http://sanusisetpol.blogspot.com/, | 18 Mei 2013 |
Saturday, May 18, 2013
Berkasih Sayang Kerana Allah...
Catatan sebelum ini mengundang banyak
persepsi, barangkali juga kali ini. Catatan ini ringkas, namun penuh
makna bagi pemilik hati yang masih punya nilai keinsanan, apatah lagi
nurani yang memahami tasawwur 'amal Islami, menghayati konsep, sistem,
rukun dan adab berjemaah dalam sebuah Harakah Islamiyyah.
Pagi tadi, Dr Syamsuri, Setiausaha
Politik Presiden PAS menghubungi aku memaklumkan Presiden akan datang
menziarahi Ustaz Azizan petang nanti, jam 3.30. Hati dan perasaan
segera lega dan gembira. Presiden PAS yang dikasihi itu, dalam waktunya
yang sangat terbatas, akan meluangkan masa sekali lagi, membuat
perjalanan jauh, menziarahi sahabat seperjuangan yang sedang mengalami
saat-saat sukar dalam hidupnya.
Aku menyambut TGHH di kereta dan
membawanya ke wad. Dia segak berjubah hitam berbutang hingga ke bawah,
berserban seperti selalu. Wajahnya berseri walaupun nampak penat dengan
kesibukannya. Pak Cop dan beberapa kepimpinan PAS Kedah menanti di pintu
wad ICU. Dia memberi salam kepada beberapa pengunjung di koridor, terus
melangkah laju terus ke bilik Ustaz Azizan.
Assalamualaikum! Suaranya bergetar. Ustaz Azizan dimaklumkan oleh
anaknya Solehah, "Ayah! Ustaz Hadi mai..." Wajah Ustaz Azizan nampak
berseri, bola matanya meliar mencari suara sahabat dan pimpinannya itu.
Ustaz tidak mampu berkata-kata dan bersuara, tiub oksigen dan saluran
paip masih menyekat suara dan mulutnya, dia cuba juga mengerakkan
bibirnya untuk menjawab salam sahabatnya itu. Kedua belah tanggan
terangkat ke paras dada, seolah menyatakan syukur di atas kedatangan
itu.
"Bersabarlah, bersabarlah .... Banyakkan
zikir dan doa. Hadis menyatakan orang yang bersabar menghadapi sakit
akan diberi pahala yang banyak..." Kata TGHH sambil menggenggam tangan
Ustaz Azizan. Wajah dan bola mata mereka bertentangan. Suara TGHH
bergetar menahan sebak. " Ana datang nak bagitahu, keputusan yang besar
bagi anta ini diambil untuk menyelamatkan nyawa anta, nyawa lebih
penting dari anggota tubuh (kaki), atas kewajipan itu, kami semua
sahabat dan keluarga membuat keputusan membenarkan pembedahan itu" kata
TGHH. Ustaz Azizan mengangguk dan mengangkat tangannya sekali lagi
seperti mahu kami juga berdoa untuknya. Mulutnya bergerak, namun tiada
suara yang keluar.
TGHH memalingkan wajahnya ke belakang,
matanya merah, air mata meleleh disebalik kaca matanya. Kami yang berada
di situ tiada daya menahan pilu teramat sangat, dada berombak, nafas
tersekat dan air mata menitis laju. Keakraban dan kasih sayang antara
mereka terserlah memancar dalam pertemuan itu, tiada ayat untuk
menzahirkannya. Aku berpaling ke sisi, Pak Cop, Dr Syamsuri, Helmi
Khalid, Doktor dan jururawat turut menangis menekupkan mulut dengan
tangan.
TGHH memegang dahi Ustaz Azizan yang saat
itu memandangnya. Sambil mengusap kepala sahabatnya, TGHH mengeluarkan
kalimat ini... "Bersabarlah... kerja keras anta selama lima tahun pasti
Allah akan terima ..... Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi khalifah selama
dua tahun setengah sahaja, dia diracun dan mati. Anta sempat juga 5
tahun, lebih lama daripada Umar Abdul Aziz, bersyukurlah dan teruskan
bersabar!" Kata-kata TGHH ini diucap dalam tangisan, tersekat-sekat dan
perlahan. Kami di belakang bagai tertimpa 'segunung rasa
hiba'...menjuraikan air jernih tak terkawal lagi.
"Ana akan ke Turkey esok, InsyaAllah ana
akan sampaikan salam anta kepada sahabat-sahabat di sana." Kata TGHH
perlahan. Ustaz Azizan mengangguk, matanya memandang wajah TGHH, ada
aitrmata bertakung di kelopaknya. Aku segera terbayang pertemuan Ustaz
dengan sahabatnya Sheikh Yusoff Karocha, penterjemah kitab dan guru
kepada Tayeb Erdogan di Turkey. Mereka bertemu penuh keakraban pada
Januari lalu.
Ustaz Azizan mengangkat kedua tangannya
dalam kepayahan, TGHH membaca doa ringkas dalam bahasa arab, kami
mengaminkannya. Pak Cop dan aku mengambil tempat di sisi katilnya,
sementara TGHH mendapat penjelasan ringkas Doktor tentang kondisi
terkini Ustaz Azizan. " Ustaz berehatlah, kami semua akan terus berdoa
untuk Ustaz." Kata Pak Cop dalam esakan tangisnya.
"Ana minta diri dulu, anta teruslah
berehat dan banyakkan sabar". Ustaz Azizan cuba menghulurkan tangganya
yang masih bertambat beberapa paip dan wayar bersambung ke mesin. TGHH
menyambut dan memegangnya. Dia menjengketkan kakinya, membongkok dan
mencium dahi sahabatnya yang terbaring itu, agak lama. "Moga anta lekas
sembuh!" Katanya dalam esakan.
TGHH menghala keluar. "Terima kasih
semua!." Katanya sambil mengangkat tangan kepada Doktor dan jururawat
yang sedang teresak kesayuan dalam bilik itu. Dia berhenti seketika,
menanggalkan cermin mata dan mengesat air matanya di depan pintu. Aku
lihat ramai juga yang menyaksikan pertemuan itu dari depan cermin pintu,
turut menangis.
Demikianlah kasih sayang diantara dua
tokoh pimpinan PAS yang terbina kerana Allah, subur dan terus segar
untuk mengharungi perjuangan suci ini. Ikatan tulus dari hati yang
tersimpul kukuh sejak puluhan tahun lalu itu tidak terlerai, tidak mampu
dirungkai oleh apapun, dengan sebab apapun, kerana simpulan itu benar
dan ikhlas atas jalan Allah, bukan palsu bukan lakonan. Mereka berdua
telah sebalut dalam perjuangan ini.... Air mata masih berjurai saat aku
menitikkan nokhtah kepada catatan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan