Engkau pernah bertanya erti pengorbanan. Apa erti pengorbanan sebenarnya pada seseorang manusia terutamanya di Hari Raya Adiladha?
Apakah cukup sekadar menyembelih binatang-binatang ternakan? Yang dikorbankan itu binatang, apa pula kaitannya dengan pengorbanan manusia?
Wahai anakku,
Aktiviti menyembelih haiwan al-an’am iaitu unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) dinamakan Qurban atau Udhiah.
Ia sebenarnya bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Antara salah satunya ialah untuk kamu memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.
Wahai anakku,
Dalam aktiviti Qurban, kamu juga dapat menghayati nikmat bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah. Malah, kerana banyaknya aktiviti menderma untuk golongan fakir miskin, aktiviti Qurban ini juga dapat menanamkan rasa kasih sayang antara si kaya dengan si miskin.
Wahai anak kesayanganku, fadhilat yang kamu akan dapat daripada ibadah korban amat besar. Kamu akan dapat menambah amal kebajikan:
Seperti Sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan".(Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim).
Wahai anakku,
Ibadah korban ini juga engkau boleh jadikan sebagai penebus dosa sepertimana Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada Sayyidatina Fatimah:
"Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu".(al-Bazzar dan Ibnu Hibban).
Bukan itu sahaja, wahai anak kesayanganku, melalui ibadah korban ini, kamu juga boleh mendapat tempat yang mulia di sisi Allah di mana Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
"Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla."
Diharap penjelasan aku yang sedikit ini dapat membantumu menghayati ibadah korban.
Selamat Menyambut Aidil Adha.
Senyum
Tiada ulasan:
Catat Ulasan