|
Khairil Abdul Rahim,
|
28 Okt 2012
|
TEMERLOH: Sudahlah terpaksa tinggal di taman perumahan tanpa sijil kelulusan menduduki
(certificate of fitness for occupation - CF) selama lebih 20 tahun, kini dikhabarkan pula 15 blok rumah pangsa kos rendah perumahan kerajaan itu akan dirobohkan pula.

Dengan
janji membina pangsapuri baru, isu itulah yang menghantui hampir 300
keluarga dengan kira-kira 1,200 penduduk rumah pangsa kos rendah Taman
Seri Kemuning dekat sini.
Menurut luahan penduduk kepada Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man serta rombongan Konvoi Cakna Rakyat, dilema mereka
ialah ke mana akan berpindah untuk memulakan penghidupan baru sedangkan
mereka sudah lama bermastautin di situ.
Mereka juga telah mengeluarkan wang membayar sewa mahupun membelinya
dan ada antara mereka telah membayar habis pinjaman melalui potongan
gaji jadi bukan mudah untuk mereka membuat pinjaman kali kedua mencari
rumah lain.
Pengerusi jawatankuasa bertindak penduduk, Hasan Him, 60,
berkata 70 peratus daripada pemilik merupakan warga emas justeru jika
mereka berpindah sementara menunggu pangsapuri baru, belum tentu nanti
mereka akan dapat memiliki rumah baru kerana bank tidak akan
mengeluarkan pinjaman kepada mereka kerana faktor usia.
Menurut Hasan, penduduk sudah sekian lama menghadapi tekanan rumah
mereka tidak memiliki CF kerana sedar risikonya ialah andai kata terjadi
sesuatu musibah seperti kebakaran dan sebagainya, segala kerosakan,
kerugian dan kemalangan tidak boleh dituntut kerana pihak insuran tidak
menerima perumahan tanpa CF.
“Penduduk sudah beberapa kali menghantar memorandum kepada
pelbagai pihak bagi meminta diselesaikan permasalahan mereka. Ada juga
pertemuan dengan menteri dan Exco perumahan.
“Awal tahun ini Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan
Yaakob telah datang berdialog dengan penduduk. Apabila diajukan
persoalan CF, beliau juga tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan
hati penduduk,” katanya.
Menurut Hasan, pembinaan 5 blok rumah pangsa dengan 705 unit rumah
itu pada asalnya adalah perumahan rakyat berpendapatan rendah terbesar
di Temerloh.
Projek dilaksanakan semasa Tun Khalil Yaakob menjadi Menteri Besar
Pahang dengan mendapat peruntukan dana daripada kerajaan Pusat sementara
kerajaan negeri hanya menyediakan tapak tanah bagi perumahan berkenaan.
Dalam masa menyiapkan projek berkenaan, dua kontraktor utama telah
‘lari’ dan bertukar tangan hinggalah syarikat perumahan kerajaan sendiri
yang masuk campur.
“Perumahan mulai diduduki pada tahun 1990, pada asalnya
bayaran pemilikan berbentuk sewa beli dengan harga RM25,000 itu dikutip
oleh wakil kerajaan negeri sekitar antara RM50 ke RM100 sebulan.
“Lama kelamaan kerajaan negeri pimpinan Umno BN tidak lagi
berupaya meneruskan sistem berkenaan lalu menyerahkannya kepada pihak
bank.
“Tidak dinafikan, kesalahan pihak penduduk memang ada iaitu
ada sesetengahnya yang agak liat membayar sewa beli bulanan. Tetapi
bukan semua, saya sendiri sudah bayar habis dengan membuat pinjaman
bank.
“Manakala kesalahan pihak kerajaan pun ada di mana pegawai
pengutip tidak datang, jadi bagaimana penduduk mahu membayar? Ditambah
lagi dengan perumahan tersebut sendiri yang tidak mendapat CF membuatkan
penduduk ragu-ragu dan tidak mengetahui nasib yang bakal menimpa mereka
sebenarnya,” jelasnya.
Katanya, pada asalnya semua 705 unit rumah pangsa itu
dipenuhi penghuni, tetapi beransur-ansur kurang dan kini hanya tinggal
sekitar 300 keluarga.
Dua tahun lepas Draf Rancangan Tempatan Daerah Temerloh
telah menyatakan kawasan berkenaan akan dijadikan transit pengangkutan
utama dari Kuala Lumpur ke Kuantan. Kedudukannya yang strategik
menyebabkan kawasan berkenaan akan diambil alih untuk pembangunan
sementara penghuni Sri Kemuning menjadi mangsa.
Terbaru, ada pihak kerajaan yang memberitahu kawasan
berkenaan akan dibina baru dengan pangsapuri dan rumah pangsa lama akan
dirobohkan.

Seorang
penduduk lagi, S. Balakrishnan, 48, berkata jika sekitar 20 tahun yang
lalu mereka menganggap Taman Sri Kemuning merupakan perumahan terakhir
mereka sementara menunggu mati dan bekalan tinggal untuk anak isteri,
rupa-rupanya akan berlaku sebaliknya.
Katanya, penduduk mula melihat masa depan yang kabur kerana
terpaksa merempat pula mencari kediaman baru, dalam keadaan usia yang
semakin lanjut.
“Pihak kerajaan tidak lagi dapat diharapkan sebagai kawan semasa susah dan senang kerana mereka hanya mahukan keuntungan.
“Kerajaan yang ada hari ini sebenarnya tidak memikir dan
tidak mengutamakan rakyat kecuali ketika merayu undi pilihan raya.
Pertimbangan utama mereka ialah benda lain sementara kebajikan rakyat
menjadi pilihan tarakhir,” katanya.
Di akhir program tersebut penduduk menyerahkan memorandum
kepada Tuan Ibrahim bagi mengadu masalah dan kesusahan yang ditangggung
tidak diindahkan, pekikan dan rayuan penduduk tidak didengari oleh
kerajaan BN.
Mereka harapkan jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan
selepas pilihan raya akan datang, nasib mereka akan diperhatikan demi
kehidupan, kebajikan dan pembelaan yang lebih baik.