Isu
amanat Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang dibangkitkan menjelang
pilihan raya ke-13 ini. Walaupun amanat tersebut lebih daripada 30 tahun
usianya, namun seperti biasa politik mampu membangkit-ungkit apa
sahaja.
Kedua belah pihak - kerajaan dan pembangkang memakai
pendekatan yang hampir sama. Cumanya, ‘kelebihan' kerajaan di negara
kita ini ia menggunakan media awam demi tujuan politik kepartian.
Saya tidak pasti apakah jika pembangkang hari ini jika berkuasa akan menggunakan pendekatan yang sama ataupun tidak?
Amanat Haji Hadi itu berbunyi:
"Saudara-saudara
sekelian percayalah, Kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno.
Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah
kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan
penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan
jahiliah.
"Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana
itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan
mereka. Percayalah saudara-saudara sekalian, perjuangan kita adalah
jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad.
"Bergantunglah
kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita
mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah
Islam.
"Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk
Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan
mengamalkan 'politik suku, agama suku'."
Fatwa-fatwa Pantai Timur
Saya ingin mengajak pembaca melihat isu amanat ini di luar dari
kerangka fanatik kepartian, sebaliknya menelusurinya secara fakta dan
rasional.
Amanat Haji Hadi itu dibuat pada tahun
1981 dalam ceramahnya pada 7 April di Kampung Banggol Peradong. Ketika
itu saya masih lagi bersekolah rendah. Saya rasa bukan Abdul Hadi yang
menamakannya amanat, sebaliknya ia adalah inisiatif orang PAS sendiri.
Apakah
amanat ini satu-satunya punca sebahagian orang PAS mengkafirkan Umno?
Saya tidak pasti. Namun kita tahu, ramai guru-guru agama yang lain yang
pro-PAS juga mengkafirkan Umno. Ada sesetengah tokoh agama yang
mengkafirkan Umno ketika itu kemudiannya masuk Umno dan mendapat
pelbagai jawatan.
Saya sendiri pernah berjumpa orang
PAS yang mengkafirkan Umno. Bahkan saya pernah berjumpa mereka yang
mengharamkan bersekolah di sekolah kerajaan kerana kononnya ‘sekular'
dan seumpamanya.
Ertinya, kafir-mengkafir disebabkan perbezaan
parti politik telah berlaku dalam sejarah umat Islam dalam negara ini.
Fatwa-fatwa PAS terutamanya dari Pantai Timur telah mencetuskan fenomena
tersebut.
YB Dr Mujahid Yusuf, seorang ahli
Parlimen PAS, tokoh reformis dalam PAS dan anak bekas presiden dan
mursyidul am PAS dalam bukunya Menuju PAS Baru menghuraikan isu ketika itu dengan menyebut:
"Akibatnya
berlakulah isu kafir-mengkafir di mana tanggapan bahawa menyokong Umno
adalah sesuatu yang bertentangan dengan sikap Islam dan dengan sebab itu
boleh jatuh kufur kerana Umno parti sekular yang menolak Islam...
penghujahan atas garis-garis fikah yang premisnya adalah batas-batas
kekufuran telah membawa agenda politik menjadi terlalu pekat dengan
adunan ‘fatwa' sehingga PAS diheret dalam kancah ini, malah ‘Amanat Haji
Hadi' telah dijadikan alasan kepada berlakunya semua kemelut ini." (ms
115. Kuala Lumpur: Malaysian Insider Sdn Bhd).
Mungkin Abdul Hadi sendiri tidak pernah menyebut Umno kafir secara
jelas, namun sikap kebanyakan tokoh PAS yang tidak menangani isu-isu
mengkafir ataupun seakan membiarkan orang awam PAS mengkafirkan orang
Umno sehingga berlaku dua imam, tidak makan sembelihan, tidak menjawab
salam dan lain-lain ketika itu, amat mendukacitakan.
Konteks
Dalam
memahami sesuatu teks, kita wajar melihat kepada konteks. Hakikatnya,
pendekatan PAS ketika itu bukanlah asing jika dilihat kepada
perkembangan gerakan Islam secara keseluruhan. Pada tahun 70-an dan
80-an kebangkitan Islam berlaku di Asia. Kesedaran tentang perlunya umat
Islam kembali kepada Islam dan menghapuskan unsur-unsur penjajahan
kedengaran di sana-sini.
Buku tokoh-tokoh gerakan Islam di Timur
Tengah menjadi menu penting para aktivis ketika itu. Buku-buku itu
ditulis oleh tokoh-tokoh berkenaan dalam keadaan tekanan yang berat oleh
rejim-regim Arab yang sangat zalim dan khianat.
Mereka juga
biadap terhadap Allah dan rasul-Nya. Mereka yang membaca buku-buku cuba
menyamakan hal tersebut dengan keadaan setempat.
Isu takfir (mengkafirkan) juga timbul di Timur Tengah sehingga mursyidul am al-Ikhwanul al-Muslimin menulis buku Du‘aah La Qudah (Pendakwah Bukan Hakim) bagi tujuan menangani isu ini.
Fatwa-fatwa ulama juga dibaca kepada masyarakat. Antaranya, fatwa Mufti
Saudi masa itu al-Sheikh ‘Abd al-‘Aziz ‘Abdillah bin Baz yang
menyenaraikan perkara-perkara yang membatalkan Islam, dalam erti kata
lain menjadikan seseorang kafir.
Abdul Hadi ketika itu antara yang mempopularkannya. Dalam fatwa itu antaranya menyebut:
"Berkeyakinan
bahawa selain tuntutan Nabi Muhammad SAW itu lebih sempurna, atau
berkeyakinan bahawa selain ketentuan hukum beliau itu lebih baik,
sebagaimana mereka yang mengutamakan aturan-aturan manusia yang
melampaui batas lagi menyimpan dari hukum Allah (aturan-aturan taghut),
dan mengetepikan hukum Rasulullah SAW, maka yang berkeyakinan seperti
ini adalah kafir.
"Sebagai contoh: Berkeyakinan bahawa
aturan-aturan dan perundangan yang diciptakan manusia lebih utama
daripada syariat Islam, atau berkeyakinan bahawa aturan Islam tidak
tepat untuk diterapkan pada abad kedua puluh ini, atau berkeyakinan
bahawa Islam adalah sebab kemunduran kaum Muslimin, atau berkeyakinan
bahawa Islam itu terbatas dalam mengatur hubungan manusia dengan
Tuhannya saja, tidak mengatur urusan segi kehidupan lain.
"Berpendapat
bahawa melaksanakan hukum Allah dalam memotong tangan pencuri, atau
merejam pelaku zina yang telah kahwin (muhsan), tidak sesuai lagi di
masa kini...."
Walaupun ini hanyalah kaedah umum yang perlukan
perbahasan dan perinciannya, malangnya kalangan orang PAS ketika itu
telah menggunakannya ketika secara ‘borong' untuk mengkafirkan setiap
penyokong Umno.
Ia disuburkan lagi dengan kuliah-kuliah agama
PAS yang menegaskan persoalan ini tanpa perbahasan yang mencukupi.
Menerangkan tentang batasan iman dan kufur adalah suatu kewajipan, namun
mengkafirkan individu memerlukan penelitian dan kecermatan.
Suatu perkara yang tidak boleh disembunyikan juga, Umno pada era 70-an
dan 80-an bukanlah seperti Umno hari ini. Ucapan-ucapan yang tidak
selaras dengan Islam, ataupun dengan seakan menghina Islam kadang-kala
kedengaran di sana-sini. Proses Islamisasi dalam Umno belum berlaku
ketika itu.
Sikap angkuh dan dominasi yang melampau juga wujud.
Orang PAS dapat merasai sikap tidak adil kepada mereka, bermula dari
JKKK di kampung sehingga ke atas.
Ini menyuburkan lagi
kecenderungan menghukum Umno dengan fatwa-fatwa yang keras. Ini tidaklah
menghalalkan PAS mengkafirkan keseluruhan Umno, namun itulah realiti
ketika itu. Sikap Umno ketika itu juga menyumbang kepada keadaan itu.
Pada masa tersebut kematangan PAS dan gerakan Islam yang lain juga amat
terhad. Mereka belum ada pengalaman pemerintahan. Bahkan saya percaya,
Abdul Hadi ketika itu tidak begitu mendalami hakikat Perlembagaan
Malaysia seperti hari ini.
Hari ini jika kita membaca Mujahid menulis dalam bukunya Rejuvenasi PAS,
beliau membincangkan tajuk ‘Islam Dalam Kerangka Perlembagaan', kita
mendapati tokoh PAS ini melihat perlembagaan dengan harmoni yang
mempunyai ruang untuk Islam. Hal ini 30 tahun lepas tidak pernah
diungkapkan dalam PAS.
Ulama Umno juga mesti dikritikPAS
hari ini saya lihat banyak berubah. Saya percaya sudah ramai yang tidak
beriktikad seperti Amanat Hadi termasuk diri Abdul Hadi sendiri. Jika
PAS masih berpegang dengan Amanah lama Hadi itu, bererti mereka
mengkafirkan diri sendiri dan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat
yang menerima dan mengiktiraf perlembagaan.
Sekalipun
tiada penarikan rasmi, tetapi secara praktikal seakan penarikan telah
dibuat. Pendekatan PAS sudah banyak yang berbeza. Kita harapkan semua
pihak tidak melihat Islam dari kaca mata politik semata, Islam jauh
lebih luas dari politik kepartian.
Namun, ini tidak
bererti kita memandang ringan isu kafir-mengkafir. Jika terbukti masih
ada orang PAS yang mengkafirkan Umno maka Abdul Hadi patut tampil
menjelaskan kekeliruan mereka. Oleh kerana beliau diserang tanpa
diberikan peluang menerang, maka itu sesuatu yang tidak adil.
Pihak
media patut memberikan ruang yang mencukupi untuk beliau membuat
penerangannya dalam media awam khususnya RTM. Mungkin ada perkara yang
kita terlepas pandang.
Di samping PAS, jangan lupa
dalam Umno juga ada yang ‘kaki pengkafir dan penyesat' orang lain.
Seorang dua guru pondok yang masuk Umno, ada yang menghukum akidah
menteri besar Kelantan sesat bahkan kufur.
Di Arab Saudi, tokoh
penghukum sesat umat iaitu al-Madkhali terkenal menyesatkan begitu ramai
tokoh-tokoh ilmuwan Islam dan aktivis umat.
Golongan ulama muda
Umno amat terpengaruh dengan aliran ini maka kita boleh tonton dalam
Internet dan tulisan mereka di akhbar menyesatkan tokoh-tokoh seperti
Hasan al-Banna, Syed Qutb, Muhammad al-Ghazali, al-Qaradawi dan
lain-lain. Ini juga mesti dikritik.
Media-media Umno juga
kebelakangan ini sering menjadikan isu akidah sebagai isu politik
seperti yang PAS lakukan dalam era 80-an. Umno hendaklah berhati-hati,
jangan ulangi perkara yang sama. Umno hari ini seakan menuju PAS era
Amanat Hadi.
Kembali pada politik membina negara
Maka kita tegaskan, bahawa kafir-mengkafir, ataupun sekadar sesat menyesat atas perbezaan parti satu kesalahan yang besar.
Nabi SAW bersabda: "Sesiapa
yang memanggil orang lain dengan ‘kafir' atau ‘musuh Allah' sedang dia
tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebut dalam Majmu‘at al-Fatawa:
"Sebetulnya,
sesiapa yang berijtihad dalam kalangan umat Muhammad SAW dengan tujuan
mencari kebenaran lalu tersilap, dia tidak kafir. Bahkan diampunkan
kesilapannya. Sesiapa yang telah nyata kepadanya apa yang datang dari
Rasulullah SAW, lalu dia menentang setelah terang untuknya petunjuk lalu
dia mengikut selain jalan kaum mukminin, maka dia kafir.
"Sesiapa
yang mengikut nafsu, kurang mencari kebenaran serta bercakap tanpa ilmu
maka dia pemaksiat dan berdosa. Boleh jadi dia fasik, ataupun baginya
kebaikan-kebaikan lain yang lebih banyak dari kesalahannya. Bukan semua
yang bersalah, berbuat bidaah, jahil ataupun sesat itu menjadi kafir,
bahkan mungkin tidak fasik dan tidak berdosa."
Semua pihak hendaklah berhenti memainkan isu kafir-mengkafir. Kembali kepada politik yang dapat membina negara.
PROF
MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini
pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian
rasmi
Malaysiakini.