- Nov 18, 2013
- Irfan ES
Pada 27 Oktober lalu, mesyuarat agung luar biasa Koperasi Permodalan Felda (KPF) telah meluluskan usul penjualan baki 51 peratus saham Felda Holdings yang dimilikinya kepada syarikat bermasalah yang kita kenali Felda Global Ventures Holdings (FGV).
Mulanya saya tidak sedar akan perkara ini akibat terlalu sibuk dengan kerja. Saya tahu menerusi laman Facebook saudara Mazlan Aliman tentang cadangan penjualan ini dalam sebulan lepas, tetapi sangka saya ia akan ditolak dalam mesyuarat agung KPF itu nanti. Cuma hari ini apabila ditanya oleh ayah saya (seorang peneroka Felda), baru saya gali semula perkembangan proses tersebut, dan apa yang saya jumpa amat memeranjatkan.
Hanya satu perkataan boleh saya gunakan untuk menggambarkan penjualan itu – gila!
Asal-usul Felda
Terlebih dahulu mari kita secara ringkas menyusuri asal-usul penubuhan Felda. Tanah rancangan Felda dibuka bagi membantu rakyat yang tidak bertanah agar mendapat tanah pertanian untuk diusahakan (walaupun sebenarnya hanyalah pajakan 99 tahun, bukan hak milik tetap).
Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 digubal membolehkan kerajaan persekutuan membuka tanah yang asalnya di bawah kuasa kerajaan negeri dengan syarat ia kemudiannya diberi kepada rakyat. Maka orang ramai pun masuk ke kawasan-kawasan tanah rancangan ini. Mereka dipanggil peneroka Felda.
Pada era Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau telah mengubah semua ini atas dasar pensyarikatan Malaysia dan penswastaan. Tanah masih dibuka, tetapi tidak diberikan kepada rakyat. Sebaliknya ia diletakkan di bawah syarikat Felda Holdings yang ditadbir oleh Felda di bawah seliaan kerajaan persekutuan. Sebab itulah kini kita tidak lagi mendengar rancangan Felda baru didirikan walaupun begitu ramai rakyat tidak mempunyai tanah dan rumah.
Meskipun ini sebenarnya melanggar matlamat asal Akta Tanah itu sendiri, tetapi ia masih diterima dengan janji bahawa keuntungan Felda Holdings akan diagihkan kepada peneroka (dan keluarga) dan staf Felda sedia ada menerusi pegangan saham KPF. Ada peneroka menerima saham KPF bernilai RM 10,000 dan bayaran semula dibuat beransur-ansur melalui potongan dividen saham berkenaan. Selebihnya perlu dibeli sendiri oleh peneroka sampai nilai maksimum tidak melebihi RM 200,000 bagi setiap keluarga.
Kemunculan FGV
Felda Global Ventures Holdings (FGV) ditubuhkan pada 2007 sebagai sayap Felda dalam bidang-bidang komersial. Pada Jun 2012, FGV telah disenaraikan di bursa saham Malaysia. Dengan kata lain, kini FGV dibuka untuk semua, tidak kira sama ada anda peneroka Felda, rakyat Malaysia, orang asing atau para kapitalis dari Barat atau Israel.
Pada waktu itu FGV memegang 49 peratus saham Felda Holdings, yang kini hasil dan keuntungannya bukan lagi untuk para peneroka sebagaimana asal tujuan Felda ditubuhkan, tetapi untuk para pelabur yang tidak kita kenali.
Malangnya (seperti yang dijangka), FGV tidak pergi jauh. Malah nilai sahamnya menyusut dari semasa ke semasa sehingga kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak terpaksa menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli saham-saham FGV bagi mencegah harganya daripada terus merundum.
Namun itu semua belum cukup.
Felda Holdings (dan hak peneroka) dijual
Perladangan kelapa sawit adalah nadi utama Felda. Dari situ pelbagai industri berasaskan minyak sawit boleh dibuka, daripada kilang pemprosesan minyak sawit, makanan, pengangkutan bahan-bahan ini, eksport dan lain-lain. Kebanyakan syarikat yang mengendalikan bidang-bidang ini berada di bawah Felda Holdings, yang 51 peratus sahamnya dipegang oleh KPF.
Pulangan dividen KPF buat peneroka dan staf Felda pula adalah agak memberangsangkan – tidak pernah kurang daripada 10 peratus setiap tahun, malah pernah mencecah 18 peratus. Pada tahun 2013 sahaja dividen KPF ialah 16.5 peratus. Dalam istilah perniagaan, Felda Holdings bolehlah disifatkan sebagai ‘cash cow’ – sumber utama kewangan KPF.
Tiba-tiba pada 27 Oktober lalu, semua baki 51 peratus saham KPF dalam Felda Holdings dijual kepada FGV. FGV memerlukan keseluruhan Felda Holdings untuk memperkukuh kedudukannya memandangkan Felda Holdings amat menguntungkan.
Apa yang tinggal untuk peneroka Felda?
Lalu diberitakanlah bahawa wang jualan saham Felda Holdings itu akan dilaburkan KPF dalam sektor-sektor lain. Persoalannya, sektor apa yang lebih menguntungkan?
Perumpamaan mudah. Anda sudah ada sebidang tanah subur dengan hasil yang sangat banyak setiap tahun. Tiba-tiba anda hendak jual tanah itu supaya anda boleh buka kedai di bandar dalam keadaan untung ruginya belum dapat dipastikan. Dalam masa yang sama anda turut menyedari bahawa perniagaan bukanlah kemahiran anda. Sebab itu saya katakan ini kerja gila.
Kembali kepada mesyuarat agung 27 Oktober lalu. Dikatakan hampir semua perwakilan KPF meluluskan usul penjualan tersebut. Tetapi, siapakah para perwakilan KPF ini?
Di setiap tanah rancangan Felda ada koperasinya. Koperasi ini menguruskan pelbagai urusan perniagaan berkaitan peneroka, termasuk membelikan baja untuk peneroka sehinggalah menjual barangan keperluan harian. Setiap koperasi ini ada ahli lembaga pengarah dan pemimpinnya.
Dan yang datang bermesyuarat pada 27 Oktober lepas adalah pemimpin-pemimpin koperasi ini, bukannya pemegang saham KPF. Sesetengah pemimpin koperasi ini ada yang sudah pun menjual semua sahamnya dalam KPF. Manakala para peneroka yang menyimpan dalam KPF tidak tahu-menahu langsung tentang mesyuarat terbabit.
Saya ada mengenali peneroka Felda yang menabung sejak usia mudanya untuk disimpan dalam KPF sehinggalah nilai sahamnya mencecah jumlah maksimum. Saya juga ada mengenali anak-anak peneroka yang membuat pinjaman besar di bank untuk digunakan bagi melabur dalam KPF. Jika mereka ini yang hadir ke mesyuarat tersebut, adakah usul penjualan Felda Holdings diluluskan semudah itu?
Kemudian datang pula cerita tentang saguhati buat peneroka Felda atas penjualan (dan kerugian) ini. Dan telah diputuskan bayaran dibuat sama rata untuk semua peneroka, tidak kira sama ada anda telah menabung seumur hidup buat menyimpan dalam KPF atau pun anda telah mengeluarkan semua wang anda daripada KPF.
Jadi, apa yang tinggal untuk peneroka Felda? Mungkin kenangan manis bagaimana suatu masa dahulu Felda berjaya mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan.
Syukurlah, sekurang-kurangnya Malaysia masih aman. Dan syukurlah sekurang-kurangnya Felda bayar zakat, bukan seperti Petronas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan