Khamis, 14 November 2013

Bantahan SPPBS memuncak di laman sosial


Harakahdaily, 14 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Masalah dihadapi para guru dalam mengakses pangkalan data Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) menyebabkan sebahagian warga pendidik melepaskan rasa tidak puashati mereka di laman sosial.

Ada di antara warga pendidik yang menggunakan kemahiran audiovisual memuat turun klip video berhubung SPPBS di laman Youtube.

Satu  klip video yang dimuat turun di Youtube dan dikongsi secara meluas di laman facebook  menunjukkan bagaimana paparan imej SPPBS di skrin komputer dimusnahkan peluru berpandu Exocet.

Ada juga guru yang kreatif berkarya menulis gurindam berhubung SPPBS. Karya bertajuk "SPPBS tak siap lagi" berbunyi:

Masuk kelas sebelah pagi
ikut jadual waktu sendiri
SPPBS tak siap lagi
perut belum diisi kopi.

Ada kerja sedia menanti
SPPBS tak siap lagi
hulur tangan nak buka lappy
mulut penuh mengunyah roti.

Masa makan masa free
SPPBS tak siap lagi
habis sejam masa berlari
satu apa pun tak menjadi.

SPPBS tak siap lagi
server lembab siput babi
masuk kelas lagi sekali
cuba lagi di rumah nanti.

SPPBS tak siap lagi
cuba lagi di petang hari
mujur ada broadband sendiri
tapi nasib tidak menyebelahi.

Sebelah kanan dengkur suami
si anak kecil di sebelah kiri
malang nasib jadi begini
SPPBS tak siap lagi.

Dingin malam hampiri pagi
bahang panas di dalam hati
SPPBS tak siap lagi
nak buat macam mana ni?


Pelbagai aduan berhubung SPPBS telah disuarakan para guru sejak ia mula dilaksanakan Kementerian Pelajaran.

Antara rungutan yang kerap dikemukakan adalah 'bandwidth' laman KPM yang terhad mengakibatkan  sistem SPPBS yang dilaksanakan oleh KPM tersangat perlahan untuk diakses ratusan ribu guru di seluruh Malaysia dalam tempoh yang sama.

"Ramai guru terpaksa bangun pukul 2-3 pagi semata-mata nak mengisi markah murid yang langsung tidak dapat di masuki pada sebelah siang.  Ditambah dengan tarikh tutup yang ditetapkan oleh KPM kepada beratus ribu guru," ujar seorang guru yang mahu dikenali sebagai Guru IT kepada Harakahdaily

Beliau mencadangkan supaya 'bandwidth server' untuk para guru mengakses sistem di tambah.

"Fikirkan berpuluh ribu guru seluruh Malaysia akses pada masa yang sama terpaksa membuang masa terlalu lama memasukkan data, tidur lewat malam, bangun awal pagi semata-mata kelemahan sistem ini. Kemudian mengajar pada waktu siang pula. Pernah orang KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia) mengambil kira perkara ini?" kesal beliau.

Dalam perkembangan berkaitan KPM menerusi laman web sppbs.moe.gov.my menyiarkan pengumuman dua perenggan bagi menjawab rungutan warga guru berhubung SPPBS.

Pengumuman itu antara lain menyebut:

KPM mengambil maklum mengenai masalah akses ke SPPBS. Sehubungan dengan itu, kemasukan prestasi murid Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3 (Akademik) serta Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 (Akademik dan Non Akademik) bagi tahun 2013 akan ditutup buat sementara bermula 30 November 2013 dan akan dibuka semula pada 1 Januari 2014 bagi kemasukan prestasi tahun 2013 yang masih belum selesai.

Mohon kerjasama semua pengguna agar menggunakan pelayar (browser) Internet Explorer (IE) versi 7 hingga 9 sahaja untuk kemasukan prestasi NON-AKADEMIK bagi mengelakkan isu TAHAP PENCAPAIAN yang tidak dapat ditanda di SPPBS.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan