Khamis, 17 Oktober 2013

Tidak tahu elok bertanya


Ahmad Baei Jaafar, 17 Okt 2013
Dalam satu majlis sambutan hari raya Aidiladha semalam, pengerusi majlis meminta semua jemputan bertakbir raya. Lalu bergemalah suara takbir pada malam itu. Persoalannya, apakah takbir itu masih disunatkan atau dalam kata lain menjadi sunah Rasulullah atau tidak?

Persoalan ini jika diajukan kepada orang ramai, mereka akan mengatakan bahawa, “Takbir itu perkara, baik takkan tidak disunatkan.” Jawapan lain, “Radio dan televesyen sering menyiarkan takbir itu sehingga 13 Zulhijjah.” Jelas daripada jawapan itu, mereka tidak berlandaskan ilmu yang sebenar. Beramal tanpa ilmu tentulah tidak dinilai oleh Allah.

Sebenarnya, ramai yang terkeliru tentang hukum takbir raya. Memang pada dasarkannya sunat bertakbir sebagai tanda syukur. Tetapi untuk melaksanakannya amalan itu tentu terdapat sunnahnya pula, ada kaedah dan ada tata caranya. Maknanya kalau kita tidak ikut garis panduannya, kita tidak dapat pahala walaupun tidak berdosa. Inilah yang selalu disebut sebagai makruh.

Takbir hari raya, sama ada Aidilfitri atau Aidiladha terbahagi kepada dua jenis; takbir mulsal dan takbir muqaiyad. Lihatlah perbezaan kedua-duanya:

Takbir Muqaiyad: Takbir yang mengiringi solat termasuk solat sunat dan jenazah. Takbir ini terikat dan berkait dengan solat yang dilakukan. Waktunya bermula dari waktu Subuh hari Arafah sehingga sebelum terbenam matahari hari ke 13 Zulhijjah. Walaupun waktunya panjang tetapi masa untuk takbir tidak luas. Maka tidak bolehlah kita bertakbir daripada rumah ke rumah sewaktu ziarah selepas solat hari raya. Tidak bolehlah juga takbir sebagai pembukaan sesuatu majlis untuk jamuan hari raya.

Tetapi untuk hari raya Aidilfitri, masanya hanya selepas masuk 1 Syawal hingga imam mulakan solat Aidilfitri. Maknanya takbir ini amat terhad. Sebab itu sesiapa yang terlepas waktu takbir ini amat besar ruginya.

Takbir Mursal: Takbir yang tidak terikat dengan masa dan tempat, boleh dilakukan dalam keadaan apa juga sekalipun kecuali di dalam tandas. Waktu takbir ini bermula daripada terbenam matahari hari raya; Aidilfitri pada satu Syawal dan Aidiladha pada 10 Zulhijjah. Berakhir takbir ini pada sebelum imam takbiratul-ihram solat sunat hari raya.

Takbir ini boleh dialunkan bukan sahaja di rumah-rumah yang kita ziarah pada malam raya itu, malah boleh dibaca dalam kenderaan dan sewaktu membeli belah pada malam raya atau pagi raya. Selepas Solat hari raya tidak ada lagi takbir mursal.

Supaya kita tidak terlepas begitu sahaja amalan sunat dan sunnah ini marilah kita baca takbir ini sendiri sewaktu solat sunat dan ikut imam jika kita solat berjemaah. Rugi kalau tidak takbir kerana ganjarannya amat besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan