkan kalimah tauhid sebagai matlamad. Demikianlah betapa umat Islam perlu mampu berhadapan dengan pengkhianatan dalam menyatakan kebenaran.

Sebagaimana Rasulullah S.A.W mendidik para sahabat untuk tidak tunduk dengan Ghassan yang membunuh utusan baginda, demikianlah perjuangan mendaulatkan Islam mesti sentiasa beriringan dengan ketegasan dan kebijaksanaan. Tegas dalam menyatasusakan pendirian atas dasar kebenaran dan bijak dalam mengatur gerakan.

Sesungguhnya peperangan Mu’ta telah memberi kesan psikologi yang mendalam kepada penduduk setempat yang dikuasai Rom. Rakyat yang selama ini ditindas oleh kekuasaan Rom telah mempunyai satu persepsi baru bahawa kekuasaan Rom tidak selamanya kekal dan keadilan Islam telah dilihat sebagai kuasa yang mampu menggantikan kezaliman kerajaan Rom.

Rom tidaklah dikatakan mengalami kekalahan mutlak dalam medan Mu’ta. Pun begitu ia  telah menjadi faktor utama kepada tindakan Rom mengatur gerombolan tentera yang lebih besar. Kebijaksanaan Khalid Al-Walid semasa mengakhiri medan Mu’ta cukup meninggalkan kesan yang memalukan kepada pemerintah Rom. Hasil risikan itulah, mendorong Rasulullah S.A.W dan para sahabat mengatur gerakan tentera untuk ke Tabuk.

Suasana peperangan Tabuk cukup mencabar. Selain jarak perjalanan yang jauh, waktu itulah pohon-pohon kurma mula berbuah dengan cuaca yang cukup panas. Pada saat itulah wajah-wajah sebenar mereka yang berjuang kerana Allah dan Islam diperlihatkan. Sejarah perjuangan telah membuktikan bahawa setiap cabaran kesusahan akan memperkuatkan penyatuan.

Dalam menempuh perjalanan jauh ke Tabuk, tentera muslimin telah juga melalui pelbagai peristiwa aneh. Paparan kejadian-kejadian tersebut banyak memaparkan bukti-bukti kerasulan Muhammad S.A.W dan membuktikan pertolongan Allah sentiasa beriringan dalam usaha mendaulatkan Islam.

Tabuk turut memaparkan betapa dalam perjuangan akan ada saja mereka yang culas. Ada yang digugat dengan rasa ragu dan tidak yakin, degil tidak mematuhi arahan, dan bermacam sikap yang menguji keteguhan setiap mereka yang berada dalam medan.

Medan Tabuk jugalah yang mencetuskan peristiwa tiga sahabat besar yang tidak menyertai peperangan. Sikap bertanggungjawab Kaa’b bin Malik, Murairah dan Hilal yang tidak berdalih apabila ditanya Rasul Allah S.A.W bukan calang-calang.

Apa yang nyata, hanya mereka yang dipandu iman dan keyakinan kepada janji-janji Allah sahajalah mampu berada dalam suasana yang cukup getir sebagaimana ditempuhi para sahabat. - 25 Rajab 1434H.