Skim Rumah Pertamaku hanya ibarat 'angan-angan'
Pelan
pemilikan rumah - Skim Rumah Pertamaku - yang dilancarkan oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pada Mac lalu, kini di ambang
kegagalan kerana belum ada satupun permohonan untuk mendapatkan pinjaman
100 peratus diluluskan oleh mana-mana bank.
Intipati utama skim
itu, adalah kerajaan akan membantu menyediakan 100 peratus pinjaman bagi
pembeli rumah muda yang mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada
RM3,000, bagi membeli rumah yang bernilai sehingga RM400,000.
Laporan akhbar harian Cina Sin Chew Daily
pada muka hadapanya memetik beberapa bank sebagai berkata adalah
mustahil membekalkan kemudahan pinjaman itu manakala mereka yang
sepatutnya menikmati manfaat daripada skim itu pula menyifatkannya
sebagai "angan-angan".
Seorang perancang kewangan menjelaskan
kepada akhbar itu bahawa pinjaman RM400,000 akan diterjemahkan kepada
ansuran bulanan sebanyak RM1,780 bagi tempoh pembayaran 30 tahun. Ini
juga akan menelan lebih separuh daripada pendapatan mereka yang hanya
RM3,000 sebulan.
"Walaupun bank hanya meluluskan 80 peratus
daripada pinjaman, pembeli masih perlu membayar wang pendahuluan
RM80,000, yang jelas tidak mampu oleh kebanyakan mereka.”
Untuk
memburukkan lagi keadaan, Bank Negara pula memperketatkan syarat
pinjaman dengan mengarahkan bank-bank untuk meluluskan jumlah pinjaman
berasaskan pendapatan bersih peminjam, iaitu pendapatan mereka selepas
ditolak caruman kepada KWSP, cukai pendapatan, hutang kad kredit dan
liabiliti lain.
Oktober lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk
Donald Lim berkata bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk
mengkaji semula syarat kelayakan dengan membenarkan mereka yang
berpendapatan sehingga sekitar RM6,000 hingga RM7,000 juga layak
memohon.
Walau bagaimanapun ini telah menimbulkan persoalan sama
ada ia hanya akan membantutkan objektif skim berkenaan iaitu untuk
memudahkan pembeli yang berpendapatan rendah memiliki rumah pertama
mereka.