Sabtu, 5 Januari 2013

Jika kita serius berubah, ahli Umno akan bersama

Jika kita serius berubah, ahli Umno akan bersama

Aspan Alias, 05 Jan 2013
Dalam pilihan raya kali ini rakyat perlu serius dalam membuat penentuan politik kerana kali ini akan membabitkan masa depan negara dan rakyatnya yang amat dahagakan keadaan politik yang berbeza dari yang sedang kita hadapi sekarang. Sekarang ini terlalu banyak isu yang membuatkan rakyat naik mual seolah-olah negara ini adalah negara dalam mana semua rakyatnya bergaduh dan bersengketa kerana politik dan kuasa. Krisis keyakinan yang dihadapi oleh kepimpinan UMNO dan BN sudah sampai ke tahap optima dan adalah malang jika rakyat tidak melakukan pembetulan terhadap hala-tuju kita yang sudah terlalu menyimpang jauh itu.

Semasa negara kita berada di dalam keadaan politik yang terbaik, ramai di antara rakyat yang sekarang ini masih belum lahir atau masih dalam zaman kanak-kanak atau remaja. Mereka tidak akan mudah untuk memahami apakah yang dimaksudkan ‘penentuan politik’ yang baik itu. Bagi mereka yang masih dalam umur bawah dari empat puluh tahun mereka menganggap politik itu adalah politik seperti sekarang. Politik hanyalah membuat pilihan siapa yang menang dan siapa yang kalah.

Siapa yang menang itu, pihak itulah yang benar dan siapa yang kalah itu adalah pihak yang tidak benar. Penulisan dan pertuturan tentang sejarah politik yang benar dan betul hanyalah cerita dan apa yang di perkatakan oleh mereka yang menang sahaja. Penilaian terhadap politik itu terletak kepada asas yang salah. Pertamanya politik yang kita mengaku sebagai politik demokrasi di negara ini sebenarnya terlalu jauh dari kebenaran demokrasi itu sendiri.

Pendirian politik negara kini memerlukan rakyat berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat pilihan. Jika rakyat mahukan kemajuan yang belum dicapai walaupun kita telah dijanjikan kemajuan itu sejak tiga dekad yang lalu. Pendeknya apa yang dijanjikan oleh UMNO dan BN sudah nyata tidak dicapai dan terlaksana dengan baik. Oleh yang demikian membuat pilihan kepada pihak ‘alternative’ merupakan usaha yang paling baik untuk mencari apa yang kita tuntut itu.

Jika ada pihak yang mengatakan melakukan perubahan itu tidak semestinya membawa kebaikan maka kita boleh menjawabnya dengan mudah dan tidak payah berusaha keras untuk jawapannya. Yang pasti pimpinan yang ada pada hari ini terlalu tidak meyakinkan dengan apa yang kita lihat dan dengar sedang berlaku. Bukan tidak ada teguran terhadap kepimpinan tetapi nampaknya keadaan tidak mungkin berubah, malahan bertambah buruk dari masa ke semasa.

Justeru memilih pengganti yang tidak berdaya untuk berubah ini bukan lagi satu ‘option’ tetapi sudah menjadi kemestian. Sama ada ia lebih baik atau sebaliknya belum kita dapat tentukan walaupun ciri-ciri kebaikan yang berlaku di dalam negeri-negeri PR itu nampak dengan agak jelas. Saya mesti meyakinkan saudara yang saya sebut ini adalah dari sudut mentadbir kerajaan bukannya dari sudut permainan politik di dalam parti-parti dalam Pakatan Rakyat itu.

Daripada tidak berusaha dan mencuba perubahan untuk kebaikan kita semua, elok kita bertukar sikap dengan memandang perubahan itu secara positif. Lagi pun tindakan rakyat untuk melakukan perubahan itu bukannya tidak bersebab. UMNO dan BN sendiri memberikan sebab atau alasan rakyat untuk berusaha melakukan perubahan itu. Agak penat untuk mengulangi sebab-sebab perubahan itu perlu dilakukan. Rakyat sudah tidak mahu lagi sebuah kerajaan yang sedang menghadapi krisis keyakinan yang sebegini besar terus-terusan.

Segala usaha untuk berubah ini bukan untuk kebaikan sesiapa tetapi untuk kebaikan rakyat juga. Jika perubahan itu tidak mencapai matlamat dan kehendak rakyat selepas lima tahun rakyat boleh melakukan perubahan lagi sampai mendapat apa yang di harapkan tercapai. Dari sudut ini, maka perubahan ini akan memberikan bukti bahawa rakyat lah yang berkuasa dan bukannya mereka yang diberikan mandat itu. Perubahan ini akan memberikan isyarat yang jelas bahawa rakyat akan menumbangkan mana-mana parti yang memerintah jika tidak mampu melakukan perubahan itu.

Budaya ini akan membuatkan sesiapa atau mana-mana parti yang memerintah terpaksa bekerja keras untuk memenuhi tuntutan rakyat yang memberi mandat itu. Sebab BN selama ini terus menerus melakukan jenayah rasuah ini ialah kerana mereka (BN) menganggap bagaimana rasuah pun mereka rakyat akan tetap memberikan undi dan mandat. Itulah sebabnya mereka tidak segan dan silu melakukannya terus menerus tanpa had kejahatannya.

Kita telah menempuh badai yang tidak terperi peritnya kerana rasuah ini. Kerana rasuah sistem perundangan kita telah tercemar tidak terperi. Peguam Negara menjadi persoalan, Ketua Polis Negara menjadi bahan politik, Badan Kehakiman sehingga hari ini tidak kebah dari imej buruk dan menjadi bahan ejekan masyarakat antarabangsa. Masyarakat antarabangsa dan kita sendiri bertanya bagaimana seorang yang tidak ada apa-apa menjadi di antara manusia yang terkaya di dunia ini. Semuanya ini adalah akibah permainan rasuah dan salah guna kuasa dan pengaruh dalam sistem kerajaan kita.

Rakyat bosan dengan sikap pemimpin-pemimpin kita yang mempunyai masalah masing-masing yang berkaitan dengan rasuah dan mengambil kesempatan di atas kedudukan mereka dalam kerajaan. Setiap minggu ada sahaja isu terhadap mereka sampaikan mereka tidak ada masa untuk memberikan khidmat kerana terlalu sibuk mempertahankan diri dari tuduhan-tuduhan yang tidak boleh dianggap palsu dan fitnah.

Kita wajar memberhentikan segala kebobrokan yang dilakukan oleh pimpinan kita hari ini. Masa untuk melakukannya tidak lama lagi….selewat-lewatnya pada penghujung bulan April nanti. Pimpinan kita sudah tidak kenal lagi apa yang baik dan yang buruk. Jiwa dan roh kepimpinan sudah mati.

Rakyat tidak perlu takut melakukannya kerana ramai ahli-ahli UMNO sendiri akan bersama-sama mengubah haluan di dalam peti-peti undi itu nanti. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan