Khairil Abdul Rahim, | 30 Ogs 2013 |
Ini dapat diukur dengan kurangnya pengibaran bendera Jalur Gemilang pada kenderaan, premis-premis perniagaan dan di rumah kediaman sehingga sambutan merdeka tahun ini dilihat suram dan hambar jika dilihat daripada sambutan rakyat.
Dalam tinjauan sepanjang perjalanan dari plaza tol Bentong ke Kuantan, jumlah kenderaan yang lalu-lalang, didapati yang melekatkan atau mengibarkan Jalur Gemilang hanya boleh dibilang dengan jari.
Begitu juga dengan kebanyakan premis perniagaan seperti restoran, pusat membeli-belah dan stesen minyak, bangunan swasta, pejabat dan bangunan di kawasan komersial di beberapa jalan utama di Kuantan dan Temerloh juga dilihat tidak berbuat demikian.
Memang terdapat gesaan daripada pihak kerajaan terutama melalui media televisyen menyeru rakyat mengibarkan bendera kebangsaan. Namun jelas sekali gesaan tersebut hanya dipandang sepi oleh umum.
Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tampil melahirkan rasa kecewa kerana kurangnya sambutan masyarakat terhadap Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-56 negara.
Lebih memalukan, pihak kerajaan atau penaja ada mengedarkan bendera percuma tetapi orang ramai masih enggan memasang atau mengibarkannya.
Namun tindakan tidak mengibarkan Jalur Gemilang ini tidak boleh dirumuskan bahawa rakyat negara ini sudah hilang semangat patriotiknya.
Bagi ahli jawatankuasa Persatuan Sejarah Pahang, Alang Ahmad Teh, 74, terdapat tanda-tanda seolah-olah rakyat sudah ‘bosan’ terutama golongan muda yang disumbatkan dengan maklumat seolah-olah hanya diperjuangkan oleh Umno bersama gabungannya MCA dan MIC mendapatkan kemerdekaan daripada Inggeris.
Sedangkan perjuangan berdarah yang panjang sebelum itu tidak dikaitkan langsung dengan kemerdekaan. Akhirnya kemerdekaan digambarkan hak milik Umno semata-mata.
Oleh itu, baginya sejarah yang betul perlu diajarkan mulai sekarang supaya rasa bersemangat mesti datang daripada kesedaran dan kesyukuran rakyat, bukannya paksaan daripada kerajaan.
“Yang kita bimbangkan ialah anak-anak muda mula naik menyampah apabila meraikan merdeka bermakna mereka meraikan kejayaan Umno. Saya nak tegaskan merdeka ini bukan dimonopoli oleh Umno saja, bahkan parti itu melaungkan merdeka setelah parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan diharamkan,” katanya.
Alang berkata, memang tidak nafikan Umno juga mendapatkan kemerdekaan secara bertulis di London tetapi tidak harus juga dilupakan jasa pencetus kemerdekaan sebenarnya.
“Maknanya janganlah dipadamkan sejarah kemerdekaan kerana sejarah perjuangan kemerdekaan bukannya bermula daripada Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman saja. Ramai pejuang-pejuang lain yang menyabung nyawa dan bermandi darah demi kemerdekaan tetapi seolah-olah dipadamkan daripada sejarah negara,” jelasnya.
Tambahnya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) serta sayapnya Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan lain-lain pertubuhan revolusioner lebih awal lagi berarak menuntut kemerdekaan iaitu pada April 1945 di tengah-tengah bandar Temerloh.
Bagi peguam Ahmad Nizam pula, roh merdeka sudah hilang di hati rakyat kerana biasanya kalendar bulan merdeka setiap tahun hanya menjurus kepada persembahan hiburan melulu tanpa memberikan manfaat dalam membina kesedaran merdeka.
Katanya, sepatutnya dikenang juga tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin Helmi, Ishak Muhammad, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh, Asiah Ghani dan lain-lain yang lebih terkehadapan memperjuangkan kemerdekaan.
“Jauh sebelum Perikatan ditubuhkan, telah wujud persepakatan dan kerjasama di antara parti politik kiri Melayu melalui PUTERA dengan parti dan pertubuhan Bukan Melayu yang bergabung di bawah AMCJA yang kemudiannya melahirkan Perlembagaan Rakyat 10 Perkara yang dianggap sebagai asas Perlembagaan Malaya Merdeka.
“Tanpa menafikan peranan dan jasa besar Tunku Abdul Rahman dalam memperjuangkan kemerdekaan namun yang dikesalkan adalah penafian peranan serta pengorbanan tokoh-tokoh progresif, parti-parti politik yang tidak senada dengan kepentingan kolonial di samping peranan golongan cerdik pandai agama serta para pengarang yang jasa dan peranan mereka tidak dimartabatkan di tempat sepatutnya di persada sejarah kemerdekaan tanahair,” katanya.
Tambahnya, keadaan ini berlaku kerana Umno mahu menunjukkan bahawa merekalah kononnya yang paling ulung memperjuangkan kemerdekaan dan sekaligus telah membohongi sejarah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan