Kelajuan Bukan Faktor Utama Kemalangan, Rakyat Terus Diperangkap!
Syukurlah,
walaupun sedikit demi sedikit kesabaran di bulan puasa ini tergugat,
dek kenaikkan harga ayam, kenaikkan harga sayur, kenaikkan harga gas dan
sebelum itu kenaikkan harga tiket bas, akhirnya ada juga penurunan yang
diumumkan baru-baru ini. Daripada 110 turun menjadi 100, dari 90 turun
menjadi 80, ini cukup bermakna buat semua pengguna jalanraya sempena
musim perayaan.
Kononnya,
demi mengurangkan statistik kadar kemalangan jalanraya di musim raya,
halaju kebangsaan diberi diskaun oleh pihak kerajaan. Hanya seratus
kilometer sejam sahaja kelajuan maksimum di seluruh rangkaian lebuhraya
seantero Malaya, rangkaian lebuhraya yang dikatakan terbaik di dunia.
Hanya 100km/j untuk semua jenama kereta.
Persoalannya,
benarkah kelajuan itu faktor utama kemalangan jalanraya di Malaysia?
Atau sebenarnya penurunan hadlaju kebangsaan ini sebuah skim cepat
saman?
Dalam
pengamatan saya, kesusahan dan kesengsaraan rakyat adalah sebenarnya
antara faktor utama kemalangan jalanraya, bukan faktor kelajuan
semata-mata. Tipikal rakyat Malaysia khususnya yang telah berkahwin dan
punyai anak, walau macamana susah dan sempitnya kehidupan, hari raya
wajib disambut. Hari raya tidak bermakna tanpa balik kampung, tidak kira
samada kampung suami ataupun isteri. Biasanya dua-dua kampung menjadi
destinasi, yang kerap menjadi titik perbalahan adalah untuk memilih
kampung siapa di malam dan pagi raya pertama.
Bila
ekonomi rakyat tidak seberapa, kenaikkan kos sara hidup tidak terkawal,
maka rakyat perlu memilih risiko balik kampung dalam keadaan kondisi
kenderaan yang 'longgar'. Jika selenggara sekalipun, lazimnya rakyat
akan tanya apa yang murah untuk tayarnya, untuk minyak hitamnya, untuk
keperluan 'spare-part'nya demi menjimatkan kos. Jika ada bahagian yang
perlu ditukar atau diperbaiki, maka tangguhlah dulu kerana rakyat nak
balik raya, banyak kosnya. Ketika ini juga tayar terpakai cukup laris di
pasaran. Ori atau lokal, untuk jimat kos, ambillah lokal. Kalau ada
tiruan, ambil tiruan.
Risiko
ini diambil bukan memperjudikan keselamatan sendiri sahaja, tetapi juga
nasib pengguna jalanraya yang lain. Akibat penyelenggaraan kenderaan
yang sangat tidak sempurna, jalanraya menjadi medan bahana biarpun tanpa
kelajuan.
Rakyat
yang tertekan dengan sosial kehidupan seperti masalah kewangan yang
membawa kepada masalah rumahtangga, akan lebih banyak berkhayal ketika
memandu. Tidak fokus ketika memandu dan boleh menyebabkan kecelakaan.
Skop
penyelenggaraan kenderaan secara tidak selamat ini juga bukan dipraktik
dari kalangan individu sahaja, malah pengusaha bas, pengusaha lori juga
akan memilih jalan penjimatan yang sama demi mengurangkan kos untuk
menjana sedikit lebihan keuntungan. Tayar celup pun tidak mengapa, asal
barang boleh jalan.
Berapakah banyaknya kenderaan yang tidak berada dalam kondisi yang baik di atas jalanraya ketika ini?
Dalam
masa yang sama, rakyat mencari duit lebih untuk sambut Aidilfitri, maka
kerja pun lebih masa. Bagi pemandu bas dan lori, trip juga perlu lebih
dari biasa dan untuk ambil trip lebih dari biasa, perlukan tenaga tahan
mengantuk yang luar biasa. Di sini juga jalanraya terdedah kepada bahaya
akibat pemandu yang mengantuk dan tidak cukup kuderat kerana telah
mengulang trip dalam hari yang sama. Ini lebih seram, lori dan bas
bergerak secara automatik sekali sekala tanpa pemandu.
Rakyat
mencari sesuap nasi, mana-mana kontraktor kelas rendah perlu belajar
rasuah untuk dapat sub-projek, projek tampal jalan seumpamanya. Tetapi
oleh kerana sudah keluar kos luar jangka untuk dapat projek, maka kos
tar berkualiti untuk menampal jalan juga terpaksa dikurangkan. Akhirnya
jalan kembali berlubang juga dalam tempoh masa yang tidak dijangka, jauh
lebih awal dari sepatutnya. Lihatlah bagaimana jalanraya di negara ini
banyak berlubang, walaupun telah ditampal, jalan tetap kembali
berlubang.
Cuma
lebuhraya menjadi pilihan yang lebih selamat berbanding jalan biasa.
Lebuhraya tidak berlubang, hanya berlendut dan kurang rata. Namun bagi
rakyat yang menghargai masa dan wang ringgit, apakah berbaloi untuk
membayar tol dalam keadaan kesesakkan lebuhraya yang melampau? Jika duit
bukan soal, pasti tiada masalah untuk bayar tol walaupun lalulintasnya
tidak lancar sepanjang jalan.
Percayalah,
jika rakyat tidak susah, 'spare-part' tiruan dan tayar terpakai tidak
akan laku di pasaran maka jalanraya lebih selamat. Jika rakyat ada
kemampuan, pemandu bas dan lori tidak ambil trip lebih dari sepatutnya,
lebih baik duduk rumah rehat dan bermain dengan anak, maka jalanraya
lebih selamat.
Bukan
sahaja jalanraya lebih selamat, malah jalanraya akan lebih berkualiti,
mampu dicengkam oleh tayar dan tidak berlubang sekiranya rakyat tidak
memberi dan menerima rasuah, yang juga berpunca dari kehidupan yang
sempit. Tiada lagi rakyat yang tertekan ketika memandu, jika kehidupan
berjalan baik tanpa masalah kewangan dan seterusnya rumahtangga aman.
Kerana
itu saya katakan, kesusahan dan kesengsaraan rakyat menjadi punca utama
mengapa jumlah kemalangan jalanraya di negara ini meninggi setiap
tahun. Statistik kemalangan tidak mampu dikurangkan melainkan berlaku
revolusi rakyat, di mana ketika itu rakyat senang dan tenang dengan
kualiti kehidupan yang baik. Hidup ketika itu juga tidak dalam
tergesa-gesa seperti hari ini, malah rakyat tidak perlu diugut supaya
dikurangkan kelajuan. AES juga tidak perlu ketika itu.
Justeru
itu, saya menilai bahawa tindakan kerajaan menurunkan halaju kebangsaan
sebenarnya untuk perangkap rakyat, bukan untuk mengurangkan statistik
kemalangan jalanraya. Tiada hujah kukuh yang mengatakan kelajuan faktor
utama kemalangan.
Apakah
dalam notis yang singkat, semua pemandu akan menyedari bahawa halaju
kebangsaan telah dikurangkan bermula hari ini? Apakah ada papantanda
sementara di sepanjang jalan? Bukan semua orang tengok berita, dan bukan
semua orang maklum penurunan ini, ia perangkap!
Bermula
hari ini hingga 18 ogos, semua mesin kamera AES akan menjalankan
operasi 'menjala' dan 'memukat', tidak lagi memancing. Inilah yang
dinamakan Skim Cepat Saman, kita sangka kita patuh halaju kebangsaan,
rupa-rupanya kita terlebih 10km/j. Maka penuhlah kantung kerajaan untuk
bayar BRIM tahun hadapan.
EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Read more: http://milosuam.blogspot.com/2013/08/kelajuan-bukan-faktor-utama-kemalangan.html#ixzz2be6dwxx0
Tiada ulasan:
Catat Ulasan