Semasa berkunjung ke Kelantan Selasa lalu, saya dapat mengesan riak
kekhuatiran bahawa era pemerintahan PAS sejak 23 tahun lalu bakal
berdepan cabaran besar, khususnya selepas pengunduran Tok Guru Nik Abd
Aziz Nik Mat.
Bagi saya, kebimbangan kecil itu boleh membawa
kepada natijah positif jika ia diurus dengan baik. Ia jauh lebih baik
daripada sikap terlalu yakin dapat mengekalkan kuasa, sehingga berlaku
pengabaian ketara, terutama untuk mengawasi strategi licik musuh dan
menutup ruang kelemahan sendiri.
Ketika majlis jamuan meraikan
petugas PRU13 Kelantan di Kota Bharu, yang turut dihadiri Menteri Besar
Ustaz Ahmad Yaakob, dua penggerak utama pilihan raya negeri, Wan Nik Wan
Yusof dan Zulkifli Mamat menekankan keperluan gerak kerja mendekati
rakyat harus bermula dari sekarang.
Semasa Pakatan Rakyat dilihat
mendapat sokongan lebih meluas di Selangor dan Pulau Pinang, tentunya
Kelantan mahu bergerak seiring. Ya, bukan saja memperkukuhkan kekuatan
sedia ada, malah mampu menyuntik semangat dan inspirasi, khususnya
kepada penyokong PAS di seluruh negara.
Ketua Penerangan PAS
Negeri, Dr Mohd Fadzli Hassan, yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri,
ketika ditemui di pejabanya di Kota Darulnaim, mengakui cabaran
tersebut. "Dari segi asas kekuatan, pengaruh PAS dan Umno di Kelantan,
hampir seimbang, masing-masing sekitar 35 peratus. Kemenangan terletak
kepada 30 peratus pemilih atas pagar dan pengundi luar," tambahnya.
Berbicara
soal keputusan PRU13, kami agak bersepakat bahawa faktor rasuah politik
dan "proses pembodohan" umat, terutama di kawasan luar bandar,
membabitkan majoriti pengundi Melayu masih berkesan untuk
mempertahankan survival Umno.
"Oleh itu, cabaran besar kita
sepanjang lima tahun ini adalah untuk melahirkan masyarakat berilmu dan
bermaklumat. Dengan itu tidak mudah lagi mereka diugut atau dirasuah,
atau aktiviti beli undi lainnya," tambah Dr Fadzli, sambil menjamu kami
makan tengahari nasi paprik di pejabatnya.
Saya agak kaget
apabila Dr Fadzli mendedahkan beberapa pendekatan membeli undi, termasuk
sindiket membabitkan kertas undi pos. Dalam PRU13, hampir 250,000
pemilih mengundi secara pos.
Lebih dahsyat, menurutnya, kertas
undi pos itu cuba "dijual" kepada calon-calon yang bertanding, sehingga
RM300 seorang. Malah, kegiatan ini dilakukan oleh broker tertentu, yang
mengutip "komisyen" sehingga lebih 60 peratus. Ada kes di mana pemilik
kertas undi mendapat RM100, manakala broker membolot RM200!
Di
sebuah negeri di utara tanahair, diceritakan bagaimana para petugas BN,
termasuk seorang bekas menteri besar, di malam hari mengundi, mengetuk
pintu dari rumah ke rumah, seterusnya menyogok sejumlah wang, selepas
memetrai "perjanjian" dan keesokan harinya ramai pengundi tidak keluar
mengundi.
Malang sekali. Rupanya politik rimba, politik lama,
politik kuno masih mengakar dalam amalan pilihan raya kita. Retorik
politik baru, transformasi dan pelbagai istilah yang mahu menggambarkan
pembaharuan dicipta untuk mengangkat pemerintahan Najib Razak, ternyata
palsu.
Sebenarnya kita tidak memerlukan bukti-bukti terkini
untuk mengesahkan bahawa sistem dan proses pilihan raya di Malaysia
dipenuhi pelbagai ketempangan dan penipuan. Badan yang
dipertanggungjawabkan khusus untuk menjalankan pilihan raya yang adil
dan bersih, SPR secara jelas mengkhianati "kepercayaan awam" apabila
bertindak seperti parti komponen BN yang ke-15!
Dalam
perkembangan berkaitan, tulisan Dr Zahid Hamidi, Naib Presiden Umno,
yang baru dilantik Menteri Dalam Negeri, disiarkan Utusan Malaysia
(akhbar mana lagi?), mendapat reaksi panas.
Zahid dan
Hishammuddin Husein, masing-masing rapat dengan Najib Razak, bertukar
posisi di kementerian kanan, Pertahanan dan Dalam Negeri, walaupun
pretasi kerja kedua-duanya buruk, seperti dibuktikan dalam kes
pencerobohan di Lahad Datu dan peningkatan kadar jenayah.
Zahid
mencabar golongan yang mengkritik sistem First-Past-The-Post (FPTP)
serta mereka yang menimbulkan undi popular yang memihak Pakatan: "Jika
golongan ini mahu menerima pakai list system atau single transferable
vote seperti mana digunakan oleh negara-negara republik, sepatutnya
mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan
kepercayaan politik mereka."
Cabaran kepada "pengkritik" supaya
berhijrah ke negara luar atau dicabut terus kerakyatan, selain ditahan
tanpa bicara semasa ISA masih mengamuk dulu, hanya menunjukkan
kebebalan, kedunguan dan keangkuhan yang tiada batas.
Daripada
pencacai Umno di kampung, atau bertaraf ketua bahagian, juga pemimpin
KeADILan yang dibeli -- termasuk yang pernah memegang jawatan Timbalan
Ketua Menteri atau ahli Parlimen melompat parti -- sehinggalah Menteri
Dalam Negeri berkelulusan doktor falsafah, semuanya menunjukkan
kecenderungan yang sama, mungkin disebabkan diternak dalam "kandang"
yang serupa.
Respons Dr Mohamad Agus Yusoff kepada Zahid menarik
sekali: "Mengapa DS Zahid boleh mengeluarkan kenyataan sebegini? Apakah
salah jika rakyat mempersoalkan pelaksanaan sistem pilihan raya yang
ada? Apakah Perlembagaan menghalangnya? Setahu saya, Perkara 10
Perlembagaan menjamin hak rakyat untuk bebas mengeluarkan pendapat,
berhimpun dan berpersatuan.
"Tidak ada satu klausa pun dalam
Perlembagaan yang membenarkan menteri untuk memberitahu rakyatnya supaya
berhijrah ke negara lain hanya kerana berbeza pendapat dalam politik.
Jika kita akui negara kita adalah negara demokrasi, maka berdemokrasilah
secara jujur.
"Sebagai menteri, DS Zahid sepatutnya
membangkitkan kasih sayang dan semangat patriotik rakyat kepada negara,
bukannya mengeluarkan kenyataan sebegini. Sebagai menteri DS Zahid
sepatutnya menggunakan masa untuk merancang mengatasi masalah
keselamatan, jenayah, social ills dalam negara, daripada menyerang
rakyat yang mempunyai perbedaan politik dengan parti kerajaan."
Saya
tidak pasti apakah Zahid berhasrat mahu menghalau lebih 52 peratus
penduduk negara ini (berdasarkan undi popular yang diperolehi Pakatan
Rakyat dalam PRU13) keluar daripada Malaysia hanya kerana mereka mungkin
tidak bersetuju dengan sistem pilihan raya yang penuh ketempangan dan
penipuan itu?
Sambil menyifatkan tulisan Zahid itu sebagai
kenyataan sombong yang menghina rakyat, Ketua Umum KeADILan, Anwar
Ibrahim, semasa berpidato di perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat
edisi Negeri Sembilan, Jumaat lalu, beliau mempersoalkan: "Kamu (Zahid)
ingat negara ini bapa kamu punya?"
Sebenarnya, apa
jua sistem pilihan raya yang dipilih, termasuk FPTP, mempunyai kelemahan
dan juga kekuatan tersendiri. Kebanyakan negara yang baru memilih
sistem demokrasi dilihat lebih cenderung kepada bentuk-bentuk sistem
pilihan raya alternatif, khususnya "yang menilai dan mengambil kira"
setiap undi yang dibuang, iaitu sistem proporsional atau yang
menggabungkan antara FPTP dan proporsional.
Bukan niat saya untuk
menilai sistem mana lebih mewakili suara rakyat. Yang hendak
ditekankan, mengapa seorang menteri kanan (Dalam Negeri pula itu),
memberi reaksi yang sebegitu kasar dan tidak bertamadun, hanya kepada
golongan yang mengkritik, hatta membantah sistem pilihan raya yang
berjalan sekarang?
Apakah partisipasi politik menurut Zahidi
bermakna hanya turun mengundi setiap lima tahun sekali, seterusnya
memberikan "cek kosong" kepada pemerintah, dan kemudiannya sekadar
menjadi pemerhati pasif, walaupun menyedari bermacam-macam penyelewengan
dan salahlaku berleluasa?
Malah, sistem FPTP di Malaysia,
diperalatkan semahunya oleh elit pemerintah terutama semasa proses
persempadanan semula kawasan pilihan raya. Lakaran persempadanan baru
itu dibuat oleh pegawai-pegawai Umno sendiri, dan SPR hanya menurut
saja.
Itulah yang berlaku selepas Umno dikejutkan dengan undi
protes orang Melayu pada 1999. Pengundi Melayu di Kelantan, Kedah dan
Terengganu "dihukum" SPR apabila tiada penambahan kerusi Parlimen
diperuntukkan. Di Kedah, tokoh-tokoh utama PAS, misalnya Mohamad Sabu
dan Mahfuz Omar dikalahkan melalui taktik gerrymandering persempadanan
semula itu, membabitkan sekurang-kurangnya kerusi Kuala Kedah, Baling,
Pokok Sena dan Yan.
Jelas, sistem FPTP telah dimanipulasi
berdekad lamanya, menyebabkan setiap kali persempadanan semula dibuat,
prestasi pembangkang dalam pilihan raya berikutnya akan merosot teruk.
Contoh ketara ialah pada 2004, selepas Barisan Alternatif menerima
sokongan membanggakan, terutama daripada pengundi Melayu pada 1999.
Sistem
FPTP yang dilaksanakan sekarang juga memperlihatkan perbedaan ketara
jumlah pengundi, misalnya di antara kerusi Parlimen Putrajaya (15,791)
dengan Kapar (144,159), malah pengundi di Baling yang jauh tersorok
lebih ramai berbanding kerusi Parlimen di Kuala Lumpur.
Ketika
persempadanan semula itu dibuat, ia berasaskan keyakinan PM ketika itu,
Dr Mahathir Mohamad, bahawa orang Melayu akan mengundi pembangkang dan
masyarakat Tionghua menjadi penyelamat BN. Maka banyaklah kawasan
Parlimen pengundi campuran yang dibentuk, dan tiada tambahan kerusi di
tiga negeri Melayu.
"Ibarat main bolasepak, padang permainan
condong ke sebelah Pakatan, pihak lawan tak perlu sumbat gol pun, bola
boleh meleret sendiri ke gawang kita," rakan saya, Zainal Abidin Hussin,
orang kuat Pusat Kajian Strategik Kelantan, memberi contoh kepincangan
sistem demokrasi di Malaysia, semasa kami minum air kelapa muda, di
sebuah gerai di Pengkalan Chepa, sementara menunggu pesawat bertolak
balik ke Kuala Lumpur. Kami sama-sama ketawa, walaupun menyedari hakikat
itu cukup pedih untuk diterima.
Cuaca buruk pada petang Rabu itu
menyebabkan AirAsia terlewat. Namun saya lebih memikirkan, bagaimana
kaedah terbaik untuk memanfatkan mood semasa, terutama melalui himpunan
"Black505" bagi memperolehi sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan
adil, termasuk merombak FPTP. Meskipun belum berkesempatan turun
bersama-sama memeriahkannya, saya memberikan sokongan sepenuhnya kepada
sebarang usaha melakukan reformasi menyeluruh ke atas sistem dan proses
pilihan raya negara kita.
Di atas pesawat, saya teringat penutup
tulisan Hishamuddin Rais: "Tidak ada sesiapa dalam dunia ini akan
mengagihkan Kuasa dan Kebebasan. Kuasa dan Kebebasan hanya dapat
dirampas dengan Perlawanan."