Tuesday, 24 September 2013
Kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa menteri dan pemimpin kerajaan kebalakangan ini benar-benar meresahkan rakyat. Ia bukan saja menimbulkan kesangsian tentang kecerdikan, kewibawaan dan tahap intelektual mereka yang diamanahkan dengan kuasa dan tanggungjawab itu tetapi seolah-olah semuanya sedang sepakat untuk meletakkan segala kesalahan dan beban kehidupan kepada rakyat.
Kadangkala pula, selain semua kesalahan cuba dilonggokkan kepada rakyat, pemimpin juga cuba memperbodohkan rakyat dengan memaksa menerima hujah separuh masak yang mereka lontarkan itu.
Dalam isu kenaikan harga minyak, selain kerajaan berhujah bahawa subsidi yang dikurangkan itu akan diagihkan kepada golongan yang berhak menerimanya, di ketika yang lain Najib dan Ahmad Maslan juga berkata, kerajaan sebenarnya tidak menaikkan harga minyak tetapi hanya mengurangkan subsidinya sahaja.
Mungkin benar dan mungkin tidak, subsidi minyak yang dikurangkan itu akan ditumpukan kepada golongan rakyat yang menerimanya tetapi haruslah diingat bahawa kesan segera daripada kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter itu telah pun ditanggung oleh rakyat sebelum keselesaan yang dijanjikan melalui penstrukturan subsidi baru itu benar-benar menjadi kenyataan.
Rakyat seperti disusahkan dahulu sebelum bantuan yang dijanjikan itu tiba.
Najib melalui tv dan semalam Ahmad Maslan bercakap di Parlimen bahawa kerajaan sebenarnya tidak menaikkan harga minyak tetapi hanya mengurangkan subsidinya saja. Apa beza tidak menaikkan harga tetapi memotong subsidi? Adakah harga sebelum subsidi dipotong sama dengan selepasnya?
Tolonglah jangan cuba perbodoh dan mengelirukan rakyat. Kalau harganya naik kerana subsidi dikurangkan, bermakna harganya sudah naiklah. Yang penting ialah sama ada duit yang dikeluarkan oleh rakyat bertambah atau tidak untuk membeli minyak dengan kuantiti yang sama. Apa yang susah sangat sampai Najib berkerut-kerut dahi mempertahankan bahawa harga minyak sebenarnya tidak naik tapi hanya subsidi yang dikurangkan.
Semalam Menteri Kesihatan, S Subramaniam pula berkata, oleh kerana jumlah pengidap kencing manis di kalangan rakyat adalah tinggi dan untuk mengurangkannya, maka harga pasaran gula akan dinaikkan. Senang benar nampaknya jadi menteri kalau macam ini.
Sekali lagi kenyataan seorang menteri menimbulkan keresahan rakyat dan kesalahan rakyat cuba dicari untuk melakukan sesuatu perkara yang akhirnya menyusahkan rakyat juga. Kenyataan beliau itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak dan rata-rata mereka mengejek dan memperlekeh kecerdikan serta tahap pemikiran menteri tersebut.
Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin turut menyindir dalam Twitternya dengan menulis, "kalau naikkan harga gula dapat kurangkan diabetes, apakah naikkan harga kereta dan minyak boleh kurangkan accident?"
Semalam juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hassan Malek meminta pengguna jalanraya memberi laluan kepada kenderaan VIP ketika kesesakan lalulintas atas alasan bahawa mereka itu mempunyai tugas penting yang menunggunya, selain dakwanya, sikap itu juga merupakan budaya rakyat negara ini yang seharusnya sentiasa diamalkan.
Kenapa tiba-tiba sekarang seorang menteri meminta rakyat memberi penghormatan dan laluan kepada golongan VIP sedangkan rakyat yang sedang terperangkap dalam kesesakan juga sudah cukup sengsara deritanya? Bukankah lebih baik dan disanjung tinggi jika golongan VIP juga sanggup bersama-samad dengan rakyat biasa mengharungi kesesakan jalanraya tanpa sebarang keistimewaan?
Atau kalau tidak mahu terperangkap dalam kesesakan, keluar awal dan rancang perjalanan dengan baik. Bukankah terlihat angkuh dan sombong jika seorang pemimpin atau VIP diberi keistimewaan begitu. Lagi pula, bukanlah sikap pengguna jalanraya begitu buruk sehingga permintaan sebegini dibuat. Ini kerana mereka biasanya tiada halangan untuk memberi laluan jika melibatkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau golongan diraja tertentu lantaran memahami desakan tugas dan selalu berkejar dengan masa.
Apa yang berlaku, ada menteri biasa pun turut menggunakan pengiring dan tidak sanggup bersesak bersama-sama dengan rakyat kebanyakan. Inilah yang menimbulkan rasa meluat rakyat. Tambahan pula bila Hassan Malek yang membuat permintaan secara terbuka mengenainya, seperti semuanya diminta rakyat mengalah selepas mereka dibebankan dengan pelbagai perkara sebelum ini.
Dengan Hassan Malek membuat permintaan sebegini dan sebelum ini meminta rakyat mengalih kepada makan ikan dan daging berikutan kenaikan harga ayam sedangkan sebenarnya harga ikan dan daging jauh lebih mahal, ada yang bertanya, "dari gua mana datangnya menteri yang dipilih Najib ini?"
Dan jika diimbas serta dihitung beberapa kenyataan menteri-menteri sebelum ini, kita sebenarnya memang harus berasa gusar dengan kualiti mereka yang dipilih dan diamanahkan tanggungjawab itu. Mereka seolah-olah bercakap tanpa ada perasaan dan meluahkan sesuatu perkara itu ikut sedap mulut saja.
Bila mempertikaikan undang-undang, disuruh pindah ke negara lain; mempertikaikan sistem pilihanraya, diminta duduk dalam hutan; apabila merungut harga sayur mahal, diminta tanam sayar sendiri; harga rumah mahal diminta jangan beli rumah dan kalau tidak suka dengan sistem pendidikan negara, bolehlah mencari pendidikan di negara lain.
Rakyat seolah-olah tidak boleh mengeluh, merungut atau meluahkan perasaan lagi, sebalik diminta redha dan menerima saja apa yang dilakukan oleh pemimpin dengan seadanya.
Kenyataan terbaru yang terus mengelirukan mengenai kenaikan harga minyak, cuba menaikan harga gula dengan alasan kencing manis dan meminta pengguna jalanraya memberi laluan kepada golongan VIP adalah kesinambungan cerita-cerita selepas pilihahraya yang cuba meletakkan beban kesalahan kepada rakyat atas kegagalan pemimpin itu sendiri menjalankan tugas dan memberi kesejahteraan yang sewajarnya kepada rakyat.
Jika sebelum pilihanraya dulu, kejadian sebegini tidak berlaku tetapi kini ianya seakan menjadi-jadi. Satu demi satu kesalahan rakyat cuba dicari dan diselesaikan dengan meletakkan bebannya kepada rakyat juga.
Agaknya selepas menang pilihanraya memang resamnya begitu. Ketika hampir pilihanraya semula nanti, pelbagai janji dan harapan ditaburkan lagi untuk menutup semua kelemahan itu. Begitulah agaknya dan kita akan terus dihadapkan dengan perlakuan menteri-menteri yang menjengkelkan ini sepanjang masa. (SH 24/09/2013)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan