Khamis, 13 Jun 2013

Sya’ban: antara hadis sahih, dhaif dan palsu


Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, 13 Jun 2013
Bulan Sya’ban merupakan bulan yang mulia, terletak di tengah-tengah antara dua bulan yang mulia, iaitu bulan Rajab yang merupakan salah satu bulan haram dan bulan Ramadhan merupakan bulan yang diwajibkan umat Islam berpuasa padanya.

Bulan Sya’ban mempunyai beberapa kelebihan yang tersendiri sebagaimana yang disebut dalam hadis, namun banyak juga tersebar hadis yang dhaif atau maudhu’ (rekaan) tentang fadhilatnya, untuk menjelaskannya, risalah ringkas ini ditulis, semoga menjadi panduan dan peringatan buat kita semua.

Terdapat hadis-hadis yang menyebut Nabi SAW banyak berpuasa pada bulan Sya’ban. Kalau dikatakan, apakah hikmahnya memperbanyak berpuasa di bulan Sya’ban? Maka jawapannya adalah perkataan Al-Hafiz Ibn Hajar:

“Yang lebih tepat apa yang diriwayatkan oleh Nasa’i dan Abu Daud serta disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Usamah bin Zaid, dia berkata, saya bertanya:

“Wahai Rasulullah, saya tidak melihat tuan (sering) berpuasa dalam satu bulan seperti tuan berpuasa di bulan Sya’ban?”

Baginda bersabda: “Itu adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Iaitu bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah, Tuhan seluruh Alam. Maka aku ingin amalanku diangkat, sedang aku dalam keadaan berpuasa.” (Dinyatakan hasan dalam Sahih An-Nasa’i, no. 2221).

Adalah mendukacitakan, ramai yang tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi SAW tanpa mengira kethabitan iaitu kepastian tentang ketulenan sesebuah hadis, juga tidak meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya. Lebih teruk lagi jika terus disebarkan kepada masyarakat tanpa menjelaskan kedudukannya.

Dengan itu apa-apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi SAW tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi SAW dalam hadis yang yang diriwayatkan oleh Al-Mughirah bin Syu’bah:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim).

Perkara ini termasuk menyebut Nabi SAW bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang Baginda tidak pernah melakukannya.

Hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi SAW secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi SAW.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).

Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.

Contohnya, apabila muncul bulan Rejab dan Sya’ban maka hadis-hadis palsu mengenainya akan dibaca dan diajar secara meluas. Ramai penceramah, imam, khatib dan media massa menyebarkan hadis palsu mengenai amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.

Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”

Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu dan malam Nisfu Sya’ban adalah dusta ke atas Nabi SAW (kesemuanya adalah PALSU).

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): “Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah SAW”.

Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Sya’ban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.

Kelebihan Khas Malam Nisfu Sya’ban

Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Sya’ban ialah:

“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci-membenci) (HR Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan daripada ajaran Nabi SAW.

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Sya’ban:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.

Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Perhimpunan (malam Nisfu Sya’ban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka”.
(Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Inilah kenyataan Dr Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis)."

Mereka hanya membaca hadis yang mereka hafal dan memetiknya tanpa mengetahui dan cuba memastikan kedudukan hadis tersebut.

Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Sya’ban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi SAW.


HADIS-HADIS YANG LEMAH DAN PALSU TENTANG NISFU SYA’BAN

Berikut adalah beberapa contoh hadis-hadis lemah dan palsu tentang fadhilat malam Nisfu Sya’ban.

HADIS PERTAMA:

Daripada ‘Aisyah RA, dia berkata: “Pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah SAW lalu saya keluar, ternyata baginda berada di Baqi’, lalu Rasulullah bersabda:

“Apakah kamu takut padahal Allah dan Rasul-Nya melindungimu?”

Saya (‘Aisyah) jawab: Ya Rasulullah, saya mengira engkau mendatangi sebahagian isterimu (yang lain).”

Baginda bersabda: “Sesungguhnya pada malam Nisfu Sya’ban Allah turun ke langit dunia lalu mengampuni lebih banyak dosa daripada banyaknya bulu kambing Bani Kalb.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Imam Tirmidzi. “Dhaif Jiddan”).

HADIS KEDUA:

Daripada ‘Ali bin Abi Talib RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: “Jika datang malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah pada malam harinya (untuk bersolat) dan berpuasalah pada waktu siangnya. Sesungguhnya pada saat itu sejak tenggelamnya matahari, Allah turun ke langit dunia seraya berfirman: “Ketahuilah, sesiapa yang meminta keampunan, maka Aku akan mengampuninya dan ketahuilah sesiapa yang meminta rezeki maka Aku akan memberinya, ketahuilah sesiapa yang sakit maka aku akan menyihatkannya, ketahui sesiapa yang begini aku akan begitu hingga terbit matahari. (Hadis riwayat Ibnu Majah – “Maudhu”).

HADIS KETIGA:

“Wahai ‘Ali, sesiapa yang solat seratus rakaat pada malam Nisfu Sya’ban, pada setiap rakaat membaca surah al-Fatihah dan Qul huwallahu ahad 10 kali, Nabi SAW bersabda: “Ya ‘Ali, tidaklah seorang hamba yang solat seperti ini kecuali Allah akan memenuhi setiap setiap keinginan dan permintaanya pada malam itu…

Komentar: Hadis ini adalah maudhu’ (palsu) sebagaimana dinyatakan Ibn al-Jauzi di dalam al-Maudhu’aat, Ibn al Qayyim di dalam al-Manar al-Munif, al-Suyuthi di dalam al-Lali al-Masnu’ah.

HADIS KEEMPAT:

“Sesiapa solat 12 rakaat pada malam Nisfu Sya’ban dengan membaca pada setiap rakaatnya Qul huwallahu ahad 30 kali, tidak keluar hingga melihat tempat duduknya di syurga…”

Komentar: Hadis ini adalah maudhu’ (palsu) sebagaimana dinyatakan Ibn al-Jauzi di dalam al-Maudhu’aat, Ibn al Qayyim di dalam al-Manar al-Munif, al-Suyuthi di dalam al-Laali al-Masnu’ah.

Perhatian: Antara buku yang mengumpul hadis palsu tentang kelebihan bulan-bulan ialah buku: (Kelebihan Rejab, Sya`ban, Ramadhan, Ustaz Budiman Radhi).

Tukar Rekod Amalan:

Masyhur juga dalam kalangan masyarakat bahawa pada malam nisfu Sya’ban itu ditentukan (taqdir) apa yang akan terjadi tahun itu.

Ini adalah khabar yang batil. Malam penentuan takdir kejadian selama setahun itu ialah pada malam (Lailatul Qadar).

Allah Ta’ala berfirman, maksudnya:

“Ha mim. Demi Kitab (al-Qur’an) yang menjelaskan. Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Surah ad-Dukhan : ayat 1-4)
Malam diturunkannya al-Qur’an adalah malam Lailatul Qadar. Allah Ta'ala berfirman, maksudnya:

“Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan.” (Surah al-Qadr : ayat 1).

Iaitu pada bulan Ramadhan, kerana Allah Ta’ala menurunkan al-Qur’an pada bulan itu.

Allah Ta’ala berfirman, maksudnya:

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Qur’an.” (Surah al-Baqarah : ayat 185].


Berkata Al-Hafiz Ibnu Kathir rahimahullah:

“Sesiapa yang mengatakan bahawa malam nisfu Sya’ban adalah waktu Allah Ta’ala menentukan apa yang akan terjadi dalam tahun itu, bererti dia telah menyalahi kandungan al-Qur’an.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan